Home Novel Cinta Rindu tak berkesudahan
Bab 32

“Selang seminggu kejadian tu, abang dan kak Kalsum bersatu kembali. Hubungan mereka kembali pulih. Abang, sebenarnya apa yang abang buat sampai kak Kalsum sanggup kembali kepada abang? Argh, rumit sekali hubungan mereka! Putus sambung. Putus sambung. Sampailah akhir hayat abang.”

Sabrina teringatkan gambar-gambar mesra Kalsum dengan lelaki asing itu. Sakit betul hatinya! 

“Tak cari pengganti konon! Masa arwah abang hidup pun, kau dah berani curang! Apa yang kau nak sebenarnya? Aku pula bodoh. Ikut je dia balas dendam atas kematian arwah abang. Kononnya, dendam seorang pencinta sejati. Sakit kepala aku fikir. Baik aku tidur.”

Diari dan foto-foto menyakitkan mata, dimasukkan kembali ke tempat asal. Baru dia perasan, ada sampul surat coklat di dalam laci sama.

“Surat wasiat?” Bertaut keningnya membaca isi sampul. “Aku tak pernah tahu kewujudan surat ini. Apa abang rahsiakan daripada aku?”


Sabrina menapak masuk ke pejabat peguam Zakwan & Co. Setelah menyatakan hasrat kunjungannya, dia dipersilakan duduk terlebih dahulu.

“Silakan minum.”

Seorang kerani perempuan meletakkan secawan kopi O panas di atas meja. 

“Terima kasih.”

Sabrina ditinggalkan sendirian. Ditiup-tiup perlahan kopi O panas. Dihirup perlahan. Selalu sahaja melencur lidahnya.

“Sorry buat you menunggu.” Seorang lelaki melepasi seabad umurnya muncul.

Automatik Sabrina berdiri. Mereka bersalaman. Setelah memperkenalkan diri masing-masing, Sabrina terus ke tujuan utama. Dia turut menghulurkan sampul coklat dijumpai dari dalam laci arwah Zahuri.

“Memang betul. Encik Zahuri mewasiatkan sebidang tanah dengan hasil pertanian atas nama Kalsum Selamat sempena hadiah perkahwinan.”

“Maksud encik, cik Kalsum akan dapat hadiah tu kalau dia mengahwini abang saya?”

“Betul. Tapi, Encik Zahuri ada mengubah syarat pada saat akhir. Tidak kira samada cik Kalsum mengahwini beliau mahupun tidak, tanah itu tetap akan menjadi milik cik Kalsum.”

“Abang saya ada katakan apa-apa alasan di sebalik tindakannya?”

“Encik Zahuri terlalu sayangkan cik Kalsum.”

“Encik tahu mereka tak dapat bersama pada akhirnya? Cik Kalsum meminta putus daripada abang saya.”

“Saya tahu. Encik Zahuri tetap sahaja mahukan cik Kalsum mendapat hadiah itu. Saya hanya tunaikan permintaan Encik Zahuri.”

“Jadi, cik Kalsum tahu permintaan arwah abang saya?”

“Ya, cik Kalsum tahu. Tapi, dengan syarat.”

“Apa syaratnya?”

“Harta itu akan menjadi milik cik Kalsum jika dia tidak menemui pengganti lain dalam masa lima tahun.”

“Syarat tu macam berat sebelah.”

“Saya hanya menjalankan amanah.”


Sabrina membuka satu laman web carian imej. Dia memuat naik foto lelaki yang mesra dengan Kalsum tempoh hari. Berderet keputusan carian. Dia mengklik pada carian paling hampir dengan kemahuannya. Dia menekuni maklumat yang ada. Nama penuh, umur, pekerjaan, tempat tinggal dan senarai laman web yang pernah sang empunya lawati.

“Jadi, dia ni wartawan sukan? Menarik. Satu tempat belajar dengan kak Kalsum.”

Sabrina cuba untuk menaip nama institusi dan tahun pengajian pada carian di Linkedin. Berderet muncul keputusan alumni. Ada yang dikenalinya. Salah seorangnya ialah senior yang boleh dikatakan agak rapat.

Sabrina tersenyum sengit. Pencarian bakal berakhir. Persoalan bermain di minda bakal mendapat jawapan. 


Sabrina masuk ke dalam studio rakaman untuk siaran langsung sebuah rancangan bual bicara. Dia mengunci bicara, tidak mahu menganggu kelancaran program. 

Sabrina memanjangkan leher, mencari-cari individu yang mahu ditemui.

“Itu dia!” Sabrina menarik nafas lega. 

Akhirnya, 30 minit menunggu dan program pun tamat. Tetamu jemputan bersalaman dengan pengacara majlis dan juga krew-krew terlibat.

“Jumpa lain masa.”

“Ya.”

Sabrina lekas mendapatkan pengacara program yang sedang membelek-belek catatan dalam bukunya.

“Iman…” panggil Sabrina.

“Ya?” Iman hairan.

“Awak kenal saya?” 

Iman cuba mengamati segenap inci wajah Sabrina. Berkerut-kerut dahi menggali memori.

“Saya Sabrina, junior jurusan sama dengan awak.”

“Oh…” Iman memetik jari. “Oh, ya! Sabrina! Patutlah saya familiar dengan muka awak. Awak wartawan jugakan sekarang ni?”

Mereka bersalaman sambil bertukar senyuman. 

“Betul.” Sabrina agak risau Iman akan mengungkit hal kontroversi yang telah dilakukan sebelum ini.


“Oh, macam tu!” Iman meneliti skrin telefon pintar milik Sabrina, terpapar wajah lelaki yang menjadi skandal Kalsum. “Pernah juga beberapa kali saya ternampak mereka bersama semasa zaman belajar dulu. Rapat dan mesra. Ketika itu, saya anggap biasa-biasa sahaja. Maklumlah, ramai yang tahu Kalsum sudah berpunya. Tak mungkinkan, mereka mempunyai hubungan istimewa.”

Sabrina mengangguk. Menyedut jus lemon ais.

“Seberapa rapat mereka?”

“Bolehlah dikatakan selalu keluar berdua macam belangkas. Dekat library pun selalu bersama. Ulangkaji katakan. Tak pun, siapkan kerja group assignment. Jadi, tak ada apa-apa yang pelik sebagai pelajar universiti, kan? Kita pun sama je dulu.”

“Mereka berdua sahaja? Macam mana dengan rakan-rakan lain? I mean, sepatutnya mereka tidak harus berdua setiap masa.”

“Betul juga. Bila fikir balik, mereka seperti ada hubungan istimewa. Bahasa tubuh mereka seakan-akan orang bercinta.”

Iman menyedut minuman jus belimbing pudina. “Segar betul. Panas sangat sekarang ni. Kena banyak minum. Tak larat nak berada di luar rumah berlama-lama.” 

“Betul. Kena lebihkan air. Bahaya kalau terkena strok haba.”

“Oh…” Sabrina teringatkan sesuatu di dalam beg. “Saya selalu guna coolfever spray ni. Sejuk je rasa bila dah spray dekat baju.”

Iman ikut mengangguk. “Saya pun nak dapatkan nanti. Duduk dalam aircond pun, masih terasa bahangnya.”

Mereka terletus tawa mereka. 

Sabrina memotong sedikit kek coklat indulges. Dia benar-benar menikmati sensasi coklat.

“Mengenai soal abang awak. Saya baru teringat. Arwah Zahuri pernah datang ke fakulti. Arwah dan Kalsum bergaduh hebat di luar pagar fakulti.”

“Kenapa?” Hampir tercekik dia mendengarnya. Cepat-cepat, dia menyedut minumannya.

“Ada gosip bertebaran, Kalsum curang daripada abang awak.”

“Tentu dia digosipkan dengan lelaki tu?”

“Dengar-dengar, macam tulah.”

Sabrina menunduk, kesal.

“Arwah abang saya setia sampai ke akhir hayatnya. Malah, mewasiatkan sebahagian harta kepada Kalsum.”

“Bila terlalu cinta, apa sahaja seseorang itu sanggup lakukan walaupun tahu sedang dilukai. Antara simptom Stockholm.”

Semakin difikirkan, kedua-dua mereka mempunyai kesalahan tersendiri. Izatul Sabrina mengeluh. Abangnya seorang tertaksub menagih cinta walaupun dalam masa yang sama, Kalsum sudah tiada perasaan terhadapnya. Kalsum pula, menggunakan kesempatan yang ada untuk mewarisi harta itu. Semuanya saling berkaitan. Berselirat pemikirannya.

“Pening. Pening.” Izatul Sabrina tidak sedar, Iman mendengarnya.

“Awak pening? Nak panadol? Saya ada bawa.” Iman menyeluk sesuatu dari dalam beg tangan.

“Eh, tak. Bukan. Bukan.” 

“Habis tu?”

“Saya terfikirkan pasal kerja. Terbawa-bawa.”

Iman ketawa. “Overthinking lah ni? Waktu rehat, kenalah rehat. Waktu kerja, kerja. Waktu tidur, tidur.”

Izatul Sabrina menyambut dengan sengihannnya. Dia menghabiskan sisa minuman.


Previous: Bab 31
Next: Bab 33

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.