Home Novel Cinta Rindu tak berkesudahan
Bab 8

Boleh dikira, berapa kali dia keluar dari rumah semenjak memperoleh kesedaran. Rina menunggu sahaja di sebuah kafe sementara Noraziah membeli-belah barangan mentah. 

Semasa menyedut minuman sejuk, hatinya digamit oleh sesuatu. Dia lekas membayar minuman. 

Beberapa pelajar sekolah berbual-bual tidak jauh dari kafe itu. Di tangan mereka, terdapat sebuah novel.

“Baguskan ada mesin ni?”

“Yalah. Tak perlu nak pergi kedai buku. Sambil kita tunggu tren, boleh beli. Jimat masa.”

Kerusi roda digerak-gerakkan menuju ke sebuah vending machine. Terletak elok di sebelah kafe. Uniknya, ia tidak berisi air mahupun makanan seperti kebiasaan. Sebaliknya, berisi novel-novel terkini terbitan syarikat tempatan. 

“Lamanya aku membaca. Otak aku dah manja. Lembab sangat menyebut perkataan. Sampaikan macam budak sekolah. Merangkak-rangkak. Terpaksa bermula semula.”

Rina ralit memerhati satu persatu tajuk novel. Matanya terpaku pada sebuah novel dengan kulit buku menggunakan warna pastel lembut. Subjek matter digunakan ialah bunga matahari. Bunga yang sangat dekat dengan dirinya. Melihat pada kulit luar, dia sudah tertarik untuk memilikinya.

“Cintaku berputik di ladang bunga matahari? Tajuk macam novel cinta. Ladang bunga matahari?” Rina teringatkan perusahaan keluarganya. Dia melihat nama penulis. “N. Mikah? Unik dan pelik nama penanya.”

Rina sudah membuat keputusan. Kad Touch N Go dikeluarkan dari dompet.

“Aku nak beli novel nilah. Harap isi dalamnya menariklah macam kulit depan.”

Mesin itu pun menjalankan tugasnya sebaik sahaja Rina selesai memilih dan membuat pembayaran. Rina teruja. Dibuka plastik pembalut, di situ juga. Bau buku memang menenangkan. Antara bau yang dirindui selain bauan di ladang bunga matahari dan bauan sang suami.

“Dapat juga aku pegang buku baru. Bolehlah latih pemikiran.”

Bahagian belakang novel dibaca. “Mereka berpisah kerana terpaksa. Sang suami berharap, isterinya tahu bahawa dia sentiasa mengingatinya di mana jua dia berada.” 

Tiba-tiba terdengar derap kasut Noraziah. 

“Mak dah selesai.” Noraziah membawa banyak plastik beg.

Rina mahu membantu. Namun, terus dilarang. “Tak perlu. Kamu kena jaga diri baik-baik. Berat ni.”

Rina terkilan. Namun, lekas sedar ibunya hanya tidak mahu dia penat.

“Wah, kali pertama mak nampak mesin gedegang berisi buku! Satu inovasi baru! Oh, kamu beli buku baru?” 

“Ya, mak. Buat hilang bosan.”

“Alhamdulillah. Baguslah. Antara inisiatif yang boleh galakkan budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia. Nanti mak boleh tumpang baca sekali. Kamu ada apa-apa lagi nak beli? Nak makan apa-apa ke?”

“Rina dah selesai.”

“Jom kita pergi sekarang?”

Rina mengangguk. Noraziah menolak kereta rodanya.


“Aku tak mungkin akan lupa senyuman riang terpancar pada wajahnya. Senyumannya ialah senyuman paling indah pernahku rakamkan.”

Ayat permulaan novel itu sudah mengundang kerutan di dahi. 

“Kami sama sahaja seperti pasangan suami isteri yang lain. Bercinta dan kadangkala bergaduh. Lumrah dalam rumah tangga. Kebelakangan ini, banyak perkara berlaku. Aku tersangat tertekan. Tapi, dia isteriku tetap sahaja di sisi dan memberi kata-kata semangat. Aku terharu. Aku sangkakan, perkara malang ini akan segera berakhir. Ternyata, semakin membebankan jiwa.

“Khusyuk sangat kamu baca novel tu. Best ke?” Noraziah sedang memandu. Sempat menjeling Rina di sebelah. “Kita dah sampai rumah.”

Rina menutup novel itu. Terjenguk keluar tingkap. 

“Rina nak balik rumah Rina.”

“Kenapa pula? Dekat rumah mak… senang mak nak urus kamu.”

“Tolong…” Rina mulai meminta simpati. “Ada barang tertinggal dekat rumah Rina.”

“Apa dia?”

“Sampai sana baru Rina bagitahu.”

Noraziah tidak sampai hati membantah. Rina sambung bacaannya.

“Sayangku, ketahuilah aku tidak meninggalkan dikau kerana sengaja. Kita jauh namun hati kita tetap terhubung rapat.”

Rina menitis air mata membaca petikan itu. Terasa ditujukan buat dirinya.


Rina bertongkat sahaja. Fikirnya dia hanya singgah sebentar cuma. Leceh jika kerusi roda dikeluarkan dari dalam kereta. 

“Kenapa Rina? Nak mak pimpin?” Noraziah membantu Rina berjalan.

“Tak.”

Rina memerhati segenap sudut halaman rumah. Menjelang petang, terasa usang pula rumahnya jika nak dibandingkan tengahari tadi. Barangkali pengcahayaan petang membuatkan semuanya kelihatan suram.

Rina melangkah masuk ke dalam rumah sebaik sahaja Noraziah membukakan kunci pintu. 

“Kamu nak ambil baju ke? Dekat rumah mak, baju kamu banyak. Yang baru pun ada. Ke kamu nak beli lagi yang lain? Mak boleh suruh pembantu mak.”

Rina menggeleng. Dia merapati meja berhampiran dinding. 

“Mak, mana foto-foto perkahwinan saya dan Lukman? Mak buang ke?”

Noraziah turut memandang ke tempat yang sama. Baru dia perasankan hal itu.

“Mak…” Noraziah tidak sempat menghabiskan ayatnya. “Rina, kamu nak ke mana pula?”

Rina bersusah payah melangkah keluar dari rumah. Dia mendail terus nombor Lukman.

“Rina, bagitahu mak… kamu nak ke mana?”

“Mak, tolong hantar saya ke ladang.”

“Untuk apa, nak? Dah nak maghrib. Macam-macam benda tak elok sedang merayap keluar.”

“Tolong. Rina ingin berjalan semula. Rina nak saksikan matahari terbenam.” Rina beralasan.

“Baiklah kalau itu yang Rina nak. Mak bawa. Lepas tu, kita balik rumah mak. Okey?”

“Maafkan Rina susahkan mak.”

Noraziah mengusap bahu Rina.


Setelah memastikan tingkap dan pintu terkunci, mereka masuk ke dalam bilik tidur. Rina sudah berbaring di atas katil manakala Noraziah membentang toto di atas lantai. 

“Mak, tidurlah sebelah Rina.”

“Mak selesa di lantai.”

“Lantai tu keras, mak. Nanti mak sakit badan.”

“Tak apa, Rina. Senang mak nak ke mana-mana kalau apa-apa terjadi. Cepat masuk tidur. Tak baik tidur lambat. Baca doa dulu. Kalau kamu nak ke bilik air, kejut mak. Jangan nak tahan-tahan.”

Suis lampu bilik dimatikan. Gelap. Lampu luar sahaja menerangi bilik itu. Itupun, Rina tetap dihurung kebimbangan yang tidak tahu akan puncanya. Rina terkebil-kebil memandang siling putih yang sudah pudar warnanya. Dia tidak boleh lena. Cuba membayangkan biri-biri sedang berseronok melompat pagar. Dibilang-bilang. Tetap juga gagal untuk lelap.

Noraziah sudah terlena. Dengkuran halus maknya mulai kedengaran. Kepenatan seharian menguruskan dirinya. Rina berasa bersalah kerana terpaksa menyusahkan ibunya.

Berguling ke kiri dan ke kanan. Sudah beberapa kali selimut dilucut dan kemudian ditarik balik. Sudahnya Rina bangun dari berbaring. Memandang telefon pintar yang sunyi. Semacam ada pengharapan daripada seseorang.

Ya, separuh hatinya berteriak. Mahu Lukman mengirimkan mesej mahupun membuat panggilan. Dia rindukan suara suaminya. Rindu diambil peduli. 

Sudah beberapa kali mengirimkan pesanan bertanyakan di mana Lukman berada. Dia menunggu dengan setia di ladang bunga matahari. Lukman tidak datang. Mesej pun tidak dibalas. Panggilan dibuat langsung tidak dijawab.

Akhirnya, dia pulang ke rumah Noraziah dengan hati yang walang.

Hampir-hampir Rina menaip pesanan ke nombor Lukman. Tiba-tiba, terlihat sang suami sedang atas talian. Cepat-cepat Rina keluar dari aplikasi Whatsapp dan mematikan skrin. Dia kembali berbaring. Dipejam kuat kelopak mata. Kononnya merajuk kerana tidak dipedulikan.

“Kenapa cari kita pula? Pergilah sibuk dengan kerja tu!” Rina merungut perlahan, tidak mahu membuatkan Noraziah terjaga.

Ting! Pesanan masuk. Spontan Rina mengambil kembali telefon pintar. Seperti dijangka. Suaminya! Rindunya bagai terungkai dengan mesej itu. Laju jari-jemari menaip perkataan. Namun, laju-laju juga dia memadamnya.

“Tak boleh! Aku tak boleh balas! Aku nak merajuk! Biar dia pujuk. Padan muka! Abaikan kita lagi.”

Rina merenung sahaja ayat-ayat sang suami.

“Sayang, saya rindu awak. Saya harap awak balaslah mesej saya.”

Rina menangis tanpa bunyi. Baju baju melayu biru Lukman dihidu dalam-dalam.

“Saya pun rindu awak.” Rina hanya mampu mengucapkannya.

Rina membuka aplikasi galeri. Banyak foto mereka bersama. Ke mana-mana, pasti ada sahaja swafoto. Diklik satu foto berlatar belakang sungai dan hutan tebal. Dahulu mereka suka mengembara alam berdua. 

Dibawa telefon pintar ke dada, didakap ibarat jasad Lukman. 

Noraziah bangkit dari tidur. Dia tidur-tidur ayam. Namun, dapat mendengar rintihan Rina. Bahunya anaknya turun naik menandakan sedang menangis.

Noraziah lali. Begitulah rutin Rina tiap malam. Menangis.


Rina setia ditemani Noraziah. Mereka menikmati sarapan pagi di sebuah kedai tidak jauh dari rumah Noraziah. 

Rina tidak berapa bernafsu untuk menikmati juadahnya. Kopi O panas dihirup sedikit sahaja. Nasi lemak pula, dikuis-kuis. Dahulu, boleh dinikmati sampai dua bungkus tanpa rasa bersalah.

“Makan sikit Rina. Nanti masuk angin. Gastirk nanti susah diri sendiri juga.” Kata-kata Noraziah dibiarkan sepi.

Rina terpandangkan pasangan suami isteri tidak jauh beberapa meja daripada mereka. Mereka ketawa bersama dan sesekali bertukar suapan. Rina terasa mahu menangis. Dia menahan kuat. Namun, jelas matanya berkaca-kaca.

Suapan Noraziah terhenti terpandangkan riak sedih wajah anaknya. Noraziah berdehem. Rina terus cuba untuk senyum walaupun memang terlihat palsu benar.

“Mana tisu ni? Oh, tak ambil rupanya! Mak ke kaunter kejap. Kamu jangan ke mana-mana.” 

Noraziah sengaja memberi ruang kepada Rina untuk meluahkan tangisannya. Dia tahu, Rina bersedih kebelakangan ini.

Rina merelakan sahaja. Dia menangis bersungguh-sungguh. Tertunduk-tunduk. Bimbang kedapatan oleh pelanggan lain. Dia berpura-pura mencari sesuatu dalam beg tangan. Matanya yang terlalu berkaca-kaca dengan air mata langsung kabur dengan apa yang dilihatnya dalam beg tangan.


Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.