Home Novel Cinta Aku Berjanji Akan Kembali Untukmu
Bab 44

Ajak Berjumpa

Jarum menunjukkan pukul 6.30 pagi. Tepat pada waktu itu, Rafie baru sahaja selesai menunaikan solat fardu subuh.

Setelah doa habis dibaca, dia bingkas bangun lalu menukar pakaian seragam sekolah. Sambil bersiap, matanya terpandang pada kalendar yang tergantung di dinding, semerta anak mata remaja ini terpandang pada satu tarikh.

"Lagi tiga minggu ya," gumamnya setelah melihat tarikh 6 April yang dibulatkan dengan marker merah. Ia jatuh pada hari Sabtu.

"Tok! Tok!" 

Pintu biliknya diketuk sebelum dibuka seseorang. Rafie memusingkan badan, mahu melihat gerangan yang berada di muka pintu.

"Rafie, kamu dah bersiap?" soal seorang lelaki yang memakai cermin mata. Dari raut wajahnya tidaklah kelihatan tua dan tidaklah muda. Dialah bapa kepada Rafie, Encik Razali.

"Ha'ah. Dah nak siap dah. Kenapa ayah?" 

Encik Razali menggeleng perlahan.

"Tak ada apa. Sengaja ayah nak tanya." Perbualan mereka terhenti. Janggal untuk meneruskan perbualan.

Rafie kembali mengurus pakaiannya. Hanya tali leher sahaja yang masih belum dipakai. Dalam banyak-banyak pakaian sekolah, tali leherlah yang dia tidak gemar untuk dipakai. Alasannya mudah, dia tidak pandai mengikatnya.

Encik Razali hanya memandang ragam anak sulungnya itu. Walaupun sudah remaja, masih tidak reti untuk mengikat tali leher. Dia pun menyengih lebar.

"Nak ayah tolong ikatkan?" Encik Razali menawarkan dirinya. 

Sekilas Rafie memandang ayahnya. Dia diam dan tak membalas. Pun begitu, dia masih mencuba mengikat tali lehernya, terlalu degil untuk menerima tawaran itu.

Encik Razali menggeleng kepala. Dia faham bahawa anaknya itu berada dalam fasa memberontak. Biasalah, remaja yang baru mengenal dunia, mereka terlalu ego hingga tidak menghiraukan pertolongan daripada orang tua.

"Kalau kamu ikat pun tak akan menjadi, Rafie," ujar Encik Razali lalu mendekati anaknya. Dia mencapai tali leher yang berada di tangan anaknya.

"Mari sini kepala kamu." Rafie akur lalu menundukkan kepala sedikit di hadapan ayahnya. Tali leher dipakaikan sebelum diikat kemas.

"Haaa... macam ni barulah handsome anak ayah ni." Rafie melemparkan senyuman nipis. Sempat juga dia mencubit pipi anaknya itu.

"Terima kasih, ayah," ucap remaja lelaki ini. Lantas, dia menuju ke cermin untuk menyikat rambut. Encik Razali masih berada di dalam bilik itu, masih lagi perhatikan gelagat anaknya. 

"Rafie." Encik Razali memanggil.

"Ya, ayah," jawab remaja itu tanpa memandang ayahnya. Terlalu ralit melihat cermin.

"Nak ayah hantarkan kamu ke sekolah?"

"Tak mengapalah. Rafie dah janji dengan Yusri untuk berjalan bersama. Ayah hantar Iky je lah."

"Ya ke." Encik Razali mengangguk faham.

"Okeylah, ayah keluar bilik dulu. Hati-hati dalam perjalanan nanti." Nasihatnya itu diiyakan sahaja.

Mendengar sahaja balasan itu, Encik Razali pun berjalan keluar sebelum menutup pintu bilik. Seketika itu, dia melepaskan keluhan berat. Cermin matanya ditanggalkan. Perlahan-lahan, dia menuju ke biliknya bersama rasa sesal.

"Abang tak mampu, Nasuha. Abang tak rasa yang abang ni seorang bapa yang baik?" Monolog Encik Razali sambil berjalan.

Langkah kakinya terhenti di hadapan sebuah rak. Di atas rak itu, ada sebuah gambar yang memaparkan seorang wanita bertudung tersenyum manis ke arah kamera. Dialah wanita yang dicintainya, Nasuha.

"Maafkan abang, Nasuha. Abang tak tahu macam mana nak bercakap dengan Rafie. Abang... ayah yang gagal."

*****************************

Sementara menunggu guru masuk ke kelas, saya menyiapkan dahulu beberapa kerja sekolah yang tak sempat disiapkan. Semalam tidak sempat siapkan. Kerja terlalu banyak, tubuh pula terasa penat.

"Inas-Inas." Rina memanggil saya dengan nada manja. Saya memandangnya.

"Ada apa, Rina?"

"Petang ni, kan ada latihan rumah sukan. Jadi, aku ingat nak ajak kau dengan Mei makan dekat medan selera sebelah sekolah ni."

"Oh, boleh je. Lagipun, dekat kantin nanti mesti ramai orang."

"Kan, kan. Nanti lepas habis sekolah kita gerak." Saya mengangguk lalu mengiyakan. Tidak lama selepas itu, Rina pun berlalu pergi. Kerja yang tergendala kembali diteruskan.

"Klak!"

Baru sahaja hendak menulis, sehelai kertas kecil yang dilipat mendarat di atas meja. Ia seperti dibaling oleh seseorang. Saya memandang ke sebelah kanan meja. Terlihat Rafie sedang berdiri di sebelah. Bibirnya dijuih ke arah lipatan kertas tadi.

Saya mengerti isyarat itu. Pasti ada mesej dalam lipatan kertas itu. Saya mengangguk faham.

Rafie menyungging senyuman.

"Jumpa nanti, ya." Lantas dia berlalu pergi.

Lipatan kertas dibuka, lalu dibaca.

"Saya nak jumpa dengan awak lepas habis kelas. Kita jumpa dekat taman sekolah." Itulah mesej dalam surat tersebut.

Rafie mahu berjumpa dengan saya? Pasti ada perkara penting yang mahu dia sampaikan.

*****************************

Rafie berjalan menuju ke taman sekolah. Dia ada satu matlamat yang ingin disampaikan kepada kekasihnya. 

Sebentar tadi, dia keluar lebih awal daripada Inas. Semata-mata tidak mahu orang lain melihat mereka berjalan beriringan. Ia kedengaran rumit, tetapi itulah harga yang harus dibayar demi menjaga rahsia hubunan mereka daripada pengetahuan orang ramai. 

Langkah Rafie terhenti saat melihat Zarul di hadapannya. Dia dilihat bersembang bersama seorang pengawas perempuan, yakni Shasha. 

Lama juga dia memandang Zarul, sampaikan timbul anasir-anasir yang tidak baik dalam dirinya. Entah mengapa hatinya membuak-buak setiap kali melihat wajah lelaki yang selalu menjadi pujaan para pelajar di sekolah ini. Bukanlah dia cemburu mahupun benci, cumanya dia tidak senang dengannya. 

Segalanya bermula pada minggu lalu. 

Ketika itu, Rafie, Hairi dan Yusri sedang berjoging di sebuah padang yang terletak berdekatan dengan kawasan perumahan mereka. 

Sewaktu mereka berehat, ada satu perbualan di antara Yusri dan Hairi yang membuatkan dirinya tidak senang. 

"Wei, aku ada dengar cerita baru tentang Mr. Scandal sekolah kita ni," nyata Hairi kepada Yusri.  

"Zarul ke?" soal Yusri.

"Yalah, siapa lagi lelaki yang banyak scandal dekat sekolah kita ni? Kau ni pun." Hairi membentak. Rafie hanya mendengar sahaja perbualan dua rakannya. Ikutkan dia tidak mahu mengambil peduli. 

"Kenapa dengan dia? Dia ada scandal baru pula ke? Bukan dulu dia couple dengan budak Form 4 ke?" Satu persatu persoalan terpacul dari mulut Yusri. Maklumlah, dia dan Zarul merupakan rakan sepasukan dalam pasukan olahraga sekolah. 

"Yang kita selalu dengar tu, khabar angin je, Yus. Yang ini betul-betul punya. Aku dengar sendiri dari mulut dia. Aku dengar dia nak tackle budak perempuan kelas kita tau." Muka Yusri berubah terkejut.

"Uish! Siapa?" Hairi menyengih senget. Matanya mula beralih ke arah Rafie yang sedang meminum air. 

Yusri mengerut hairan. Padangannya sekejap beralih memandang Rafie, sekejap memandang Hairi. 

"Siapa lagi perempuan yang paling comel dalam kita. Mestilah Inas,"  ujarnya.

"Puuffttt!" 

Tersembur air dari mulut Rafie. Dia terbatuk-batuk. 

Melihatkan gelagatnya, Hairi mula mengekek. "Aku dah agak yang kau akan bagi reaksi macam ni. Kau kan rapat dengan Inas, kan."  Hairi bertindak sinis. Yusri yang mendengar, sekadar menyengih.

"Habislah kau, Rafie. Nampaknya kau dah ada pencabar,"  kata Yusri pula. Sindiran rakannya itu membuat dia terkedu. Tidak dia jangka bahawa andaiannya Zarul meminati kekasihnya.

Itulah imbasan yang diingati Rafie. Dia tahu bahawa pencabarnya ini tiada peluang untuk memiliki Inas, memandangkan kekasihnya itu masih lagi tidak biasa untuk bersemuka dengan lelaki. 

Namun, hatinya ada sedikit rasa gusarnya. Apa akan jadi jika Inas sudah tidak takut lelaki? Adakah dia akan menerima Zarul sekiranya ada peluang? Harus diakui, jika nak dibandingkan Zarul dengan dirinya, Zarul yang lebih baik.

Orangnya tinggi dan berwajah manis. Ditambah pula tahi lalat kecil pada bawah bibir kanannya, lagilah bertambah manis, cukup untuk mencairkan hati gadis-gadis. Keluarganya juga bukan calang-calang orang, bapanya pegawai kerajaan yang berpangkat tinggi. Bagai langit dengan bumi.

Sesungguhnya, itulah perkara yang mengganggu fikiran sang jejaka yang berambut sedikit ikal ini. Dia ragu dengan diri sendiri.

"Zarul!" Suara seorang perempuan memanggil nama Zarul. Mendengar sahaja suara itu sama sekali membuatkan darah Rafie berderau, terasa gigil dari tubuhnya. Langsung matanya memandang ke arah perempuan itu. 

Orangnya berwajah pan-asian. Rambutnya juga berwarna perang. Jangan terkejut, rambut itu asli dari keturunan sebelah bapanya yang merupakan warga Australia. 

Siapa dia?

"Julia?" Itulah nama yang terpacul dari mulut Rafie.

*****************************

Seperti yang diminta oleh Rafie, saya pun bergegas menuju ke taman sekolah. Tibanya saya di sana, terlihatlah seseorang sedang duduk di atas sebuah bangku. Nampaknya Rafie yang sampai dulu daripada saya.

Saya datang menghampirinya.

"Rafie." Dia memandang. Kemudian, senyuman terukir pada bibirnya.

"Sampai pun awak," katanya. Dia bangkit dari duduk lalu menghampiri saya.

Kami berbasa-basi seketika sebelum masuk kepada topik yang hendak dibincangkan.

"Jadi... kenapa awak ajak saya ke sini? Ada apa-apa yang awak nak beritahu ke?" Saya menyatakan kemusykilan diri.

Senyuman Rafie berubah kelat sedikit. Dari gayanya, ia seperti perkara yang serius.

"Ya, ada benda penting yang saya nak beritahu."

Pernyataannya itu mencetuskan debaran. Apa yang dia ingin katakan? Adakah ia berkaitan dengan hubungan kami? Fikiran saya sudah menjadi tidak tenteram.

"Apa dia, awak?" soal saya, resah. Air liur ditelan payah. Mengharapkan ia perkara yang baik.

"Inas. Saya...."

Bersambung...

Previous: Bab 43
Next: Bab 45

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Nino Si Pungguk