Nurul Amira melangkah
masuk ke dalam bilik rehat sebaik menyelesaikan semua kerjanya. Dia menarik
kerusi dan melabuhkan punggungnya. Dilepaskan keluhan letih sebaik dapat duduk.
Urat kaki yang tegang diurutnya perlahan-lahan. Sesaat kemudian kelihatan kak
Kiah dan Chombi turut melangkah masuk. Almaklumlah sekarang ni dah pukul 1
petang. Waktu untuk mereka berehat selama sejam. Selepas itu kembali melakukan
kerja pembersihan seperti pagi tadi.
“Mira, pagi tadi awat cik Niza panggil hang pi jumpa
dengan CEO?. Hang ada buat salah ka?” terus saja Chombi menyoalnya sebaik
melangkah masuk ke dalam bilik rehat.
“Tak adalah.” Ringkas saja jawapan Nurul Amira. Dia
melangkah menuju ke loker miliknya. Dikeluarkan makanan yang dibawa dari rumah.
“Habis tu awat depa panggil hang?” tanya Chombi tak puas
hati.
“Haah Mira. Terkejut akak bila Chombi beritahu tadi. Nak
cari kau banyak lagi kerja yang akak kena buat tadi.” Kak Kiah turut sama
menyoal.
Nurul Amira tersenyum. Bertuah kerana dua orang rakan
sekerjanya ini amat prihatin dengan keadaan dirinya.
“Tak ada apa-apa pun kak Kiah, Chombi. Encik Hasnan minta
Mira buat kerja extra sikit. Dia kata nak tambah elaun Mira kalau Mira sanggup
buat kerja extra tu,” ujar Nurul Amira tanpa memberitahu kerja apa yang diminta
oleh Hasnan. Bila difikirkan balik agak kelakar pun ada. Hanya kerana air kopi
bancuhannya dia diberikan elaun RM100 sebulan. Tapi apa nak hairankan orang
kaya apa saja dia nak dia akan mampu mencapainya. Duit bagi mereka tiada
nilainya. Tapi berbeza dengan orang sepertinya. Duit memainkan peranan yang
amat penting. Inilah dikatakan putaran hidup manusia. Ada yang kaya dan ada
yang miskin.
“Fuuuu…..banyak tu. Depa suruh hang buat apa Mira?.”
Nurul Amira memandang wajah kak Kiah dan kemudian Chombi.
Kemudian dia tergelak.
“Laaa…..awat hang tergelak pulak. Orang tanya dia gelak
pulak,” getus Chombi tak puas hati.
“Encik Hasnan suruh saya bancuhkan air kopi setiap pagi
untuk dia,” kata Nurul Amira sambil ketawa.
Terlopong Chombi dan kak Kiah mendengar penjelasan Nurul
Amira.
“Hanya itu saja dia bagi kau elaun RM100 sebulan, Mira?” tanya
kak Kiah untuk kepastian.
Nurul Amira mengangguk. “Haah, Kak. Tadi berdebar jugak
hati bila di panggil. Takut kalau-kalau ada kerja yang saya buat silap. Tapi
sebaliknya lain pulak yang berlaku.”
“Habis hang terima tak?.”
Nurul Amira menoleh memandang wajah Chombi yang masih
binggung.
“Terimalah. Bukannya susah nak bancuh air kopi tu,” ujar
Nurul Amira sambil menjamah nasi berlaukkan ikan kembung masak asam pedas
dengan sayur kacang panjang goreng telur hancur.
“Fuyooo…..bertuah hang Mira.”
“Tapi Mira, kenapa dia tak suruh setiausaha dia aje yang
bancuhkan. Kenapa pulak minta kau yang bancuh,” soal kak Kiah yang masih
was-was dengan permintaan majikan mereka. Takut kalau-kalau dia nak mengenakan
Nurul Amira saja. Orang lelaki dah tu kaya pulak ni bukan boleh percaya sangat.
Saja taburkan duit semata-mata untuk kepuasan nafsu. Bila dah dapat apa yang
dia nak silap hari bulan kita akan ditendangnya. Dia tak mahu apa-apa perkara
buruk yang berlaku pada Nurul Amira. Dia sayangkan Nurul Amira seperti anak dia
sendiri.
“Cik Niza ada buatkan pagi tadi. Tapi encik Hasnan kata
tak sama macam yang saya bancuhkan untuk dia semalam. Sebenarnya bancuhan cik
Niza sama aje dengan bancuhan saya. Tapi….entahlah kak. Saya pun pelik.”
Kak Kiah melepaskan keluhan dalam. “Akak bukan cemburu
Mira. Tapi baik Mira berhati-hati. Encik Hasnan tu biarpun kita nampak baik,
tapi kita tak tahu apa niat sebenar dia. Lagipun Mira jangan rapat sangat
dengan encik Hasnan tu. Nanti tak pasal-pasal cik Sara mengamuk pulak nanti.
Cik Sara tu bakal tunang encik Hasnan.”
“Insya-ALLAH, kak Kiah. Mira datang sini untuk bekerja.
Cari duit halal kak. Mira akan ingat pesanan kak Kiah tu. Dahlah jom kita
makan. Nanti habis pulak waktu rehat kita,” gesa Nurul Amira sambil menghulurkan
lauk kepada kak Kiah dan Chombi.
Hasnan dan Mysara menikmati makanan masakan Turki pada
tengahari ini. Mysara yang beriya-iya mengajaknya. Katanya makanan kat sini
sedap-sedap. Ikutkan dia tak berapa minat untuk menikmati hidangan sebegini.
Dia lebih suka makan makanan tempatan yang lebih menepati citarasa dirinya.
“Sayang….kenapa makan sikit sangat ni. Penat tau I suruh
chef kat sini masak yang sedap-sedap untuk kita,” rengek Mysara.
“I masih kenyang Sara. Pagi tadi I sarapan berat.” Hasnan
memberikan alasan.
Mysara mengeluh lemah. “Mmmm….I nak tanya you ni. Betul
ke you suruh HR tambah elaun untuk one of
our cleaner hari ni?” soal Mysara. Dia dapat tahu pun daripada Qistina yang
merupakan HR Manager di Mutiara Holding. Qistina akan update apa saja berita berkaitan dengan Hasnan padanya. Ikutkan dia
nak Qistina yang menjadi setiausaha Hasnan bila Hasnan mengambil alih jawatan
CEO daripada dato Nor Azizi. Tapi Hasnan sudah melantik Niza sebagai setiausahanya.
Pulak tu Niza tidak mahu mengikut arahannya untuk melaporkan apa saja
tindak-tanduk Hasnan padanya. Katanya dia perlu amanah pada majikan yang
membayar gajinya. Sakit hatinya dengan jawapan Niza itu.
Sebab itu dia membawa masuk Qistina kedalam Mutiara
Holding dengan menjawat jawatan HR Manager. Qistina boleh menjadi spy padanya.
“Qis beritahu you?” soal Hasnan. Dia pasti perkara ini di
beritahu pada Mysara oleh Qistina yang merupakan kawan rapat Mysara.
“Siapa beritahu I tak penting Nan. Betul atau tidak apa
yang I dengar ni?.”
“Betul.” Tenang saja Hasnan menjawab.
“Untuk apa?” soal Mysara tidak puas
hati.
“Should I update
everything I do to you Sara?” soal Hasnan yang mula rimas dengan soalan
demi soalan daripada Mysara.
“Yes!. I tak
mahu mereka ambil kesempatan pada you,” kata Mysara tegas. Dia tidak mahu ada
staf yang mengambil kesempatan pada kebaikkan Hasnan. Lagipun dia tidak suka
Hasnan melayan sangat stafnya dan lebih-lebih lagi staf perempuan.
“Ambil kesempatan apanya Sara?. Cuba sekali you jangan
serkap jarang pada orang lain. Ini tidak, asyik ingat orang ada niat jahat aje,”
Hasnan membebel.
“Nan….mereka tu orang bawahan. I tak nak sekali kita bagi
muka nanti mereka pijak kepala kita pulak. Sekarang beritahu I sebab apa you
tambahkan elaun dia?” soal Mysara tidak puas hati selagi tak mendapat
penjelasan daripada Hasnan.
“Kenapa you tak tanya private
spy you?” sinis jawapan Hasnan. Malas nak melayan cemburu Mysara yang tidak
bertempat ini.
“So you tak nak beritahulah ni?” soal Mysara geram.
“Yup. So can we
continue our lunch?.” Hasnan tegas dengan pendiriannya. Mysara tidak perlu
tahu untuk apa dia menambah alaun pada Nurul Amira.
Tanpa menjawab Mysara bingkas bangun dan berjalan laju
meninggalkan Hasnan sendirian. Hasnan menghelakan nafasnya. Kenapalah dia
terikat dengan perempuan sebegini. Kalau bukan kerana keluarga dah lama rasanya
dia tinggalkan Mysara.