Home Novel Cinta Rindu tak berkesudahan
Bab 25

Izatul Sabrina berbelanja sakan tidak ingat dunia. Satu persatu butik barangan mewah disinggahi. 

“Huh, dah lama aku tak menikmati hidup!” Dijulang ke udara beg-beg kertas itu.  “Argh, sakitnya badan aku! Baik aku pergi mengurut.”

Izatul Sabrina tercari-cari akan spa butik. 

“Tipikal perempuan!”

Lukman membidik beberapa foto Izatul Sabrina. Semenjak dari perempuan itu meninggalkan rumah, dia sudah mengekorinya.

Hampir satu jam menunggu, akhirnya Izatul Sabrina selesai mendapatkan urutan. Lukman bosan menunggu. Dia sempat memesan kopi panas di sebuah kafe berhampiran. Dia tidak mahu kehilangan jejak perempuan itu.

Kereta Lukman mengikuti perlahan teksi membawa Izatul Sabrina. 

“Hai, baru nak balik! Dah jauh malam macam ni,” rungut Lukman.

Teksi itu berhenti di sebuah flat perumahan. 

Lukman memarkir di tepi jalan. Dia mengikuti langkah Izatul Sabrina. Namun, ketika dia mahu keluar dari perut kereta, Lukman perasan ada seorang lelaki bertopi coklat lusuh menyorokkan wajah mengekori rapat perempuan itu. Tingkah lakunya mencurigakan.

Izatul Sabrina masuk ke perut lif manakala lelaki bertopi terus menaiki tangga.

“Cis, aku terlepas jejak dia!”

Lukman terlambat. Lif membawa Izatul Sabrina telah naik ke atas. Mujur sahaja tidak berkongsi lif sama. Jika tidak, pasti terbongkar. 

“Baik aku balik. Cukuplah untuk malam ni.”

Baru sahaja menyentuh pemegang pintu kereta, tiba-tiba dia berpatah kembali ke bangunan itu. Tadi, secara tidak sengaja terpandangkan balkoni flat perumahan. Dia terlihat lelaki bertopi tadi menutup sliding door dengan kasar dan terburu-buru.

Lukman sempat membidik beberapa foto. Dalam masa yang sama, tidak mampu menahan naluri ingin tahunya. 

“Lepaslah! Kau gila ke?”

Sampai sahaja ke pintu rumah Izatul Sabrina, Lukman terdengar suara tinggi perempuan itu.

“Aku dah lama gila!” Suara seorang lelaki membalas.

Lukman mengagak, itulah lelaki bertopi tadi!


Izatul Sabrina menarik topi menyembunyikan wajah lelaki itu.

“Kau ingat aku tak tahu kau siapa? Obvious sangat tahu tak!”

Irwan tersengih. Dia mulai merapati Izatul Sabrina. Matanya galak. Cuba untuk membelai-belai rambut wanita itu.

“Sayang…”

Terus Izatul Sabrina menampar pipi Irwan. 

“Gila!” 

“Cis!” Irwan meludah ke lantai. “Kau kata aku gila? Kau pun gila! Tergila-gilakan suami orang. Aku yang bujang, kau tolak macam tu je! Kau buta ke apa?”

“Kau tak ada hak nak campur hidup aku.”

“Ada! Ada! Aku dah lama suka kau. Aku tak boleh bersabar. Mari sayang… mari!”

“Ish, lepaslah!” Izatul Sabrina meronta-ronta. 

Irwan mencampak kasar tubuh perempuan itu ke lantai. Kepala Izatul Sabrina terhantuk ke lantai. Kuat. Berdesing. 

“Semua ni salah kau. Kau yang menyebabkan aku bersikap kasar. Aku teringin nak membelai kau dengan lembut. Tapi, kau ego!”

“Gila…” Izatul Sabrina cuba untuk bangun. Dia sempat tersenyum. “Okey. Aku dengar cakap kau.”

“Macam tulah, sayang!” Irwan tersengih gatal.

Izatul Sabrina memberi isyarat agar lelaki itu datang mendekat.

“Akhirnya kau tunduk jua, sayang!”

“Tunduk?” Giliran perempuan itu tersengih. Dia berbisik berdekatan telinga Irwan. “Pergi mati!” 

Sepantas kilat, perempuan itu menghentak belakang kepala Irwan menggunakan botol Aerosol kecil. Dia mengutipnya dari bawah meja semasa terjatuh tadi. Irwan mengerang kesakitan. Kesempatan itu digunakan oleh Izatul Sabrina untuk melarikan diri.


Lukman lekas menuju ke pintu rumah sebelah. Berpura-pura mahu menekan loceng. Saat itulah Izatul Sabrina keluar dari rumahnya. Tergesa-gesa melarikan diri. Perempuan itu menangis. Tidak lama itu, diekori Irwan.

“Sini kau perempuan tak guna!” Jerit Irwan.

Lukman membidik beberapa foto tika mereka sudah agak jauh dari kedudukannya. Dia menjenguk rumah yang ditinggalkan tanpa ditutup pintunya. Bersepah seseolah baru selesai bergelut. 

“Jangan-jangan Sabrina dalam bahaya!”

Lukman terus mengejar. Dari tangga, dia dapat melihat Sabrina terus melompat masuk ke dalam sebuah bas.

Irwan tidak sempat untuk berbuat sedemikian. Dia menghentak kaki. Merungut dengan kata-kata carutan. Dia kehilangan jejak Izatul Sabrina.


Izatul Sabrina menyelinap antara kesibukan manusia di bandaraya besar itu. Selalu dia benci dengan bunyi kenderaan. Hari ini, dia berasa selamat. Dalam masa yang sama, tetap berwaspada. Bersendirian bukanlah pilihan terbaik.

“Ke mana aku nak pergi? Aku bukan ada sesiapa.”

Baru tersedar, dia keluar rumah tanpa membawa beg tangan. Dompet dan telefon pintar tentu berada di dalam beg. Untuk pulang ke rumah, dia berasa tidak yakin. Khuatir Irwan mengawasi rumahnya. Siapa sangka lelaki itu terobses dengan cinta? Mungkin sudah bosan ditolak berulang kali oleh Sabrina.

Izatul Sabrina terasa ingin mentertawa diri sendiri.

“Bukankah aku pun sama macam dia? Obses dengan orang yang tidak akan mampu membalas kembali cinta aku. Gila. Sama-sama gila.”

Mata Izatul Sabrina berkaca-kaca memerhati gelagat penghuni kota pada waktu malam. Sebak mengingatkan diri kesunyian. Sendirian di kota besar yang tidak pernah tidur dengan kemeriahan dunia.

Kaki Izatul Sabrina terasa lenguh setelah berjalan tanpa tujuan.

“Lega dapat duduk.” 

Diurut-urut kakinya. Apabila air matanya mahu menitik, cepat-cepat dia mendongak memandang langit malam. Mendadak berdiri kerana terlihat bayangan Zahuri di situ.

“Abang, saya rindu abang.”

“Si pencuri! Aku korbankan seluruh hidup aku. Tunang aku pun dah tinggalkan aku! Tapi, kau Lukman! Kau memang bedebah! Kau curi hasil kerja aku! Pengkhianat!”

Izatul sedih mengenang penderitaan arwah abangnya.

“Saya pun rindu arwah Zahuri.” Tidak semena-mena, Lukman sudah berdiri di sebelahnya. “Nanti! Jangan lari. Ambil ni.”

Lukman menghulurkan tisu.

“Terima kasih.”

“Sesuatu buruk berlaku kepada awak, kan?”

Terhenti perbuatan mengesat air matanya. 

“Ayat awak macam tahu sesuatu.”

“Sejujurnya tahu.” Lukman terus menunjukkan foto-foto dibidik menerusi lensa. Lekas-lekas Lukman menjulang kamera ke udara untuk mengelakkan perempuan itu merampas kameranya.

“Melampau! Awak nak balas dendam?” 

“Beberapa jam lepas, ya. Tapi sekarang, mungkin dah tak.”

Izatul Sabrina berdengus. Kakinya mulai melangkah. Lukman pantas mengikuti jejaknya.

“Kau tak nak laporkan kepada polis? Yalah, sebagai perlindungan diri. Siapa nama lelaki tu? Aku yakin dia akan mengacau kau.”

“Saya tahu jaga diri. Risau juga awak kepada saya.”

Izatul Sabrina ketawa sebagai penghibur hati lara.

“Sabrina…” Lukman menghentikan langkah Izatul Sabrina. “Jangan salah faham. Kau muda dan cantik. Kau carilah lelaki yang sesuai untuk kau. Aku risau sebagai seorang kawan dan abang.”

Izatul Sabrina menolak bahu Lukman. 

“Ya, saya tahu. Saya salah menyukai suami orang. Siapa mampu menolak perasaan cinta dan sayang yang tiba-tiba hadir.”

Lukman kasihan melihat wanita itu mengesat air mata. Namun, dia tetap dengan prinsipnya. Cintanya hanya untuk Rina. Mana mungkin diperduakan cinta itu!

“Alang-alang awak ada dekat sini, boleh saya pinjam telefon awak? Saya nak telefon seseorang. Nak tumpang tidur dalam sehari dua. Saya tak berani balik rumah.”

“Rumah sendiri dah macam bukan rumah sendiri. Tak berani pulang,” sindir Lukman. Diberi jua telefon pintarnya.

Jari-jemarinya laju menaip nombor telefon Kalsum. Berdering namun tidak berangkat sehinggalah masuk ke peti suara.

“Dapat?”

“Tak. Hmmm, boleh hantar saya ke sana?”

“Boleh. Aku parking kereta dekat sana.”

Lukman menunjuk ke suatu arah.

Mereka pantas bergerak.


Lukman memandu pulang setelah selesai menghantar Izatul Sabrina ke rumah Kalsum. Semasa berada di persimpangan lampu isyarat, ekor mata Lukman leka memerhati pergerakan sebuah kereta. Tersepit sebahagian kain berwarna coklat pada pintu belakang kereta itu. 

“Dekat tempat duduk belakang, tak ada nampak pula ada penumpang. Jadi, kain apa tu?” 

Lukman cuba mengecam pemandu kereta itu.

“Bertopi… topi itu! Rasanya baru beberapa jam lepas aku melihatnya.”

Tiba-tiba dia tersedar sesuatu. Seingatnya, Izatul Sabrina memakai skrit panjang berwarna coklat!

“Entah-entah, dia!”

Lampu isyarat sudah bertukar hijau. Lukman memecut laju mengejar kereta itu. Dia cuba mengekalkan jarak agar tidak kedapatan. Beberapa kali mendail nombor telefon Kalsum untuk bertanyakan keberadaan Izatul Sabrina.

“Angkatlah!”

Hampa. Panggilan tetap tidak bersahut.


Lukman menutup pintu kereta dengan perlahan. Tidak mahu disedari sesiapa. Diperhatikan sekeliling. Stesen keretapi lama yang sudah ditinggalkan.

Gelap. Dia tidak berani untuk membuka aplikasi lampu suluh menerusi telefon pintar. Mujur sahaja cahaya bulan penuh sedikit membantu penglihatan. Untuk melangkah pun, dia berhati-hati. Daun-daun kering menghasilkan bunyi yang mampu menarik perhatian.

Lukman tiba di kereta yang diekori tadi. Kosong. Pintu belakang terbuka begitu sahaja. Mencari-cari barangan peribadi. Tiada sebarang petunjuk. Lukman segera membidik beberapa foto seperti nombor flat dan keadaan kenderaan.

‘Ke mana mereka pergi?’ Fikirnya. Kemudian, memandang ke bangunan usang. ‘Masuk ke dalam bangunan stesen?’

“Maafkan aku… maafkan aku!” 

Lukman gemuruh mendengar suara merintih bergaung-gaung dalam stesen. Dari luar, dia mengintai. Terlopong besar mulutnya! 

‘Sabrina?’ Terkejutnya bukan main!

Irwan memangku Sabrina. Kaku.

Lukman terundur saat terungkap kecelakaan dialami wanita itu. Darah tidak berhenti mengalir dari kepalanya!

‘Dia hidup atau…’ Lukman sudah seram sejuk. 

“Awak degil sangat tak nak terima cinta saya. Kenapa lelaki tak guna tu juga yang awak cinta?”

Irwan memeluk jasad Sabrina. Tangannya sendiri sudah basah dengan cecair likat merah.

‘Apa aku nak buat sekarang ni? Call polis? Ya, baik aku call polis!’

Baru mahu mendail nombor kecemasan, masuk pula satu pesanan baru daripada Telco. Bergema bunyinya. Lukman menggelabah untuk mematikan bunyinya.

Malangnya, Irwan sudah terlihat akan kelibatnya. Mereka bertembung pandangan. Kaki Lukman kaku. Lukman kemudiannya tersedar. Dia berlari laju.

“Woi!” Irwan mengejar. Mulanya dia tidak mengecam Lukman. 

Lukman terus menghidupkan enjin kereta. Masa inilah Irwan dapat mengecamnya. Mengingatkan Izatul Sabrina menyukai lelaki itu, kemarahan Irwan meluap-luap.

Irwan menumbuk cermin kereta Lukman semasa kereta itu mahu bergerak. Lukman terus memecut. 

“Argh, kurang ajar!” Irwan menjerit sekuat hati. Mesti Lukman sudah melihat segala-galanya. “Mati aku!”


Lukman keluar dari balai polis. Dia baru sahaja selesai membuat laporan polis. Segala bahan bukti telah diserahkan. 

“Harap Sabrina tak apa-apa.”

Tipulah jika hatinya tidak bimbang. Kereta peronda polis terus meluncur laju menuju ke lokasi kejadian. Lukman mengekori mereka. 

Setibanya mereka di sana, jasad Izatul Sabrina terbaring kaku. Kereta Irwan sudah tiada. Lukman tidak berani mendekat. Firasatnya mengatakan wanita itu sudah tidak bernyawa semenjak dari awal lagi.

“Izatul!” Kalsum muncul dengan linangan air mata. Dia terpaksa ditahan oleh pegawai bertugas. Kalsum terpandangkan Lukman. “Kau buat apa di sini? Tak cukup ke luka yang kau hadirkan?”

Tiada kata-kata mampu diucapkan. 

‘Aku benar-benar telah melukakan hati banyak pihak.’

Terbayang-bayang wajah arwah Zahuri dalam keadaan sedih.

Apabila diberitahu Izatul Sabrina sudah meninggal dunia, Kalsum meraung sepenuh hatinya. Dia terlalu sedih sehingga pengsan. 

Dalam tidak sedar, air mata Lukman turut gugur.


Sepanjang perjalanan pulang ke rumah, air mata Lukman tidak pernah berhenti mengalir. 

“Aku tak pernah melayan dia dengan mesra semasa jadi rakan sekerja.”

Lukman meraup wajah. Kejadian hari ini bagaikan mimpi. Dia meluangkan masa sekitar 10 minit di dalam kereta setelah tiba di halaman rumah. Mengimbau kembali kenangan lama semasa bekerjasama.

Sabrina tidak pernah kekok mencuri tumpuannya. Lukman kekal bersikap profesional. Apabila digali semula pemikirannya, barulah teringat pertemua pertama mereka di kafe tempat Sabrina bekerja.

Dalam melayani kesedihan, dia menerima panggilan telefon daripada nombor yang tidak diketahui. Berdehem beberapa kali untuk melancarkan bicara.

“Helo…” 

Suara lelaki terus menengkingnya. “Kau fikir kau akan terlepas?” 

“Siapa ni?” Lukman keluar dari perut kereta.

“Kau cukup bijak untuk meneka siapa aku!”

“Kau dengan Sabrina tadi, kan? Sabrina dah mati!”

“Memang aku bunuh dia. Aku tak sengaja. Tapi, kau yang bunuh jiwanya! Mata dia buta. Dia hanya nampak kau. Aku yang selalu di depan mata dia… dia buat tak nampak je!”

“Lupakan hal itu. Kau dah buat kesalahan besar. Kau ingat berbaloi ke perbuatan kau?”

“Ya. Aku dah terperangkap. Polis mesti tengah cari aku. Sebelum aku jatuh ke tangan polis, aku nak kau menderita!”

“Apa kau nak buat?” Lukman mulai risau. Dia yakin, lelaki itu sudah hilang pertimbangan.

Pemanggil di sebelah sudah bergelak tawa.

“Apa aku nak buat? Macam mana kalau aku buat pasangan kau menderita?”

“Kau gila!”

Panggilan terus tamat. Lukman terus menyerbu rumahnya. Dicari serata sudut di dalam rumah akan kelibat sang isteri.

“Sayang… sayang!” Lukman bagai mahu gila. “Di mana awak, sayang?”

Rina keluar dari bilik air. Dari tadi dia terdengar Lukman menjerit memanggilnya.

“Kenapa awak? Saya sakit perut tadi. Awak… awak menangis?”

Lukman terus menggenggam tangan Rina. Mengigil-gigil Lukman akibat terlalu risau bercampur takut. Dibawa Rina ke dalam pelukannya.

“Saya tak nak kehilangan awak.”

“Awak?”


Previous: Bab 24
Next: Bab 26

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.