Home Novel Cinta Aku Berjanji Akan Kembali Untukmu
Bab 45

Perancangan Zarul

Aliran nafas berat keluar dari hidung. Siapa yang mendekati saya pasti akan mendengar dengusan itu. Saya mengeluh. Bukan kerana serabut, bukan kerana penat, tetapi ia disebabkan oleh keputusan Rafie. 

Mata ini tertumpu pada sosok seorang lelaki yang sedang menunggu giliran untuk melakukan larian di trek balapan. Siapa lagi kalau bukan kekasih saya, Rafie.

Mengingatkan perbualan kami beberapa minggu lepas, sama sekali meresahkan hati saya.

"Inas, saya... nak kembali berlari," ujarnya kepada saya.

"Apa maksud awak? Awak nak masuk pertandingan larian ke?" Agakan saya mengena apabila dia mengangguk.

Jujurnya saya terkejut. Sudah empat tahun dia tidak berlari, tiada angin tiada khabar tiba-tiba sahaja dia membuat keputusan untuk kembali semula. 

"Awak nak kembali? Maksudnya awak nak menang pingat juga?" 

Rafie mengangguk. "Ya, bukan pingat biasa. Pingat emas." 

Bertambah terkejutlah saya dengan pengakuan itu. Dia mahu memenangi pingat emas? Tidakkah dia tahu Zarul itu raja olahraga sekolah?

"Tapi lawan awak nanti kan Zarul? Macam mana awak nak men-"

"Saya tak kisah!" Rafie memotong ayat saya, dia seperti tahu bahawa saya hendak bercerita mengenai Zarul yang merupakan olahragawan sekolah yang sangat disegani.

"Biarlah kalau dia lawan saya atau pun tak. Apa yang penting saya perlu mengang. Saya cuma nak hadiahkan kemenangan ni untuk ayah saya. Hari jadi dia jatuh pada hari Temasya sukan sekolah, dan saya perlukan kemenangan tu untuk hargai jasa dia yang pernah ajar saya berlari," terang Rafie dengan penuh tekad.

Muhammad Rafie Bin Razali.

Dahulu dia seorang pelari sekolah yang begitu digeruni sewaktu di sekolah rendah. Kelajuannya dan juga kesungguhannya dikagumi oleh guru-guru yang melalatihnya.

Namun begitu, semua itu tidak kekal lama. Semenjak temasya sukan terakhir di sekolah rendah, Rafie telah memutuskan untuk bersara dalam apa-apa jenis pertandingan olahraga tanpa sebarang alasan, malah alasan itu tidak pernah dinyatakan.

Itulah memori yang kekal diingatan ini. Siapalah saya untuk menghalang. Ini tekad Rafie. Biarlah dia menetukan arah hidupnya.

"Alamak, Zarul dapat nombor dua lah! Dia kalah dengan Yusri." Suara Rina datang menyapa, sekali gus mengacau lamunan saya yang menerawang entah ke mana.

Apabila tersedar, barulah saya teringat yang kami sedang duduk di astaka sekolah. Sepatutnya saya bersorak untuk pasukan rumah merah, sebaliknya saya mengelamun. Lama juga ya saya mengelamun, sampaikan tidak sedar acara saringan larian 100 meter telah pun berlangsung. 

Seperti yang saya katakan tadi, saya merupakan ahli rumah Merah, juara bertahan pada tahun ini. Begitu juga dengan Rina dan Mei. Kalau nak tahu, Rina ialah penolong ketua rumah merah. 

Bagaimana dengan Rafie?

Malangnya dia berada di rumah sukan biru. Tak dapatlah saya nak dekat dengan dia. Tapi tak kisahlah semua itu, asalkan saya tetap sokong dia. Lagi-lagi dia memasuki acara pada tahun ini.

"Wei Inas, aku tengok Zarul macam down lah." Mata saya mula mencari Zarul di tengah padang. Benar kata Rina, dari raut wajahnya sudah cukup menyatakan segalanya.

"Yalah, Rina. Dia nampak kecewa."

"Jom teman aku untuk gembirakan dia. Kalau Zarul down, habis runtuh semangat team kita nanti." Pernyataan Rina itu ada betul juga. Zarul merupakan ayam tambatan bagi rumah sukan kami. Seperti sedia maklum, dia seorang yang berpengaruh. Jika semangatnya luntur, moral ahli rumah merah luntur juga. Disebabkan itu saya bersetuju dengan ajakan Rina. 

*****************************

"Zarul!" jerit Rina meleret. Mata Zarul memandang ke arah kami. 

"Sayangnya kau. Sikit je lagi nak pintas Yusri." Tambah Rina. Zarul hanya diam membisu. Jelas dia kelihatan kecewa. Walaupun dia layak ke peringkat akhir, hatinya masih tidak puas kerana tewas ditangan Yusri. Maklumlah, dia kapten pasukan rumah merah, ada egonya tersendiri.

"Ala, jangan Risau, Zarul. Yang penting kau lepas saringan ni. Aku yakin, dekat final nanti kau akan tebus balik kesalahan kau tu. Aku percaya kebolehan kau. Nanti aku belanja kau makan," pujuk Rina lalu memukul perlahan belakang jejaka ini. Amboi Rina, tergedik-gedik awak ya. Sudahlah sengaja membuat nada manja. Nak menguratlah tu.

"Tak ada apa sangatlah, Rina. Aku okay je. Cuma terkejut sikit," jawab Zarul perlahan. Seolah-olah reda dengan kekalahannya. Matanya masih melihat Yusri yang menyambut kemenangannya bersama ahli rumah hijau.

"Nampaknya Yusri dah makin laju kali ini. Aku kena tebus balik dekat final nanti." Tangannya dibuku erat, menahan geram kerana tewas ditangan seteru utamanya dalam acara kegemarannya.

Entah mengapa hati saya tersentuh dengan sifatnya. Zarul kelihatan lemah. Dia seperti memerlukan dorongan. Alang-alang tangan ini sudah memegang botol air, saya pun menghulurkan botol itu kepadanya.

"Awak mesti penat, kan Zarul? Apa kata awak minum air ni. Berehatlah dulu, ya." Saya mempelawanya. Harap dengan pelawaan ini dapat menenangkan dia.

Zarul tergamam. Kedua-dua keningnya pula terangkat sendiri. Tak lama selepas itu, dia mengukir senyuman.

"Te... terima kasih." Dia mengambil botol air itu lalu meneguknya.

"Haih... aku tak sangka pertembungan aku dengan Yusri seawal ini," gumamnya sambil mengusap bibir yang basah.

"Itulah. Aku pun terkejut juga." Rina memadang saya. Dia memberi isyarat untuk bersama-sama memujuknya. Saya akur.

"Tapi awak jangan risau. Semua ahli rumah merah yakin dengan awak. Saya yakin awak boleh menang waktu final nanti," pujuk saya, ikhlas. 

Tiba-tiba Zarul menggetus ketawa. Wajahnya yang muram mula berubah gembira.

"Entah mengapa hati aku makin membara, bila kau cakap macam tu, Inas. Baiklah, aku akan pastikan yang aku akan menang dekat final nanti," katanya dengan penuh tekad.

"Zarul! Zarul!" Sedang kami bersembang muncul seorang lelaki yang bernama Afiq. Kami bertiga memandang ke arahnya.

"Acara 200 meter dah nak start. Cikgu Azman minta kau untuk pantau pelari junior." Zarul mengangguk faham. Kemudian, dia memandang kembali ke arah kami berdua.

"Okeylah korang, aku nak pantau pelari yang lain. Kita jumpa nanti ya, Inas, Rina."

Kami pun melambaikan tangan kepadanya. Sebaik perginya Zarul, Rina memegang bahu saya dari belakang. Bibirnya mengukir senyuman sinis.

"Hebatlah kau ni, Inas. Cara kau pujuk macam bidadari tahu tak. Sampai tergamam Si Zarul tu," usik Rina lalu menyiku tubuh saya berkali-kali. Dia perasan mood Zarul sekelip mata berubah sebaik saya memberi air itu kepadanya.

Saya menolak sedikit tubuh Rina. 

"Alah, Inas pujuk sebab tak nak bagi dia down je." Saya berdalih.

Rina menyengih dan terangguk-angguk. "I see, I see. Aku tahu yang hati kau masih dekat Rafie. Cumanya aku nak cakap sikitlah dekat kau, Inas. Antara Zarul dengan Rafie, aku rasa lebih baik kau pilih Zarul." Terkesima saya mendengar.

"Hah? Apa yang Rina cakapkan ni? Tiba-tiba je. Tak naklah Inas. Lagipun Zarul kan ramai peminat. Saya tak nak dekat dengan orang yang popular macam dia," omel saya.

"Alah, malu-malu pula awak ni. Tahulah awak sebenarnya lagi suka dekat Rafie, kan?" Senyuman galaunya beriringan ketawa. Alih-alih Rafie pula yang disebutnya. Terus saya memalingkan muka.

Ketahui yang saya malas melayannya, dia pun menambahkan hujahnya.

"Rina bukan apa Inas, cuma Rina rasa Zarul lagi perfect la. Tengoklah dia, belajar pandai, sukan pun hebat, ketua pengawas lagi. Takkan kau tak minat?" Pantas saya memintas hujahnya. 

"Rina ni, kenapa tak Rina je yang kejar dia? Rina pun nampak macam suka je dekat Zarul tu. Tak adalah single memanjang." Begitu tajam saya membalas. Jangan ingat perempuan yang lemah lembut macam saya ini tidak mampu untuk menyentapkan orang.

Akan tetapi, Rina menyengih lebar. "Hehehe... kau janganlah cakap kuat-kuat. Malu aku nanti," katanya yang mula memegang pipi. Tahu pun malu. Siap merah pipinya itu.

"Aku ni kan kasar orangnya, siapa je yang nak dekat dengan orang macam aku ni." Suara Rina kedengaran sebak. 

Alamak, terasa hati pula dia. Maka, timbullah rasa bersalah dalam diri ini. Tak jadi pula saya nak kenakan dia.

"Yalah Rina. Inas minta maaf. Tak sangka pula yang awak jadi macam ni." Saya mula memeluknya. Apalah nasib, bahan orang lain boleh, tapi bila kena bahan, dia pula yang sensitif. Terpaksalah saya melayannya.

*****************************

Dalam perjalanan menuju ke astaka, Zarul tersengih seorang diri. Hatinya berbunga, lagi-lagi setelah mendapat pujukan manja daripada seorang gadis yang disukainya. Masih terngiang-ngiang suaranya itu di kepala.

'Awak mesti penat, kan Zarul?' 

Maka, makin lebarlah bibir jejaka ini.

"Amboi, tersengih-sengih kau eh?" tegur Afiq setelah perasan akan wajah rakannya. 

Zarul mendengus tawa.

"Nak buat macam mana Fiq, crush dah bagi semangat," balasnya tanpa berahsia. 

Sebenarnya Afiq sudah lama mengetahui bahawa Zarul mempunyai hati terhadap Inas. Tambahan pula,  dia juga mengetahui akan perancangan rahsia Zarul sebaik temasya sukan melabuhkan tirainya.

"Wei, Zarul. Kau pasti ke nak confess dekat dia?" 

Zarul mengiyakan.

"Yup, aku pasti. Tapi! Aku akan confess kalau aku menang acara 100 meter," ujarnya yang tampak yakin.

Dahi Afiq dikerutkan. Kalau menang acara 100 meter baru dia hendak luahkan perasaannya? Adakah itu penyebab Zarul begitu kecewa dengan kekalahannya sebentar tadi?

"Jap! Jadi kau bukan kecewa sebab kalah dengan Yusri ke?" Persoalan Afiq itu buatkan Zarul terkedu. 

Afiq sudah pun membeliakkan matanya. Tekaannya seperti mengena.

"Kau kecewa sebab kau takut tak dapat nak confess dekat dia?" jerit Afiq. Dia bagai tidak percaya dengan andaiannya sendiri.

Zarul tersenyum senget, sekali gus ia menjawab persoalan rakannya itu. 

Afiq melepaskan nafas berat. Dia memikirkan bahawa rakannya ini tidak serius untuk mempertahankan kemenangannya dalam acara 100 meter pada tahun lepas

"Zarul, Zarul. Kenapa mesti perjudikan cinta kau dengan acara 100 meter?"

"Sebab aku nak ada matlamat. Dan paling penting aku nak menang," jawab Zarul. 

Dia tahu ramai orang begitu skeptikal terhadap cinta. Ada yang kata cinta itu membinasakan. Namun, tidak bagi Zarul. Bagi dia cinta itu mampu memberikan semangat, malah cinta itu juga merupakan pemangkin untuk dia terus berusaha.

Wajah Zarul tampak serius. Dari wajah itulah Afiq mulai faham, rakannya ini tidak main-main. 

"Ikut suka kaulah, Zarul. Bukan masalah aku pun," akur Afiq. Ikutkan dia sudah malas dengan perangai rakannya ini

Bersambung...

Previous: Bab 44
Next: Bab 46

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Nino Si Pungguk