Home Novel Cinta Salju Di Edinburgh
Salju Di Edinburgh
che'
4/6/2020 13:54:16
127,369
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
48


       Aku mendarat di lapangan terbang antarabangsa KLIA 2 satu jam berikutnya.  Usop pemanduku tiba bersama kereta Lexus RX 350 biru gelap milik syarikat sebaik sahaja aku keluar dari pintu terminal.  Dalam perjalanan seperti biasa dia membiarkan aku merehatkan diri sambil memejamkan mata sepanjang perjalanan.  Letih pun ada.  Mengantuk pun ada apabila sering turun – naik kapal terbang seperti ini.

      Setibanya di rumah, aku mendengar riuh rendah suara keluarga Zharif dan Abang Mikael di dapur.  Mereka sedang menikmati makan malam rupanya.  Kedatanganku disambut dengan pelukan oleh Abang Mikael, Omar dan Ibrahim.  Menurut abang Mikael, dia mengambil kesempatan cuti musim perayaan Natal ini untuk membawa keluarganya bercuti mengikuti Zharif pulang ke Kuala Lumpur.  Mereka sekeluarga merasa bertuah kerana dapat berjumpa dengan ibu dan ayah yang melayan mereka seperti keluarga sendiri.

      Keesokan harinya aku sudah bersiap awal pagi untuk keluar bersarapan roti canai dan teh tarik bersama Abang Mikael dan ayah.  Abang Mikael rupanya amat menggemari teh tarik sejak mencubanya pada hari pertama dia menjejakkan kaki ke sini.  Malah dia meminta dua gelas teh tarik sekaligus semasa membuat pesanan kepada pelayan.  Aku dan ayah hanya tersenyum melihat gelagatnya di restoran.  Pengunjung – pengunjung yang lain turut menjadi kaget melihat selera orang putih ini mengambil bertingkat – tingkat sajian kuih - muih hidangan sarapan pagi.

      “Nanti Along bawa Aisya melawat Balai Seni Lukis?” tanya ayahku semasa abang Mikael sedang sibuk memilih kuih di kaunter.

      Aku mengangguk.  “Ibrahim akan turut sekali.”

      Ayah menghirup air teh tarik yang masih panas berasap.

      “Baguslah ada muhrim,” balas ayah tiba – tiba.

      Aku tidak berkata apa – apa.  Jari – jariku masih sibuk mencarik – carikkan roti canai di dalam pinggan.

      “Cantik juga anak abang Mikael itu.  Maklumlah kacukan mat salleh,” ayah bersuara lagi.

      Aku diam mengunyah.  Mengiyakan pun tidak, menidakkan pun tidak.

      “Aisya itu agak matang orangnya ayah tengok.  Walaupun masih muda lagi.  Dia pun minat seni lukis macam along juga.  Abang Mikael kata dia hendak ambil jurusan pengajian Seni di universiti kelak."

      Telingaku hanya mendengar apa yang dikatakan ayah.  Aku tidak tahu mengapa cerita mengenai anak gadis orang dijadikan topik perbualan pada pagi ini.  Tidak pernah lagi ayah berbicara tentang perkara – perkara sebegini kepadaku.  Aku sendiri tidak pernah terlintas apa – apa tanggapan atau pandangan kepada anak perempuan abang Mikael itu.  

      Menjelang pukul 10 pagi, Usop sudah menanti di halaman rumah untuk membawa aku, Ibrahim dan Aisya menuju ke Kuala Lumpur.  Kami tiba di hadapan Balai Seni Lukis Negara hampir empat puluh minit kemudiannya selepas melalui kesesakan lalu – lintas di jalan – jalan utama Kuala Lumpur.  Masa yang terluang untuk melawat galeri bertambah singkat disebabkan aku dan Ibrahim perlu menunaikan solat Jumaat pada tengahari ini.

      Aku memilih untuk melawat ruang utama tingkat bawah yang mempamerkan lukisan kontemporari pelbagai pelukis muda tempatan.  Manakala Aisya dan Ibrahim memilih untuk melawat tingkat atas.  Mereka berjanji untuk menemuiku kembali di sini dalam tempoh sejam lagi.

      Aku beredar perlahan – lahan mengelilingi ruang pameran.  Meneliti tiap lukisan yang tergantung di dinding.  Luahan kisah yang terpendam.  Berbaur realiti dan mimpi.  Antara harapan dan rentetan silam.  Biasanya dalam seribu, mungkin ada satu dua yang berupaya meraih perhatian dan menambat kekagumanku.  Berjalan di dalam ruang itu, deriaku tekun memerhati cerita – cerita yang terpampang di atas kanvas.

      Agak lama juga aku leka menatap lukisan – lukisan di ruang pameran itu.  Kadangkala membaca nama pelukis dan kisah di sebalik lukisan tersebut.  Aku tidak sedar bila Aisya berdiri di sampingku.  Matanya yang perang menyapaku.  Kemanisan remajanya terserlah di balik jubah nipis hitam yang panjang.  Raut wajahnya bersih.  Hanya pandangannya yang tajam memerhati.

      Aku tidak tahu Ibrahim berada di mana kala itu.  Terasa sedikit canggung berada di ruang pameran yang sunyi hanya bersama Aisya.

      “Abang mengagumi lukisan sebagaimana?” Aisya bersuara.  Matanya merenung lukisan di hadapan kami.  Sebuah hasil karya seni pelukis tempatan.  Tidak kuperiksa namanya.  Sebuah perahu nelayan tertambat di jeti usang.

      “Entah,” jawabku setelah lama memikirkan jawapan yang sesuai.

      “Tidak tahu bagaimana hendak dihuraikan,”ujarku lagi.  Bergerak perlahan melihat lukisan berbingkai yang lain.

      “Mungkin abang masih nggak ketemu lukisan yang membuncah jiwa abang,” balas Aisya.  Kali ini dia menjeling padaku tajam.  Aku tersenyum.  Sungguh dalam bunyinya.

      “Bagaimana hendak tahu wujudnya lukisan begitu?” tanyaku.

      “Saat abang bisa merasakan sesuatu ketika terlihatnya,” Aisya menjawab lagi.  Dia sudah berada beberapa langkah di hadapanku.  Aku terdiam mendengar jawapannya yang bersahaja.  Benarlah kata ayah, pemikirannya lebih matang daripada usianya.

      Kami berjalan sambil menatap lagi hasil – hasil seni ini.  Aku di belakang.  Aisya di hadapan.  Seketika aku mengerling ke jam tangan.  Ibrahim masih belum tiba seperti yang dijanjikan.  Kami perlu bertolak ke masjid sebentar lagi.

      “Abang, apa itu pungguk?” suara Aisya menangkap perhatianku.


Previous: 47
Next: 49

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.