Home Novel Cinta Sindiket Cinta
Sindiket Cinta
awa
3/9/2024 10:15:04
10,718
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 12

SATU persatu wajah ahli keluarganya ditatap. Melihat kegembiraan mereka, Hawa jadi serba-salah. Semalaman dia mengenangkan Sean. Malah, dia ada terfikir untuk berterus-terang saja dengan keluarganya.


Namun dia takut dengan penerimaan mereka kelak. Lebih takut jika melihat kesedihan mereka. Jadi dia putuskan pendam saja. Ada baiknya dia menanggung kesedihan itu semua sendirian.


“Kenapa ni? Mana ada pengantin sedih-sedih.”


Teguran Hazirah buatkan Hawa angkat muka. Bibir terus automatik senyum kekok.


“Tak cukup…Senyuman Hawa nampak terpaksa.”


Teguran kedua menyusul. Dan Hawa tidak menafikan. Sememangnya dia terpaksa.


“Macam mana nak jumpa Adam kalau macam ni?”


Semakin kekok senyuman Hawa. Nama itu kedengaran asing di pendengaran dia. Nama yang perlu dia biasakan dengar selepas ini. Nama yang akan menyapa pendengaran seumur hidup dia selepas ini.


“Mak mana?” Hawa sengaja pesongkan cerita. Takut tertangkap dia sedang berduka.


“Mak ada dekat luar dengan Adam.”


Berkerut dahi licin Hawa.


“Adam ada dekat luar." Pasti Hawa fikir Hazirah sedang bergurau.


“Dia buat apa dekat sini?” Ada rasa kurang senang bila dengar Adam berada di sini. Dia belum pernah berjumpa empat mata dengan lelaki itu lagi.


Hazirah hela nafas panjang. Rasa nak tergelak pun ya dengar soalan Hawa. Tak ada salahnya Adam nak ke sini memandangkan selepas ini Adam akan menjadi sebahagian daripada ahli keluarga mereka.


“Dah…Pergi ambil baju nikah Adam dekat bilik Hawa. Semalam kak long simpan situ.”


Terkebil-kebil Hawa dengar arahan Hazirah. Satu malam asyik terfikirkan Sean sampai dia pun tak sedar ada baju lelaki di dalam biliknya. Nampak sangat dia hanyut dalam dunia dia sendiri.


“Apa lagi Hawa menungkan? Pergi ambil cepat. Kesian Adam drive jauh-jauh dari kelantan terus ke sini. Penat pun belum hilang lagi.” Bebel Hazirah bila Hawa masih kaku di situ.


“Ha? Oh, ya…”


Hazirah geleng kepala melihat Hawa kelam-kabut bangun. Sepuluh minit kemudian barulah Hawa menyusul bersama sepasang baju melayu berwarna putih gading.


“Kenapa tercegat lagi dekat situ? Pergilah bagi dekat Adam.”


“Tapi kak long…” Dia mahu membantah. Emak dengan Hazirah paling banyak menekankan soal adat. Berjumpa dengan Adam sama seperti dia sudah melanggar adat. Apa lagi lusa dia akan menukar status bujang ke isteri orang.


“Adam merayu-rayu nak jumpa sangat dengan Hawa. Sekejap je. Sepuluh minit macam tu.” Terang Hazirah. Dia tahu apa yang ada dalam pemikiran adiknya.


Nampak sangat kakaknya lebihkan Adam. Semua yang melibatkan Adam buatkan mereka boleh bertolak ansur. Cuba kalau dia yang merayu, semua dibantah sekeras-kerasnya.


“Cepat Hawa…”


“Okey.” Dia tiada pilihan lain. Terpaksalah juga dia berjumpa dengan Adam.


Masalahnya terbesar Hawa sekarang adalah dia tidak tahu bagaimana rupa bakal suaminya. Nak bertanya dengan Hazirah, pasti teruk dia disindir. Mana tidaknya, masa nak serahkan borang nikah, kakaknya ada menyarankan dia melihat gambar Adam. Tetapi dia menolak atas alasan belum bersedia. Atas alasan itulah dia perlu menggunakan firasatnya sendiri.


Lambat-lambat Hawa menghampiri muka pintu. Pandangan dia tertumpu pada khemah yang terpasang di depan rumah. Ada beberapa pemuda sedang mendirikan khemah yang terakhir. Tetapi tiada pula kelibat emak.


Berdasarkan petunjuk terakhir kakaknya, Adam ada bersama emak. Jadi dia perlu mencari emak sebelum berjumpa dengan Adam. Dua minit mencari, kelibat emak gagal dikesan. Terpaksalah juga dia keluar berjalan keliling rumah.


Di satu sudut rumah Hawa nampak emak sibuk melayani seseorang. Emak sedang menghidangkan makan buat orang yang sedang duduk membelakangkan dia. Senyuman emak tidak lekang dari bibir. Wajah emak berseri-seri. Dan dia yakin, orang itu tentunya Adam.


Langkah dibawa mendekati mereka berdua. Hawa akan serahkan baju kepada tuan badan dan masuk semula ke rumah. Dia akan pastikan pertemuan dia dan Adam berlangsung kurang dari seminit. Selebihnya dia akan biarkan emak yang melayan bakal menantunya.


“Mak…” Seru Hawa sejurus dia sampai. Bibir dia kekok mahu menyebut nama Adam.


“Sini Hawa.” Emak menepuk kerusi kosong bertentang dengan Adam. Senyuman emak sudah sampai ke telinga. Gembira emak bukan kepalang lagi. Macam Adam itu satu-satunya menantu yang emak ada.


Biarpun herot-berot mulut Hawa mengata bakal suami sendiri, dia tetap menurut. Dia berdiri di sebelah Adam yang sedang duduk. Sedikit pun Adam tidak angkat muka. Sikap sombong Adam meneruskan kutukan dia di dalam hati.


“Hawa nak bagi ni.” Dia menghulurkan baju melayu pada emak. Tak ada hati nak serahkan pada tuan badan sendiri.


“Saya balik dulu.”


Tumpuan emak beralih kepada orang di sebelah Hawa. Jelas kekalutan di wajah emak. Terkejut bila orang penting majlis tiba-tiba nak undur diri.


“Eh, sikit sangat makan? Makanlah lagi…Ada banyak lagi lauk.” Emak nampak tak berpuas hati.


“Saya dah kenyang.”


Tadinya Hawa tak nak bertegur dengan Adam. Pandang pun dia tak nak. Tapi bila mata emak sudah hampir tersembul memberi isyarat supaya dia menyapa Adam, terpaksa juga dia tebalkan muka menegur Adam terlebih dahulu.


Badan dipusingkan menghadap Adam. Ketika itulah Adam juga bangkit berdepan dengan dia. Menampakkan seluruh wajahnya.


“Sean?!” Terlepas baju melayu di tangan. Rahang dia hampir tidak mampu mengatup lagi.


“Kau buat apa dekat sini?” Hawa gagal mengawal mulutnya dari bertanya.


“Hawa! Tak baik layan tetamu macam tu.” Tegur emak keras. Kurang senang dengan layanan anaknya.


Hawa diabaikan. Sebaliknya Sean pusingkan badan menghadap emak. Bibirnya melorek senyuman.


“Terima kasih sudi bagi saya makan. Saya balik dulu.” Sean benar-benar kenyang. Dia hanya tunaikan permintaan tuan rumah yang mahu dia makan sebelum pergi. Mana mungkin dia menolak. Bukan sifat dia menolak rezeki.


Entah kenapa Hawa ada firasat bahawa kedatangan Sean itu penuh dengan muslihat. Dia boleh nampak kejahatan di mata Sean. Senyumannya sekadar mengaburi mata emak, tetapi bukan dia.


“Lusa jangan lupa datang.”


Baru selangkah, Sean menoleh kembali. Mekar senyuman dia. Senang dengan pelawaan wanita separuh abad itu. Kelakuan dia mengundang tiupan angin kemarahan. Bahang angin itu terlalu dekat dengannya. Dapat dia rasakan sebentar lagi ribut taufan bakal melanda.


“InsyaAllah…Saya akan datang.” Sean orang yang pegang pada janji. Dia akan kosongkan jadual pada hari tersebut demi menghadiri majlis pernikahan orang yang pernah dia suka.


“Mak! Mak tak patut jemput orang luar.” Bantah Hawa. Merah-merah muka dia pandang emak.


Tinggi harapan Hawa bahawa emak akan tarik balik keputusan menjemput Sean ke majlis dia. Takut majlis pernikahan dia akan bertukar menjadi majlis tahlil.


Dapat dia rasakan Sean menyimpan dendam. Buktinya, dia dengar dengan jelas ancaman Sean semalam. Mata lelaki itu menceritakan segala rancangan jahatnya.


“Hati-hati balik.”  


Jatuh sepasang bahu Hawa. Emak tidak mendengar nasihat dia. Emak sedang mengheret Adam ke tali gantung. Adam itu merupakan sasaran Sean!


“Mak!” Hawa tidak puas hati.


“Sejak bila Hawa kisah siapa yang mak jemput?”


Sejak Hawa tahu emak dan Sean berkenalan. Namun dia hanya mampu menjawab di dalam hati. Mana mungkin dia ceritakan hal Sean kepada emak. Bercerita hal Sean hanya akan memburukkan lagi keadaan yang sedia buruk. Diakhir cerita, pasti emak akan tertawakan dia.


“Tengok. Dah kotor baju Adam.”


Mata Hawa turun melihat emak tunduk mengutip baju melayu yang barada di atas tanah. Gara-gara Sean, dia lupa untuk menyerahkan baju kepada Adam. Gara-gara Sean juga hati dia mula bolak-balik, tidak keruan.


Kerlingan Hawa singgah ke pintu pagar. Kelibat Sean sudah menghilang. Tapi dia rasa aura Sean masih tertinggal di sini. Puas dipujuk diri supaya bertenang, namun gagal. Puas juga dia mengusir wajah Sean yang tersenyum kemenangan, dan dia gagal seperti selalu.


Sean punca dia kalah teruk. Kalah dengan perasaannya sendiri. Kalah dengan dengan dendam lelaki itu.


“Adam mana?” Dia mahu serahkan baju pada Adam, kemudian dia akan berkurung di dalam bilik. Itu saja dapat dia lakukan buat masa ini demi mencari ketenangan.


“Adam dah balik.”


Adam pun satu. Kenapa perlu libatkan dia? Boleh saja emak atau kakaknya menyerahkan baju bagi pihak dia. Tak perlu dia susah payah keluar rumah.


“Nanti mak bagi pada Adam.”


Mujur emak faham. Takut baju melayu itu lunyai dia kerjakan. Dan dia akan pastikan Adam susah hati kerana tiada persalinan di hari pernikahan nanti.

Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.