Home Novel Cinta Salju Di Edinburgh
Salju Di Edinburgh
che'
4/6/2020 13:54:16
127,200
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
35


      Suara Tan Sri Effendy menyapa kami dari pintu bilik suite.  Tinggi agam orangnya melangkah masuk ke ruang tamu.  Memakai kot kelabu petak – petak sesuai melambangkan usia dan ketokohannya, dan berseluar putih susu.  Berkemeja biru cair mewah.  Bingkai kaca matanya tebal dan berwarna gelap.  Hitam seperti warna rambutnya yang masih lebat dan tebal.

      Wajahnya manis tersenyum.  Bagi lelaki yang sebaya usia dengan ayahku, dia masih kelihatan segak dan ceria.  Menurut Rizal, Tan Sri ini memiliki jiwa yang muda.  Jarang sekali melihat dia risau atau khuatir, kata Rizal lagi kepadaku sewaktu kali pertama aku berjumpa dengannya.

      Kami bersalaman dengan Tan Sri.  Dia meminta maaf kerana lewat tiba.  Katanya dia perlu menguruskan sesuatu di luar sebelum itu.  Tan Sri kemudian dengan ramahnya mempersilakan kami duduk di atas set sofa putih mewah di ruang tamu itu. 

      “Tan Sri, ini saya kenalkan Muhammad.  Rakan kongsi syarikat saya,” Rizal memulakan perbualan sebaik sahaja kami melabuhkan punggung masing – masing.

      “Ya, saya ingat kamu.  Kamu ada datang ke pejabat saya tahun lalu,” jawab Tan Sri sambil tersenyum padaku.  Aku hanya mengangguk sopan.  Pertemuan ketika itu berlangsung sebentar cuma sewaktu aku bertemu Rizal atas satu dokumen penting pada tenggang waktu mesyuaratnya dengan Tan Sri dan DYMM Sultan.  Tenggang waktu dipenuhi dengan asap curut sewaktu aku diperkenalkan oleh Rizal kepada mereka.

      “Ayah kamu sihat?” tanya Tan Sri kepadaku lagi.

      “Sihat alhamdulillah.”  Aku baru teringat bahawa Tan Sri Effendy merupakan bekas rakan sepengajian ayahku semasa di universiti dahulu.

      “Bagus.  Kirim salam padanya,” Tan Sri menyambung lagi.  “Alangkah bagusnya mempunyai anak yang boleh menyambung legasi syarikat.”

      Aku hanya ketawa kecil.  Itu sahajalah ungkapan yang meniti bibir orang – orang tua sepertinya setiap kali berjumpaku.  Rizal turut menepuk bahuku.

      “Perniagaan syarikat bagaimana?” tanya Tan Sri penuh minat.  Dia memandang kami berdua.

      Rizal mengambil peluang itu untuk memaklumkan kepada Tan Sri bahawa perniagaan syarikat berjalan rancak.  Malah dijangka akan menyiapkan kontrak pembinaan kampus dengan pihak Kementerian dalam tempoh terdekat ini.  Kedengaran daripada mulut Rizal semua yang indah belaka.  Masalah yang terbarai di belakang tabir langsung tidak berbunyi.  Itulah namanya strategi pemasaran yang efektif.

      Tan Sri Effendy mengangguk – anggukkan kepalanya tanda berpuas hati dengan penjelasan Rizal.  Mungkin dalam fikirannya sedang mengaitkan penjelasan tersebut kepada niat perjumpaannya pada malam ini.

      “Saya ada sebuah cadangan usahasama untuk ditawarkan kepada syarikat kamu, Muhammad.  Ini pun setelah berbincang dengan Rizal tempoh hari.  Saya perlukan syarikat pembinaan yang berwibawa untuk bersama – sama menjadi sebahagian daripada konsortium saya bagi pembangunan rangkaian hotel.”

      Pertuturan Tan Sri jelas pada setiap butir katanya.  Percakapannya tidak terburu – buru bagi memastikan aku memahami setiap maksud yang ingin disampaikan.  Gaya seorang tokoh korporat yang sebenar.

      “Di mana, Tan Sri?” balasku berminat.

      “Di sekitar Asia Tenggara.  Kami bercadang untuk membawa jenama Rosewood ke beberapa negara jiran.  Antara yang telah disenaraikan adalah Jakarta dan Bangkok.  Kuala Lumpur juga tetapi masih dalam peringkat awal perancangan lagi.”  Tan Sri memandang tepat kepadaku sambil menjelaskan.  Pandangannya sedikit terlindung oleh lensa separuh gelap pada kaca matanya.

      “Saya memerlukan teman perniagaan yang boleh menguruskan aspek pembinaan bagi konsortium hotel jenama antarabangsa ini.  Dan saya perlukan orang yang boleh dipercayai,” Tan Sri tersenyum.  Dia melirik kemudiannya kepada Rizal yang duduk di sebelah kerusiku.

      Aku mengangguk. Rizal sudah lama kenal dan berurusan dengannya.  Oleh itu tidak hairanlah kiranya Tan Sri berpendapat ini merupakan peluang terbaik untuk bekerjasama.

      “Saya faham, Tan Sri.  Dan sangat menghargai tawaran Tan Sri untuk syarikat kami.  Cuma mungkin saiz pembangunan jenama hotel ini agak besar jumlahnya bagi syarikat kami yang kecil.  Saya menganggarkan sekitar enam hingga ke lapan ratus juta ringgit untuk nilai pembangunan hotel – hotel ini.  Betul?” aku membalas dengan sopan.  Aku tidak berniat untuk merendah – rendahkan tawarannya tetapi aku khuatir syarikatku tidak mampu untuk memenuhi kehendaknya.

      “Betul, Muhammad.  Malah mungkin lebih setelah mengambil kira kos pembiayaan dan hartanah.  Pemikiran kamu tajam,” Tan Sri membalas serta – merta.  Dia memandang kepada Rizal dan mengangguk.

      “Saya cuma khuatir, Tan Sri, saya tidak berupaya untuk menyediakan wang ekuiti untuk kontrak tersebut,” tuturku perlahan lagi berbahasa.  Kepalaku mencongak – congak anggaran nilai ekuiti yang perlu untuk membiayai kontrak ini.  Hampir lapan puluh juta ringgit.  Manalah syarikat aku mampu.  Syarikat kami bukannya tersenarai di Bursa Saham Kuala Lumpur.  Bagaimana hendak aku mencari dana sebanyak itu.

      “Itu kamu jangan risau, Muhammad.  Saya sudah berbincang dengan Rizal mengenai hal dana ekuiti tersebut.  Kami boleh bantu syarikat kamu dari segi itu.  Yang penting saya mahukan komitmen dan kerjasama daripada syarikat kamu bagi memastikan projek pembangunan ini siap mengikut tempoh yang diperlukan.”

      Aku terdiam sejenak.  Tak sangka pula Tan Sri Effendy ingin menawarkan bantuan ekuiti kepada syarikat kami yang kecil ini.  Mungkin ini namanya harga sebuah kepercayaan.  Aku menjeling kepada Rizal yang masih lagi mendengar penuh minat.

      “Muhammad.  Saya sudah hadapi pelbagai jenis kerenah dan tingkah – laku syarikat yang saya berikan kontrak binaan.  Sama ada syarikat tempatan mahupun antarabangsa, semuanya sama.  Susah untuk dipercayai.  Mengakibatkan kerugian kepada projek saya apabila mereka tidak amanah dan cuba mengambil kesempatan,” Tan Sri mengeleng – gelengkan kepalanya.  

      “Tetapi kamu seperti ayah kamu.  Kamu tidak gelap mata bila nampak wang,” ujar Tan Sri sambil menunjukkan jarinya kepadaku.  Aku tergamam sebentar.  Semua mata di dalam ruang tamu itu merenungku dengan tiba – tiba.  Aku tersenyum kelat.  Bagaimana pula dia tahu.  Kami belum pernah berurusan lagi dengan syarikatnya.

      “Itu adalah reputasi syarikat kamu dalam pasaran.  Saya kenal ayah kamu.  Dia seorang yang jujur dan bekerja keras.  Nampaknya anak dia pun begitu juga,” Tan Sri tersenyum lagi.  Aku tidak mampu berkata apa - apa.  Terasa segan apabila dibandingkan dengan ayahku. 

      Lantas aku melontarkan pandang kepada Rizal.  Dia membalas pandanganku berharap.  Patutlah Rizal beriya – iya benar mahu memastikan perjumpaan ini berlaku walaupun tidak dirancang pada awalnya.

      “Tan Sri,” aku memulakan kata.

      Kesemua mata di dalam bilik itu tertumpu padaku lagi.

Previous: 34
Next: 36

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.