Home Novel Cinta Sindiket Cinta
Sindiket Cinta
awa
3/9/2024 10:15:04
7,947
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Prolog

Hawa mengepal sepuluh jarinya. Menahan rasa yang kian menjalar di seluruh tubuh. Rasa nak tempah permit kubur buat seseorang. Rasa itu kian memuncak bila orang tersebut berjaya meloloskan diri setelah menjadikan dirinya sebagai cagaran.


"Work!"


Satu tolakkan kuat dari belakang mendorong tubuh Hawa ke depan. Kepala hampir menghentam komputer jika dia gagal menahan diri. Boleh bayangkan kepala dia bakal mengeluarkan cecair merah jika perkara itu terjadi.


"Make money, understand?!"


Di sini, semuanya berkisar tentang wang. Yang lain-lain tolak ke tepi. Termasuk tentang hidup dan mati. Tak penting bagi mereka. Mati, boleh cari pekerja lain supaya pendapatan mereka tidak terputus.


"Stop dreaming! Work!"


Suaranya semakin tinggi. Berang bila Hawa masih kaku. Enggan mengikut arahannya sejak dari sebulan yang lalu. Terasa seperti diperbodohkan kerana terpedaya dengan tawaran gaji yang sangat lumayan. Gaji yang mampu menjadikan dia jutawan dalam masa yang singkat. 


"Are you deaf?"


Bayang di belakang sudah berpindah di depan Hawa dengan muka bengis. Bengang bila Hawa masih melawan arahannya. Malah, Hawa sedang menunjukkan simptom-simptom pemberontakkan.


Kali ini kepala Hawa terteleng. Seluruh mulut dia merasakan ada besi yang terkumpul. Terasa pijar seluruh mukanya gara-gara menerima tamparan yang dia sedia jangkakan. Ini saja modal mereka jika ada yang merancang untuk memberontak.


"Hei, Hawa."


Tetikus ditolak mendekat kepadanya. Hujung mata mengerling orang sebelah yang juga sudah sebulan menghuni bangunan usang ini bersamanya.


"Ingat keluarga kau...Kuatkan semangat."


Ekor mata Hawa menjeling Lelaki cina di sebelahnya. Lelaki yang tidak putus-putus memberi semangat kepadanya biar pun harapan untuk keluar dari sini tersangatlah tipis. Terlalu ramai orang yang mengawal rapi kawasan ini.


"Kalau nak sangat mati...bukan dekat sini. Tak ada siapa akan uruskan jenazah kau. Mayat kau akan dicampak dalam laut. Jadi makanan pada buaya."


"Shut up!"


Suara lelaki di depan Hawa kembali menempik bila dengar mereka berkomunikasi dalam bahasa yang dia tidak fahami. Matanya mencerlung garang.


Terketar-ketar tangan Hawa capai tetikus. Fokus dia kembali pada skrin komputer. Dia kembali bekerja. Tanpa rehat menghadap kerja yang sangat melelahkan. Malah, kerja yang dia lakukan sekarang ini adalah kerja haram. Tidak halal di mata Allah.


"Bagus!"


Bisik lelaki cina disebelahnya. Puas hati bila Hawa berhenti memberontak. Takut semakin teruk Hawa dikerjakan kelak. Lebih takut jika Hawa diheret dan dirogol. Ramai yang mengalami nasib sebegitu.


Hawa mula berkerja dua belas jam secara paksa. Dia perlu mendapatkan sekurang-kurangnya dua puluh ribu dalam sebulan jika tidak mahu kebuluran. Jika gagal mendapatkan keuntungan sebanyak itu, maka dia perlu mengikat perut sebagai hukuman. Tidak setakat itu, fizikal dia juga bakal didera.


Penat bekerja, waktu rehat yang dinanti-nantikan telah pun tiba. Agak lama Hawa menatap hidangan di depan mata hasil daripada kerja kerasnya. Jika di Malaysia, dia pasti mampu makan di hotel bertaraf sepuluh bintang. Tetapi di sini, dia hanya mampu makan nasi bersama sebiji telur mata dan beberapa titisan kicap. Langsung tidak menyelerakan.


Tetapi, ini lebih baik daripada dipaksa makan tikus atau makanan tidak halal.


"Makanlah Hawa. Sekurang-kurangnya, kau tak lapar."


Cakap senanglah. Hawa sudah mahu muntah menghadap lauk yang sama. Lebih baik dia tak perlu capai target kalau habuannya tiada bezanya dengan sebelum ini. Membazir saja dia berhempas pulas.


"Makan...Top up tenaga kau yang hilang."


Tenaga Hawa sudah lama mengering. Sejak pertama kali dia jejakkan kaki ke sini lagi. Sejak dia sedar dirinya ditipu dan terjerat.


"Aku janji..."


Kerlingan Hawa singgah pada air susu pemberian lelaki cina yang rajin memberi dia harapan sejak tiga hari lalu. Hingga menimbulkan rasa hairannya. Sebelum ini mana pernah lelaki ini ambil tahu tentang dia.


"Malam ni aku akan bawa kau keluar dari sini." Bisiknya perlahan.


Terteleng kepala Hawa. Secara refleknya, tubuhnya ikut berpusing. Menghadap lelaki cina yang sangat fasih berbahasa melayu itu. Tanpa sedar, mata Hawa sangat bercahaya mendengar ayatnya.


"Makan." Mata dia turun pada nasi yang belum terusik. Berharap Hawa akan menurut arahan dia.


"Malam nanti kita nak berlari. Perlukan tenaga yang cukup." Suaranya hampir hilang. Matanya juga mengecil.


"Janji?" Tagih Hawa bersama harapan besar. Wajah orang tuanya datang menyapa. Rasa tak sabar nak berjumpa dengan orang tuanya dan cium kaki mereka minta ampun.


Lelaki cina itu mengerdip mata sebagai jaminan sebelum ada bayang yang datang mengganggu perbualan mereka berdua.


"Stop talking! Eat."


Hawa makan penuh berselera. Licin. Tiada sebutir nasi pun yang tinggal. Mengenangkan janji lelaki cina sebelah, rasa laparnya datang menjengah. Dia berharap lelaki cina itu tidak bersikap munafik walaupun itu adalah lumrah untuk orang bukan islam.

Next: Bab 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.