Home Novel Cinta Sindiket Cinta
Sindiket Cinta
awa
3/9/2024 10:15:04
8,072
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 9

URUSAN dokumen yang sepatutnya makan masa seminggu siap lebih awal daripada yang dijangkakan. Terima kasih kepada kenalan Sean yang banyak membantu segala urusannya kembali semula ke tanah air. Tiga hari dua malam masa yang dia ambil untuk selesaikan semuanya.


Lapan jam perjalanan, akhirnya Hawa berdiri di depan pintu rumah orang tuanya. Agak lama dia berdiri di depan pintu. Sepatutnya dia gembira dapat kembali ke pangkuan keluarganya. Sayangnya, separuh rasa gembira sudah hilang. Tertinggal jauh di negara asing.


Mana mungkin dia merasa gembira di atas kesedihan orang lain. Dia telah kehilangan Sean. Masih terbayang kejadian Sean ditinggalkan bagi melengah-lengahkan orang-orang sindiket yang berjaya mengejar mereka berdua. Dia tidak dapat melupakan saat jasad Sean jatuh menyembah bumi.


Mengenangkan perkara tersebut, Hawa akan menjadi emosi. Dia akan menangis biarpun telah berjanji dengan Sean tidak akan menangis lagi.


“Hawa!” Emak orang pertama yang meluru keluar mendapatkan Hawa.


Semakin lebat tangisan dia. Terasa empangan mata sedang mengalami kebocoran teruk. Memerlukan khidmat seseorang yang mahir dalam memujuk supaya dia berhenti menangis.


“Mak!” Hawa berlari ke dalam pelukkan emak. Didakap erat tubuh tua itu. Melepaskan semua kesedihannya yang tidak tertanggung lagi.


“Hawa pergi mana? Puas mak cari!” Suara emak mula serak. Belakang badan Hawa diusap. Beberapa kali bibir mengucup kepala Hawa.


Remuk hati tua emak melihat keadaan Hawa. Tubuhnya nampak susut. Mata bengkak. Muka cengkung. Ada kesan luka lama di wajahnya. Biarpun sedih, namun dia bersyukur Hawa pulang dalam keadaan masih bernyawa. Takut sekiranya dia bakal menyambut jasad anaknya pulang.


Emak menoleh bila merasakan ada sentuhan hangat di bahu. Ayah geleng kepala perlahan. Mematikan niat emak yang mahu soal siasat Hawa lagi. Ini bukan masa yang sesuai. Tunggu emosi anaknya stabil terlebih dahulu.


“Kita masuk dulu.” Emak mengalah. Dipapah Hawa masuk ke dalam rumah.


Emak berhenti melangkah bila terdengar suara Hawa mendesis. Mata terus mengimbas seluruh tubuh anak gadisnya dan mata tuanya berhenti pada tangan yang sedang elok memaut bahu anaknya. Automatik emak melonggarkan pautan.


“Nanti emak sapu ubat.” Naluri ibunya kuat mengatakan ada luka tersembunyi di sebalik baju yang menutupi tubuh anaknya.


Tiada respon daripada Hawa. Malah dia menangis lagi. Perlahan-lahan tubuh dia melorot lalu memaut erat kaki emak.


“Ampunkan Hawa mak…” Pinta Hawa dalam sendu. Semakin erat dia merangkul kaki emak. Enggan dilepaskan.


Dengar saja tangisan Hawa, emak ikut beremosi. Sesekali tangannya naik mengesat mata yang mula berair. Sedih melihat keadaan Hawa begini. Lebih menyedihkan bila Hawa pulang membawa luka di badan.


Lekas-lekas ayah palingkan wajah. Kekuatan dia rapuh dalam sekelip mata. Dia juga ikut menangis. Sekejap cuma sebelum dia membawa Hawa masuk ke dalam. Tak manis jika jiran-jiran melihat drama mereka anak beranak.


 


NIAT Hawa nak berehat sepanjang hari di dalam bilik tidak kesampaian. Malamnya, dia menerima kunjungan Hazirah. Dapat dirasakan kehadiran kakaknya itu membawa kemarahan cukup besar. Seolah-olah kakaknya tahu apa yang telah terjadi pada dirinya.


Atas permintaan Hazirah, mereka ditinggal berdua di ruang tamu rumah. Yang lain-lain berada di laman. Memberi ruang kepada mereka berdua untuk bersembang dari hati ke hati setelah usaha orang tuanya membuatkan dia cerita apa yang telah terjadi menemui kegagalan.


Emak mengambil pendekatan menjemput kakaknya, Hazirah. Hanya Hazirah yang boleh membuatkan Hawa buka mulut walaupun secara paksa.


“Kan kak long dah cakap…Aya tu bukan orang baik! Kenapa degil sangat, Hawa?”


Sudah dapat menjangka kemarahan Hazirah. Jadi tiada apa mampu Hawa lakukan melainkan berdiam diri. Memang terang-terang salah dia.


“Kak long tak tahu kenapa Hawa pilih dengar cakap orang lain daripada darah daging sendiri? Hawa lupa mak dengan ayah? Lupa kak long? Lupa Abang Adnan?” Bak peluru berpandu Hazirah menyerang.


Hazirah sandarkan tubuh kasar pada kerusi. Kedegilan Hawa sentiasa menguji kesabaran dia sebagai kakak sulung. Yang bertanggungjawab menjaga adik-adiknya. Dengar saja Hawa gagal dihubungi, dia sudah tidak tentu arah. Apa lagi suara emak mendayu-dayu menyuruh dia mencari satu-satunya adik dia.


Hawa tunduk bermain sepuluh jarinya. Harus dia akui, duit buatkan dia lupa siapa patut dipercayai. Dia butakan kekayaan ketika itu.


“Kalau Hawa nak tahu, kak long memang tengah siasat kes sindiket penipuan pekerjaan. Sebab tu kak long larang Hawa rapat dengan Aya. Pihak polis tengah aimed dia.” Perkara ini terlalu sulit untuk diceritakan, tetapi dia terpaksa demi kesedaran Hawa.


Tiada respon daripada Hawa. Masih tunduk. Tetapi telinga dia mendengar setiap kemarahan yang dihamburkan. Dan seperkara yang dia sedar. Bahasa Hazirah jauh lebih elok berbanding sebelum ini. Hazirah sudah bahasakan dirinya kak long.


“Kak long dah boleh agak perkara ni jadi masa mak dengan ayah setuju Hawa nak ikut Aya.” Suara Hazirah mula mengendur. Tidak sekuat tadi bila Hawa diam tanpa membantah seperti selalu. Satu perubahan cukup ketara yang dapat dia kesan pada diri adiknya.


“Kak long tegas sebab sayang adik kak long.”


Bibir Hawa mula cebik sedikit. Air mata diseka sebelum jatuh di pipi. Pertama kali dia rasa disayangi. Selalunya, mereka lebih banyak berperang mulut. Kesudahannya masing-masing tarik muka. Tidak bertegur beberapa hari.


“Kak long sedia bantu kalau Hawa nak buat report polis. Biar padan dengan muka Aya!” Dia sokong sepenuhnya jika Hawa nak heret Ayana ke muka pengadilan. Biarpun Hawa tidak bercerita, dia sudah pun tahu apa yang terjadi padanya.


Hawa angkat muka, memandang tepat ke wajah Hazirah yang merah-merah. Wajarlah kakaknya marah. Dia telah menyusah banyak pihak. Bahkan dia telah menyusahkan hati tua emaknya. Ini masanya dia membetulkan semula keadaan.


“Hawa minta maaf kak long.”


Sempat Hawa nampak Hazirah tercengang. Tidak menjangka mungkin perutusan maaf lahir dari mulut dia.


“Hawa tak nak buat laporan. Hawa nak lupakan semuanya…Hawa nak jadi anak yang baik. Adik yang baik.”


Dia mahu buka lembaran baru. Bangkit dari trauma. Bangkit dari kesedihan. Dan dia yakin ahli keluarga akan menjadi pendorong dia ke arah itu.  Sekaligus dapat melupakan sejarah hitam dia.


“Betul ni?” Soal Hazirah mahukan kepastian. Siapa tahu ada yang mengugut Hawa supaya tidak buat laporan polis.


Hawa angguk kepala sekali. Keputusan dia bulat. Dia mahu pandang ke depan. Tak mahu lagi menoleh ke belakang.


“Macam tu, ada baiknya kak long bagi tahu Hawa seperkara. Penting. Sangat-sangat penting."


Berkerut sedikit dahi Hawa. Tak bersedia menerima sebarang berita ketika dia masih berkabung atas kematian Sean tanpa pengetahuan ahli keluarganya.


“Kak long dengan mak dah setuju nak jodohkan Hawa dengan kawan kak long.”


Tak tahu berapa besar bukaan matanya mendengar apa yang dikatakan Hazirah. Apa yang pasti, dia sudah pun berdiri tegak dengan muka setengah percaya. Baru sebentar tadi dia pasang niat mahu habiskan sisa hidupnya tanpa sebarang ikatan.


“Kak long!”


Suara Hawa berjaya menggamit yang lain-lainnya berlari masuk ke dalam rumah.


“Nak tak nak, Hawa kena terima. Kak long dengan mak dah terima pinangan dia. Tak perlu majlis bertunang. Cincin, pihak lelaki dah serahkan pada mak. Dalam masa sebulan majlis kahwin Hawa akan berlangsung.”


Tidak berkedip Hawa. Kenapa tiada sesiapa pun berbincang dengan dia? Kenapa semua bersetuju tanpa bertanya terus kepada dia?


Hazirah mendekat. Dia belum buta menilai perubahan dalam diri Hawa. Dia tahu adiknya sedang menahan diri daripada marah.


“Sekurang-kurangnya ada yang akan jaga Hawa bila kami tak ada…Mak, ayah dan kak long yakin dia mampu jaga Hawa.”


Semuanya terlalu mendadak bagi Hawa. Mungkin ini berita gembira buat seluruh keluarganya, tetapi bukan dia. Emak dan kak long telah membelakangkan dia. Malah emak dan kak long telah buang dia dari keluarga.


Raut tua emak dipandang. Wajah serba salah emak belum mampu meredakan marahnya. Tanpa kata, dia berlari masuk ke dalam bilik. Berada lama-lama di sini takut dia akan menjadi biadap. Walhal dia sudah berjanji untuk berubah.

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.