Home Novel Cinta Aku Berjanji Akan Kembali Untukmu
Bab 46

Terkenal

Mulut Rina sudah terlopong, apatah lagi suaranya tersekat di kerongkong. Dia terkejut, malah terbeliak. Tidaklah dia sangka, pada hari ini dia menyaksikan kemunculan semula seorang atlet yang telah kembali dalam arena olahraga.

"Wei, Kau nampak tak apa yang aku nampak?" Rina menyoal saya.

Sayu tersenyum. "Ya, Rina. Inas nampak ni."

"Mustahil. Rafie... dah berlari semula?" Rina terkejut bukan sembarangan. Dia tahu kemampuan Rafie itu, bekas rakan sepasukannya sewaktu sekolah rendah.

Rina menoleh pada saya. "Kau rasa dia boleh menang ke?"

"Entahlah, Rina. Tapi kalau boleh, Inas nak sokong dia. Saya yakin Rafie boleh menang."

Rina mencebik."Ceh! Sepatutnya aku dah agak yang kau akan cakap macam tu. Kau yakin ke, Inas? Sebab lawan dia Afiq tau," jelas Rina dengan niat untuk mengingatkan saya.

Afiq ini bukanlah setakat ahli rumah sukan yang sama dengan kami berdua tetapi dia juga antara pelari yang hampir setaraf dengan Zarul dan Yusri. Dia perlari ketiga yang terpantas di sekolah kami.

"Inas tahu tu. Cuma... saya yakin yang Rafie boleh." Itulah kata putus dari saya. Walaupun Rafie sekarang ini mewakili rumah biru, tetap saya memilih untuk menyokongnya. Sudah cinta, takkanlah hendak berdusta. Walau ada sedikit nista, mata tetap buta.

"Agak-agak awak, dia dapat nombor berapa?" Rina meminta pendapat saya.

"Macam saya cakap mestilah Rafie yang pertama. Hehehe."

Rina mengurut-ngurut dahi. Dia seperti malas hendak melayan kerenah saya.

"Kau ni, sokong macam kau ni girlfriend dia pula," rungutnya. Saya hanya menyengih. Bukannya dia tahu bahawa saya sememangnya kekasih Rafie.

"Hoonnn!"

Penjaga garisan pun membunyikan hon. Maka berlangsunglah saringan kedua acara 100 meter bagi kategori lelaki. Sedang kami menonton, saya terdengar satu perbualan daripada beberapa orang pelajar di sekeliling kami.

"Weh, budak rumah biru tu tengah lead lah!" ujar seorang pelajar lelaki kepada kawannya. Dia merujuk kepada Rafie.

"Ha'ah la, takkanlah Afiq kalah. Dia saing-saing Zarul kot." Seorang lagi pelajar lelaki mula bersuara.

Mendengar komen mereka itu hanya membuatkan saya tersenyum kecil. Barulah mereka tahu siapa Rafie yang sebenarnya. Itulah dia bekas bintang olahraga yang telah menyepi setelah sekian lama.

Rafie Razali.

"Yayyyy!" Bunyi sorakan akhirnya bergema setelah Rafie tiba di garisan penamat

Ramai menggaru kepala, hairan dengan keputusan itu. Rafie memenangi tempat pertama dalam acara saringan larian 100 meter, manakala Afiq di tempat kedua. Nampak seperti tidak logik, akan tetapi inilah realiti. Mana mungkin seseorang yang tidak dikenali berjaya menewaskan atlet sekolah yang telah menyertai banyak penyertaan sekolah.

Kemenangannya itu membuatkan ahli-ahli rumah biru mula bersorak rancak. Siapa jangka Afiq telah berjaya ditewaskan oleh Rafie yang sememangnya bukan pilihan utama untuk memenangi acara saringan itu.

Hati saya bersorak gembira. Kekasih hati berjaya layak ke pusingan akhir acara larian 100 meter. Suara saya terus bersorak. Malah mata ini tidak lekang dari memandangnya. Entah mengapa Rafie nampak lain daripada sebelum ini.

Dia kelihatan...

lebih menawan dari sebelum ini. Alahai hati ini. Barangkali saya sudah jatuh angau agaknya.

*****************************

Momentum larian Rafie masih kukuh. Sekali lagi, dia berjaya melayakkan diri ke pusingan seterusnya dalam acara 4 x 100 meter. Ini bermaksud dua acara yang disertainya layak ke peringkat akhir pada sabtu ini.

Cabarannya semakin getir. Ramai pesaing bakal menantinya, terutamanya Yusri dan Zarul. Walau apa pun terjadi saya tetap akan menyokongnya dari belakang.

"Waaahhh! Rafiiieee!" Jeritan sorakan pelajar perempuan mula kedengaran.

'Wow, ramai juga yang bersorak ya. Hebat betul awak, Rafie. Semua orang bercerita tentang awak. Bangga betul saya rasa.' Monolog saya dalam hati.

Oh ya, lupa hendak beritahu, sebenarnya ramai pelajar sekolah ini tidak mengenali Rafie sebelum ini. Sampaikan ada yang menyangka bahawa Rafie ialah pelajar yang baru berpindah ke sekolah ini. Bunyinya kelakar bukan? Saya sendiri berasa tidak kering gusi tatkala mendengarnya.

Pelik betul mereka ini. Sewaktu khabar angin mengenai kami tersebar pada tahun lepas, bukankah mereka kenal siapa Rafie itu? Mungkin mereka sudah lupa. Jadi benarlah bahawa khabar angin itu hanyalah sementara, seperti ranting dibawa arus sungai.

Tapi apa yang penting, Rafie bersinar hari ini. Ternyata itulah potensi sebenar kekasih saya ini. Potensi yang telah lama terperangkap di dalam badannya, yang bagai dikurung secara paksa, yang meronta-ronta ingin dilepaskan. Apabila potensi itu berjaya dikeluarkan, ia seakan-akan kelaparan dan dahagakan kemenangan. Begitulah analogi bagi Rafie.

Kini saya berada di kantin sekolah. Biasalah, mahu berehat setelah penat bersorak. Sempat juga saya membeli air manis, mahu menghilangkan rasa dahaga. Sedang saya menghirup, terdengar satu perbualan antara dua orang pelajar perempuan yang duduk di meja sebelah.

"Wei, senior rumah biru yang kalahkan Afiq tadi tu, boleh tahan kan rupa dia?" kata seorang pelajar perempuan yang memakai baju rumah sukan berwarna kuning.

Dia bercerita tentang Rafie. Saya pun apa lagi, pasang telingalah.

"Oh, kau maksudkan Rafie ke? Kalau dia, aku memang dah kenal sejak dia jadi ahli kelab bahasa melayu dulu," maklum perempuan yang seorang lagi. Dia sempat mengelus rambut panjangnya.

"Dia memang handsome pun. Cuma kadang-kadang dia nampak blur sikit. Tapi! Bila dia bercakap, kau boleh dengar suara dia yang cool tu," sambung perempuan yang berambut panjang itu.

"Ya ke. Agak-agak kau, dia dah couple ke? Kalau tak, aku macam nak try dia." Tiba-tiba hati ini bagai dipanah rasa sedih. Kedua-dua belah tangan saya dibuku erat.

"Tak tahulah, tapi aku harap tak." Sebaik perempuan berambut panjang itu membalas, mereka berdua menggetus tawa. Bunyi seperti seloroh tetapi ia memberi kesan kepada saya.

Saya bangkit dari duduk. Lebih baik saya beredar sebelum hati ini makin sakit.

'Jangan risau, Inas. Rafie bukan jenis melayan mereka. Hanya saya seorang sahaja yang bertakhta di dalam hatinya,' desis saya demi menyedapkan hati. Walau apa pun terjadi, saya akan tetap percayakan Rafie.

*****************************

Begitu puas Rafie sekarang ini. Puas dengan prestasinya pada hari ini. Tatkala dirinya tiba di khemah rumah biru, kehadirannya disambut dengan begitu meriah.

"Itu dia star kita! Mari bersorak semua!"

"Rafie!"

"Rafie!"

Berbagai sorakan dilontarkan. Semuanya gembira kerana masih ada harapan untuk rumah biru mendapatkan pingat. Jikalau mengikut kedudukan semasa, rumah biru kini berada di tangga tercorot, hanya beberapa mata ketinggalan di belakang rumah kuning.

Melihatkan sambutan yang menggalakkan, jejaka ini tersenyum lalu melambaikan tangan. Haruslah dia bermesra agar tidak meninggalkan impak negatif terhadap orang lain. Dia sudah belajar melalui pengalaman. Jika dirinya terus berlaku negatif, pasti dia tidak akan dapat mengecap nilai persahabatan seperti sekarang. Tambah pula itu pesanan daripada kekasihnya.

"Rafie." Suara Mona memanggil namanya. Lantas ayam tambatan rumah biru ini memandang gadis kecil molek ini.

Mona tersipu malu sampaikan mukanya tertunduk sedikit. Tangannya dimain-mainkan. Rafie perasan kerenahnya, malah dia sedar tangan Mona memegang sehelai tuala.

Gadis ini mula mendekati Rafie. Sebaik jarak mereka semakin dekat dia mendongak. Maklumlah Rafie ini 14 sentimeter lebih tinggi daripadanya.

"Tah... tahniah, Rafie!" ucapnya sambil membuku tangan kanannya.

"Perkara biasa je, Mona," jawab Rafie. Melihatkan Mona masih berlaku kekok dihadapannya, langsung jejaka ini menegur.

"Kau ni, jangan kekok sangat depan aku. Kita kan kawan."

"Na... nak buat macam mana. Ramai yang tengah tengok saya sekarang ni." Rafie mula memerhati sekeliling. Benar kata, agak ramai yang melihat mereka berdua. Dia kembali memandang Mona. Bukan setakat memandang, ada yang bersiul.

Rafie faham akan perasaan Mona sekarang ini. Perasaan itu pernah dirasainya dahulu. Tidak sukakan perhatian serta benci dengan tohmahan orang ramai yang hanya tahu bergosip dan menyebar khabar angin.

"Abaikan je diorang. Kita kan kawan, jadi tak perlu nak malu."

Gembira dengan ayat itu, Mona pun mengukir senyum. Tak lama selepas itu, tangan halus gadis ini menghulurkan tuala kepada Rafie.

"Nah, tuala untuk awak. Habis berpeluh muka awak ni."

Rafie tertawa kecil seraya mengucapkan terima kasih. Dia mengambil tuala itu lalu mengelap mukanya.

"Tahu tak, awak nampak hebat hari ni. Macam mana awak boleh lari laju, Rafie? Saya ingatkan awak ni biasa-biasa."

"Hehehe, rahsia. Kalau kau nak tahu juga, ambilkan air untuk aku. Aku haus ni," seloroh Rafie lalu meninggalkan Mona. Terpinga-pinga gadis kecil molek ini hinggakan dia merungut.

"Alaaa... apa ni. Baru puji dia, tiba-tiba nak buli pula," katanya dengan nada manja. Maklumlah itu sememangnya sifat Mona.

Walaupun merungut, tetapi Mona tidak mengambil hati. Malah, dia gembira. Gembira bersembang dengan lelaki yang berjaya menarik hatinya.

*****************************

Selangkah demi selangkah saya berjalan. Dalam proses itu juga ada muncul perasan bercampur baur. Kadang rasa ragu, kadang rasa yakin. Semuanya gara-gara perbualan dua pelajar perempuan di kantin sebentar tadi.

Kepala ini digelengkan.

'Jangan fikir bukan-bukan, Inas. Itu semua perasaan awak je.' Saya cuba menyedapkan hati.

Dalam perjalanan menuju ke khemah rumah merah, saya terpandang akan khemah rumah biru. Mungkin saya perlu jenguk dia sekejap. Mana tahu dapat redakan hati yang gundah ini.

Saya memerhatikan satu demi satu pelajar. Mencari-cari kelibat kekasih hati.

Malangnya, ungkapan inggeris ada menyebut, 'curiosity killed the cat'. Itulah pepatah yang sesuai untuk diri saya. Siapa jangka, saya melihat Mona iaitu rakan sekelas yang agak baik dengan saya bemesraan dengan Rafie.

"Tahu tak, awak nampak hebat hari ni. Macam mana awak boleh lari laju, Rafie? Saya ingatkan awak ni biasa-biasa," puji Mona lalu memberikan tuala muka kepada Rafie.

"Hehehe, rahsia. Kalau kau nak tahu juga, ambilkan air untuk aku. Aku haus ni." Itulah perbualan mereka.

Mesranya mereka, macam sudah kenal lama. Siap bergurau dan ketawa lagi.

Rafie... awak makin dikenali.

Saya tak salahkan awak, malah saya sudah lama jangkakan yang perkara itu pasti berlaku. Cumanya ada sesuatu yang lain.

Dada saya. Ia seperti menekan. Rasanya sesak, susah hendak bernafas. Ada satu ayat yang mampu saya fikirkan. Ayat yang kena dengan perasaan ini.

Cemburu.

Benarkah ini perasaan cemburu?

Ternyata saya keliru.

Bersambung...

Previous: Bab 45
Next: Bab 47

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Nino Si Pungguk