Home Novel Cinta Aku Berjanji Akan Kembali Untukmu
Bab 3

Tegur

Pendingin hawa meresapi tubuh, ada pun baju sekolah dan tudung yang melindungi kulit, rasa sejuk itu tetap dirasai. Bunyi muzik kekal terus bermain, ia rentak pop tetapi tidak saya tahu nama lagu itu. Asalkan saya tenang tatkala sedang melihat baju-baju yang ada di kompleks beli belah ini.

Sebentar tadi kami sudah berkaraoke, puas sungguh hati ini apabila dapat meluahkan ia melalui nyanyian. Biasalah, kami baru selesai menjawab peperiksaan.

"Rina, saya nak pergi ke tandas sekejap tau. Kalau ada apa-apa nanti boleh call ya," beritahu saya kepada Rina. 

Dia mengangguk. "Okey, kitaorang tunggu dekat sini je tau. Nak tengok baju-baju dekat sini."

Lantas saya menuju ke tandas awam. Setelah segala urusan selesai, saya berjalan keluar dari tandas tersebut, namun sewaktu dalam perjalanan menuju kembali ke kedai pakaian, langkah ini terhenti, saya terlihat akan figura seorang lelaki yang sangatlah saya kenal. Dia berdiri di hadapan sebuah kedai kek.

"Rafie?"

 Melihatkan pakaian sekolah, serta beg yang disandang pada bahunya, jelas menunjukkan bahawa dirinya belum pulang ke rumah. Barangkali dia sama seperti kami, pergi ke kompleks beli belah ini sebaik sahaja waktu persekolahan tamat.

Tangan kirinya memegang beg plastik yang berisi kotak besar. Anggapan saya mungkin dia baru selesai membeli kek. Akan tetapi, ada sesuatu yang berbeza mengenai dirinya hari ini. Riak mukanya tersenyum gembira. Tidak sama dengan wajah selalunya, muram dan tak bermaya.

"Eh? dia tersenyumlah." Rasa musykil mula bertamu. Tidaklah saya sangka senyuman seperti itu mampu ditampilkan oleh Rafie, ia langsung menyerlah kemanisan pada wajahnya. 

Kali terakhir saya melihat senyuman seperti itu adalah ketika kami masih belajar di sekolah rendah. Anak Cikgu Nasuha, seorang yang ceria dan sentiasa tersenyum, itulah Rafie yang saya kenal satu ketika dahulu.

"Perlu ke saya tegur dia." Teragak-agak saya untuk membuat keputusan. Apa yyang dia fikir jika saya tegur dia? Tidakkah ia terlalu janggal?

Secara tidak angsung saya teringat akan kata-kata Mei pada waktu rehat tadi.

"Apa kata awak tegur dia? Mana tahu dia masih ingat awak sebagai kawan ketika sekolah rendah?"

"Awak boleh, Inas. Ya, awak boleh." Perlahan-lahan langkah ini dibuka dan cuba menghampiri jejaka itu.

"Maaf, awak ni Rafie, kan?" tegur saya dengan nada lembut.

Seperti yang disangka, Rafie menoleh ke belakang. Matanya terbuntang luas saat melihat saya.

"Eh?" 

Itulah yang terpacul dari mulutnya.

"Eh, err... aha, ya saya?" balas jejaka ini. Wajahnya seperti gelabah. Ikutkan saya juga juga seperti dia.

"Awak buat apa dekat sini? Rasanya... saya jarang nampak awak dekat tempat macam ni," soal saya dengan penuh debaran.

"Oh, tak ada apa sangat, cuma... aku belikan kek untuk adik aku. Hari ini hari jadi dia." Rafie menunjuk beg plastik yang berisi kotak kek.

"Oh... Hari jadi adik awak ke? Patutlah saya nampak awak berdiri dekat depan kedai kek ni."

"Itulah." Rafie tertawa kecil. Apabila wajahnya menjadi kembali tenang, dia pun bertanya satu soalan.

"Maaf nak tanya, kenapa kau tiba-tiba tegur aku?" Tangan kiri jejaka itu mengusap belakang kepalanya. Mukanya pula memandang ke arah lain.

"Eh? Ahahaha." Sebenarnya saya terkejut apabila dia bertanya tentang perkara itu tetapi saya membalasnya dengan tawaan. Bukan apa cuma mencari idea untuk berdalih.

"Sebenarnya... errr... saya sengaja nak tegur awak. Sebab saya jarang jumpa awak dekat tempat macam ni. Lagipun... kitakan rakan sekelas," jawab saya.

"Oh. Iyalah, kan," balasnya ringkas.

Tiba-tiba sahaja perbualan kami terhenti. Saya menunduk manakala Rafie memandang sekeliling.

"Urrmm... awak mesti pelik kan kenapa saya tegur awak sekarang ni? Betul tak?" Saya akhirnya bersuara. 

Rafie memandang saya. "Tak ada lah. Cuma terkejut sikit je. Iyalah, lagi-lagi orang yang tegur tu iyalah kau."

"Iyalah kan. Mestilah." Saya tertawa kecil. 

Sekali lagi, perbualan kami terjeda. Suasana di kompleks ini memanglah riuh dan meriah, tetapi keriuhan itu menemani sepi kami.

"Urmm... Kalau kau tak ada apa-apa lagi... aku gerak dulu ya. Adik aku mesti dah tunggu dekat rumah sekarang ni," ujar Rafie sopan. 

Dia memusingkan tubuhnya untuk beredar. Baru sahaja dia hendak mengorak langkah, namanya terpanggil menerusi bibir ini.

"Rafie!" 

Dia menoleh. "Iya?"

"Urmmm... Boleh tak... saya nak bersembang dengan awak lagi? Maksud saya... tegur awak dekat sekolah." Riak mukanya berubah terkejut. Dia melihat sekeliling lalu menggaru pipi.

"Eh? Errr... tapi... nanti orang buat khabar angin yang tak betul tentang kita macam mana? Kau kan pelajar popular, kau tak takut ke?" 

"Itu awak jangan risau. Kita kan sekelas. Tak gitu?" Jari telunjuk diangkat sebagai tanda peringatan. Andaiannya itu tidak diendah saya. Buat apa hendak takut dengan mulut orang. Jika mulut mereka berkata dusta, biarlah mereka berkata, kerana kita tahu yang mana benar dan yang mana salah.

"Memanglah tapi... tak ke... urmm..." Rafie seperti ingin mengutarakan pendapat. Saya memandang tepat pada matanya, mengharapkan menolak permintaan saya itu, sekali gus menekan Rafie. 

 Akhirnya dia pun membuat keputusan. "Yalah, yalah. Aku cuba. Lagipun, kita cuma tegur dan sembang biasa je, kan? Tak ada hal."

"Baguslah. Harap awak kotakan janji awak ya." Mata saya dikenyit sebelah dengan jari kelingking dituju padanya.

"Eh, janji?"

"Ya, saya tunggu janji awak."

Dalam dia berasa hairan, mulutnya mengukir senyum. Dalam beberapa ketika, dia mengangguk lalu setuju.

"Okeylah. kalau macam tu saya minta diri dulu ya. Kawan-kawan saya mesti dah tunggu sekarang ni. Cumanya... sebelum saya pergi, boleh tak awak sampaikan ucapan saya ni untuk adik awak?"

"U... capan?"

"Saya ucap, Selamat Hari Jadi, Rizky." Wajah Rafie mula berubah apabila saya menyebut nama adiknya.

"Kau ingat nama adik aku?"

Tawaan kecil tergetus di bibir ini, membiarkan soalannya tidak berjawab. 

"Okeylah Rafie, kita jumpa esok, ya." Tangan saya dilambaikan kepadanya sebelum beredar hingga meninggalkan pelbagai persoalan dalam diri remaja lelaki itu. Biarlah dia mencari jawapan itu sendiri.

Meskipun berdebar sebentar tadi, kini saya berasa lega. Saya dapat menegur Rafie seperti yang saya hajati. Dada yang berdebar ditekup perlahan. Ternyata rasa ini berbeza jika hendak dibandingkan sewaktu saya berhadapan dengan lelaki. Rasanya tenang dan tak gelabah seperti kebiasaan.

'Mungkin, dia boleh bantu saya,' monolog sayasendirian.

Pada ketika itulah saya mula sedar bahawa saya mempunyai satu azam yang mahu saya lakukan. Saya mahu kembalikan kehidupan harian Rafie sama seperti dulu.

Bukan itu sahaja, dengan cara ini mungkin saya juga mampu berubah untuk menjadi lebih berani tatkala berhadapan dengan lelaki. Saya yakin, sekiranya saya mampu untuk bersembang dengan Rafie, pasti masalah ketakutan terhadpa lelaki dapat diatasi.

*****************************

Sementara itu, ketika Rafie dalam perjalanan pulang ke rumahnya, pelbagai perkara yang bermain dalam fikirannya sekarang ini. Dirinya hairan akan kelakuan Inas yang secara tiba-tiba menegur dirinya.

'Kenapa Inas tiba-tiba tegur aku? Bukan dia... takut dengan lelaki?'

Fikirannya mula teringatkan satu peristiwa yang berlaku pada tahun lalu. Ketika itu dia berada di dalam kelas. Suasana agak riuh memandangkan tiada guru yang memasuki ketika ini. Akan tetapi, dalam keriuhan itu, mata Rafie tidak lekang daripada melihat Inas yang duduk tidak jauh dari tempat duduknya. 

Wajah gadis itu gelisah. Begitu juga dengan tubuhnya yang sedang menggigil. Matanya pula berkali-kali menjeling ke arah pintu kelas. Apabila Rafie mengalihkan pandangannya pada pintu kelas, terlihatlah akan sekumpulan pelajar lelaki yang sedang bersembang. Barulah dia faham akan masalah gadis itu. 

Begitulah imbasan peristiwa yang diingati olehnya.

"Takkanlah dia dah okey pula?" gumam Rafie di dalam hatinya. Sungguh dia musykil dengan tingkah Inas di kompleks beli belah sebentar tadi. Dia kelihatan berbeza.

Kepala Rafie tergeleng-geleng.

'Ish! Kenapa aku ni? Asyik fikir fasal Inas je. Sekarang aku kena fikirkan apa yang nak kena masak hari ni.'

Bentaknya di dalam hati. Maka langkahnya diteruskan lalu menuju pulang.

Bersambung...

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Nino Si Pungguk