“Untuk
apa ni?” soal Norsyazwani, hairan.
“Untuk
mendaftarkan nama kita sebagai peserta kursus yang dianjurkan oleh Pusat Islam
pada setiap hujung minggu…” dengan nada bersahaja Airil Amri menjelaskan.
“Peserta
kursus? Saya tak pernah pun memohon untuk mengikuti kursus perkahwinan. Nak
buat apa? Saya belum lagi nak kahwin!...” balas Norsyazwani, semakin keliru.
“Memang
Hani tak pernah mohon tetapi Am yang nak ajak Hani ikuti kursus tu…”
“Iyalah…
tapi untuk apa?” pintas Norsyazwani.
“Kursus
perkahwinan, untuk persediaan berkahwinlah. Takkanlah untuk naik pangkat
pulak…” semakin nakal Airil Amri mengusik.
Norsyazwani
tergamam. Merenung tepat ke dalam anak mata Airil Amri. Benar-benar keliru
dengan tindak tanduk Airil Amri yang tidak pernah diduganya itu. Adakah dia
bermaksud mahu berkahwin dengan ku? Mustahil!.. Kami baru sahaja berkenalan dan
belum pun mengenali hati budi masing-masing… Hati kecil Norsyazwani terus
bertanya-tanya sendirian.
“Kenapa
Hani? Masih keliru?” soal Airil Amri seolah menduga.
Mengangguk
tidak, menggeleng pun tidak. Norsyazwani terus merenung dalam ke anak mata
Airil Amri tanpa sebarang suara. Cuba mentafsir apa yang tersirat di sebalik
sinaran mata yang hening dan romantis itu.
“Kan
tadi Hani tanya, macam mana Am nak melindungi Hani kerana kita bukan mahram.
Jadi, untuk Am menjadi mahram Hani yang sah, kenalah kita diijab kabulkan. Dan
sebab itu juga kita kenalah menghadiri kursus perkahwinan tu segera…” jelas
kedengaran keriangan dalam nada suara Airil Amri.
“Awak
sedar ke apa yang awak cakap ni?” Norsyazwani seolah menyergah.
“Of course Am sedar!... Am bukannya mabuk
sekarang ni…” bagaikan tiada apa yang memeranjatkannya, Airil Amri
menjawab.
“Huh!...”
kedengaran Norsyazwani mendengus keras sambil berpaling memandang ke luar
restoran seolah bosan dengan sikap dan reaksi Airil Amri yang bersahaja itu.
Nasib baik mereka duduk di sudut yang agak jauh dari pelanggan lain, maka tiada
siapa pun yang sedar apa yang sedang berlaku antara mereka berdua itu.
“Kenapa
Hani? Salah ke apa yang Am cakap tu?”
“Tak
salah, tapi awak ingat saya ni anak ayam ke? Senang-senang sajer awak cakap
pasal nak berkahwin!...” agak tegang kedengaran suara Norsyazwani.
“Sebab
Hani bukan anak ayamlah, maka Am nak ambil Hani dengan cara terhormat iaitu
melalui Ijab Kabul. Kalau anak ayam, Am terus ambil bawa lari sajer!...” dengan
suara yang agak tegang juga Airil Amri terus mempertahankan tindak tanduknya.
“Huh!..
Awak ni memang tak faham ke?” dengan mata yang membuntang sambil mengetapkan
bibirnya, Norsyazwani bertanya semakin geram.
Mata
mereka bertautan. Seorang dengan biji mata yang membulat membayangkan perasaan
geram yang sedang bergelora dalam hatinya, sementara mata yang seorang lagi
jelas membayangkan rasa riang dan teruja.
“Hani…
Am tahu bahawa Am mungkin bertindak di luar dugaan Hani. Tetapi macam yang Am
dah cakap pada Hani kelmarin, Hani mempunyai sesuatu keistimewaan yang
membuatkan Am mahu memilikkinya. Mungkin tempat dan masa sekarang ini tidak
berapa sesuai tetapi…”
“Tetapi
apa?” Norsyazwani memintas tidak sabar.
“Tetapi
Am mahu Hani tahu juga yang Am memang benar-benar mahu melamar Hani dan
berkahwin dengan Hani. Sudikah Hani menjadi isteri Am yang sah?...”
Sambil
menghulurkan kedua telapak tangannya di atas meja seolah mahu memberikan
sesuatu kepada Norsyazwani, tanpa mahu lagi berteka-teki, Airil Amri melamar
gadis yang duduk di hadapannya itu dengan suara yang lirih.
Lagi
sekali Norsyazwani tergamam. Mulutnya bagaikan terkunci. Jantungnya bagaikan berhenti
berdenyut sehingga membuat paru-paru Norsyazwani terasa agak ketat untuk terus
berfungsi. Norsyazwani terpaksa menarik nafas dalam-dalam seolah mencari lebih
oksigen untuk membolehkan dia terus bernafas.
“Tidak!...”
akhirnya terpancul juga perkataan itu dari mulut Norsyazwani.
Airil
Amri terus merenung anak mata Norsyazwani dengan renungan yang tajam.
“Mengapa?
Tidak layakkah Am menjadi suami Hani?” soal Airil Amri, seolah mendesak.
Kelihatan
Norsyazwani menarik nafas panjang sebelum melepaskannya perlahan-lahan dan
kemudian memandang kembali ke arah Airil Amri yang seolah setia menunggu
jawapannya.
“Kita
belum kenal hati budi masing-masing. Saya tidak mahu membuat keputusan
terburu-buru begini. Macam yang awak pernah cakap, beli rumah bukannya macam
beli goreng pisang. Ia perlu difikirkan betul-betul dengan mengambil kira
beberapa faktor. Jadi…”
“Jadi
apa?” Airil Amri segera memintas seolah tidak sabar.
“Perkahwinan
juga bukanlah macam main pondok-pondok yang boleh dibena bila suka dan diruntuhkan
bila-bila masa kalau tak sesuai. Walaupun ianya sesuatu yang disyariatkan dalam
Islam bagi mereka yang sudah layak tetapi ALLAH juga mengingatkan kita agar
memilih pasangan yang dapat memberi kebahgiaan kepada kita di dunia dan
akhirat. Dengan itu kita harus memikirkan beberapa faktor dahulu sebelum menerima
siapa sahaja bakal pasangan kita…” ujar Norsayzwani cuba memberi
justifikasinya.
“Betul…
ALLAH memberi kita peluang untuk memilih pasangan hidup kita sendiri, tetapi
Hani jangan lupa bahawa ALLAH juga yang menentukan jodoh seseorang itu.
Sekiranya ALLAH berkehendak bahawa jodoh Am adalah dengan Hani, maka tiada
siapa yang dapat menghalangnya…” Airil Amri pula memberikan hujjahnya.
Norsyazwani
terkedu seketika. Oh!.. lelaki ini bukanlah sebarangan orang yang boleh aku
patahkan hujjah-hujjahnya!.. Aku perlu mempunyai kekuatan jati diri dan fakta
yang tepat untuk berhujjah dengannya!..
hati kecil Norsyazwani berbisik sendirian seolah mengingatkannya.
“Tapi
kita hidup bermasyarakat yang penuh dengan adap sopan dan budaya. Saya bukan
hidup sebatang kara. Saya masih ada wali yang berkuasa atas diri saya. Lagi
pun…” Norsyazwani cuba mempertahankan justifikasinya namun bagaikan terputus
kata-kata.
“Lagi
pun apa?” pintas Airil Amri.
Sambil
terus merenung lelaki yang duduk di hadapannya itu, Norsyazwani menelan air liurnya
bagaikan cuba melicinkan sesuatu yang tersekat di kerongkongnya untuk
menyatakan apa yang sedang berputar di fikirannya.
“Awak
tidak mencintai saya dan saya tidak mencintai awak!…” akhirnya Norsyazwani
meluahkan walaupun hakikatnya dia sendiri agak keliru dengan perasaannya
terhadap lelaki itu.
“Cinta
boleh dipupuk selepas kahwin. Malah itu lebih afdal dari cinta yang disemai sebelum
ada ikatan yang sah…” balas Airil Amri pula bersungguh-sungguh.
“Tapi,
apabila seseorang itu berkahwin dia bukan sahaja berkahwin dengan pasangannya,
sebaliknya yang lebih afdal ialah dia juga diibaratkan berkahwin dengan seluruh
keluarga pasangannya itu…”
“Jadi?”
soal Airil Amri seolah tidak sabar.
“Bagaimana
kita mahu mendapat keberkatan dalam perkahwinan ini jika tiada seorang pun dari
keluarga kita yang tahu atau merestui niat awak itu? Emak awak tahu ke pasal
niat awak tu? Dapatkah dia menerima saya sebagai menantunya sedangkan dia tidak
pernah kenal saya!..” bagaikan peluru mechine-gun Norsyazwani bertanya agak
emosional.
Airil
Amri hanya tersenyum nakal mendengar soalan Norsyazwani yang bertubi-tubi itu.
“Hani…
Hani tidak perlu risau tentang emak Am. Dia seorang wanita yang baik dan amat
memahami hati anak lelakinya. Dia sentiasa bersedia menerima siapa sahaja
sebagai anak menantunya asalkan perempuan itu dapat membahgiakan Am!... Infact, Am memang sudah bercadang nak
bawa Hani balik ke rumah Am selepas ini untuk memperkenalkan Hani kepada emak
Am…”
Terus
dengan senyuman mesra di bibirnya, Airil Amri menjawab tanpa ada sebarang riak
risau atau bimbang akan perkara yang dibangkitkan oleh Norsyazwani itu.
Sebaliknya Norsyazwani yang mengerutkan dahinya seolah tidak percaya dengan
segala perancangan rapi lelaki itu terhadapnya.
“Oh!..
Awak memang sudah melampau!..” bidas Norsyazwani, geram.
“Apa
yang melampau? Salahkah Am nak membawa Hani bertemu dengan emak Am di rumah? Am
bukan nak bawa Hani ke kelab malam atau pun ke disko…” dengan nada yang
bersahaja tetapi amat yakin, Airil Amri membalas.
“Oh!...
Tolonglah… walau pun saya anak yatim piatu tetapi saya masih punya abang yang
bertanggung jawab dan juga wali yang sah pada diri saya. Jangan buat umpama
saya ni tiada wali atau pun adik beradik yang bertanggung jawab ke atas diri
saya. Abang saya perlu tahu perkara ini sebelum sebarang keputusan boleh
dibuat…” bagaikan sudah bosan dengan putar belit Airil Amri, Norsyazwani
menyarankan.
“Okey,
okey… Am faham apa maksud Hani. Sebab itulah Am nak bawa Hani jumpa emak dan
adik Am supaya Hani boleh berkenalan dengan keluarga Am. Kemudian Hani nilailah
sendiri samada mereka layak menjadi keluarga Hani atau tidak. Setelah itu, Am
akan dengan senang hati bertemu pula dengan abang Hani untuk menguruskan urusan
seterusnya…” bagaikan memujuk, Airil Amri pula mencadangkan.
Norsyazwani
bagaikan hilang kata-kata untuk mematahkan setiap apa yang dicadangkan oleh
Airil Amri. Hakikatnya semua yang dicadangkan oleh Airil Amri itu memanglah sesuatu
yang baik namun apa yang Norsyazwani risaukan ialah tentang perasaan lelaki itu
terhadapnya. Belum sekelumit pun Airil Amri menyebut tentang perasaannya yang
sebenar terhadap Norsyazwani walaupun beberapa kali Norsyazwani cuba memprovokasi.
“Macam
mana, Hani? Boleh ke Am bawa Hani ke rumah Am lepas ni?” kedengaran Airil Amri
mengulangi cadangannya apabila melihat Norsyazwani hanya membisu.
“Boleh
tak beri saya sedikit masa untuk memikirkannya?”
“Berapa
lama?”
“Seminggu
dua…”
“Mengapa
perlu begitu lama?” Airil Amri seolah benar-benar tidak sabar.
“Macam
saya cakap tadi, perkahwinan ini bukanlah macam main pondok-pondok. Jadi banyak
faktor yang perlu saya ambil kira dan fikirkan kerana saya mahu perkahwinan
saya bukan hanya untuk hidup bersama di dunia sahaja tetapi untuk terus bersama
sehingga ke akhirat…” balas Norsyazwani, jujur.
“Betul.
Am setuju benar dengan pendapat Hani itu. Tetapi sekadar untuk bertemu dengan
keluarga Am, takkanlah Hani kena fikir sampai seminggu atau dua minggu? Kalau
boleh Am mahu keluarga kita segera berbincang mengenai lamaran Am pada Hani…”
Airil Amri terus mendesak.
“Mengapa
awak beriya-iya benar mahu berkahwin dengan saya? Adakah atas dasar cinta atau
pun atas dasar apa?”
Nosyazwani
sudah tidak tahan lagi untuk menyimpan soalan maut itu. Dia benar-benar
berharap Airil Amri akan meluahkan perasaannya dengan jujur dan ikhlas.
Airil
Amri pula yang tersentak kali ini. Tidak menyangka Norsyazwani begitu berani
bertanyakan sebab musabab perkahwinan yang dirancangkannya itu.
Oh!..
wanita ini bukan sebarangan orang yang mudah tergoda dengan pujuk rayu. Aku
harus terus menunjukkan kesungguhanku agar dia yakin dengan aku!... Aku tidak
boleh melepaskan dia kepada orang lain selagi aku tidak dapat apa yang aku
mahukan!... hati kecil Airil Amri terus memasang tekad.
“Bagi
Hani, apakah faktor utama yang boleh mendorong Hani membina sebuah
perkahwinan?” akhirnya soalan Norsyazwani tadi dijawab dengan soalan juga oleh
Airil Amri.
Norsyazwani
membulatkan matanya, memandang tepat ke anak mata Airil Amri seolah tidak suka
lelaki itu menjawab soalannya dengan soalan juga.
“Saya
tanya awak, kenapa awak tanya saya pula? Bukan saya yang ajak awak
berkahwin!..” ujar Norsyazwani agak sinis.
“Betul…
bukan Hani yang cadangkan kita berkahwin. Tetapi, kalau Hani seorang lelaki,
apakah agaknya yang boleh mendorong Hani melamar seorang wanita untuk dijadikan
isteri?” balas Airil Amri, sengaja memprovokasi.
“Untuk
mengelakkan dari perbuatan maksiat yang mungkin timbul dari pergaulan rapat tanpa
ikatan yang sah!...”
“Jadi
sekiraya Hani seorang lelaki, setiap kali Hani berkenalan atau bergaul dengan
perempuan yang bukan mahram, Hani akan ajak berkahwin, begitu?...” soal Airil
Amri, mencabar.
Norsyazwani
terkedu. Terasa malu apabila jawapannya telah menunjukkan kecetekkan fikirannya
sendiri. Kekagumannya terhadap kewibawaan Airil Amri semakin meningkat.
“Bukanlah
begitu, kerana saya hanya akan bergaul rapat dengan orang yang sesuai dengan
saya. Dan tak mustahil juga mungkin orang yang telah berjaya mencuri hati
saya…” jawab Norsyazwani perlahan.
“Jadi
Hani akan terdorong untuk berkahwin kerana orang itu telah berjaya mencuri hati
Hani?” soal Airil Amri seolah mahukan kepastian.
Norsyazwani
hanya mengangguk tanpa sebarang jawapan.
“Maka
itu jugalah jawapan Am atas soalan Hani tadi. Am melamar Hani kerana Hani telah
berjaya mencuri hati Am dan Am tidak mahu kehilangan hati itu. Am mahu
memilikkinya dengan cara yang sah agar ia tidak akan sewenangnya meninggalkan
Am. Jadi, sekali lagi Am memohon, mahukah Hani menjadi isteri Am yang sah?”
tanpa segan silu, Airil Amri sekali lagi merayu.
Entah
untuk keberapa kalinya Norsyazwani tergamam. Jiwanya bagaikan melambung-lambung
keriangan apabila Airil Amri akhirnya mengakui yang dia telah berjaya mencuri
hati lelaki itu. Ini bermakna Airil Amri sedang mencintainya. Ia juga bererti
Norsyazwani tidaklah syok sendiri ketika ini walaupun secara dasarnya dia masih
belum pasti sejauh mana perasaan cinta yang mula memekar dalam hatinya terhadap
lelaki itu.
“Berilah
saya masa sehari dua untuk memikirkanya…” akhirnya Norsyazwani berkata.
“Jangan
biarkan Am tertunggu-tunggu terlalu lama, Hani. Am rasa dah tak sanggup untuk
berjauhan dengan Hani…” kedengaran lirih suara Airil Amri merayu.
“InsyaALLAH,
kalau ada jodoh kita tidak akan ke mana. Saya janji, saya akan beritahu awak
secepat mungkin. Jadi buat masa sekarang, awak bincanglah dulu dengan emak
awak. Mungkin lepas ni nanti baru saya pergi jumpa emak awak…” cuba memesrakan
suaranya, Norsyazwani menyarankan.
“Kalau
dah itu janji Hani, Am akur. Tapi, tolonglah jangan hampakan harapan Am!.. Am
sanggup lakukan apa sahaja, asalkan Am dapat berkahwin dengan Hani…” Airil Amri
terus merayu dan memujuk gadis di hadapannya itu tanpa kenal erti putus asa.
Lewat malam itu, Norsyazwani berteleku
di atas sejadahnya. Menyerahkan jiwa dan raganya kepada ALLAH. Memohon rahmat
dan keredhaaNYA sekiranya Airil Amri adalah jodohnya yang telah ditetapkan
ALLAH, maka dia redha dan memohon ALLAH mempermudahkan segala urusannya serta
merahmati mereka berdua dengan segala kebaikkan dari dunia hingga ke akhirat.
Cinta Norsyazwani yang mula berputik terhadap
Airil Amri semakin memekar apabila melihat kesungguhan lelaki itu mahu
mengambilnya dengan cara yang terhormat begitu.