“Ika, betul ke ni tak
kisah kalau Kimi datang rumah Ika ni. Kimi takutlah.” Nur Hakimi menarik tangan
Atikah yang laju saja langkahnya.
Atikah berhenti melangkah dan menoleh memandang Nur
Hakimi yang berada disebelahnya sambil bercekak pinggang. ‘Apa punya pakwe lah
mamat sorang ni. Nak jumpa bakal mak mertua pun takut.’ Omel Atikah dalam hati.
“Awak….semalam bukan main berkobar lagi nak jumpa dengan Mak kita. Hari ni dah kecut perut pulak,” sinis Atikah menyindir.
“Kimi bukan apa Ika. Kimi takut kalau-kalau mak Ika tak
setuju dengan hubungan kita macam mana?. Merana Kimi nanti,” jawab Nur Hakimi
dengan wajah monyok.
Atikah menepuk dahinya. “Ya ALLAH…..boleh jangan fikir
yang bukan-bukan boleh tak?. Tak jumpa lagi mak kita dah cakap yang
bukan-bukan.” Sergah Atikah.
“Ala…janganlah marah. Kimi kata kalau aje,” pujuk Nur
Hakimi.
“Dah. Jangan nak berkalau-kalau lagi. Kita dah lambat ni.
Nanti mak risau pulak,” ujar Atikah terus menarik tangan Nur Hakimi. Kalau
dilayan lagi cakap Nur Hakimi jawabnya tak ke manalah mereka nanti.
“Assalamualaikum. Mak!...” Atikah memberi salam sambil
membuka pintu rumahnya. “Masuklah awak.” Dalam masa yang sama Atikah mengajak
Nur Hakimi masuk ke dalam rumahnya.
“Waalaikumussalam.” Kak Kiah muncul dari dapur. Matanya
terpandang seorang lelaki disebelah Atikah.
“Mak…” Atikah terus memeluk kak Kiah dengan mesra.
Terubat rindunya saat pelukan mereka bertaut. Kak Kiah membalas pelukan Atikah
dengan erat.
“Siapa ni Ika?” tanya Kak Kiah sebaik pelukkan mereka
terlerai.
“Mmmm…..Mak, ni kenalkan Nur Hakimi. Kawan sekolej Ika, Mak.”
Atikah memperkenalkan Nur Hakimi pada Kak Kiah.
“Apa khabar Makcik?” Nur Hakimi menghulurkan salam.
“Alhamdulillah, baik.” Kak Kiah menyambut salam itu.
“Kawan ke…..pakwe ni Ika?” Duga Kak Kiah sambil bermain
mata dengan Atikah yang malu-malu memandangnya.
“Mak…..” Atikah memeluk lengan Kak Kiah. Malu pulak bila
disoal begitu.
Kak Kiah tersenyum. Dari riak wajah mereka berdua Kak
Kiah dapat menduga yang mereka saling menyintai. Alhamdulillah jika Atikah dah
menemui orang yang dapat menjaganya nanti.
“Ehh…..buat apa tercegat aje ni. Moh kita makan. Lauk
semua Mak dah hidangkan tadi. Mak tunggu Ika aje ni.” Lawa Kak Kiah.
“Mmmm…..mesti sedap Mak masak. Jom Kimi.” Atikah dan Nur
Hakimi mengekori langkah Kak Kiah menuju ke meja makan.
Usai menjamu selera Atikah membawa buah betik yang telah
dipotong ke ruang tamu. Mak tengah berbual dengan Nur Hakimi.
“Jemput Kimi.”
“Terima kasih.”
“Makanlah Kimi. Buah betik ni Makcik beli kat pasar malam
semalam.”
Nur Hakimi tersenyum. Hilang rasa gemuruhnya bila Mak
Atikah melayannya mesra. Atikah mengambil tempat disebelah Kak Kiah.
“Mak, Kak Mira mana?. Dari tadi tak nampak pun batang
hidung dia?.”
“Mira keluar. Katanya nak beli barang sikit. Kejap lagi
baliklah tu.”
“Siapa Kak Mira tu?. Kakak Ika ke?.” Nur Hakimi
menyampuk.
“Kak Mira tu menyewa bilik kat sini. Dia tu baik tau.
Orang Siam.”
“Orang Siam?” Nur Hakimi terkejut.
“Assalamualaikum.” Terdengar suara Nurul Amira memberi
salam dari luar.
“Waalaikumussalam.” Mereka bertiga menjawab serentak.
Namun sebaik Nurul Amira melangkah masuk, Nur Hakimi
terkejut melihat wajah Nurul Amira. Mulutnya terlopong.
“Kak Mira.” Atikah mendapatkan Nurul Amira. Mereka
berpelukkan.
“Ika makin cantik akak tengok.” Nurul Amira memuji sebaik
pelukkan mereka terlerai. Atikah tersenyum dengan pujian itu.
“Kimi, kenalkan inilah Kak Mira.” Atikah memperkenalkan
Nur Hakimi dengan Nurul Amira.
Nurul Amira melemparkan senyuman pada Nur Hakimi yang
masih kaku memandangnya. Atikah membulatkan matanya bila melihat cara Nur
Hakimi memandang Nurul Amira. Terdetik perasaan cemburu dihatinya.
“Oiii….pandang Kak Mira macam nak makan aje,” sindir
Atikah yang sudah dipalit perasaan cemburu.
“Ha?” Nur Hakimi baru tersedar dari lamunannya. Atikah
menarik muka masam. Kak Kiah dan Nurul Amira tersenyum.
“Ika tak payah cemburulah. Akak tak kebas pakwe Ika
punyalah,” usik Nurul Amira.
“Isy….Akak ni.” Atikah malu sendiri bila Nurul Amira
boleh membaca perasaan cemburunya.
Nur Hakimi mengaru kepalanya yang tidak gatal. Dia turut
segan bila kelakuannya diperhatikan tadi.
“Maaf Kak. Kimi terkejut sebenarnya bila tengok muka Kak
Mira.”
“Kenapa pulak?. Ada apa-apa yang pelik ke dengan muka Akak
ni?” soal Nurul Amira sambil membelek mukanya.
“Muka Akak macam muka arwah Kak Ngah saya. Saling tak
tumpah,” kata Nur Hakimi sedikit sayu bila terkenangkan kakak kesayangannya,
Khyrulhydza yang telah pergi.
Nurul Amira, Atikah dan Kak Kiah saling berpandangan.
“Awak tak pernah cakap pun pasal kakak awak?” soal Atikah
pulak.
“Hummm….dah Ika tak tanya,” jawab Nur Hakimi yang kembali
tersenyum. Atikah memukul lengan Nur Hakimi.
“Adoiii…..” Nur Hakimi mengusap lengannya yang dipukul
tadi.
“Padan muka,” Atikah menjelir lidahnya pada Nur Hakimi.
“Dahlah. Akak nak masuk bilik kejap. Akak tak solat lagi
ni. Mira masuk dulu Kak Kiah.” ujar Nurul Amira dan terus melangkah masuk
ke dalam biliknya.
“Betul ke muka kak Mira sebijik macam muka arwah Kakak
awak?” soal Atikah tidak puas hati.
“Betul. Sebijik Ika. Tu yang buat Kimi terkejut masa dia
masuk rumah tadi. Berdegup kencang kejap jantung Kimi,” kata Nur Hakimi sambil
meletakkan tangannya ke dada.
Atikah menjeling geram. Kak Kiah pulak tergelak dengan
gelagat Nur Hakimi.
“Ada-ada aje kamu ni Kimi. Duduklah berbual dengan Ika.
Makcik nak ke dapur kejap.” Kak Kiah meninggalkan mereka berdua dan terus saja
menuju ke dapur.
Sementara itu Nurul Amira yang usai menunaikan solat
Zohor menanggalkan telekung yang dipakai. Tiba-tiba kepalanya berdenyut sakit.
Nurul Amira mengagahkan dirinya untuk mencapai ubat yang disimpan dalam beg
sandangnya.
“Ya ALLAH, sakitnya.” Nurul Amira memegang kepalanya yang
semakin berdegup kuat. Sejak kebelakangan ini sakit kepalanya semakin
menjadi-jadi. Ubat migraine yang dibekalkan oleh doktor sering ditelannya bagi
meredakan rasa sakit kepala yang kebelakangan ini sering menyerangnya.
Sebaik menelan ubat Nurul Amira merangkak menaiki
katilnya. Direbahkan kepalanya di atas bantal sambil tangannya memicit kepalanya
yang sedang berdenyut.
Saat terasa badannya kesejukkan Nurul Amira membuka
matanya. Tapi alangkah terkejutnya dia bila melihat dia berada di tengah lautan
yang luas. Dia sedang duduk di atas sekeping papan tanpa pendayung. Lebih
membuatkan dirinya cemas bila tiada sesiapa bersamanya.
Nurul Amira memandang sekeliling. Dia mula rasa takut.
Dia tak tahu bagaimana untuk berenang. Kenapa dia boleh berada ditengah lautan
ini. Air mata sudah mengalir membasahi pipinya. Tangisannya semakin
menjadi-jadi bila perasaan takut semakin menguasai dirinya. Dia takut lemas.
Dia tidak pandai berenang.
“Sayang…..jangan tinggalkan Abang.” Suatu suara menerjah
ke telinga Nurul Amira. Pantas Nurul Amira mengesat air matanya.
Dia mula memandang sekelilingnya. Dia ingin mencari suara
yang didengari tadi. Sayup-sayup dia melihat ada sebuah sampan dan didalamnya
ada seorang lelaki sedang mendayung meredah lautan yang luas ini.
“Tolong!.....Tolong saya!....” Nurul Amira melambai
tangannya agar lelaki itu datang menyelamatkannya.
“Encik….tolong saya!” Nurul Amira terus menjerit sambil
tangannya menolak-nolak air umpama dia mendayung untuk mengejar sampan yang
dinaiki oleh lelaki yang tidak dikenalinya.
Namun semakin dia cuba berusaha semakin jauh sampan itu
berlalu. Nurul Amira semakin berusaha untuk mengejarnya.
“Tolong…..jangan tinggalkan saya!.” Nurul Amira menjerit
sekuat hatinya. Nurul Amira semakin cemas bila papan yang menjadi sampannya semakin
tengelam ke dalam air.
“Tolong!....Tolong!.....” Nurul Amira menjerit ketakutan
bila dia tengelam-timbul di dalam air laut. Dia terkapai-kapai dan berusaha
untuk bernafas.
“Mira….Mira……bangun Mira.” Kak Kiah mengejutkan Nurul
Amira yang meracau-racau.
“Tolong!.....” Nurul Amira terjaga dan terus terduduk.
Dadanya berombak. Mukanya dibasahi peluh.
“Ya ALLAH, Mira kenapa ni?” Kak Kiah terkejut. Dia
mengusap belakang Nurul Amira.
“Kak Kiah?...” Nurul Amira baru menyedari kehadiran kak
Kiah. Dia menoleh sekelilingnya. Dia berada didalam biliknya.
“Astaghfirullah……Astaghfirullah…..Astaghfirullah…..”
Beberapa kali Nurul Amira mengucap. Rupanya itu semua tadi hanyalah mimpi. Dia
hampir percaya yang dia hampir lemas tadi. Muka yang berpeluh diusap dengan kedua belah
tangannya.
“Kamu ni kenapa Mira. Meracau-racau tadi.”
“Saya mimpi tadi Kak.”
Kak Kiah menghela nafas lega. “Ya ALLAH. Mimpi rupanya.
Dahlah, pergi mandi. Dah nak masuk Maghrib ni.”
“Ha?. Maghrib kak Kiah?. Ya ALLAH, lamanya Mira tertidur.
Tapi lepas makan ubat sakit kepala Mira ingat nak lelap kejap aje. Rupanya
terlajak lama pulak,” ujar Nurul Amira kesal dengan kealpaannya.
“Apa yang Mira mimpi sampai mengigau macam ni sekali?.”
Nurul Amira menghela nafasnya perlahan-lahan. “Mira mimpi…..Mira
ada kat tengah laut, kak. Mira seorang diri kat situ. Bila hampir lemas Mira
menjerit minta tolong. Lepas tu Mira terjaga, kak. Mimpi tu macam betul aje,” jelas
Nurul Amira perlahan-lahan.
“Mimpi aje tu. Mimpi mainan tidur,” pujuk kak Kiah.
Nurul Amira mengenggam erat jari kak Kiah. “Tapi kalau
mimpi yang hampir sama kita alami berulang kali, mainan tidur jugak ke kak?” tanya
Nurul Amira kebinggungan.
“Entahlah Mira. Dahlah tu. Tak payah difikirkan sangat.”
Nurul Amira mengeluh. Kak Kiah sendiri tak mampu menjawab
soalannya. Fikirannya memang bingung kini. Acapkali dia mengalami mimpi-mimpi
yang pelik-pelik.
“Dah tu. Pergilah mandinya.” Gesa Kak Kiah yang mula
melangkah keluar dari bilik Nurul Amira.
Nurul Amira masih duduk di atas katil. Hatinya semakin resah
dengan mimpi yang dialami sejak kebelakangan ini. Semakin lama semakin meresahkan
hatinya. Dia dapat merasakan mimpi itu seperti ingin memberitahunya sesuatu.
Namun dia masih tidak dapat menekanya. Mungkinkah ada kaitan dengan siapa
dirinya sebelum ini?.