Home Novel Cinta AKU TAK SALAH
AKU TAK SALAH
Kamsiah Abu
1/1/2014 18:47:29
79,291
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
BAB 11

Perlahan-lahan Badrul memulas tombol pintu utama rumah banglow mewah itu. Suasana sepi di ruang tamu yang luas menjadikan rumah itu bagaikan tiada penghuni.

“Assalamualaikum!..” Badrul memberi salam sebaik melangkah masuk ke dalam rumah.

“Waalaikumussalam. Awal kamu balik hari ni, Bad…” Datin Seri Baizurah menjawab salam sambil menegur apabila terpandang anak lelakinya itu.

“Bad pergi tengok pameran hartanah tu, jadi letih pula rasanya. Tu yang Bad balik awal tu..” balas Badrul sambil membuka stokinnya sebelum menyuakan tangan untuk menyalami dan mencium tangan ibunya.

“Macam mana sambutan pameran tu? Banyak laku tak?”

“Pameran biasalah. Pengunjung memang ramai, penuh dewan sana sini. Tetapi yang betul-betul nak membeli, belum pasti lagi berapa jumlahnya…” jawab Badrul sambil melabuhkan punggungnya di sofa di sebelah ibunya.

“Kenapa pulak macam tu?” soal Datin Seri Baizurah seolah tidak puas hati.

“Iyalah ma!.. Beli hartanah ni bukannya macam beli goreng pisang harga seringgit dua ringgit. Ramai orang yang berkenan dengan hartanah kita tu, tapi kewangan mereka pula tak mencukupi. Jadi, ramai yang masih perlu berfikir-fikir sebelum buat keputusan…” ujar Badrul yang sudah bersandar di sofa sambil melunjurkan kakinya yang panjang itu seolah mahu melepaskan lelahnya.

“Mungkin syarikat kita letak harga tinggi sangat kot!..” komen Datin Seri Baizurah.

“Mana tingginya, ma?. Banding dengan syarikat lain, hartanah kita adalah yang agak termurah antara yang banyak-banyak tu. Dah semuanya mahal sekarang. Tanah dan bahan binaan semuanya mahal, macam mana kita nak kurangkan harga kalau harga kos pun tak lepas!..” Badrul bagaikan merungut.

“Entahlah, Bad… Mama pun tak tahu nak kata apa. Pandai-pandailah Bad uruskan syarikat tu. Jangan sampai muflis, sudah. Ingat pesanan arwah Tok Wan dulu. Jangan aniaya orang kerana do’a orang yang teraniaya tu dimakbulkan Allah. Jadi, berniagalah dengan jujur dan jangan tipu pembeli. Kebajikan pekerja juga perlu dijaga kerana pekerja yang dedikasi adalah asset penting bagi sesebuah organisasi…”

Bagaikan penceramah motivasi, Datin Seri Baizurah menasihati Badrul. Memang begitulah selalunya wanita separuh abad itu mengikuti perkembangan syarikat milik keluarganya semenjak ayah mertuanya meninggal dunia beberapa tahun lalu dan apabila suaminya Dato’ Seri Hamidun pula jadi lumpuh separuh badan kerana terlibat dalam kemalangan kira-kira enam bulan yang lalu.

“InsyaALLAH, ma. Bad sentiasa ingat pesan arwah Tok Wan. Dan sebab itulah Bad turun juga ke dewan pameran tadi untuk melihat sendiri bagaimana pegawai-pegawai kita melaksanakan tugas-tugas mereka. Oh ya!.. ayah di mana ma? Tak nampak pun dia…”

Badrul memandang sekeliling rumah banglow mewah itu mencari kelibat ayahnya. Selalunya waktu-waktu petang begitu, Dato’ Seri Hamidun suka melakukan senaman ringan di halaman rumah walaupun dari atas kerusi rodanya. Tetapi petang itu Badrul tidak pun melihat kelibat ayahnya ketika dia masuk ke rumah tadi.

“Ayah kamu ada di bilik bacaan. Tadi lepas Zohor dia buat physioterapi, jadi tak sempat nak baca Al-Quran. Ni lepas Solat Asar dia masuk baca Al-Quran lah tu…” ujar Datin Seri Baizurah, sambil memuncungkan bibirnya ke arah bilik yang dimaksudkan.

“Oh!... Bad pun belum Solat Asar lagi. Kalau begitu, Bad naik dulu, ma…” spontan Badrul bangun dan bergegas mahu naik ke biliknya kerana baru tersedar yang dia masih belum melaksanakan tanggung jawab yang wajib itu.

“Eeemmm… baiklah. Lepas solat nanti cepat turun ya. Kita minum petang sama-sama dengan ayah. Mama ada suruh Mek Wah buat cucur jagung kegemaran Bad tu…” Datin Seri Baizurah sempat memberitahu.

“Okey, ma!..” balas Badrul sambil melangkah laju menaikki anak tangga untuk kebiliknya.

Selesai mengerjakan Solat Asar, Badrul segera turun ke bilik bacaan untuk mengajak ayahnya minum petang bersama-sama sebagaimana yang dipesan oleh mamanya tadi.

“Macam mana ayah hari ni? Ada improvement tak pada kaki ayah tu?”

Badrul bertanya Dato’ Seri Hamidun ketika menolak kerusi roda ayahnya itu ke ruang anjung rumah banglow mewah itu. Mereka anak beranak memang lebih suka minum petang di ruang anjung dari di dalam rumah, menikmati udara nyaman yang sepoi-sepoi bahasa itu.

“Alhamdulillah. Yang belah kanan ni dah boleh digerakkan sikit-sikit. Tetapi masih tak boleh nak angkat sendiri lagi…” ujar Dato’ Seri Hamidun.

“Eeemmm… tak mengapalah, yah. Pelan-pelanlah ayah exercise tiap-tiap hari. Insya-ALLAH satu hari nanti pasti ayah akan pulih dan boleh berjalan kembali seperti dulu. Bad sentiasa do’akan agar ayah cepat sembuh…” sambil mengusap lengan ayahnya, Badrul memujuk.

“InsyaALLAH. Hah!... macam mana orang yang ayah suruh cari tu? Dah jumpa?...” dengan nada teruja, Dato’ Seri Hamidun bertanya.

Badrul hanya menarik nafas dalam-dalam sebelum melepaskannya perlahan-lahan.

“Masih tak dapat ke, Bad?” Datin Seri Baizurah pula menyampuk apabila melihat Badrul bagaikan mengeluh.

Perlahan-lahan Badrul menggeleng. Riak terkilan jelas terbayang di wajahnya.

“Sampai bila kita nak dapat jumpa dia, ya bang? Arwah ayah pun dah nak masuk tiga tahun meninggalkan kita tapi kita masih tak jumpa-jumpa lagi orang tu. Apa yang harus kita buat lagi sekarang ni ya?...” getus Datin Seri Baizurah agak kecewa.

“Macam mana dengan orang suruhan kita tu Bad?” soal Dato’ Seri Hamidun, sambil mendongak memandang satu-satunya anak lelakinya.

“Dia masih berusaha, yah!.. Dia kata susah betul nak cari kerana semua keluarga tu sudah tidak lagi tinggal di kampung tu. Ada jirannya yang dekat tu pun tak tahu di mana keluarga tu tinggal sekarang kerana sejak tujuh tahun dulu, apabila bapanya mulai sakit-sakit, anak-anaknya bawa mereka suami isteri tinggal dengan mereka. Tetapi entah di mana kerana mereka pun tidak memberi tahu jiran-jiran mereka…” perlahan sahaja suara Badrul memberitahu.

“Mungkin anak perempuannya yang dikatakan oleh Arwah Tok Wan kamu tu dah lepas sekolah sekarang ni. Entah-entah dah lepas universiti agaknya…” dengan nada lirih, Dato’ Seri Hamidun mengagak.

“Iyalah tu agaknya, bang. Kalau tidak takkanlah arwah ayah sampai berwasiat begitu semasa dia sakit-sakit empat tahun lepas…” sampuk Datin Seri Baizurah pula.

“Tapi ma…”

“Tapi apa Bad?”

“Kenapa Tok Wan buat wasiat macam tu? Sampai bila Bad kena tunggu macam ni?...” kedengaran suara Badrul lirih seolah merintih.

“Kenapa merungut ni, Bad?.. Bad tak kesihan pada ayah dan mama ke?..” dengan nada lirih juga Datin Seri Baizurah mengusap lembut bahu anak lelakinya itu.

“Kenapa Bad yang terpaksa menanggung semua bebanan itu? Sedangkan kisah itu adalah antara Tok Wan dengan datuk gadis itu!.. Mama tahu tak macam mana perasaan Bad sekarang?”

Walaupun perlahan, namun riak kecewa dan sedih amat jelas kedengaran dalam suara Badrul. Itu bukanlah pertama kali dia meluahkan perasaan tidak puas hatinya itu, malah telah acap kali sejak datuknya meninggal dunia dahulu. Tetapi tiada apa yang dapat ayah dan mamanya lakukan selain cuba memujuk dan mententeramkan hatinya.

“Sabarlah Bad… Kita usahakanlah lagi. Mama yakin, InsyaALLAH kita pasti akan dapat jumpa keluarga tu juga satu hari nanti...” Datin Seri Baizurah terus memujuk Badrul.

Sementara Dato’ Seri Hamidun hanya mampu menelan liurnya. Turut simpati dengan anak lelakinya itu.

“Tapi, macam mana Bad nak terima cucu perempuan dia tu, sedangkan Bad tak pernah jumpa dia lagi? Lagi pun…” Badrul bagaikan terputus kata-kata.

“Lagi pun apa, Bad?” Dato’ Seri Hamidun pula menyoal.

“Lagi pun… Bad… Bad… hati Bad sudah dicuri oleh perempuan lain…”

Dengan agak tergagap-gagap akhirnya Badrul mengakui. Dia sudah tidak sanggup lagi menyimpan perasaan yang dipendamnya selama ini. Perasaan yang amat menyiksakan naluri dan jiwa raganya.

“Maksud Bad?...” Datin Seri Baizurah membeliakkan biji matanya.

“Bad sudah jatuh hati pada seorang gadis yang Bad rasa akan dapat membahgiakan Bad sehingga akhir hayat. Bad nak kahwin dengan gadis itu!…” tanpa mahu lagi berselindung, Badrul berterus terang.

Terbayang di tubir mata Badrul wajah polos Norsyazwani yang ayu sedang tersenyum mesra, penuh kemanjaan, yang sentiasa mendebarkan hati dan nalurinya.

“Badrul!!!...” Datin Seri Baizurah bagaikan terjerit.

Dato’ Seri Hamidun yang turut terkejut dengan pengakuan Badrul itu segera mendongak. Memandang tepat ke arah anak lelakinya itu. Namun mulutnya sendiri bagaikan terkunci kerana tidak tahu apa yang harus dikatakannya apabila terpandang anak mata Badrul yang jelas membayangkan rasa sendu dan kecewa.

Sebagai seorang lelaki, Dato’ Seri Hamidun dapat memahami segala gelodak rasa yang sedang dialami oleh Badrul. Namun dia sendiri tidak mampu berbuat apa-apa apabila wasiat arwah bapanya itu bagai memenjarakan mereka anak beranak dalam situasi diluah mati emak ditelan mati bapa. Lebih-lebih lagi dalam keadaan dia sendiri memerlukan perbelanjaan perubatan yang tinggi ketika ini.

“Tapi ma… sampai bila Bad terpaksa menahan perasaan Bad begini? Umur Bad dah semakin meningkat dan bukannya muda lagi. Ramai kawan-kawan yang sebaya dengan Bad dah berumah tangga. Tapi Bad masih terumbang ambing keseorangan, menahan perasaan sendiri hanya kerana kita perlu memenuhi wasiat arwah Tok Wan!..” agak tegang nada suara Badrul.

Datin Seri Baizurah merenung wajah Badrul yang agak mencuka itu dengan pandangan yang sayu. Hatinya agak tersentuh. Hakikatnya Datin Seri Baizurah sendiri merasa amat belas dengan keadaan satu-satunya anak lelakinya itu.

Oh, Ya ALLAH… zalimkah aku kerana mementingkan diri sendiri sehingga menyiksa batin anakku ini? Tapi… aku lakukan semua ini adalah untuk kebaikkannya juga!.. Tolonglah kami, Ya ALLAH. Berilah kami jalan penyelesaian kepada perkara yang sedang membelenggu kami ini… Dengan hati yang rawan, Datin Seri Baizurah sempat berdoa dalam hati sebelum menarik nafas dalam-dalam. Seolah mencari lebih oksigen untuk membolehkan dia terus bernafas.

“Tapi Bad… Apa yang kita nikmati sekarang ini adalah hasil usaha arwah Tok Wan. Kalau kita tidak ada semua ini, adakah Bad fikir gadis yang Bad cinta itu mahu pada Bad?...” akhirnya Datin Seri Baizurah berkata seolah sengaja mahu mengingatkan Badrul.

“Iya Bad… dalam keadaan ayah begini, kita tak mampu berbuat apa-apa, selagi semua ini belum sah jadi milik kita. Surat wasiat Tok Wan itu adalah sah di sisi undang-undang!…” Dato’ Seri Hamidun terhenti seketika seolah melepas lelah.

“Lagi pun ayah dan mama dah berjanji depan Tok Wan dulu untuk memenuhi segala apa yang diwasiatkan itu. Jadi kami tak mahu segala apa yang kita ada nanti tidak diredhai ALLAH sekiranya kami mungkir janji. Kalau Bad dah tak sanggup lagi meneruskan usaha mencari keluarga itu, sanggupkah Bad melihat ayah dan mama kehilangan segalanya?…” dengan nada yang lirih dan sendu, Dato’ Seri Hamidun berkata selanjutnya.

“Tapi yah… bukankah kita ada 20% saham dalam Teguh Sejati Holding?”

“Betul…”

“Jadi apa yang ayah dan mama khuatirkan?...”

“Bad, 20% tak banyak mana pun. Kalaulah kita tak dapat menunaikan wasiat Tok Wan tu, maka kita akan kehilangan yang lagi 80%. Jadi kita tidak punya apa-apa kuasa lagi dalam Teguh Sejati Holding tu…” Datin Seri Baizurah segera berkata.

“Bad kan ada sebagai Ketua Pegawai Kewangan dan Pengarah Operasi. Jadi kita masih boleh melaksanakan kuasa kita di situ. Lagi pun ayah dan mama kan masih lagi Pengerusi dan Lembaga Pengarah Eksekutif di syarikat tu. Jadi kita masih punya hak di Teguh Sejati Holding!..” ujar Badrul pula seolah tidak berputus asa.

“Iyalah, sekarang ni ayah dan mama masih memegang kuasa berdasarkan kita masih tidak melanggar sebarang syarat dalam wasiat itu. Tetapi kalau Bad berkahwin dengan perempuan lain selain gadis yang Tok Wan wasiatkan tu, kita telah melanggar syarat. Dan dengan secara langsung kita akan kehilangan semua hak yang ada sekarang. Tak kan Bad tak faham apa yang diingatkan oleh peguam tu dulu!..” walaupun dengan suara yang agak termengah-mengah, Dato’ Seri Hamidun mengingatkan bagaikan memberi amaran.

“Huh!..”akhirnya kedengaran Badrul mengeluh dengan penuh kekecewaan. Matanya terus memandang jauh ke taman mini di hadapan rumah banglow mewah itu dengan pandangan yang sendu dan pilu. Jiwa dan naluri Badrul semakin terseksa. Namun demi kasih sayangnya terhadap ayah dan mamanya, sekali lagi Badrul terpaksa mengorbankan hasrat yang membuak-buak itu
Previous: BAB 10
Next: BAB 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.