Home Novel Cinta Sindiket Cinta
Sindiket Cinta
awa
3/9/2024 10:15:04
7,938
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 3

PERUTUSAN maaf melalui sorotan mata Ayana ditepis jauh-jauh. Tiada keikhlasan di mata bundarnya. Yang ada cuma rasa gembira yang sedang diraikan disebalik wajah polosnya. Ada rasa teruja melihat keadaan Hawa jadi sebegini.


Mengenangkan segala ayat-ayat manisnya sebelum ini, sekelip mata rasa dendam tersemat di dalam hati. Andai saja Hawa mampu kembali ke masa lalu, dia akan pastikan Ayana disenarai hitamkan sebagai sahabat karibnya. Dia tidak mahu kenal langsung siapa pemilik nama Ayana.


Tubuh Hawa ditolak secara kasar dari belakang hingga dia terjatuh, sekali gus mengembalikan dia ke alam nyata. Alam neraka duniawi. Kepala masih diacukan M16 sebagai ancaman supaya tidak melarikan diri. Terdengar orang yang mengacukan senjata itu bercakap dalam bahasa asing. Sepatah pun Hawa tidak faham. Apa yang Hawa faham, ada amaran yang terselit di setiap patah ayatnya.


Di depan mata, muncul seorang lelaki yang wajahnya cukup bengis. Dia menyerahkan sejumlah wang kepada Ayana. Sekelip mata hilang terus rasa serba salah Ayana terhadap Hawa saat wang tersebut bertukar milik. Jelas mata Ayana sudah gelap. Taksub dengan kekayaan yang dia sedang kecapi.


Jauh di dalam hati, berbakul sumpah seranah Hawa lemparkan kepada Ayana yang berhatikan iblis. Sedikit sebanyak dia dapat memahami susur galur cerita hidupnya selepas ini. Apa yang pasti, dunia dia selepas ini gelap. Tiada harapan untuk menikmati kehidupan yang dia impikan.


Selesai sesi penyerahan, Ayana menapak menghampiri Hawa yang sedang berlutut. Tajam sorotannya. Mata turun sejenak pada sepuluh jari Hawa yang mengepal kuat. Terasa Hawa seperti mahu membunuh Ayana sekarang juga dengan tangannya sendiri.


“Sorry, Hawa.”


Balasannya, wajah Ayana diludah sebagai tanda dia menolak sekeras-kerasnya permohonan maaf tersebut. Itu layanan selayaknya Ayana terima di atas penipuannya.


Disebabkan kebiadapan Hawa, kiri dan kanan kepala dia menerima tekanan daripada muncung M16. Tidak teragak-agak melepaskan tembakan sekiranya Hawa bertindak lebih agresif.


“Ni je cara aku ada, Hawa. Jual kau sebagai cagaran aku dapat lepaskan diri.”


Hawa ketawa sinis. Gaya Ayana tidak ubah seperti seorang pengecut. Sedangkan banyak cara lain jika Ayana bersikap terbuka berkongsi masalah dengan dia. Mungkin dia boleh meminta bantuan kakak atau abang iparnya. Tetapi Ayana sudah dibutakan dengan wang ringgit.


“Terima kasih, Hawa.”


Mujur ada M16 yang berjaya mengancam Hawa supaya tidak berganjak. Jika tidak, wajah Ayana pasti tidak sempurna dia kerjakan. Takut Ayana perlu berjumpa dengan pakar tulang untuk membetulkan tulang wajahnya yang retak.


“Aku tak setakat dapat lepaskan diri…Tapi dapat habuan lagi.” Tutur Ayana tanpa rasa serba salah sambil merenung sekilas wang setebal tiga inci di tangan.


“Kau memang tak guna Aya!” Terketap-ketap rahang Hawa. Senyuman Ayana meniup perlahan-lahan kesabarannya.


Rasa marahnya tidak mampu dibendung lagi. Dia meluru mahu mengerjakan Ayana sehingga separuh mati. Namun niatnya dikekang. Kiri dan kanan lengan dia disambar. Menghalang dari bangkit. Bahkan bahu ditekan supaya tidak mampu bergerak biarpun dia meronta-ronta untuk melepaskan diri.


“Aku pergi dulu, Hawa…Selamat bekerja!” Titip Ayana sebelum dia bangkit meninggal Hawa sendirian di bumi asing. Sempat pipi Hawa ditampar lembut. Senyuman masih tidak lekang dari bibir.


“Kau!” Semakin kuat Hawa meronta, semakin kuat tekanan dia terima. Dia gagal melepaskan diri untuk mengejar Ayana yang kian menjauh.


“Aya..." Jeritan Hawa tidak diendahkan. Ayana melambai dia dari jauh sebelum tubuh langsing itu meloloskan diri ke dalam perut kereta.


“Aya!” Turun naik dada Hawa. Seluruh tubuhnya mengigil teruk. Kolam mata dia terasa hangat. Pemandangan dia kian kabur lalu empangan mata yang ditahan pecah. Dibiarkan saja air mata jatuh membasahi pipi.


Hilang bayang Ayana sepenuhnya. Yang tinggal hanya dia sendirian di sini. Di KK Garden, Myanmar. Hanya itu yang dia sempat dengar Ayana sebut sebelum topeng kejahatannya dibuka. Menyerlahkan sisi gelap yang dibutakan dengan janji-janji palsu.


Ratapan Hawa gagal meraih simpati mereka. Dia dipaksa untuk berdiri lalu tubuh diheret entah ke mana-mana. Sesekali dia sengaja memberontak dengan berhenti mendadak. Sengaja memasungkan langkah. Bahananya, pipi dia mulusnya ditampar buat pertama kalinya. Terasa pijar seluruh wajah. Rasa sakit itu menjalar sehingga ke telinga. Terasa berdesing.


Apa pilihan dia ada melainkan menurut? Dia juga Enggan menerima tamparan percuma lagi.


Sejurus tiba di sebuah kompleks empat tingkat yang tidak ubah seperti penjara, Hawa disambut oleh ramai lelaki yang berpakaian ala-ala askar. Di tangan masing-masing ada senapang M16 dan raifal. Sempat dia melihat keliling bangunan yang dipagari tembok berkawat besi. Tumpuan dia terganggu bila tubuhnya ditolak kasar dari belakang supaya melangkah lebih laju.  


Meluas bukaan mata Hawa saat pintu terbuka. Semua mata tertumpu ke arah dia. Masing-masing memberi sorotan simpati. Malah ada yang nampak ketakutan. Ada juga yang tundukkan wajah. Dapat dia rasakan, bukan dia saja mangsa penipuan yang datangnya dari Malaysia, tapi ramai lagi!


Ikatan tangan dibuka. Kemudiannya Hawa di bawa ke sebuah ruangan. Di situ ada beberapa orang yang sedang duduk di atas lantai. Satu sudut paling hujung, ada seorang wanita. Hawa berniat mahu duduk bersamanya. Tetapi niat dia tidak kesampaian. Dia dipaksa duduk bersebelahan dengan seorang lelaki asing. Sekali tolak saja tubuh kecil dia hampir tersembam di atas peha lelaki cina itu.


“Sorry!”


Mujur tangan Hawa mencengkam kuat lantai. Jika tidak, akan berlakunya kejadian tidak senonoh di hari pertamanya.


Lelaki cina itu hanya merenung Hawa sebelum memberi tumpuan sepenuhnya pada lelaki yang berdiri di belakang dia. Ada suara yang yang datangnya dari arah yang sama. Perlahan-lahan dia duduk. Menghadap lelaki yang berpakaian ala-ala tentera.


Melihat reaksi lelaki cina di sebelahnya, Hawa tunduk bermain sepuluh jarinya. Itu lebih baik. Nak dengar pun, dia perlukan khidmat penterjemah. Dia tak faham apa yang lelaki berpakaian askar di depan cuba sampaikan. Apa yang Hawa faham adalah scam. Itu antara perkataan yang terselit dalam sesi short briefing.


“Hei, kau.”


Hawa panggung kepala bila terdengar suara datangnya dari sebelah. Suara perempuan yang duduk di sebelah lelaki cina.


“Dia orang nak jadikan kau pelacur.”


Bulat mata Hawa dengar pekerjaan yang ditawarkan. Suara tersekat dikerongkong. Liurnya terasa berpasir.


“Kau dengar tak?” Keras sedikit suara perempuan itu bila tiada reaksi daripada Hawa.


“Aku tak nak!” Luah Hawa sejurus kewarasan dia kembali. Hilang muka terpinga-pinga dia.


Perempuan itu bertindak menjadi orang perantaraan Hawa dengan ketua sindiket.


“Kau boleh buat apa?” Perempuan itu berjaya membuat rundingan.


Kelip-kelip Hawa pandang perempuan itu. Dia tak rasa sini ada kerja-kerja halal. Semuanya berkonsepkan haram kerana mahu cepat kaya.


“Scammer?” soal perempuan itu lagi.


Liur diteguk. Pekerjaan itu jauh lebih baik berbanding menjadi pelacur.


“Setiap hari ada target. Kalau kau gagal capai KPI, kau akan dihukum!”


Terasa lemah lutut Hawa. Tak tahu hukuman apa yang bakal dia terima sekiranya gagal melaksanakan tugas. Apa yang dia tahu, hukuman itu pasti berat.


Ketika dia masih ragu-ragu memberi kata putus, pintu dibuka dari luar. Muncul dua orang askar yang sedang memapah seorang remaja yang sudah nyawa-nyawa ikan. Tubuh itu dijatuhkan atas lantai.


“Macam tu…Kau akan kena dera. Kena tembak dengan electric shot. Kena ugut makan babi." Bisik perempuan yang belum diketahui namanya. Raut wajahnya serius.


Kolam mata Hawa kembali hangat. Bukan ini yang dia dambakan. Dia tidak dibesarkan untuk menipu orang lain. Orang tuanya memberikan didikan yang cukup sempurna. Selayaknya manusia. Dia yang merosakkan kesempurnaan tersebut dengan sikap degilnya. Dapat bayangkan betapa kecewanya orang tua dia bila tahu kedegilan dia memakan diri.  


“Tak guna menangis. Ni jalan yang kau pilih. Menangis banyak mana pun, kau tetap kena tempuh kehidupan sekarang ni.”


Laju kerdipan mata Hawa. Suara itu datangnya dari lelaki cina di sebelahnya. Perlahan-lahan Hawa mendekat. Tanpa sedar, lutut dia hampir mengena peha lelaki itu yang sedang duduk bersila.


“Kau pun orang Malaysia?” Soal Hawa dengan muka gembira. Setidak-tidaknya, dia tidak sendirian.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.