Mira tiba semula di pejabat lebih kurang pukul
1.30 petang. Dia cuba mencari Nazuha tetapi sahabatnya itu tidak berada di
mejanya. Dia menelefon telefon bimbit Nazuha pula tetapi hampa apabila talian
tidak dijawab.
‘Mana minah ni pergi pulak,’ getus hati Mira.
Perutnya semakin berkeroncong. Lapar. Mana tidaknya, pagi tadi dia hanya
bersarapan dua keping roti dan secawan air Milo sahaja.
‘Alahai... mana Zuha ni. Takkan pergi makan
sorang-sorang kot. Tak syok la,’ rungut Mira lagi. Sesekali dia menekan perut
yang semakin pedih kelaparan.
“Hoi!” Satu tamparan hinggap di bahu kanan Mira
membuatkan dia terlompat akibat terlalu terkejut. Apabila dia menoleh,
dilihatnya Zuha sedang ketawa besar melihatkan tingkahnya yang begitu.
“Hantu betullah kau ni, Zuha. Nasib baik aku tak
ada sakit jantung tau,” bebel Mira sambil mengurut-ngurut bahunya yang pedih
akibat ditampar tadi.
“Sakit tau,” rungut Mira lagi sambil
mengerut-ngerutkan dahinya.
“Alaa... macam tu pun kau kata sakit. Training
kat PULAPOL tu lagi teruk tau. Berjaya jugak kau jadi polis,” ejek Zuha lalu
terus melabuhkan punggungnya ke kerusi. Fail yang berada di tangannya sebentar
tadi diletakkan ke atas meja.
“Kau dapat kes apa tadi?” tanya Zuha sambil
memandang tepat ke wajah rakan baiknya itu.
“Ada perempuan Melayu meninggal. Tapi yang
kesiannya kan, anak dia kata dia nampak seorang lelaki cekik mak dia,” terang
Mira dengan wajah kesal. Kesal dengan keadaan manusia sekarang yang semakin
tidak berhati perut dan menjadi semakin tidak berperikemanusiaan.
Bulat mata Zuha apabila mendengar kata-kata
Mira.
“Iya? Ya ALLAH... kesian kat budak tu kan,”
balas Zuha.Sedih hatinya mendengar cerita-cerita sebegini walaupun hakikatnya
ia bukanlah sesuatu yang baru bagi mereka.
Mira mengangguk lalu duduk di kerusi berhadapan
dengan Zuha.
“Kes bunuh zaman sekarang ni macam-macam fesyen
kan. Takut aku nak dengar,” bebel Zuha lagi.
“Manusia semakin kejam,” komen Mira. Dia menarik
nafas panjang. Lupa sebentar perut yang sebentar tadi menjerit-jerit minta
diisi.
“Eh, fail apa tu? Kes baru ke?” tanya Mira
sambil menjeling fail-fail yang dibawa oleh Zuha.
Zuha mengangguk sambil tersenyum sumbing.
“Biasalah... hari-hari ada kes baru. Kes lama pun berlambak tak selesai lagi,
dah tambah kes lain. Kalaulah aku ni boleh diklon, lama dah aku buat,” jawab
Zuha kemudian ketawa.
“Nak buat macam mana kan. Dah tugas kita. Eh,
Zuha, jomlah pergi makan. Perut aku dah lapar ni,” ajak Mira apabila pedih
perutnya sudah tidak mampu ditahan lagi. Dahinya berkerut. Perutnya semakin
berdondang sayang.
“Laaa... tak makan lagi ke?” tanya Zuha.
Mira mengangguk. “Kau dah makan ke?”
“Belum. Aku tunggu kaulah ni. Nasib baik aku tak
keluar dengan ASP Ramli tadi. Dia ajak pergi
Ipoh Parade tadi. Tapi, masa tu aku banyak kerja. Aku ingat kau tak
sempat balik tengah hari,” jawab Zuha sambil tangannya menyusun fail-fail yang
agak berselerak di atas meja. Bermacam-macam warna fail yang ada di situ dan
setiap fail mempunyai kategori kes masing-masing yang perlu disiasat mengikut
keutamaan.
“Hisy... kau ni. Tanya macamlah dah pergi makan.
Tadi, aku pun ingat tak sempat jugak. Tapi nasib baik post mortem habis
cepat. Aku suruh driver pecut balik. Perut aku ni dah main macam-macam
lagu tau,” ujar Mira sambil tersenyum kelat.
Zuha tersengih. “Lagu Anuar Zain ada tak?”
Sempat lagi dia mengusik walaupun dia tahu Mira sangat-sangat kelaparan pada
waktu itu.
“Kau ni... time-time macam ni pun nak
main-main,” rungut Mira. Sememangnya Zuha adalah peminat setia penyanyi
terkenal itu. Album Anuar Zain dari yang awal sehingga terbaru tidak pernah
lupa dibelinya dan kalau sehari tidak mendengar lagu Anuar Zain, dia macam
cacing kepanasan.
“Mestilah... boyfriend aku tu,” jawab
Zuha sambil memuncungkan bibirnya.
“Ish... perasan sorang-soranglah kau,” balas
Mira sambil bangun dari kerusi.
Zuha tersengih mendengar jawapan Mira. “Okey, jomlah. Nak makan kat mana?” tanya
Zuha apabila dilihatnya Mira begitu tidak sabar hendak bergerak.
“Kat Mee Rebus Ramlee dah la,” cadang Mira.
Zuha mengangguk bersetuju.
Apabila mereka tiba di restoran Mee Rebus Ramlee, jam telah menunjukkan
pukul 1.50 petang. Walaupun telah hampir pukul 2.00, tetapi masih ramai orang
yang berada di kedai makan yang amat terkenal dengan mee rebus dan nasi
ayamnya.
Mira mencari-cari meja yang sesuai sementara
Zuha membuat pesanan di kaunter. Tidak lama kemudian, Zuha datang semula ke
meja lalu duduk berdepan dengan Mira.
“Dah stail baru pulak. Tak payah beratur
di kaunter. Nanti dia orang ambik pesanan kat meja,” jelas Zuha. Peluh yang
berminyak di muka dilap dengan tisu kecil.
“Ya ke? Tapi lagi senang, kan. Tak payah beratur
lama-lama,” jawab Mira. Dia turut mengelap peluh yang bermanik di wajahnya.
“Panas betul cuaca sekarang ni. Dah dua minggu
tak hujan.” Zuha memulakan perbualan
mereka setelah masing-masing terdiam beberapa minit.
Mira hanya mengangguk. Nasib baik mereka tidak
menanam pokok-pokok bunga di rumah mereka. Jika tidak tentu bunga-bunga yang
ditanam di dalam pasu akan cepat kering tanahnya dan perlu disiram setiap hari.
Tetapi jika difikirkan, bekerja sebagai pegawai polis seperti mereka ini memang
tidak boleh mempunyai komitmen seperti itu kerana panggilan bertugas mereka
tidak kira masa. Kadang-kadang jika tengah malam dipanggil bertugas, mereka
terpaksa akur begitu juga jika dipanggil pada awal pagi.
Itulah sebabnya pada permulaan, Ida iaitu emak Mira
membantah apabila dia mahu memilih pekerjaan ini kerana dia cukup faham dengan
waktu bertugas mereka. Semua ini pernah dialaminya sewaktu bapa Mira bekerja
sebagai pegawai penyiasat. Jarang sekali papanya dapat bersama keluarga pada
pagi raya. Dan kadang-kadang hendak bercuti pun susah. Oleh kerana Mira tetap
berkeras dan mendapat sokongan padu daripada bapa dan datuknya, akhirnya Ida
terpaksa mengalah.
“Hoi, panjang menung. Ingat apa?” tegur Zuha.
Mira tersentak.
“Hisy, kau ni suka buat macam tu tau. Tak ada
apa-apalah. Tak sampai lagi ke nasi ayamnya?” Mira terus memanjangkan batang
lehernya ke arah kaunter.
“Tu hah.. panjang umur nasi tu. Kau sebut aje
dia dah sampai. Tapi, ayamnya pulak pulak pendek umur. Sikit lagi nak jadi
makanan aku,” gurau Zuha.
Mira
ketawa geli hati mendengar kata-kata Zuha. Jika sehari Zuha tidak ada di rumah,
terasa sunyinya rumah mereka itu walaupun ruangan di dalam rumah itu tidaklah
berapa besar.
Apabila semua makanan dan minuman yang dipesan
telah sampai, Mira terus mencapai sudu dan garpu lalu mula menyuapkan nasi ke
mulutnya. Dia memang terlalu lapar pada waktu itu.
“Amboi... kau ni lapar betul ke Mira? Lain kali
aku masakkan nasi gorenglah pagi-pagi ya. Tak cukup kau makan roti aje,” tegur
Zuha dengan mata buntang. Sengaja dia mengusik Mira apabila dilihatnya Mira
makan begitu cepat.
“Kau jangan perli akulah. Sibuk aje. Makanlah...
Hari ni aku banyak kerja, tu sebab lapar,” jawab Mira.
Zuha ketawa. Memang dia suka mengusik Mira yang
lebih sopan dalam bercakap berbanding dirinya yang memang bercakap ikut sedap
mulut.
“Alhamdulillah...” ucap Mira apabila dia sendawa
kekenyangan. Lega dirasakannya apabila perutnya telah diisi. Dia bersandar di
kerusi sementara menunggu Zuha menghabiskan air minumannya.
“Sedap kan nasi ayam kat sini. Nasi dia lembut
macam pulut. Bau pun wangi. Belum makan lagi dah terliur,” komen Zuha. Mira mengangguk.
Ini lagi satu kebolehan Zuha. Dia memang pakar
menilai dan mengkritik makanan. Kadang-kadang mengalahkan juri antarabangsa.
Hanya dengan merasa makanan tersebut, dia dapat meneka apakah bahan-bahan yang
dimasukkan.
“Kau ni sepatutnya jadi tukang masaklah Zuha.”
Pernah sekali Mira memberitahunya.
“Aku memang minat memasak tapi mak bapak aku
lebih suka aku kerja gomen,” jawab Zuha dengan mulut muncungnya.
“Kenapa mak bapak kita dulu ramai yang masih
fikir begitu kan. Mereka rasa hidup hanya akan senang jika kerja dengan
kerajaan. Apa salahnya jadi tukang masak, kan?” Mira menyuarakan pendapatnya.
Zuha hanya menjungkitkan bahunya. Dia
teringatkan keluarganya di kampung. Kadang-kadang apabila difikirkan
sedalam-dalamnya, dia rasa dia seperti mempunyai dua personaliti yang berbeza.
Seorang sukakan kerja-kerja memasak dan kewanitaan manakala seorang lagi lebih
sukakan kerja-kerja yang lasak seperti polis. Tetapi jika difikir-fikirkan
semula, sebenarnya tidak mustahil untuk dia gabungkan kedua-duanya sekali.
Oleh itu, setelah berfikir semasak-masaknya Zuha
memilih untuk menjadi polis dan memasak hanya dijadikan minat sahaja.
“Oi... panjang menungnya. Dahlah. Jom balik.
Karang marah harimau tu,” tegur Mira sambil menarik tangan Zuha.
Zuha tersenyum apabila mendengar gelaran yang
diberi oleh Mira kepada ASP Faizal.
“Kau orang berdua ni, tak habis-habis bergaduh.
Kang aku kahwinkan baru tau,” selar Zuha.
Dia tersengih apabila melihat wajah Mira yang kelat.
“Hisy... tak ingin aku tau,” balas Mira sambil
memuncungkan bibirnya.
“Jangan tak ingin, tak ingin. Mana tahu semua
ini takdir kau berdua untuk dipertemukan semula,” balas Zuha lagi kemudian
mengerling wajah Mira. Dia cuba mencari reaksi spontan yang akan ditunjukkan
oleh kawannya itu.
Mira hanya menggeleng. “No way,”
katanya.
“We’ll see,”
jawab Zuha sambil mengenyitkan mata.