Home Novel Cinta Rindu tak berkesudahan
Bab 30

Sesi busking sudah tamat. Pentas mulai dikosongkan untuk acara seterusnya. Rina duduk di tepi-tepi pentas sementara menunggu para petugas menyusun kerusi dan peralatan lain.

“Belum mula lagi?” Seorang wanita, dalam baya usia Rina berdiri di sebelah sambil memandang pentas. Di tangannya, terdapat novel nukilan N. Mikah. “Awak tunggu acara ni juga?”

“Hmmm, ya.” Rina kekok, sudah lama tidak bergaul mesra dengan orang lain.

“Saya tumpang duduk ya.”

“Ya, duduklah.”

Rina memaling pandangan. Buat-buat seperti sedang membaca novel.

“Saya Fatimah.”

Rina teragak-agak untuk memberitahu namanya. “Saya Rina.”

“Rina? Nama awak buatkan saya teringat seseorang. Haaa, lupakan hal itu. Apa yang awak suka tentang novel N. Mikah?”

“Saya…” Rina membelek-belek naskhah di tangan. “… tak sengaja beli buku ni. Saya suka membaca. Pantang nampak buku.”

“Oh, kiranya bibliofil, kan? Ulat buku dalam bahasa mudahnya.”

Rina mengangguk. Dia sudah lama tidak mendengar istilah itu semenjak sedar.

“Buku ni berjaya menyentuh perasaan sedih tentang kehilangan seseorang yang kita sayang. Saya dapat rasa kerinduan watak utama kepada isterinya. Buku ini buat saya sedar untuk lebih menghargai orang sekeliling selagi masih bernyawa.”

“Maksudnya, awak rasa buku ni berkaitan dengan hidup awak?”

Rina mengangguk. Fatimah menghulurkan tisu kepadanya.

“Selain daripada berjumpa ahli terapi, kita boleh guna buku sebagai terapi. Buku dapat membantu kita luahkan apa yang kita rasa dalam hati. Istilahnya ialah biblioterapi iaitu menggunakan buku-buku terpilih untuk membantu mereka yang mempunyai masalah seperti kemurungan, trauma, masalah mental dan masalah sosial.”

“Oh, baru saya tahu!”

“Maaf tanya.” Fatimah terjeda. Berhati-hati untuk bertanyakan soalan sensitif. “Awak kehilangan siapa?”

“Saya… saya kehilangan suami saya. Saya koma. Sebelum tu, saya terlibat dalam kemalangan. Kata mak saya, suami saya meninggal dalam kemalangan itu. Saya tak percaya walaupun mak saya kata dia ada bukti suami saya dah meninggal dunia. Saya selalu rasa, dia ada dekat dengan saya. Dia seperti sorokkan diri.”

“Maaf lagi sekali. Awak tahu ke bukti suami awak meninggal dunia?”

“Saya pernah pergi ke tanah perkuburan. Saya ditunjukkan pusara kononnya pusara suami saya. Mak saya cakap, dia ada sijil kematiannya juga. Saya tak percaya dan takkan percaya!”

‘Mungkin, wanita depan aku ni tak dapat terima hakikat suaminya dah meninggal dunia?’ Fatimah melihat novel di tangan. Cuba menghubung kait kisah Rina dengan isi cerita novel.

“Betullah cakap awak. Kisah awak, sama macam dalam novel ni. Cumanya, novel ni dari sudut pandangan seorang suami dan awak sudut pandang awak sebagai seorang isteri. Watak suami dalam novel ni, dia terpaksa hilangkan kewujudan dia sebab seseorang. Kalau dia berdegil, selama-lamanya dia takkan dapat jumpa isteri dia.”

“Betulkan? Saya selalu menangis baca novel ni. Awak tengok novel saya. Lunyai.”

“Mungkin sambungan akan datang, dia dedahkan sebab dia tinggalkan isteri dia.”

“Saya harap sangat. Saya nak tahu.”

Fatimah mengangguk. Mereka mulai mendengar pengacara majlis berbicara.

“Mari kita ambil tempat,” ajak Fatimah.


Kalsum berdiri di belakang sekali. Dia memeluk tubuh. Dari balik cermin mata hitam, pandangan matanya penuh keangkuhan. 

“So, itu N. Mikah?” 

Seorang lelaki memakai topeng muka hitam, beanie hitam dan berkaca mata hitam duduk di meja atas pentas. Perlakuannya tampak pendiam. 

“Misteri konon. Tak tahulah kau nak sorok apa. We’ll see.”

Kalsum mengambil tempat duduk di bahagian belakang. Duduk bersilang kaki.

“Terima kasih sudi meluangkan masa datang ke majlis pelancaran novel terbaharu N. Mikah.”

Mereka bertepuk tangan. Terpancar keterujaan pada wajah masing-masing. Ramai sudah mengangkat telefon pintar merakamkan momen manis.

‘Macam mana agaknya rupa sebenar penulis tu? Muda ke orangnya? Tua ke?’ Rina tidak melepaskan pandang dari tadi. Curiga.

“Tak sabarnya saya nak pegang novel baru tu. Nak peluk cium. Tidur pun, nak letak sebelah.”

Mereka ketawa beramai-ramai mendengar seorang peminat berteriak.

Kalsum berasa jengkel. “Kenapa aku buang masa datang acara ni?”

“Sabar cik adik.” Pengacara majlis tersengih. “Kami pun tak sabar juga. Baik. Mari kita alu-alukan tuan penulis untuk bercakap mengenai sambungan novel ‘Cinta berputik di ladang bunga matahari.’

“Wuuu, encik penulis!” Peminat itu berteriak lagi. Kali ini, siap berdiri.

“Macam-macam kan perangai peminat,” komen Fatimah, tersisa tawanya. 

Rina tersenyum pahit.

N. Mikah bangkit, berjalan menuju ke pengacara majlis. Mikrofon bertukar tangan.

“Suara ni…” 

Mereka bertiga; Rina, Fatimah dan Kalsum tersentak. Suara yang pernah mereka kenali.

“Baik tuan penulis. Apa yang membuatkan N. Mikah nak tulis sambungan novel pertama?”

N. Mikah tidak terus bersuara. Dia memandang setiap para hadirin. Akhir sekali, kepada Rina yang sudah berkaca-kaca matanya. Lama mata mereka saling bertautan. Siapa yang tahu, N. Mikah sedang menitiskan air mata. 

“Pertama sekali, terima kasih sudi hadirkan diri. Saya sangat menghargai sokongan daripada semua.” Suaranya mengandungi serak. “Kisah di novel pertama tergantung. Untuk sambungan, pembaca akan disajikan dengan babak yang berlaku kepada watak utama semasa menjaga isterinya yang sakit.”

Rina mengalihkan pandangan. Sayu.

“Novel pertama pun dah berjaya buat saya menangis tak berhenti-henti sampai bengkak mata. Tak boleh move on berhari-hari. Bukan berhari-hari dah ni tapi nak dekat berapa bulan dah ni! Tak sabar nak sambung menangis.” Tiba-tiba sahaja pengucapan N. Mikah dicelah pembaca tadi.

“Syhhh!” Rakan di sebelah membuat isyarat senyap. Memaksa rakannya kembali duduk. “Maafkan kawan saya. Dia terlalu minat dengan novel encik.”

“Saya nak tanya.” Seorang pembaca wanita mengangkat tangan lalu berdiri. “Novel ni berdasarkan kisah benar ke?”

Kalsum tersengih. “Menarik soalan dia ni.”

“Inspirasi kisah benar.”

Terus Rina berdiri. Meletakkan kedua-dua tangan di dada. “Awak…”

“Happy ending?” Pembaca tadi menambah.

“I hope so…” N. Mikah membalas. Bergetaran suaranya.

“Boleh jadi sad ending?”

“Janganlah! Kesian watak utama tu!” Sampuk yang lain. 

“Harap happy ending lah.”

“I also have a question.” Kalsum mengambil peluang untuk bertanya. Dia berdiri. “Awak tulis novel ni berdasarkan sumber apa? Don’t get me wrong. I think, I know someone with this story.”

Rina lekas berpaling. 

‘Dia? Dia buat apa di sini?’ Kalsum tidak menyangka dengan kehadiran Rina. ‘Ke dia juga syak N. Mikah tu Lukman? Bahaya kalau itu betul-betul Lukman!’

N. Mikah tersengih di balik topengnya. “Awak takut?”

Kalsum tergamam. “You know something?”

“Mungkin.”

“Baiklah. Baiklah. Sesi soalan jawab akan dibuka nanti. Kita akan teruskan kepada pelancaran novel ini.” Pengacara majlis mencelah tika keadaan menjadi tegang.

Simbolik pelancaran dilakukan dengan N. Mikah menurunkan tandatangan di sebuah novel terbaharunya. 


“You… Lukman, kan?” Kalsum tidak berselindung. Ketika itu, gilirannya untuk mendapatkan tandatangan N. Mikah. Novel yang baru dibeli, dicampak depan penulis itu. “You dah mati, kan? Kenapa hidup semula?”

N. Mikah tertawa. “Cik puan, kalau saya dah mati, saya takkan muncul di majlis ini. Saya jadi hantu datang rumah cik puan.”

Kalsum terbeliak. “So, you mengakulah you tak mati dalam kemalangan tu? Jadi, jasad yang ditanam tu? Apa tujuan you ya?”

“Cik puan takutkan bayang-bayang sendiri.”

Kalsum ketawa mengejek. “Excuse me. Kenapa I perlu takut?”

“Sebab kalau Lukman masih hidup, dia mesti tahu rahsia cik puan, kan?”

“So, you memang Lukman?”

“Cik puan sangat mengesyaki saya ialah Lukman. Atas alasan apa untuk tuduhan ini?”

“Bijak. Bijak. I tahu I takkan dapat jawapan sekarang. Tapi, you kena ingat… tak selama-lamanya you boleh bersembunyi.”

N. Mikah menandatangani novel itu untuk Kalsum. Diserah kembali kepadanya.

“Mungkin, sesuatu yang awak takutkan ada dalam novel tu?”

“Nonsense!” Kalsum mengambilnya dengan kasar. “I boleh saman you sebab menulis pasal hidup I tanpa pengetahuan I!”

“Maknanya cik puan mengiyakan apa yang tertulis?”

“Shut up!”

Kalsum meninggalkan tempat itu dalam keadaan marah. Berlaga-laga kuat tumit kasut dengan lantai.

“Selamat membaca, cik puan!” Sempat lagi N. Mikah berpesan.


“Sayang…” Rina menegur. Cuba menatap bola mata N. Mikah yang sudah menunduk pandangan. Dia meletakkan setangkai bunga matahari kering di atas meja. “Bunga kegemaran kita, sayang.”

“Awak, kenapa awak tak kembali ke pangkuan saya? Saya tunggu awak balik. Saya… saya tak boleh bezakan realiti dan fantasi. Saya, mak kata saya selalu hidup dalam bayang-bayang kenangan. Saya macam orang tak siuman.”

Rina mencapai tangan N. Mikah. Dikucup-kucup berulang kali. Terperanjat mereka yang sedang berbaris di belakang. Fatimah dan para petugas cuba untuk menghentikan perbuatan Rina. 

N. Mikah tidak pula menghalang. Dia diam sahaja.

Rina berjaya dijauhkan daripada N. Mikah. Dia menangis teresak-esak.

“Tolong balik kepada saya. Awak tahu…” Rina menyeluk ke dalam beg tangan. Mengeluarkan baju Melayu kegemaran Lukman. “Saya tersangat rindu awak. Mereka kata awak dah mati! Saya tak percaya langsung. Ni betulkan awak? Awak…”

“Puan, jangan begini puan.”

Ternyata kudrat Rina berjaya mengatasi mereka. Dia seakan melutut. Tangan N. Mikah diraih. Rina mulai merayu.

“Awak tak nak terima saya lagi ke? Bagitahulah kesalahan saya. Saya sudi ubah diri saya asalkan awal kembali.”

N. Mikah tidak mampu bersuara. Untuk mengatur sebarang tindakan, dia berfikir banyak kali.

“Puan… puan salah orang ni. Saya turunkan tandatangan saya. Puan balik berehat ya?” N. Mikah segera mencapai novel dibeli oleh Rina. 

“Saya tak mungkin salah. Suara awak. Bau awak. Sayang sekali, wajah awak terlindung.” Rina seperti mahu menarik topeng mukanya.

N. Mikah mendadak bangun.

“Puan, maaf puan. Puan dah melebih-lebih ni.” Petugas itu menenangkan Rina.

“Mari kita pergi. Pembaca ni tak dapat kawal emosi.” Seorang petugas berbisik kepada penulis itu.

N. Mikah teragak-agak melangkah.

“Sudahlah, Rina. Saya teman awak pulang,” ujar Fatimah. ‘Betul ke dia ialah Lukman?’

Rina lemah tidak berdaya.

‘Kejamkah aku?’ N. Mikah mulai bersoal jawab dengan diri sendiri.

“Kami ada sediakan jamuan ringan untuk encik. Air teh O panas dan ada sedikit kuih-muih.”

N. Mikah tidak mendengar kata-kata petugas sebaliknya, tangisan Rina kuat kedengaran.

“Mari pergi.” Fatimah mengajak.

“Suami saya dah buang saya ke?” Rina memegang kedua-dua tangan Fatimah.

Fatimah mati kutu.

Shazwan berjaya menjejaki Rina. Keadaan dukacita Rina, membuatkan dia mengeluh. Dijeling N. Mikah di sebelah. 

Shazwan menjeling cermin pandang belakang. Rina berendam air mata sampai bengkak bawah mata. Tahu sahaja diperhatikan, Rina memandang ke hadapan. Shazwan lekas menumpukan kepada pemanduan.

“Awak pembantu mak saya. Awak sembunyikan sesuatu?”

Shazwan mengambil langkah selamat dengan berdiam sendiri.

“Awak tahu apa yang berlaku semasa saya koma?” Rina mulai mendekat setelah tidak mendapat sebarang respon. “Awak tahu? Tolong jujur dengan saya.”

“Awak nak buat apa ni Rina?” Shazwan panik, Rina memegang handbrake.

“Jawab atau sama-sama kita terlibat dalam kemalangan?”

“Tolong Rina. Jangan bertindak melulu. Bertenang. Awak kena kekal rasional.”

“Kekal rasional? Setelah semua yang berlaku? Adakah mak saya terlibat? Apa yang awak dan mak saya rancang? Kenapa? Mana suami saya? Mana?!” 

“Eh, bertenang Rina!”

Rina sudah memegang stereng. Kereta itu tiada hala tuju. Sudah tidak bergerak lurus sehingga mengacau kelancaran trafik. Hon kenderaan lain bunyi bertalu-talu.

“Bagitahu saya hal sebenar!”

“Kalau kita kemalangan dan kemudian berlaku kecelakaan serius, sampai ke mati pun awak tak dapat tahu hal sebenar.”

“Awak tak nak beri kerjasama.”

“Rina, tolonglah! Cuba awak tengok depan.”

Rina menjerit sekuat hati. Di depannya hampir-hampir berlanggar dengan pembahagi jalan.

Shazwan berjaya mengimbangi kenderaan. Dia memarkir di depan jalan. 

Rina terus keluar dari perut kereta.

“Rina, please!” Shazwan sempat memaut tangannya. Tidak mahu kehilangan jejak Rina.

Laju penampar Rina melayang ke pipi lelaki itu. Dadanya turun naik.

“Awak hutang penjelasan dengan saya.”

“Kita balik.” 

“Saya akan berada di sini. Biar gelap sekalipun!”

Telefon pintar dalam poket seluar Shazwan bergetaran. Terpapar nama Noraziah sebagai pemanggil. Bertambah-tambah pening kepala Shazwan, terpaksa menghadap kerenah dua beranak.

“Mak, kan?”

Shazwan menggeser ikon hijau. Rina laju merampas telefon itu.

“Mak, apa yang mak sembunyikan daripada Rina? Suami Rina, belum mati, kan?”

“Rina, kan mak dah ulang banyak kali. Lukman dah tak ada! Kuburnya sendiri kamu dah nampak. Rina nak sijil kematian dia? Mak ada, nak. Kamu balik. Kamu tengok sendiri. Tolonglah, Rina. Bangkit daripada mimpi.”

“Rina akan cari bukti suami Rina masih hidup. Semua orang di sekeliling Rina tak mampu bercakap jujur.”

“Ya Allah. Apa susah sangat nak percaya ni?” Rungut Noraziah.

Rina mematikan panggilan. Diserah kembali telefon itu. Rina kembali ke dalam kereta untuk mengambil beg bimbit.

“Jangan ikut saya. Biar saya sendirian.” 

Shazwan bercekak pinggang. Tergeleng-geleng kepala.


Previous: Bab 29
Next: Bab 31

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.