Ramai
pelanggan yang kelihatan keluar masuk ketika Norsyazwani dan Airil Amri tiba di
restoran itu tadi. Mungkin restoran itu adalah satu-satunya restoran yang ada
berhampiran pusat pameran itu. Nasib baik ada satu meja yang masih kosong di
satu sudut di tepi dinding.
Tanpa
berlengah, segera Airil Amri menarik salah satu kerusi yang ada di situ dan
mempelawa Norsyazwani duduk sebelum dia sendiri duduk di kerusi yang
bersetentangan.
“Kenapa
Encik Amri beriya-iya benar nak belanja saya minum ni?” Norsyazwani merisik.
Airil
Amri yang sedang mahu menghirup minumannya segera mendongak. Merenung tepat ke
anak mata Norsyazwani yang duduk di hadapannya itu dengan penuh minat. Tidak
ada riak mahu menjawab soalan gadis itu. Perlahan-lahan terukir senyuman nakal
di bibirnya. Seolah seronok kerana berjaya memujuk Norsyazwani untuk minum
dengannya petang itu.
“Encik
Amri!..”
“Eeemmm…”
“Dengar
tak apa yang saya tanya?” Norsyazwani bertanya agak serius. Bagaikan tidak
senang dengan sikap Airil Amri yang sengaja mahu mengusiknya.
“Hoi…
seriusnya!.. Relex lah… Minumlah
dulu, nanti sejuk pulak air tu…” sambil terus tersenyum nakal, Airil Amri membalas.
Norsyazwani
hanya menarik nafas dalam sambil menjeling tajam ke arah Airil Amri. Cuba
memprotes kerana lelaki itu masih belum menjawab soalannya. Namun sempat juga
Norsyazwani mengangkat gelas minuman yang ada di hadapannya lalu menghirupnya
perlahan-lahan.
“Cik
Syazwani, kenapa serius sangat ni? Salah ke kalau saya belanja minum sambil
kita berbincang-bincang? Saya tahu, kalau waktu bertugas awak tak boleh nak
layan saya lama-lama kerana ramai pelanggan lain yang nak juga berbincang
dengan awak…” dengan suara yang agak lirih, Airil Amri berkata lagi apabila
Norsyazwani terus membisu.
Norsyazwani
terkesima. Terasa dirinya yang agak keterlaluan menunjukkan emosinya tadi
walaupun pada mulanya dia hanya ingin merisik mengapa Airil Amri boleh begitu
cepat mesra dengannya. Akukah yang perasan dan syok sendiri, sedangkan dia
tidak berniat apa-apa pun!.. hati kecil Norsyazwani berbisik, malu.
“Ma’af.
Saya bukannya apa… Saya cuma bimbang ianya akan melanggar etika kerja saya
kerana...”
Norsyazwani
bagaikan terputus kata-kata apabila matanya bertembung dengan mata Airil Amri
yang merenungnya tajam. Seolah lelaki itu tidak dapat menerima apa yang
dikhuatiri oleh Norsyazwani itu.
“Syarikat
kami tidak membenarkan pegawai-pegawai kami menerima sebarang pemberian dari
pelanggan atau pun suppliers.Kerana
dikhuatiri perkara begitu boleh membuka ruang kepada rasuah dan sebagainya. Perkara
yang oleh menjejaskan mutu perkhidmatan kami…” dengan berhati-hati Norsyazwani
cuba terus menjelaskan.
“Saya
tidak nampak kita minum bersama ini akan melanggar etika kerja Cik Syazwani.
Kita tidak ada apa-apa kepentingan pun. Saya bukannya pelanggan atau supplier syarikat Teguh Sejati Holding...”
Airil Amri menelan air liurnya sebelum meneruskan kata-katanya.
“Salahkah
kalau seorang sahabat nak belanja sahabatnya yang baru balik kerja, minum
petang bersama?” Soal Airil Amri sambil merenung tepat ke mata Norsyazwani.
Norsyazwani
terkedu. Perlahan-lahan dia menggeleng.
“Jadi
saya rasa Cik Syazwani tidak perlu risau apa-apa pun kerana apa yang kita buat ni
tidak menyalahi sebarang etika kerja!…” agak tegas kedengaran suara Airil Amri
terus mempertahankan tindakannya itu.
Norsyazwani
hanya membisu. Tidak tahu apa yang harus dikatakan kepada Airil Amri kerana apa
yang dikatakan lelaki itu ada juga betulnya. Perlahan-lahan Norsyazwani
mengangguk-ngangguk tanda memahami apa yang dikatakan oleh Airil Amri.
“Terima
kasih banyak-banyak kerana Encik Amri benar-benar ikhlas belanja saya minum. Saya
minta ma’af kalau pertanyaan saya tadi telah menyinggung hati Encik Amri…” akhirnya
Norsyazwani berkata perlahan, cuba mengembalikan suasana harmoni antara mereka.
Airil
Amri merenung wajah polos yang bertudung litup itu dengan penuh asyik bagaikan
ada sesuatu yang menarik minatnya. Senyuman mesra terus terukir di bibirnya
bagaikan seronok benar kerana Norsyazwani telah boleh menerima tindakkannya.
“Tiada
apa yang nak diterima kasihkan kerana tak ada apa sangat pun yang saya belanja
awak. Takat minum teh tarik dengan roti canai kosong ni, apalah sangat!.. Tapi
saya seronok sangat sebab dapat berkenalan lebih rapat dengan awak…” balas
Airil Amri, riang.
“Berkenalan
lebih rapat?”
“Ya!..
saya mahu mengenali Cik Syazwani. Bukan sekadar sebagai Pegawai Pemasaran Teguh
Sejati Holding tetapi sebagai seorang teman wanita yang saling memahami hati
budi kita masing-masing…” tanpa mahu berselindung, Airil Amri menyatakan
niatnya.
Norsyazwani
tergamam mendengar pengakuan Airil Amri itu. Dengan mata yang membulat
Norsyazwani terus merenung Airil Amri tanpa berkelip-kelip. Cuba menganalisa
apa maksud sebenar yang tersirat dalam kata-kata lelaki itu.
Tanpa
mengendahkan reaksi Norsyazwani itu, Airil Amri mengenyitkan matanya sambil terus
mengukir senyuman mesra. Menentang tenungan gadis yang di hadapannya itu dengan
penuh minat. Bagaikan sengaja mahu mencabar emosi Norsyazwani.
Jantung
Norsyazwani bagaikan terhenti berdenyut melihat senyuman Airil Amri. Tidak
dinafikan ia boleh mencairkan perasaan kewanitaannya. Perlahan-lahan dia
menelan liurnya.
“Apa
yang buat Encik Amri mahu mengenali saya dengan lebih rapat? Saya bukanlah
sesiapa pun. Hanya seorang gadis kampung yang cuba mencari rezeki halal di
Kuala Lumpur ini..” akhirnya Norsyazwani berkata, lirih.
“Gadis
kampung yang bijak. Yang mempunyai keistimewaannya tersendiri… ” pintas Airil
Amri. Jelas kedengaran ikhlas, memuji.
“Jangan
memuji saya terlalu tinggi Encik Amri. Teruk saya nanti kalau jatuh, tiada
siapa nak angkat..” Entah kenapa Norsyazwani tiba-tiba rasa teringin membalas
usikan lelaki itu.
“Saya
kan ada!.. Apa nak disusahkan?.. Kalau setakat Cik Syazwani yang kecil molek
tu, bila-bila masa saya boleh dukung!..” balas Airil Amri pula sambil terus
tersenyum nakal.
Lagi
sekali Norsyazwani menjeling tajam ke anak mata Airil Amri sambil mengetapkan
bibirnya. Seolah sedang menahan geram. Bagaimana pun Airil Amri yang terus
tersenyum nakal itu hanya mengangkat-ngangkatkan keningnya. Tanda sentiasa
bersedia dengan apa sahaja reaksi gadis itu selanjutnya.
Jelingan
tajam Norsyazwani itu bagaikan tidak langsung memberi bekas di hati Airil Amri.
Malah senyumannya semakin melebar. Melihat Norsyazwani masih membisu, sekali
lagi Airil Amri mengenyitkan matanya
seolah mencabar gadis itu untuk bersuara. Norsyazwani yang merasa lucu akan
reaksi nakal Airil Amri itu tidak dapat lagi menahan derai tawanya. Lalu
akhirnya turut tertawa terkekeh-kekeh.
“Betul
ke Encik Amri larat nak dukung saya? Saya ni nampak ajer kecil tetapi berat
tau!...” ujar Norsyazwani dengan suara yang perlahan apabila tawanya telah
reda.
“Belum
cuba belum tahu…” balas Airil Amri selamba, semakin berani.
“Eeemmm…
dah, dah, dahh… kang ke mana pulak melarutnya kita ni. Eeerrr…Encik Amri kata
tadi nak bincang dengan saya, pasal apa tu?” Norsyazwani segera menukar tajuk
apabila melihat Airil Amri semakin galak mahu bergurau dengannya.
Airil
Amri merenung tepat ke anak mata Norsyazwani dengan penuh minat bagaikan baru
pertama kali bertentang mata, tanpa mengendahkan pertanyaan gadis itu.
“Encik
Amri…” Norsyazwani segera menegur apabila lelaki itu terus merenungnya tanpa
sebarang suara.
“Eeemmm…”
“Tak
sangka Encik Amri suka berkhayal…” sindir Norsyazwani.
“Bukan
berkhayal tetapi menikmati sesuatu kecantikan ciptaan Allah…”
“Apa
dia?” Norsyazwani segera memandang sekeliling, mencari apa yang dimaksudkan
oleh Airil Amri.
“Sesuatu
yang saya mengharapkan akan mendapatkannya ketika pertama kali saya
melihatnya!..” balas Airil Amri sambil terus merenung wajah Norsyazwani dengan
penuh asyik.
Berdetup
jantung Norsyazwani mendengar kata-kata Airil Amri itu. Adakah aku yang
dimaksudkannya?... Hati kecil Norsyazwani terus bertanya-tanya sendirian.
“Tapi,
apa kena mengenanya benda itu dengan saya?” risik Norsyazwani.
“Because it is about you and me!..”
sambil menunjukkan jarinya ke arah Norsyazwani dan kemudian kembali kepadanya,
Airil Amri berkata dengan nada yang riang.
“You and me?” Norsyazwani menjegilkan
matanya, semakin keliru.
“Ya!..
you and me. Awak dan saya!..” Airil
Amri mengulangi sambil menekankan suaranya.
“Oooh!..
saya benar-benar tak faham apa maksud awak, Encik Amri…” Norsyazwani bagaikan
mengeluh, kesal.
“Tak
mengapalah kalau Cik Syazwani tidak memahaminya sekarang. Satu hari nanti pasti
Cik Syazwani akan memahaminya. Eeemmm… habiskanlah roti canai tu. Kalau dah
sejuk tak sedap pulak nanti…” ujar Airil Amri agak terkilan dengan keluhan Norsyazwani
itu.
Norsyazwani
hanya mampu mengangguk dan kemudian turut menghabiskan roti canainya apabila
melihat Airil Amri juga menyuap mee gorengnya dengan penuh selera.
“Cik
Syazwani tinggal di mana?” Airil Amri bertanya ketika meletakkan sudu dan garpunya
kembali ke pinggan yang sudah kosong.
Norsyazwani
mendongak, menatap wajah lelaki yang duduk di hadapannya itu dengan tidak
berkelip-kelip. Cuba menganalisa niat lelaki itu sambil mencari rasional samada
dia perlu menjawab soalan yang ditanya.
“Subang
Jaya…” bagaikan dipukau, jawapan itu meluncur laju dari mulut Norsyazwani
sebelum sempat dia memikirkan rasionalnya.
“Dengan
keluarga?”
“Tak!..
rumah sewa bersama dua orang kawan lain…”
“Oooh!..
Emak ayah di mana?”
“Emak
ayah dah tiada…”
“Meninggal?”
Norsyazwani
hanya mengangguk lemah sambil menghirup minumannya yang masih bersisa. Malas
rasanya bercerita hal-hal keluarganya kepada orang yang baru dikenalinya.
“Oh,
ma’afkan saya kalau soalan saya itu membuat Cik Syazwani sedih…”
“Tak
mengapa… Dah itu takdir ALLAH…” balas Norsyazwani, bersahaja.
Airil
Amri terus merenung wajah yang polos itu tanpa jemu.
“Eeemmm…
kasihan saya mendengarnya. Habis tu Cik Syazwani sorang diri sajer ke di Kuala
Lumpur ni?” Airil Amri merisik lagi.
“Taak!..
Abang long saya ada tinggal di Damansara…” satu ditanya, satu dijawab oleh
Norsyazwani..
Airil
Amri pula mengangguk-ngangguk seolah sedang menghayati jawapan Norsyazwani.
“Encik
Amri… saya rasa dah agak lama juga kita di sini. Jadi saya nak minta diri dulu.
Takut kalau balik lewat-lewat nanti, terlepas pula waktu magrib di rumah…” melihat
Airil Amri yang masih membisu, segera Norsyazwani memohon sambil melihat jam
tangannya.
Airil
Amri turut melihat jam tangannya dan kemudian mengangguk-ngangguk seolah
menyetujui apa yang dirisaukan oleh Norsyazwani itu. Mata mereka bertembung dan
bertautan buat seketika apabila Norsyazwani yang berkira-kira mahu bangun
terpaksa duduk kembali kerana terdengar telefon bimbit Airil Amri tiba-tiba
berdering-dering minta di jawab.
Sebagai
menghormati kawan yang telah bermurah hati membelanjanya minum, Norsyazwani
mematikan niatnya untuk bangun, sebaliknya terus duduk sambil memerhatikan lelaki
itu menjawab telefonnya.