Home Novel Cinta Operasi Bulan Madu
Operasi Bulan Madu
Aini Marisha Marisha
31/12/2013 20:56:48
100,133
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 1

Keadaan di kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh terutama di bahagian kaunter pertanyaan masih sibuk seperti sediakala. Tiga orang anggota polis yang ditugaskan untuk menerima laporan yang dibuat oleh orang awam kelihatan sedang sibuk menaip di komputer masing-masing mengikut laporan yang diterima dari pengadu. Telefon pula tidak henti –henti berdering dan Sarjan yang bertugas tidak menang tangan memikul tugas harian di balai ini.

Di bahagian belakang balai, terletak bilik-bilik yang menempatkan pegawai-pegawai penyiasat yang bertugas. Inspektor Amira Saira binti Badrul dan Inspektor Siti Nazuha masih belum pulang ke rumah walaupun tempoh waktu pejabat telah lama berakhir pada pukul 5.00 petang tadi.

“Eh makcik, jomlah balik...dah nak dekat pukul 6.00 ni. Udah-udahlah tu tunjuk rajinnya. Takkan nak overtime kot...,” tiba-tiba sahaja kelibat Zuha terjengul di pintu masuk cubicle Mira. Terkejut Mira apabila ditegur secara tiba-tiba.

“Kau ni Zuha...kot ya pun bagilah salam. Nasib baik Mira ni tak ada sakit jantung tau. Kalau tak dah lama kiok,” bebel Mira sambil menggeleng kepala. Nazuha mengekeh ketawa. Memang sengal betullah minah ni......bebel Mira dalam hati tetapi masih bersulamkan senyum di bibir kerana minah sengal itulah kawan baiknya di sini.

Sekilas, Mira terus mengerling jam di pergelangan tangan kanannya. Memang benar sudah hampir pukul 6.00 petang. Dia langsung tidak sedar perjalanan waktu akibat terlalu sibuk dengan tugas-tugas di pejabat.

“Iyalah kan...Mira langsung tak sedar. Banyak sangat la kes kebelakangan ni. Tengok ni ha. Fail bertimbun-timbun. Nak cari pen pun dah tak jumpa,” jawab Mira kemudian menongkat dagu. Keletihan sangat ketara terlukis di wajahnya.

“Inspektor Amira Saira....kalau nak dikejarkan kerja, sampai bila-bila pun tak akan habis tau. Tapi...kesihatan diri kita pun kena jaga jugak. Nanti kalau sakit langsung la tak jadi apa kerja-kerja tu. Aku jugak la yang paling susah nanti kena masak bubur nasi untuk kau,” bebel Zuha kemudian terus melabuhkan punggungnya di kerusi di hadapan meja Mira.

Mira ketawa kecil mendengar kata-kata Zuha. “Kau kan kawan baik aku. Elok lah kau buat baik dengan kawan sendiri. Banyak dapat pahala tau. Tapiii....kalau kau merungut-rungut macam ni tak de lah lekat pahala tu nanti,” jawab Amira kemudian mengerling Nazuha yang mencebikkan bibir mendengar usikannya.

“Kejap tau. Nak ambil beg tangan dulu,” ujar Mira dengan nada bergurau. Dia kemudian bangun untuk mengambil beg tangannya yang tersimpan di dalam kabinet berkunci. Nazuha macam biasa tersengih-sengih menunjukkan barisan gigi putihnya apabila diperli begitu.

“Eh Mira, jom kita pergi AEON dulu lah nak tak. Boring pula nak balik rumah terus.” Zuha tiba-tiba sahaja memberi cadangan lain.

“Hisshhh...macam-macamlah kau ni Zuha. Kot ya pun, kita baliklah rumah tukar baju dulu. Nanti kalau orang tengok kita dengan uniform ni, tak ada pula orang nak tackle engkau.” Mira cuba mengusik dan Zuha hanya tersengih-sengih mengangguk.

“Ye lah kak ton......,” usik Zuha pula kemudian dia terus merangkul lengan Mira dan mereka bergandingan pulang ke rumah.

Lebih kurang pukul 6.45 petang mereka berdua telahpun berada di dalam perut Jaya Jusco. Agak ramai juga orang yang berada di pusat membeli belah di situ mungkin juga kerana sekarang ini hujung bulan dan selepas gaji. Maka ramai yang mengambil peluang untuk membeli belah barang-barang keperluan.

Setelah berpusing-pusing membuat window shopping, akhirnya mereka memutuskan untuk makan malam di Food Court di tingkat atas pasaraya tersebut.

“Eh Zuha, aku tengok mamat tu asyik pandang engkau je,” ujar Mira separa berbisik apabila dia perasan ada seorang lelaki bertubuh kurus dan tinggi sering mencuri pandang ke arah mereka.

“Iya ke? Mana? Mana?” tanya Zuha kelam kabut ingin tahu. Dia terus menoleh ke depan dan ke belakang cuba mencari lelaki yang dimaksudkan.

“Jangan lah obvious sangat makcik oooiii...,” tegur Mira dengan sikap kelam kabut Zuha. Malu pun ada bimbang dikatakan mereka perasan sendiri.

“Mestilah...bukan senang orang nak ngorat aku tau,” bisik Zuha tersengih-sengih. Mira juga tidak dapat menahan tawa apabila melihat reaksi Zuha yang beria-ia hendak tahu siapa lelaki tersebut.

“Tu ha...yang pakai baju biru gelap dan seluar jeans hitam. Yang duduk kat meja belah kiri kita ni. Aku rasa dia minat kat engkau la,” ujar Mira perlahan.

“Ooo....yang tu. Boleh tahan jugak kan,” bisik Zuha lagi apabila dia telah nampak lelaki yang dinyatakan oleh Mira.

“Dah, dah...jangan nak lebih-lebih. Jangan nak perasan. Entah-entah mamat tu juling kot. Jomlah kita balik. Dah nak dekat maghrib ni,” ajak Mira setelah mereka selesai menikmati hidangan yang dipesan. Terlepas ketawa Zuha apabila Mira berkata begitu.

“Ada ke patut muka handsome macam tu kau kata juling pulak. Tak patut betul Mira ni tau. Potong stim betullah,” bebel Zuha menyebabkan Mira tergelak besar.

Mira terus bangun meninggalkan Zuha yang masih terkial-kial mengutip beg-beg plastik berisi hasil belian mereka di Jaya Jusco sebentar tadi. Dia mahu cepat pulang ke rumah untuk bersolat Maghrib. Tubuhnya juga terasa penat kerana seharian menghabiskan kerja-kerja di pejabat.

Zuha cepat-cepat mengambil beg-beg plastik yang terletak di tepi meja. Tetapi belum sempat Zuha hendak melangkah, tiba-tiba dia dikejutkan dengan ucapan salam dari seorang lelaki. Zuha pantas menoleh dan agak terkejut kerana suara itu datangnya dari lelaki yang ditunjukkan oleh Mira sebentar tadi.

“Err...waalaikummussalam...,” jawab Zuha agak kaget. Terus matanya mencari kelibat Mira untuk memintanya berhenti melangkah. Mira yang kebetulan telah berhenti melangkah untuk menunggu Zuha, tersenyum melihat gelagat Zuha yang agak panik.

“Saya Fahmi Arshad. Kalau tak keberatan, saya nak berkenalan dengan cik. Ini kad nama saya. Kalau cik sudi, saya harap saya akan menerima panggilan daripada cik. Maaf, saya minta diri dulu. Dah maghrib ni,” ujar lelaki itu sehingga langsung tidak memberi peluang untuk Zuha mencelah.

Zuha hanya diam terpaku apabila lelaki itu menyerahkan kad namanya. Lidahnya keras macam ketul ais dalam freezer. Huluran kad tersebut disambut tanpa sebarang kata. Zuha juga hanya melihat sahaja lelaki itu berlalu pergi. Mulutnya seakan terkunci dan degupan jantungnya laju bak keretapi ETS. Mira menggeleng kepala melihat telatah Zuha. Lucu pun ada apabila Nazuha seolah-olah kaku terkena renjatan elektrik.

“Hai...cinta pandang pertama ke? Aku tengok tak berkelip mata kau tengok lelaki tu. Siapa nama dia?” tanya Mira. Bahu Zuha ditepuk kuat menyebabkan Zuha tersedar. Malu-malu kucing pula Zuha apabila Mira menjelingnya dengan pandangan mengusik.

“Isshhh....tak adalah Mira. Ada ke cinta pandang pertama pulak. Tapi kan...dia tu gentleman lah. Bahasa dia, senyuman dia...sopan sangat kan. Lelaki macam tu lah yang aku nak. Berani berterus terang dan dalam masa yang sama lembut dan bersopan santun dengan wanita.” Dalam menafikan cinta pandang pertama yang hadir di hatinya, berbunga-bunga pula komen Zuha tentang lelaki tersebut menyebabkan Mira ketawa besar.

“Habis tu...sukalah ni? Cepatnya....,” usik Mira lagi kemudian ketawa geli hati dengan sikap kalut Zuha.

“Issshh, tak adalah cepat sangat aku nak terima dia. Tengoklah dulu...hmmm.....aku rasa macam nak cuba call dia. Kaji latar belakang dia dulu. Mana tahu tiba-tiba dia penyangak ke..., lelaki sekarang bukan boleh percaya sangat,” jawab Zuha sambil jari telunjuknya diletakkan di bawah bibir seolah-olah sedang berfikir rancangan seterusnya.

“Aik! Aku ingat cinta tu buta,” tanya Mira lagi. Sekilas dia menoleh ke arah Zuha yang sedang tersenyum panjang.

“Cinta tu je yang buta. Tapi aku tak buta...aku boleh bezakan mana lelaki yang baik dan yang buaya darat tau...,” jawab Zuha membuatkan Mira tergelak besar.

“Ye ke. Habis tu lelaki tu buaya ke kucing? Kalau kucing tentu dia akan terlentok manja apabila kau belai, kan. Kalau buaya, silap haribulan kau yang kena ngap tau. Heheee....Eh eh, dah la tu. Mengarut jek. Jomlah balik cepat. Nanti terlepas maghrib,” ujar Mira. Berkali-kali dia melihat jam di pergelangan tangan.

Mira pantas berjalan meninggalkan Zuha yang terkial-kial mengejarnya. Dua tiga beg plastik terbuai-buai di tangan Zuha. Menyesal pulak aku beli barang-barang ni, dah lah tengah bulan ni. Sila-silap aku yang kena ikat perut. Kalau rebus baju-baju ni boleh buat perut aku kenyang tak pe jugak..... rungut Zuha.

“Mira...tunggulah kejap. Kasut aku ni susahlah...,” laung Zuha sambil mempercepatkan langkahnya untuk bersaing dengan Mira yang sememangnya suka berjalan laju. Agaknya sebab itulah Mira suka sangat menyertai acara walkathon atau apa-apa sahaja larian amal yang diadakan.

“Itulah...aku dah kata tadi, pakai kasut biasa je. Jangan tinggi sangat, kan susah nak jalan. Terkedek-kedek macam itik....,” omel Mira sengaja mengusik Zuha. Walaubagaimanapun Mira berhenti melangkah dan menunggu Zuha seketika. Apabila dirasakannya Zuha telah hampir, dia melangkah semula.

“Aduhhh!!” Mira terjerit.

“Mintak maaf cik.” Seorang lelaki kelam kabut meminta maaf.

Beg plastik di tangan Mira terlepas. Tanpa sedar semasa dia ingin meneruskan langkahnya, dia terlanggar seorang lelaki di hadapannya.

“Maaf cik.” Sekali lagi lelaki itu meminta maaf. Lelaki itu terus tunduk untuk membantu Mira mengambil beg plastik yang terjatuh.

Mira terus tunduk mengutip beg plastik yang mengandungi baju dalam dan seluar dalam yang baru dibelinya. Wajahnya merah padam menahan malu kerana sehelai pakaian dalamnya yang berwarna merah terkeluar dari beg plastik itu. Mira cepat-cepat menyumbatkan baju dalam tersebut ke dalam beg plastik lalu terus berdiri.

“YA Allah.....” ucap Mira apabila dia terpandang wajah lelaki itu. Darah Mira terasa berderau di saat itu. Mira beristighafar panjang apabila berhadapan dengan lelaki yang melanggarnya tadi. Tiba-tiba sahaja dunia di sekelilingnya terasa gelap gelita. Matanya hanya terpaku pada wajah di hadapannya sahaja. Mata Mira buntang dan degupan jantungnya tiba-tiba rasa terhenti. Mulutnya terlopong, dan tubuhnya bergetar. Bukan Mira sahaja berkeadaan begitu tetapi lelaki itu juga memberi reaksi yang sama. Mereka sama-sama kaget dan tergamam. Masa juga seakan-akan terhenti buat seketika. Mira tidak dapat membawa pandangannya lari dari wajah itu. Matanya seolah-olah memerlukan masa yang agak lama untuk benar-benar memastikan.

‘Benarkah dia?’ Berkali-kali persoalan itu menerjah ruang fikiran Mira.

Mira mencongak-congak. Jika benar lelaki itu adalah “dia” ....ya....memang lama sungguh dia tidak melihat wajah itu. Walaupun wajah itu telah banyak berubah, tiada lagi jerawat batu dan tiada lagi tubuh yang kurus berangka.....namun dia pasti lelaki itu adalah “dia” yang pernah dikenalinya dulu.

“Eh Mira, laa...macammana lah kau boleh terlanggar orang ni. Sorry ya encik...,” ucap Zuha bagi pihak Mira.

Zuha pantas menarik tangan Mira pergi dari situ. Mira pula hanya mengikut tetapi matanya sesekali masih lagi menoleh ke belakang memandang lelaki itu. Lelaki itu begitu juga, terus memandangnya tanpa berkelip.

Dalam perjalanan pulang, Mira banyak mendiamkan diri. Fikirannya melayang entah ke mana. Adakah betul itu dia? Berkali-kali persoalan itu bermain-main di mindanya. Gurauan-gurauan Zuha hanya disambutnya sekali sekala dan seringkali apabila sepi menjelma, fikirannya akan segera mencari ruang untuk mengingati lelaki itu semula. Ahh...buat apa lagi dia mengingati semua ini? Bukankah aku sendiri yang mendesak agar segala memori itu hilang?

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Aini Marisha Marisha