Home Novel Cinta Aku Berjanji Akan Kembali Untukmu
Bab 41

Restu

Dua minggu telah berlalu. Ujian bulanan juga telah kami tempuhi. Segala penat lelah, segala pahit jerih yang memaksa kami mengulang kaji, yang memberi kami erti tekunnya belajar, maka bebaslah kami akan penjara sekolah. 

Demi menyambut kebebasan itu, keluarga saya mengadakan satu jamuan keraian. Katanya untuk meraikan kesungguhan saya menjawab peperiksaan sebelum ini. Di kesempatan ini, saya menjemput rakan-rakan ke rumah, jamuan ini bukanlah untuk saya seorang, lebih baik kita raikan bersama.

"Assalamualaikum!"

Panggilan salam didengari dari luar rumah. Nampaknya Rina dan yang lain-lain sudah sampai. Lantas saya membuka pintu lalu mempelawa mereka masuk ke dalam. Ramai, sembilan orang bilangannya dan itu berjaya mengejutkan keluarga saya. Nasib ibu masak lebih, harap ia mencukupi.

"Sementara kita tunggu makanan siap dihidang, apa kata korang semua duduk dulu di ruang tamu." nyata saya. Mereka semua bersetuju. 

"Ayah, ini lah kawan sekelas Inas. Rasanya kebanyakkan mereka, ayah dah jumpa hari tu," kata saya kepada ayah. Mengingatkan dia akan mereka yang pernah datang ke jamuan yang sama pada tahun lepa. 

Ayah mengangguk lalu melemparkan senyuman. Memandangkan ayah juga ada di ruang tamu, rakan-rakan saya ini berbasa basi bersama ayah. Bermula dari kisah di sekolah hinggalah ke kisah alam pekerjaan, segala nasihat ayah beri, ia bukanlah kerana bangga, namun hanya sekadar nasihat daripada yang tua kepada yang muda.

Dalam pada itu, mata saya sempat mengerling pada Rafie. Diam sahaja dia hari ini. Mungkin gementar agaknya. 

Apa yang dia gementarkan?

Hari ini dia ingin bersemuka dengan ayah. Dia mahu mendapat restu. Tidak mahu memberi tekanan kepadanya, saya membiarkan dia dan terus kembali melayani tetamu yang lain.

Minit demi minit, saat demi saat, makanan tengahari pun dihidangkan oleh ibu dan juga Kak Iman. Maka santapan tengahari kami pun bermula.

Sepanjang waktu itu, Kak Iman hanya mengusik saya. Lebih-lebih lagi selepas dia perasan yang Rafie tersipu-sipu malu sewaktu bersembang dengan ayah. Maklumlah, Kak Iman sendiri sudah sedia maklum mengenai hubungan rahsia saya dan Rafie.

Setelah jamuan selesai, tibalah masa untuk tetamu pulang, memandangkan hari telah menghampiri waktu petang. Masing-masing bersalam-salaman sebelum mengucapkan selamat tinggal. 

Saat bayang tetamu tidak terlihat, Kak Iman datang menghampiri saya. "Wah, baguslah adik akak ni! Ramai betul kawan kamu." 

"Mestilah akak. Inas kan dah cakap hari tu. Akak je yang tak nak percaya," Balas saya sinis. 

Kak Iman mencebik. 

"Ish, kamu ni! Akak nak bergurau sikit pun tak boleh. Menyampah," rungutnya. Rungutannya itu tidak diendahkan. Malas hendak melayan kerenahnya.

Mata saya mula beralih ke arah ibu dan ayah.

"Macam mana ayah, ibu? Okey tak diorang?" 

Ayah tersenyum kecil sambil kepalanya dianggukkan.

"Ya, ayah tengok semuanya baik-baik. Tak sangka anak ayah ni ada ramai kawan." 

"Kan, bang. Lega As rasa. Nampaknya kamu macam dah tak takut lelaki lagi ya, Inas." Saya menyengih lalu mengiyakan. Nampaknya ibu gembira tentang itu. Ketakutan saya terhadap lelaki semakin pulih.

"Oh ya, Inas." Nek Mah tiba-tiba memanggil. Pantas saya memandangnya.

"Ada apa, nek?"

"Boleh nenek tahu siapa lelaki yang pakai baju warna biru tadi?" Soalan Nek Mah itu membuatkan saya befikir sejenak.

Baju biru. Kalau tak silap hanya Rafie seorang memakai baju kemeja biru. Mungkin Nek Mah tanya fasal dia kot.

"Yang rambut dia sedikit ikal tu ke, nek?" Nek Mah mengiyakan. Tak syak lagi, Rafielah orangnya.

"Oh, nama dia Rafie. Kenapa Nek?"

"Dalam ramai-ramai tu, nenek berkenanlah dengan dia. Dia nampak sesuai dengan kamu, Inas," seloroh Nek Mah.

Terkejut saya hingga hampir tersedak. Ya Allah, apa yang Nek Mah cakapkan ini? Sesuai dia kata? Saya tak nafikan perasaan gembira, tetapi pipi ini terasa malu.

"Mak! Sampai ke situ pula dia," tegur ibu. Dia cukup pantang bila dengar anak gadisnya dikaitkan dengan lelaki. 

Nek Mah tertawa.

"Mak guraulah, As. Tapi firasat mak dapat rasakan yang budak tu baik orangnya. Dia begitu sopan saat berbicara. Suara pun lembut je. Itu yang mak berkenan tu." Nek Mah masih pertahankan pendapatnya.

"Tak apalah, Yang. Mak gurau je tu. Jamuan kita ni dah berjaya. Betul tak anak ayah?" Ayah menjeling ke arah saya. 

Namun, jelingannya itu membuatkan saya menunduk. Jari telunjuk saya ditemukan berkali-kali. Bibir pula dikemam. Ada perkara penting yang saya perlu beritahu mereka.

"Urrmmm... ayah... sebenarnya ada lagi," ujar saya dengan jari ditemukan berkali-kali.

"Ada lagi? Apa maksud kamu?" Ayah berkerut dahi.

"Assalamualaikum." 

Tiba-tiba datang suara seseorang memberi salam.

"Waalaikumussalam." Jawab ayah lalu menoleh ke arah suara tersebut. Begitu juga dengan keluarga saya yang lain.

"Eh? Kamu ni bukan ke..." Kata ayah terjeda seketika, melihatkan gerangan yang memberi salam.

"Ya pak cik. Saya Rafie. Kawan Inas. Atau lebih tepat..." Rafie memberhentikan ayatnya. Dia mengambil nafas terlebih dahulu.

"...teman lelaki dia." Itulah pengakuan berani yang berjaya dia ungkapkan di hadapan keluarga saya."

Masing-masing tergamam kecuali Nek Mah.

"Hah! Sekejap! Teman lelaki kamu kata?" Ayah meminta kepastian.

"Ya. Betul tu, kalau boleh saya nak berbincang dengan pak cik. Saya... nak minta izin," pinta Rafie dengan rendah diri. 

Ibu dan ayah memandang sesama sendiri. Kemudian, pandangan mereka beralih ke arah saya. Entah mengapa saya hanya mampu tertunduk. Seolah-olah ini merupakan kesalahan terbesar yang saya lakukan.

Saya... ketakutan. 

*****************************

Sepinya rumah ini bagai tiada penghuni. Ibu dan kakak sudah berada di dapur. Nek Mah pula sudah naik ke bilik. Hanya dua orang sahaja yang berada di ruang tamu iaitu ayah dan Rafie.

Tiada sebarang bicara, tiada juga sebarang bunyi. Itu sudah cukup untuk menggambarkan betapa tegangnya keadaan sekarang. Ia seperti seorang polis sedang menyoal siasat seorang penjenayah.

Kepala Rafie sudah tertunduk. Barangkali memikirkan nasib yang bakal diterimanya sebentar lagi. 

"Ini kopinya ayah, Rafie. Jemputlah minum," pelawa saya sambil meletakkan cawan di atas meja. Ayah hanya mengangguk. 

Matanya sedikit pun tidak lekang dari memandang wajah jejaka yang merupakan kekasih hati saya.

Setelah selesai menghidang, saya mengambil tempat untuk duduk di sofa. Baru hendak duduk, ayah menghalang.

"Inas, kamu duduk di dapur dulu. Ini perbincangan antara lelaki dengan lelaki." Nada suara ayah agak serius. Sekali gus, membuatkan saya menelan payah air liur.

"Baik, ayah." Saya menurut perintahnya. Perlahan-lahan saya berjalan menuju ke dapur.

Sesampai di dapur, terlihatlah ibu dan kakak yang sedang duduk di meja makan. Selepas melihat wajah kakak, pandangan saya beralih kepada ibu. 

"Eh?" Saya tersentak. Muka ibu... nampak serius. Tangannya berpeluk tubuh, seakan-akan mahu memarahi saya. Seram!

Saya tertunduk kesal. Sudah tentulah ibu berasa marah. Hendak atau tidak tepaksalah saya hadap segala kemungkinan yang bakal berlaku. Salah satu kerusi ditarik, sejurus itu saya pun duduk di sebelah Kak Iman. 

Baru sahaja saya duduk, Kak Iman sudah menarik kepala saya. Dia berbisik.

"Wei, Inas! Akak tahulah kamu berdua dah couple tapi kenapa kamu bawa dia jumpa ayah seawal ni."

"Nak buat macam mana akak. Bukan ke ayah sendiri yang cakap kalau dah ada boyfriend kena bawa berjumpa dengan dia?" jawab saya polos.

Kak Iman menepuk dahi.

"Ya Allah, Inas. Naifnya kamu. Memanglah ayah cakap macam tu, tapi janganlah bawa dia jumpa sebelum habis SPM," bisik kakak, tegas

"Nur Inas binti Hamzah." Alamak, ibu sudah panggil nama saya. Sudahlah dia panggil nama penuh.

Melihatkan wajah wanita yang berada dalam lingkungan 40-an itu, sama sekali meresahkan hati. Bukan apa, risau jika ibu kecewa dengan diri saya yang mengejar cinta di usia begini.

"Kamu ingat tak pesanan ibu hari tu? Apa pesanan ibu?" Tenang ibu bertanya. Saya tertunduk kerana tahu yang saya telah melakukan satu kesalahan besar.

"Iya, ibu. Inas tahu. Ibu cakap Inas kena fokus dengan pelajaran dan Inas ingat pesanan tu. Sikit pun Inas tak pernah lupa," nyata saya dengan suara serak.

Sejurus itu, saya memberanikan diri untuk melihat wajah ibu. Walau takut, saya mahu pertahankan tindakan saya.

"Ya, memang kitaorang ber-couple. Tapi ibu, sikit pun kitaorang tak pernah lupa tentang pelajaran, bu." 

Ibu membongkokkan tubuhnya ke hadapan. Kedua-dua belah tangannya diletakkan di atas meja dengan jari jemarinya dipertemukan

"Maksud kamu, Inas tetap utamakan pelajaran walaupun ada hubungan dengan budak lelaki tu?"

Saya mengangguk

"Ya ibu. Inas tak tipu. Hampir dua minggu kitaorang tak bertegur kat sekolah sebab nak fokus study untuk exam. Ibu tolonglah faham yang Inas tak abaikan pelajaran walau sikit pun. Lagi-lagi, Inas cuma sembang dengan dia ikut telefon je. Itupun tak lebih dari 5 minit. Kalau ibu tak percaya, tengok telefon Inas. Baca mesej kami. Jujurnya Inas tak akan tipu ibu. Tak akan, walau sesekali."

Telefon bimbit dikeluarkan lalu saya membuka aplikasi Whatsapp. Saya bingkas bangun lalu tujukan mesej itu kepada ibu. Ya, saya seorang yang optimis. Jika ibu tidak yakin, saya akan bawa bukti. 

Risau tentang kandungan mesej kami? Tidak, langsung saya tak risau. Sebabnya kami berbicara mengenai pelajaran, bahkan tentang masa depan dan juga impian. Saya yakin hubungan kami membawa positif ke arah sesuatu yang positif. Dan itu, mampu meyakinkan ibu.

Ibu menutup mata. Sedikit pun tidak tengok mesej itu. Dia mendengus perlahan sebelum menolak perlahan tangan saya yang memegang telefon. Wajahnya tampak resah. Sempat juga dia mengurut dahi. Namun, itu bukanlah tanda dia kecewa. Sebaliknya dia faham bahawa segalanya sudah pun terjadi. 

"Okey, ibu percayakan kamu. Tapi kamu pasti nak teruskan? Dan kamu yakin yang pelajaran kamu tak akan terabai? Ibu tak nak disebabkan couple keputusan kamu merosot," soal ibu yang masih ragu.

"Inas pasti ibu, sebab Inas percayakan Rafie. Lagipun Rafie tak sama dengan lelaki lain. Dia lebih utamakan pelajaran sebab arwah ibu dia seorang cikgu. Belajar tu sudah sebati dalam dirinya sejak kecil." Penerangan saya bagaimanapun membawa satu persoalan terhadap ibu.

"Sekejap." Ibu memberi isyarat tangan supaya saya berhenti.

"Rafie? Anak cikgu? Kamu maksudkan anak arwah Cikgu Nasuha tu ke?" Saya mengiyakan.

"Iya ibu. Dialah anak arwah Cikgu Nasuha. Ibu kenal kan cikgu Nasuha tu? Ibu juga tahu bagaimana orangnya, bukan?"

Terangguk-angguk ibu saat mendengarnya."Macam tu rupanya. Patutlah wajahnya biasa dilihat. Anak Cikgu Nasuha rupanya."

Perbualan kami terhenti seketika. Malah ibu pula seperti termenung mengenang sesuatu. Sempat juga saya memandang Kak Iman. Namun, reaksi yang dibaginya hanya mengangkat bahu tanda tidak tahu.

Risau dengan pendapat ibu, saya bertanya untuk meminta kepastian.

"Macam mana ibu? Ibu okey ke dengan Rafie?"

Ibu menjeling. Kemudian, dia memandang pula ke arah Kak Iman. Tidak lama selepas itu dia meraup wajahnya. 

"Ini semua salah kamu, Iman. Mesti kamu ajar Inas benda ni." Suara ibu kedengaran tenang. Dia macam... berseloroh.

"Eeehhh! Iman pula yang salah?" rungut Kak Iman. Namun, rungutan itu tidak diendahkan ibu.

"Ibu tak boleh kata apa, Inas. Ibu cuma ikut ayah. Cuma dia je yang boleh buat keputusan ni."

Itulah kata putus daripada ibu sambil matanya dilirikkan ke arah ruang tamu. Sekarang segalanya berada dibahu Rafie. Hanya dia sahaja yang mampu menentukan hubungan kami berdua.

"Inas!" suara ayah datang memanggil. Habis gelabah dibuatnya saya sampaikan tubuh ini tertegak sendiri.

"Ya ayah!" sahut saya.

"Mari sini. Ada benda yang ayah nak cakap dekat kamu," terang ayah yang suaranya jelas dengar dari dapur.

Saya memandang ibu dan Kak Iman. Ibu mengangkat muka dengan bibirnya menyuruh saya ke ruang tamu. Saya mengangguk faham.

Perlahan-lahan saya berjalan ke arah ruang tamu. Takutnya sampaikan saya berzikir, mengharapkan tiada perkara buruk bakal berlaku.

Setibanya saya di ruang tamu, ayah sudah pun berdiri dengan membelakangi Rafie yang masih duduk di atas sofa. Tangannya disilangkan ke belakang seperti seorang askar.

Walau ada sedikit gerun, saya cuba memberanikan diri untuk menghampiri ayah. Keresahan wajah saya ditenung lama olehnya. Apa yang saya mampu hanyalah menundukkan muka. Takut, cuak gelisah, hanya Allah sahaja yang tahu.

"Inas, ayah dan Rafie dah berbincang tentang hubungan kamu berdua."

Bahu saya dipegang perlahan oleh ayah.

"Ayah... restu hubungan kamu berdua," ucap ayah yang sama sekali mengejutkan diri ini.

"A... ayah restu?" Saya meminta kepastian. Dia menganggukkan kepala. 

"Ya, sayang ayah. Ayah restukan hubungan kamu dengan Rafie."

"Abang, abang pasti ke dengan keputusan tu?" Tahu-tahu ibu sudah pun berada di ruang tamu bersama-sama dengan Kak Iman.

"Ya sayang, abang pasti dengan keputusan abang. Lagipun abang dengan Rafie dah buat satu perjanjian. Dia janji yang dia tak akan buat Inas menangis. Betul kan, Rafie?" 

Ayah menjeling seketika ke arah Rafie. Terkejut dengan panggilan itu, Rafie pun bangun dari duduknya. 

"Eh? Errr... aha. Saya janji pak cik, mak cik. Saya akan jaga Inas sebaiknya," katanya dengan tangan kiri di angkat paras bahu. Dia bersumpah di hadapan keluarga saya.

Ayah memandang kembali ke arah saya dan ibu. "Jadi Inas, ayah harap sangat yang kamu jaga batas kamu dengan Rafie. Jangan malukan ayah dan ibu dengan berlaku tak senonoh. Ingat pesanan tu?"

Saya faham akan pesanannya. "Baik ayah Inas akan ingat pesanan tu."

Lantas saya memeluk ayah dengan rasa syukur. Syukur kerana kedua-dua ibu bapa saya merestukan hubungan kami berdua. Entah apalah yang disembangkan oleh Rafie sampaikan ayah membuat keputusan begini. Barangkali keikhlasan hati Rafie yang berjaya mengambil hati ayah.

Begitulah ceritanya saat Rafie bertemu dengan keluarga saya buat pertama kalinya. Namun begitu ini bukanlah tanda kemenangan. Ada lagi gelora yang perlu kami redah sebelum melangkah ke tahap seterusnya. Iaitu masa depan yang tidak menentu. Inilah permulaan kami berdua.

Previous: Bab 40
Next: Bab 42

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Nino Si Pungguk