Home Novel Cinta Sindiket Cinta
Sindiket Cinta
awa
3/9/2024 10:15:04
10,718
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 1

SEJAK sepuluh minit yang lalu, mata Hawa tidak pandai mengerdip lagi saat melihat angka yang tertulis di atas kertas yang terbentangkan di depan mata. Angka yang menjadi kegilaan semua orang di abad ini.


Tidak cukup, Hawa melihat pula gambar-gambar hasil daripada lima angka yang dijana. Gambar percutian yang sangat mewah. Makan di restoran mahal. Sesuai dengan pendapatan lima angka yang diperolehi.


“Kau masih tak percaya, Hawa? Benda dah terbukti. Tulen lagi.”


Sepanjang sepuluh minit ini juga telinga Hawa didendangkan hasil kerjanya dalam masa dua bulan. Sesiapa yang berada di tempat Hawa juga akan merasa tercengang.


Bayangkan, dalam masa yang singkat mampu menjana wang puluhan ribu ringgit. Sedangkan Hawa sendiri pun perlu melakukan dua ke tiga kerja dalam masa sehari. Itu pun makan masa bertahun nak dapat pendapatan lima angka.


“Amacam? Jom join aku. Kau takkan menyesal…Kau dapat tolong ayah dan mak kau. Dia orang dah terlalu tua nak bekerja. Ni lah masanya kau balas jasa mereka.”


Ah!


Ayana kalau bab menghasut, belum pernah gagal. Sentiasa juara. Dalam menghasut, sempat lagi mencari titik kelemahan Hawa. Sengaja gunakan orang tuanya supaya dia bersetuju.


“Kau sanggup tahan telinga dengar ayat beracun kakak kau tu?”


Nah! Ayana sedang menghidupkan pemasa bom jangka. Sengaja mengungkit hal masalah keluarganya pula.


“Kau lupa apa akak kau cakap? Kau anak tak sedar dek untung. Tahu tumpang sekaki hasil duit dia bagi setiap bulan. Kau tak termasuk dalam senarai tanggungjawab dia. Nak harapkan kau, gaji cukup-cukup makan…Nak tanggung diri sendiri pun payah.” Bersungguh-sungguh gaya penceritaan Ayana.


Ayana tak patut menyebut hal tersebut. Mana mungkin Hawa lupa setiap ayat beracun kakaknya. Ayat yang berjaya menikam tepat ke hatinya. Sampai ke hari ini hubungan Hawa dengan kakak kandungnya dingin. Setiap kali kakaknya pulang ke kampung, Hawa lebih selesa berkurung dalam bilik. Keluar hanya bila tiba waktu makan saja.


“Ni lah masanya nak bukti pada dia yang kau mampu bagi lebih dari dia. Dua kali ganda pun boleh!” Ayana mahu Hawa buka mata. Buka hati. Tidak mahu melihat Hawa terus-terusan ditindas. Oleh kerana itu dia sanggup menjadi penghasut berkerjaya.


Hawa merenung Ayana sesaat sebelum mata jatuh semula pada segala bukti-bukti yang dikemukan sebentar tadi. Bukti yang sedikit sebanyak berjaya mempengaruhi Hawa sehingga dia mula berfikir.


“Peluang dah ada depan mata. Sama ada kau nak atau tak nak je.”


Ayana benar. Pilihan di tangannya. Pilihan yang menentukan masa depan dia di mata ahli keluarganya. Yang bakal mengubah nasib dia dan keluarga. Yang akan mengubah persepsi kakaknya juga.


“Tapi jauh, Aya! Aku tak rasa mak dengan ayah aku akan izinkan.” Luah Hawa setelah lama otak dia sedang dicuci Ayana.


Ini yang dia merunsingkan sebenarnya. Kerja di luar negeri saja emaknya sudah bangkang keras. Apa lagi mahu ke luar negara. Dan dia belum pernah lagi berjauhan dengan keluarganya.


Keras keluhan Ayana menyapa pendengaran. Kedengaran seperti lelah menasihati Hawa pun ya. Berbuih Ayana bercerita sampai terbang-terbang ke langit, tetapi masih belum mampu menyakinkan dia lagi.


“Pujuklah dia orang. Ceritakan apa yang aku cerita pada kau. Biar dia orang tak rasa serba salah bila kau kena kutuk dengan akak sendiri. Dia orang pun tersepit bila kau berdua bergaduh.”


Balik-balik, itu saja modal Ayana. Mentang-mentanglah Hawa memang anti dengan kakaknya, kelemahan inilah yang sering dijadikan senjata dalam menghasut.


“Atau selamanya kau nak macam ni, huh?”


Soalan Ayana mengalahkan peguam bela. Memang tepat-tepat mahu dia dijatuhkan hukuman gantung.


“Come on Hawa! Aku dah rasa semua tu sebelum ni. Rasa dibuang adik-beradik sebab tak berguna. Tak mampu nak bagi duit dekat mak bapak berkepuk-kepuk macam dia orang bagi. Dilabel adik tak berguna pun pernah. Sebab dekat mata dia orang aku ni tahu habiskan beras mak bapak je. Bagi duit sebulan lima puluh ringgit pun lepas untuk beli beras.” Luah Ayana panjang berjela dengan muka bengang. Sarat dengan rasa marah bila mengenangkan kejadian tersebut.


Jatuh sepasang bahu Hawa. Ada getaran pada suaranya. Ada rasa sedih yang cuba ditahan daripada tatapan irisnya. Dia punca Ayana beremosi.


“Sekarang biar dia orang rasa apa aku rasa selama ni! Aku mampu bagi mak bapak aku berganda-ganda daripada dia orang. Siap dah hantar pergi umrah. Dia orang? Setakat duit bagi seratus dua, dah kecoh sekampung. Mula cerita adik tak boleh diharapkan.” Bebelan Ayana tiada penghujungnya.


Semakin Hawa dihimpit rasa serba salah bila Ayana masih mengungkit kisah lalu. Bahkan emosi Ayana yang dijangka mula stabil rupanya sedang bergolak maha hebat. Marah, sedih, dan suka datang menyerang serentak.


Bukan Hawa tidak tahu cerita tentang Ayana. Semuanya dia tahu. Nasib Ayana hampir serupa dengan nasib dia. Terkadang pernah terlintas di kepala yang mereka sebenarnya anak pungut. Yang disisih adik-beradik lain. Sebab itu dia faham apa yang sedang Ayana lalui.


Terbayang cerita yang berjaya menggemparkan semua. Kejadian Ayana menghilangkan diri setelah bergaduh dengan abang dan kakaknya. Sampaikan Hawa diserang mereka. Malah dia dituduh sembunyikan Ayana. Sedangkan dia sendiri tidak tahu-menahu langsung ke mana perginya Ayana.


Genap lima bulan, Ayana muncul kembali. Kemunculan Ayana menjadi bualan orang-orang di sini. Semuanya ternganga melihat Ayana pulang dengan sebuah kereta mewah. Siap dengan pemandu lagi. Penampilan Ayana juga berubah seratus peratus. Nampak ranggi. Berjaya buatkan pemuda kampung menoleh dua ke tiga kali.


Jangan cakap pemuda kampung, Hawa sendiri pun tidak puas menilik Ayana. Tumpang kagum dengan kejayaan yang diperolehi oleh rakannya.


“Aku tak nak paksa…Kau sendiri boleh nilai. Kerja pun tak susah mana. Senang.” Ayana capai beg tangannya. Sekeping kad empat segi dikeluarkan lalu dihulur pada Hawa.


“Cari aku bila dah sedia nak ubah nasib kau.”


Kad pemberian Ayana dicapai. Laju mata Hawa membaca isinya. Memang tertera nama dan nombor telefon Ayana di dalam kad itu. Namun yang menarik perhatiannya adalah jawatan pengurus hotel yang disandang Ayana. Itu yang dia tidak sudah-sudah mengagumi insan bernama Ayana.


Sepanjang perjalanan pulang, Hawa tak habis fikir tentang tawaran Ayana supaya dia bekerja di luar negara. Separuh hatinya mahu pergi, separuh hatinya berat meninggalkan orang tuanya di rumah. Takut jika ada perkara tidak diingini terjadi pada mereka. Hanya dia satu-satunya anak yang tinggal bersama mereka. Yang diharapkan untuk menjaga mereka berdua.


Berbaki seratus meter dari sini, Hawa nampak kereta kakaknya ada di perkarangan rumah. Terus terbang semua rasa teruja dia sebentar tadi. Sekarang musim cuti persekolahan. Sudah menjadi kebiasaan kakaknya akan bawa anaknya pulang ke sini. Kemungkinan besar, anaknya akan ditinggalkan. Dan dia boleh agak siapa yang malang akan menjadi pengasuh anak kakaknya itu.


“Hawa!” Laung emak dari jauh.


Emak kalau anak kesayangan balik, senyum sampai ke telinga. Lupa semua kejahatan yang pernah kakaknya lakukan terhadap anak bongsunya.


“Akak balik ni.”


Tak perlu dikhabar. Hawa belum buta lagi kereta di laman rumah itu milik siapa.


“Kau tak nak salam aku?”


Belum sempat melepasi kakak sulungnya yang sedang duduk disalah satu kerusi di beranda rumah. Hawa menoleh. Terbata langkah dia. Di sisi wanita 30an ada seorang lelaki. Suami kakaknya. Adnan.


Perlahan-lahan Hawa mendekat. Mahu menyalami Hazirah. Kakak sulungnya. Tak mahu dilabel anak kurang didikkan oleh Hazirah.


“Dari mana?”


Selesai pucuk hidungnya menyentuh tangan Hazirah, satu soalan sudah dimuntahkan.


“Rumah Aya.”


Kuat genggaman tangan Hazirah. Jawapan Hawa mengundang lirikan tajamnya.


“Kau masih kawan dengan dia?”


“Ya.” Hawa tetap akan berkawan dengan Ayana biarpun pernah ditegah gara-gara diserang oleh keluarga Ayana sehingga dituduh membabi buta. Habis satu taman pandang serong terhadap dirinya.


“Kau degil, Hawa.” Hazirah jegilkan mata.


Tangan Hawa yang masih dalam genggaman Hazirah, ditarik. Tak takut dengan kemarahan Hazirah. Sudah biasa.


“Lepas ni tak payah kawan dengan Aya. Dia tak baik!”


Hazirah layan Hawa tidak ubah seperti anak kecil. Dia berhak berkawan dengan sesiapa pun.


“Tu aku bawa Ayra. Kau kawan dengan dia. Lagipun kau tak kerja.”


Jangkaan Hawa tepat. Kedatangan Hazirah pasti bersebab. Dan dia dijadikan pengasuh seperti selalu.


“Seminggu ni aku dengan Abang Adnan keluar operasi. Tak ada orang nak jaga Ayra. Mak dan ayah abang Adnan pergi umrah.”


Itulah payahnya kalau suami isteri jadi polis. Orang lain bercuti, mereka sibuk bersiap siaga nak jaga keamanan semua.


“Kau dengar tak apa aku cakap?” Soal Hazirah geram bila Hawa mengunci mulut. Mengeyakan pun tidak.


Soalan Hazirah diabaikan. Hawa mengerling Ayra yang berada di atas riba emak. Dari jauh Ayra sudah tayang deretan gigi putihnya.


“Dengar.” Hanya itu yang mampu Hawa sebut sebelum dia angkat kaki masuk ke dalam rumah. Sempat dia menggamit Ayra yang baru berumur dua tahun turun dari riba emak.

Previous: Prolog
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.