Home Novel Cinta Operasi Bulan Madu
Operasi Bulan Madu
Aini Marisha Marisha
31/12/2013 20:56:48
100,133
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 6

Jarum jam telah menunjukkan pukul 11.00 pagi tetapi Faizal masih belum berganjak dari kerusi kayunya. Suasana hingar bingar di dalam kelas kerana cikgu Mansor cuti sakit langsung tidak dihiraukannya.

“Faizal, dah pukul 11.00 ni. Nanti cikgu Hasnol tertunggu-tunggu,” ujar Aswazi kerisauan.

“Lantaklah. Malas aku nak mengadap muka budak gemuk tu,” jawab Faizal selamba. Dia masih tidak berganjak dari kerusinya dan tidak juga menoleh ke arah Aswazi.

“Janganlah macam tu Faizal. Engkau mengalah la kali ni aje,” pujuk Aswazi lagi. Dia begitu sayangkan sahabatnya ini walaupun kadang-kadang sikapnya memang tidak boleh diterima.

“Ish engkau ni Zie. Sibuk betullah.” Faizal mengerling tajam Aswazi yang merenungnya dengan perasaan bimbang. Tetapi memikirkan bahawa itulah sahabat sejatinya selama ini, dia tidak sampai hati pula hendak mengecilkan hati Aswazi.

“Ye lah, ye lah.....aku pergi ni.” Akhirnya Faizal mengalah setelah didesak beberapa kali oleh Aswazi.

Faizal menghentak-hentak kakinya agak kuat apabila berjalan keluar ke bilik kaunseling untuk menunjukkan perasaannya yang begitu marah pada waktu itu. Bakul sampah yang berada di tepi kelas nyaris sahaja hendak menjadi mangsa hujung kasut sekolah Faizal yang kusam. Kalau tidak sudah pasti habis segala isi perut bakul sampah itu akan mencium lantai simen kelas. Aswazi hanya mampu menggeleng kepala.

Di hadapan bilik kaunseling, Faizal bertembung dengan Amira yang sedang membuka kasut untuk masuk ke dalam bilik itu. Faizal menggerunkan wajah dan menajamkan pandangan matanya untuk menakutkan Amira tetapi sikap gadis itu yang hanya bersikap selamba membuatkan Faizal semakin marah. Kalau diikutkan hati yang sangat marah, sudah pasti penumbuknya laju sahaja mencium pipi bulat Amira pada waktu itu. Ini adalah kerana sebelum ini tiada siapa yang berani melawannya dan tiada siapa yang berani membawa perkara ini kepada guru-guru mereka. Amira Saira ini memang berani. Tak apa, hari ni hari kau....., bisik Faizal geram.

“Masuk Faizal, yang tercegat lagi kat situ kenapa?” Tersentak Faizal apabila cikgu Hasnol sudah berdiri di muka pintu bilik.

“Errr..ya cikgu,” tergagap-gagap Faizal menjawab. Dengan perasaan yang bengkak dia masuk ke dalam bilik itu.

Amira Saira telahpun duduk berhadapan dengan cikgu Hasnol dan Faizal terus mengambil tempat di sebelah Amira Saira. Dia menarik kerusi agak jauh seolah-olah benar-benar mahu berpatah arang. Cikgu Hasnol hanya menggeleng kepala melihat kelakuan Faizal.

“Faizal...sekarang saya nak kamu mintak maaf dengan Amira Saira atas apa yang telah kamu lakukan pada dia,” arah Cikgu Hasnol. Matanya tajam memerhatikan tingkah laku Faizal.

Faizal cuba memprotes dengan hanya mendiamkan diri. Dia langsung tidak mengangkat muka, hanya bermain-main dengan jari-jari kasarnya sahaja.

“Faizal!” Cikgu Hasnol memanggil semula tetapi kali ini nada suaranya agak keras.

Faizal serba salah. Jika diikutkan panas hatinya, mahu sahaja dia bangun dan melangkah keluar dari bilik yang penuh bahang ini. Kipas angin yang berputar ligat di syiling tidak mampu memadamkan api kemarahannya malah lebih menyemarakkan api dendam di dalam hatinya terhadap Amira.

“Saya nak awak mintak maaf dengan Amira sekarang jugak. Kalau tak selagi tu awak tak akan keluar dari bilik ni,” arah cikgu Hasnol. Kali ini kata-kata Cikgu Hasnol beserta dengan amaran.

Faizal semakin hangat hati. Jam tangan yang hampir usang talinya direnung lama. Jarum jam yang bergerak terasa seperti seakan-akan mengejeknya di masa itu dan semakin sengaja bergerak semakin lambat. Faizal mengeluh panjang. Punggungnya sudah semakin panas melekat di kerusi. Akhirnya dia mengambil keputusan.....

“Saya mintak maaf,” ujar Faizal dengan perasaan jengkel dan langsung tidak memandang gadis itu. Dia hanya mahu semua ini berakhir dengan cepat. Tidak sanggup lagi dia mendengar hela nafas gadis yang duduk di sebelahnya ini walaupun hakikatnya Amira Saira memang wangi dengan haruman. Bengkak sungguh hati Faizal apabila dari sisi matanya, dia dapat rasakan Mira sedang tersenyum sinis mengejeknya.

Amira pula tidak peduli apa yang ada di fikiran Faizal sekarang ini. Dia juga mahu masalah ini selesai dengan segera agar dia boleh segera bangun dan membuang jauh-jauh pandangannya daripada lelaki itu. Walaupun begitu, di dalam hatinya tetap bersorak riang. Hari ini dia telah menang dan lelaki tak guna itu terpaksa memohon maaf daripadanya. Bibir Amira lenguh menahan senyum, matanya tunduk merenung kain berwana hijau muda yang dipakai. Sepincing lirikan pun tidak mahu dihadiahkan untuk lelaki di sebelahnya ini. Jika lelaki itu mendendaminya, dia sepuluh kali akan menyahut dendam itu dan akan dicangkulnya bara api agar dendam itu akan terbakar merah menyala di hati lelaki itu.

“Faizal....macam ni ke cara kamu mintak maaf dengan orang? Pandang dia, dan cakap dengan ikhlas,” bidas cikgu Hasnol agak keras.

Amira Saira hanya diam membisu tetapi dalam hatinya berbunga dan menjerit-jerit semakin gembira. Kalau saat ini dia berada di dalam bilik sudah pasti katilnya akan menjadi mangsa loncatan gembiranya kerana peristiwa ini. Padan muka kau Faizal! Kau ingat aku tak berani nak repot kat cikgu? Kau silaplah mamat....ini Amira Saira lah. Anak Inspektor Badrul!!!

Faizal menarik nafas panjang. Tubuhnya bergetar menahan marah. Jika tidak difikirkan perasaan hormat yang masih menebal di jiwa terhadap guru-gurunya, mahu sahaja rasanya dia lari sahaja dari situ. Dengan perasaan bebal, Faizal menoleh memandang muka bulat di sebelahnya.

“Saya minta maaf.” Sekali lagi Faizal berkata dan kali ini dia mengikut arahan cikgu Hasnol. Perasaannya pada waktu itu bagai lahar gunung berapi yang baru meletus. Panas dan menggelegak.

Amira Saira mengangguk dan tersenyum. Pandangan matanya menyakitkan hati Faizal. Faizal menjegilkan biji matanya tetapi tidak lama apabila Cikgu Hasnol mula berdehem beberapa kali. Terus Faizal berpaling dan menoleh semula ke arah Cikgu Hasnol.

“Baiklah, saya harap lepas lepas ini tak akan ada aduan lagi mengenai awak Faizal. Awak sepatutnya tumpukan perhatian pada pelajaran sebab hujung tahun ni awak akan menghadapi peperiksaan SPM. Peperiksaan ini bakal menentukan masa hadapan awak Faizal. Sayang kalau awak sia-siakan kebolehan dan kepandaian awak,” nasihat cikgu Hasnol panjang lebar. Dia sebenarnya sayangkan Faizal kerana dia dapat melihat potensi untuk berjaya dalam diri Faizal. Faizal mungkin tidak menyedari kebolehan dirinya sendiri dan jika dia tidak dibawa ke arah yang betul, cikgu Hasnol bimbang Faizal akan hanyut dan tersasar ke jalan yang salah dan seterusnya merosakkan masa hadapannya sendiri.

‘Membebel pulak orang tua ni...cepatlah. Punggung aku dah panas duduk kat kerusi ni....,’ rungut Faizal berkali-kali. Kakinya terhenjut-henjut menunjukkan kebosanannya.

“Okey, kamu berdua boleh balik ke kelas masing-masing. Lepas ni kamu berdua berbaik-baiklah,” ujar Cikgu Hasnol lagi dengan senyuman pendek di bibir.

“Okey cikgu. Saya balik dulu,” tukas Faizal yang kemudiannya terus berjalan pantas ke muka pintu. Kasut sekolahnya hanya disarung separuh sahaja dan dia bergegas melangkah menuju ke kelasnya. Cikgu Balan yang sedang mengajar mata pelajaran matematik memandang ke arahnya.

“Kamu ke mana Faizal?” tanya cikgu muda itu.

“Errr...jumpa cikgu Hasnol, cikgu,” jawab Faizal perlahan.

Cikgu Balan mengangguk tanda faham. Malah semua cikgu dan pelajar di sekolah itu faham sekiranya seseorang pelajar balik ke kelas selepas berjumpa dengan Cikgu Hasnol. Tidak lain tidak bukan kerana masalah disiplin. Tetapi murid yang selalu dipanggil adalah Faizal, malah sehingga kini rekodnya belum lagi dipecahkan oleh pelajar-pelajar lain lagi.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.