Home Novel Cinta Aku Berjanji Akan Kembali Untukmu
Bab 8

Rafie Yang Dingin

Saya melangkah masuk ke dalam kelas. Bersama senyuman, saya pun menuju ke tempat duduk, kerusi ditarik lalu punggung ini dilabuhkan di atas kerusi. Baru sahaja hendak mengambil buku dari beg, Rina datang menyergah dari belakang.

"Inas!"

"Oh, mak!" latah hingga bergegar kerusi. Nasib tangan ini sempat berpaut, jikalau tidak mesti saya jatuh tadi.

Jegilan mata ini menatap tajam muka si gadi lincah ini. "Adoi, Rina! Terkejut Inas tau."

Dia menahan ketawa. Dalam masa yang sama dia meminta maaf.

"Hahaha... sorry la, aku sengaja je nak sergah kau tadi." Kemudian suara Rina diperlahankan.

Tangannya menekup tepi bibirnya lalu berbisik, "Macam mana semalam? Ada apa-apa perkembangan ke?" soalnya yang sudah mula tersenyum sinis.

"Oh, fasal semalam ke. Okey je, Inas dengan Rafie dah capai sepakat dengan idea yang kitaorang bincangkan. Jadi Rina tak payah risau, pembentangan kita orang mesti okey punya," balas saya polos.

Rina mendibab bahu saya. "Ish, kau ni! Bukan benda tu lah aku tanya."

"Adoi, Rina!" marah saya sambil mengusap bekas pukulannya. Rina tergeleng-geleng.

"Aku tanya fasal kau dengan Rafie. Bukan fasal assignment. Macam mana? Okey tak?"

"Ohhhh! tentang tu ke. Cakaplah elok-elok. Kitaorang okey je. Semalam kitaorang dah bersetuju untuk menjadi kawan. Lagipun, waktu bincang dekat rumah Rafie, kitaorang ada lah sembang-sembang sikit tentang kehidupan masing-masing," terang saya kepadanya lagi.

Terangguk-angguk Rina sewaktu mendengar penjelasan saya itu. Namun begitu, wajahnya tiba-tiba berubah.

"Eh? Kejap! Rumah Rafie awak cakap!" Terus bahu saya dipegang oleh kedua-dua belah tangannya. Matanya memandang tepat pada mata saya ini.

"Errr... ha'ah. Kenapa Rina?"

"Kau pergi ke rumah budak lelaki?"

Bibir ini sudah terseringai, lalu saya menyengetkan kepala lalu mengiyakan. "Errrr... ya?"

Mata Rina mula terbuntang.

"Wei, Inas! Kau gila ke? Tak ke nanti orang syak yang korang berdua-duaan di rumah?" bebelnya tanpa henti. Sudahlah membebel, boleh pula dia menggoyang-goyangkan tubuh saya hingga beralun seperti ombak di laut. Nasib kepala ini tak pening.

Saya menarik tangannya dari terus memegang bahu milik saya.

"Relax, Rina. Awak jangan risau. Semalam kitaorang bukannya berdua, tapi berempat. Adik Rafie dengan jiran dia. Diorang lah yang teman kami. Jiran dia baik tau. Siap bawa kuih lagi untuk kitaorang."

Rina menarik nafas lega. "Huh! Kau ni pun. Buat aku risau je. Nasib baik ada jiran Rafie tu. Lain kali kalau kau nak pergi ke rumah dia, kau ajak la aku sekali. Barulah aku tak risau. Kau kena ingat, Inas. Lelaki ni mana boleh percaya sangat." Tegas benar dia menasihati saya. Walaupun perangainya suka mengusik tetapi Rina ini sememangnya prihatin dengan keadaan saya. Inilah ciri-ciri kawan baik.

"Jangan risaulah, Rafie bukan jenis macam tu. Dia lain daripada yang lain. Jadi saya tahu dia orang baik."

"Inas, aku tahu tu tapi kau kena berhati-hati juga tau. Kita ni perempuan. Perempuan kena berteman barulah kita kuat dan selamat." Sejujurnya nasihatnya itu ada betulnya.

Saya sedar maksudnya itu. Nota untuk diri sendiri, jangan terlalu mudah untuk mempercayai seseorang. Tak kira sama orang yang saya kenal mahupun tidak. Saya... kena ubah sifat ini.

"Iyalah Rina, lain kali Inas ajak Rina sekali ya." Rina mengiyakan sahaja kata-kata saya itu. Tangannya kini memegang kepalanya, mengurut-ngurut pelipis yang tidak berdenyut. Sabar sahaja dia dengan perangai saya.

*****************************

Sementara itu, Rafie yang duduk bersendirian di tempat duduknya sedang khusyuk membaca sebuah buku. Tindakannya itu diperhatikan Yusri dari tempat duduknya.

Melihat Rafie keseorangan, dia tergerak hati untuk mendekatinya. Hasratnya hanya mahu berbual seketika, memandangkan mereka jarang bertegur. Tambahan pula, kedua-dua rakannya, Hairi dan Irwan tidak hadir hari ini.

"Yo," tegur Yusri. Rafie memandangnya sekilas. Kemudian, pandangannya itu kembali melihat buku untuk meneruskan pembacaannya.

"Kau nak apa?" balas Rafie dingin.

"Kau tahu tak, kita dah beberapa bulan duduk dalam kelas yang sama, tapi aku perasan yang kita tak pernah bersembang."

"Oh, ya ke. Maaflah kalau itu buat kau terganggu," ucap Rafie secara acuh tak acuh. Dia malas hendak melayan Yusri.

"Errr... tak ganggu pun. Aku sengaja nak tegur kau. Daripada kau duduk sorang-sorang dekat sini apa kata kau bersembang dengan aku?" ajak jejaka popular ini.

Rafie melihat sekelilingnya. Mencari kelibat rakan-rakan Yusri yang kuat kepoh. "Mana kawan kau yang lain? Kenapa kau nak cakap dengan aku? Maaflah aku lebih selesa menyendiri. Anggaplah aku tak wujud kat sini," katanya sambil membelek helaian bukunya ke halaman sebelah.

"Hairi dengan Irwan tak datang hari ni. Diorang tak siap kerja sekolah. Alang-alang aku nampak kau sorang-sorang, apa salahnya kalau aku tegur."

Pandangan Rafie dikalihkan kepada Yusri. Dia mengamati fizikalnya dari bawah hinggalah ke atas. Orangnya tinggi. Kira-kira dalam 178 sentimeter tingginya.

Wajahnya juga boleh dikatakan sangat tampan, hinggakan sesiapa yang memandangnya pasti akan terpikat. Tambah pula, dia ini seorang yang peramah, pasti mampu mencairkan hati para gadis.

Namun sedemikian, entah mengapa jiwa Rafie tidak begitu senang dengan Yusri. Hendak kata perangai buruk tidak juga, memandang orangnya baik. Hendak kata nakal, tidaklah seteruk mana, melainkan perangai Irwan dan Hairi yang lebih menjengkelkan.

Mungkin hanya satu sahaja sebab yang membuatkan Rafie berasa sebegitu.

Statusnya.

Ya, status Yusri yang dikenali ramai atau erti kata lain, pelajar popular.

Rafie mengeluh panjang. "Ikut suka kaulah," akur Si pendiam ini.

Yusri mula teruja. Setelah sekian lama dia cuba untuk bersembang dengan Rafie, baru hari ini hasratnya itu tercapai. "Seriuslah. Kalau macam tu, apa kata kita cerita fasal diri kau? Teringin juga aku tahu siapa kau ni."

Rafie masih diam dan terus membaca bukunya itu. Kekhusyukannya itu tidak membuat Yusri berputus asa. Sebaliknya dia mula mencapai kerusi dari tempat duduknya dan duduk bertentangan dengan Rafie.

"Kau ada berapa adik-beradik eh, Rafie?" Yusri menyoal tetapi Rafie tidak menjawab. Disebabkan itu, dia cuba bertanya soalan yang berlainan.

"Kau sulung ke bongsu?" Masih tiada jawapan yang diberi.

"Hmmm... biasa kau selalu buat apa dekat rumah? Tak pun, apa impian kau eh?" Bertalu-talu soalan Yusri itu. Ternyata dia seorang yang gigih.

"Tup!" Rafie menutup bukunya dengan kuat. Wajahnya yang tenang bertukar geram.

"Kau nak tahu eh. Okey, aku jawab soalan kau. Aku ni ada dua je adik beradik dan aku anak sulung. Dekat rumah aku cuma buat kerja-kerja rumah seperti mengemas dan memasak. Kalau kau tanya mana mak aku, maaf itu hal peribadi aku. Lagi satu, hobi aku membaca buku dan aku belum ada impian lagi. Puas?" terang Rafie yang seperti melepaskan geram.

Tersenyum senget Yusri lalu menggaru kepala. "Okey... nampak agak menarik. Kau tak sunyi ke?"

"Tak pun, aku dah biasa macam ni."

"Hmm... Oh ya! Alang-alang kita dah sembang ni, boleh tak aku nak tahu tentang hubungan kau dengan Inas? Sejak akhir-akhir ni, korang kan selalu bersembang sama. Ada apa-apa ke?"

"Tak ada apa pun. Cuma dia kenalan aku waktu sekolah rendah dulu."

"Ya ke ni? Ke... korang ada sembunyikan sesuatu."

"Kan aku dah cakap aku dengan dia hanya kenalan je! Takkan tak faham lagi? bentak Rafie yang semakin meninggi suaranya. Jelas dia tidak selesa untuk meneruskan perbualan.

"Okey! Okey! Relax. Kalau betullah korang cuma kenalan, boleh tak kau beritahu aku tentang dia? Aku ni macam minat sikitlah dekat dia. Itu pun kalau kau okey." Sengaja Yusri memberi umpan untuk melihat reaksi Rafie. Manalah tahu kalau-kalau Si pendiam ini mempunyai hati dekat Inas.

Rafie memandang wajah Yusri dan mengamatinya.

"Asal kau pandang aku macam tu?" Wajah Yusri jelas menunjukkan yang dia tidak selesa dengan pandangan itu..

"Hairan. Walaupun muka kau ada rupa, tapi nak mengurat pun minta tolong orang macam aku ni. Terdesak ke?" perlinya. Pedas benar ayat Rafie itu. Tipulah kalau kata Yusri tidak sentap dengan pernyataannya.

Tetapi Yusri cuba mengekalkan ketenangannya. Dia sengaja menggetus tawa kecil lalu mengangkat separuh tangannya.

"Come on la, Rafie. Jangan kejam sangat ayat kau tu. Aku nak tips je. Lagipun, aku yakin yang dia mungkin tak sukakan aku. Memandangkan kau rapat dengan dia, mana tahu aku boleh tackle dia, kan?"

Rafie berfikir sejenak. "Hmmm... Kau nak tahu tentang dia, kan?"

Yusri mengangguk.

"Aku tahu satu je tentang dia," kata Rafie kepada Yusri.

"Apa dia?"

"Dia naif dan bendul. Sebelum tu, memang objektif kau memang nak bercakap dengan aku atau kau cuma nak tahu fasal Inas je? Kalau fasal Inas, aku mintak kau blah dari sini. Aku sendiri pun tak tahu sangat tentang dia." Tiba-tiba sahaja Rafie berubah angin. Dari dia hendak memberi tips kepada Yusri, kini dia menghalaunya pula.

Sekali lagi Yusri tertawa kecil. Jenis tak boleh bergurau rupanya Rafie ini, detik di dalam hatinya.

"Kau ni, kelakar lah. Aku cuma nak buka topik untuk berbual je. Lagipun, aku cuma nak tahu sama ada kau dengan Inas ni couple ke tak. Gosip korang berdua tengah hangat sekarang ni. Manalah tahu, Si lelaki pendiam dalam kelas kita ni diam-diam ubi berisi," selorohnya lalu menyeringai sinis.

"Oi! Kalau tu yang kau nak cakapkan dari tadi, baik kau berambus sekarang," tegas Rafie. Memang dia jenis tidak boleh bawa bergurau.

Semua pelajar di dalam kelas memandang mereka, termasuklah Inas sendiri. Masing-masing keliru dengan apa yang dibualkan mereka.

Melihat keadaan itu, Yusri cuba menenangkan Rafie.

"Wow, broRelax la. Aku gurau je. Takkan kau tak pernah bergurau sebelum ni?" Namun, Rafie memalingkan mukanya. Pantang dirinya jika ada yang cuba membuat gosip tentang dirinya.

"Okey, okey. Aku minta maaf. Aku tak jaga sensitiviti kau." Tangan Yusri dihulurkan kepada Rafie.

"Sebagai tanda minta maaf, boleh tak aku nak berkawan dengan kau?" pinta jejaka popular ini bersama senyuman. Ikutkan dia ikhlas mahu berkawan dengan Rafie.

Malangnya, permintaan itu tidak diendahkan. Sekali lagi, Rafie memalingkan mukanya dan menyambung kembali membaca buku. Dia biar permintaan itu tanpa jawapan.

Yusri langsung tidak menunjukkan yang dia terasa dengan tindakan Rafie itu. Akur tangannya tidak bersalam, dia pun menyeluk tangan itu ke dalam poket.

"Tak apalah, Rafie. Aku akan tunggu jawapan kau di hari yang lain. Harap permintaan aku dibalas." Sebaik dia mengucapkan kata-kata itu, Yusri pun bangkit dari duduk. Kerusinya ditarik balik ke mejanya lalu beredar.

Ekor mata Rafie memandang sekilas jejak Yusri. Dia mahu memastikan sama ada Yusri betul-betul pergi dari pandangannya. Serta-merta dia mendengus perlahan. Mukanya diraup seketika.

Pening kepalanya setelah mendapati kata-kata Inas semalam menjadi kenyataan.

*****************************

Imbasan semalam...

Sebaik perjanjian mereka dimeterai, Mak Cik Lina kembali ke rumah dengan membawa beberapa kuih untuk dijamu. Sambil menyantap kuih tersebut, Inas cuba mencadangkan sesuatu yang langsung tidak dijangka oleh Rafie.

"So, Rafie. Alang-alang kita dah berkawan, apa kata kita cari seseorang yang boleh jadi best friend awak," cadang Inas sambil menyuap kuih lapis ke dalam mulutnya.

"Memang kena juga ke, Inas? Kalau aku kena back stab lagi macam mana?" soal Rafie yang masih ragu.

"Alah, itu awak jangan risau. Kita carilah seorang yang memang ikhas nak berkawan dengan awak."

"Ehhh..." Rafie mendesis.

"Siapa je yang ikhlas nak berkawan dengan aku?" soalnya.

"Ha'ah kan. betul jugak." Inas berfikir sejenak. Ada benar kata Rafie itu. Kalau ikutkan, tak pernah lagi rakan sekelasnya menegur Rafie, melainkan dirinya. Tiba-tiba sahaja ingatan gadis genit ini mengingati sesuatu.

"Aha, saya tahu!" Jarinya dipetik.

Hairannya Rafie sampai tertarik kepalanya ke belakang. Tahu katanya, tahu apa?

"Rafie, apa kata awak cuba berkawan dengan Yusri. Saya pasti dia ikhlas nak berkawan dengan awak."

*****************************

Begitulah imbasan yang diingati Rafie. Tergeleng-geleng jejaka pendiam ini bersama nafas keluhan.

"Kenapa mesti Yusri?" monolognya. Dia tidak faham mengapa lelaki itu yang dicadangkan Inas.

Kini matanya dikalihkan pula pada Inas. Dia pandang dari tempat duduknya. Tak sangka gadis ini sanggup berkawan dengannya.

Pelik, selalunya dia akan menolak jika seseorang cuba untuk berkawan dengannya, tetapi tidak pula dia lakukan perkafa yang sama terhadap Inas.

Dia amati kembali wajah jernih gadis itu. Bibirnya tidak lekang dengan senyuman, sudahlah ayu bertudung ditambah pula wajahnya yang naif. Jujurnya dia akui Inas begitu menawan di matanya.

Kemudian, Rafie mengalihkan pandangan. Dia tidak mahu memandang terlalu lama, tidak mahu hatinya terpaut, memakan umpan bernama nafsu.

Bersambung...

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Nino Si Pungguk