Home Novel Cinta AKU TAK SALAH
AKU TAK SALAH
Kamsiah Abu
1/1/2014 18:47:29
79,269
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
BAB 10

Airil Amri dan Norsyazwani berpandangan buat seketika. Hati Norsyazwani terus bergetaran melihat sinar mata Airil Amri yang bagaikan memanah jantungnya.

“Kenapa? Tak boleh ke?...” soal Airil Amri, bertambah nakal.

Norsyazwani hanya membisu. Tidak tahu apa yang harus dijawab.

“Nah, ini saya dah forward gambar saya pada WhatsApp dan email Cik Syazwani untuk simpanan Cik Syazwani pula…” dengan selamba Airil Amri berkata lagi apabila melihat Norsyazwani hanya membisu. Dia terus menekan sesuatu di atas telefon bimbitnya.

Lagi sekali Norsyazwani tergamam. Matanya terus membulat membalas renungan Airil Amri yang kelihatan begitu asyik memerhatikannya. Norsyazwani membiarkan sahaja bunyi telefon bimbitnya yang menandakan ada pesanan yang telah masuk ke dalamnya. Dia tidak mahu membacanya kerana tahu itu adalah pesanan dari lelaki yang ada di hadapannya itu. Norsyazwani benar-benar buntu dengan sikap Airil Amri yang nakal tetapi romantis itu.

“Barulah adil kan? Saya tengok gambar awak dan awak pula tengok gambar saya!..” sambil terus tersenyum penuh menggoda, Airil Amri berkata lagi.

“Encik Amri…”

“Ya!.. okey, kita balik sekarang!.. Tunggu sekejap, saya nak bayar bil ni dulu…”

Airil Amri memintas sambil segera bangun dan bergegas ke kaunter bayaran untuk menyelesaikan bil makanan mereka sebelum sempat Norsyazwani meneruskan kata-katanya. Norsyazwani yang masih keliru dengan tindak tanduk Airil Amri hanya mampu menelan air liurnya sambil memerhatikan lelaki itu ke kaunter bayaran.

Bagaikan lembu dicucuk hidung, Norsyazwani segera melangkah beriringan dengan Airil Amri menuju ke tempat pakir di mana lelaki itu memakirkan keretanya sebaik sahaja dia selesai menguruskan bayaran makanan mereka tadi.

“Dah tengok gambar saya?” kedengaran Airil Amri bertanya ketika keretanya sudah pun meluncur laju di jalan raya menuju ke Subang Jaya.

“Kenapa Encik Amri nak tahu?” soal Norsyazwani dengan nada nakal. Entah kenapa tiba-tiba dia rasa teringin membalas kemesraan dan gurauan lelaki itu.

“Tak adalah… sajer nak tahu, handsome ke tidak!..”

“Buat apa nak tengok gambar kalau dah boleh tengok tuannya sendiri?…” Norsyazwani tertawa kecil.

“Hhmmm… betul juga kata awak tu ya!.. Kalau begitu kenalah saya jumpa awak tiap-tiap hari kan?...” turut terkekeh-kekeh, Airil Amri membalas.

“Encik Amri!...”

“Emm…Emm… saya rasa, mulai dari sekarang tak perlu lagi awak ber’encik-encik’ dengan saya. Formal sangat pulak. Cukup dengan Am sahaja…” Airil Amri segera memintas sebelum Norsyazwani sempat menghabiskan ayatnya.

“Kalau begitu, awak pun jangan nak ber’cik-cik’ dengan saya. Cukup dengan panggilan Wani sahaja. Baru adil…” balas Norsyazwani mengikut rentak lelaki itu.

“Kalau saya panggil Hani bukan Wani, boleh?” semakin nakal Airil Amri, mengusik.

“Hani? Kenapa pulak?” soal Norsyazwani agak keliru.

“Ya, Hani… atau ejaan dalam bahasa Inggerisnya H.O.N.E.Y yang membawa maksud manisku, sayangku…” selamba sahaja Airil Amri menyebutnya.

“Amri!!!..” bagaikan terjerit Norsyazwani segera berpaling memandang ke arah Airil Amri. Menjegilkan biji matanya sambil mengetapkan bibir seolah menahan geram walaupun dia tahu lelaki itu mungkin tidak melihatnya kerana sedang menumpukan perhatiannya ke atas jalan raya yang agak sebuk itu.

Yes, Honey!..” Airil Amri menjawab sambil terkekeh-kekeh. Seronok benar mendengar Nosyazwani menyebut namanya dengan nada geram itu.

Norsyazwani segera menarik nafas dalam-dalam sambil mengeluh. Bagaikan sudah berputus asa melihat gelagat Airil Amri yang tidak sudah-sudah mengusiknya. Namun terdetik juga rasa seronok di hatinya kerana dapat bergurau senda begitu. Perwatakkan Airil Amri yang nakal tetapi romantis itu benar-benar telah menyentuh naluri kewanitaannya.

“Maafkan saya Wani, sekiranya gurauan saya membuatkan awak tidak selesa. Tetapi saya mahu awak tahu bahawa saya amat seronok dapat bersama awak petang ini…”

Kedengaran suara Airil Amri agak lirih memohon ma’af apabila Norsyazwani terus mendiam selepas menarik nafas dalam-dalam tadi. Sempat Airil Amri menjeling ke arah Norsyazwani ketika keretanya sudah mahu masuk ke susur jalan ke kawasan rumah gadis di sebelahnya itu.

Mata mereka bertembung kerana kebetulan Norsyazwani juga sedang memandang ke Airil Amri. Hati Norsyazwani jadi bergetaran tidak menentu. Jiwanya rasa melayang-layang kelemasan apabila melihat jelingan Airil Amri yang begitu romantis dan mempesonakannya.

“Tak mengapa. Saya faham, awak hanya ingin bergurau dengan saya. Saya pun seronok juga dapat berkenalan dengan awak…” akhirnya Norsyazwani berkata, jujur.

“Terima kasih, Hani!.. Am harap Hani tak marah Am memanggil dengan nama itu ya!..” dengan nada penuh mengharap, Airil Amri memohon.

Norsyazwani terkedu. Tidak tahu apa yang harus dikatakan. Lebih-lebih lagi apabila Airil Amri begitu selesa dan mesra menggunakan panggilan Am dan Hani. Bukan lagi saya dan awak seperti sebelum ini. Bagaikan mereka adalah pasangan kekasih yang sedang mabuk bercinta. Adakah dia mencintai aku?... hati kecil Norsyazwani terus bertanya sendirian, namun dia tidak berani menjawab soalan itu.

“Saya tak kisah apa pun Am nak panggil saya, asalkan nama yang baik-baik…” akhirnya Norsyazwani berkata, perlahan.

Airil Amri yang sudah membelokkan keretanya di hadapan rumah sewaan Norsyazwani, segera berpaling memandang Norsyazwani dengan pandangan yang redup dan sayu.

“Alhamdulillah, dan terima kasih kerana sudi menemankan Am sepanjang petang ini. Am harap ini bukanlah yang pertama dan terakhir kita boleh bertemu begini…”

“Saya yang sepatutnya berterima kasih pada Am kerana sudi belanja saya minum dan hantar saya balik sampai selamat ke rumah. InsyaAllah, kalau ALLAH mengizinkan pasti kita boleh bertemu lagi. Terima kasih sekali lagi dan Assalamualaikum…” balas Norsyazwani sambil mahu membuka pintu kereta apabila Airil Amri telah memberhentikan keretanya di hadapan pintu pagar rumah sewaannya.

“Waalaikumussalam. Take care, Honey!...” Airil Amri membalas salam sambil sempat melambaikan tangannya ketika Norsyazwani menutup pintu keretanya.

Airil Amri terus memerhatikan Norsyazwani membuka pagar dan kemudian menutupnya kembali. Mahu memastikan Norsyazwani telah selamat sampai masuk ke dalam rumahnya. Kedengaran Airil Amri membunyikan hon keretanya sebelum enjin keretanya mengaum meninggalkan kawasan perumahan itu. Tanda membalas lambaikan Norsyazwani yang kelihatan mengangkatkan tangannya ke arah Airil Amri sebelum menutup pintu utama rumahnya.

Previous: BAB 9
Next: BAB 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.