Home Novel Cinta Kasihku Sesuci Embun, Seteguh Gladioli
Bab 19

Bab 19

Kita sering mengeluh tatkala langit mendung bersama hujan yang mencurah turun apabila kita mengharapkan hari akan terus panas hingga ke petang. Akibatnya banyak rancangan kita tergendala dengan masa yang dirasakan terbazir bagaikan hujan yang membasahi bumi.

Namun kita sering terlepas pandang, bahawa kombinasi hujan dan mentari akan menyuburkan dedaun hijau. Mencambahkan benih pelbagai jenis tanaman yang akan mengindahkan suasana dan membawa manfaat kepada kita.

***

Anisah hanya termenung dalam gelap pekat malam meredah jalan raya memerhatikan suasana kelam yang sukar dilihat. Pepohon nan hijau kelihatan hitam tanpa cahaya. Hanya lampu dari depan teksi Pak Majid yang mencerahkan perjalanan mereka menuju ke rumah pusaka lelaki itu. Tingkap yang terbuka sedikit menyebabkan tudung yang dipakai berkibar sedikit ditiup angin.

Anak-anaknya sudah terlena di tempat duduk belakang. Suraya meragam pada permulaan tadi, tetapi kini dia juga sudah terlena di pangkuan Marissa.

Pak Majid tidak banyak bercakap semenjak perjalanan mereka bermula, seolah-olah memberi peluang kepada Anisah melayan fikiran dengan apa yang baru dialami. Satu lagi episod duka yang melanda kehidupannya dan anak-anak tanpa seorang lelaki bernama suami.

Atau mungkin dia tidak pasti bagaimana untuk memulakan perbualan. Apa yang dialami wanita itu ternyata terlalu mencabar.

"Hebat sungguh dugaan hidup puan. Kalau saya, saya pun tak tahu macam mana saya nak hadapi semua itu." Pak Majid akhirnya terjumpa kata-kata yang dicari selama mereka berada di dalam teksi.

Anisah tidak menjawab. Pak Majid dapat rasakan apa yang dirasa. Tetapi tidak sama dengan bahu yang memikul semua ini.

"Entahlah Pak Majid. Kadang-kadang saya tertanya, apa yang saya dah buat selami ni. Sampai begini sekali beban yang saya terpaksa pikul. Sampai terkeluar kata-kata, apa dosa saya selama ini. Sampai begini teruk saya terpaksa menanggung beban."

Agak lama Anisah memendam perasaan ini kerana tiada siapa yang boleh dikongsi masalah ini. Kata-kata Pak Majid seolah-olah membuka lubang kecil supaya rasa sebak yang sesak ini dapat diluahkan, walaupun hanya sedikit yang tiris.

"Jangan fikir macam tu puan. Setiap apa yang berlaku ada perkara yang tersirat. Kita lalukan dengan sabar."

"Dah penat Pak Majid, hari-hari saya pujuk diri ni supaya sabar. Tapi nampaknya keadaan makin teruk. Kalau adapun rasa bahagia cuma sekejap. Macam embun pagi." Luahan hati Anisah yang berbau kemarahan dan rasa tidak puas hati.

"Tuhan tahu kemampuan kita. Apa yang kita terima adalah mengikut tahap kemampuan kita. Tahap dugaan setiap orang berbeza, dan ganjarannya pun setimpal dengan apa yang kita hadapi." Pak Majid begitu giat memujuk Anisah.

'Ganjaran? Ganjaran apa? Kalau semuanya jadi makin teruk macam ni? Sampai bila aku nak tunggu?' Sisi gelap Anisah mula menguasai. Seperti racun yang meniti halus dalam pembuluh nadinya.

Anisah menyandarkan kepala ke kerusi, sengaja berpura-pura tidur. Sedangkan apa yang diperlakukan oleh Farizah terhadapnya mula membakar naluri kewarasannya.

***

Anisah sukar melelapkan mata malam itu. Dia merasakan segala-galanya kelam, sehingga segala warna yang pernah menceriakan hidupnya selama ini menjadi hitan yang gelap pekat. Tenggelam dalam kedukaan yang dialami.

'Bagaimana aku nak meneguhkan kembali semangat yang dah luntur seperti pohon yan telah rebah dihentam hujan lebat yang menggila? Bagaimana aku nak bangkit semula kalau kepedihan ini aku rasa sudah tak tertanggung lagi. Bagaimana?'

Anisah dapat rasa matanya hangat dan air mula bergenang.

'Kenapa begini teruk ujian yang terpaksa aku alami? Kenapa?!' Air bah hangat sudah melimpahi tubir Anisah, dan dibiarnya tidak berseka. Rasa sakit dan sebak berbaur dalam dada, hingga menyesakkan nafas dan menghangatkan kepala.

'Sampai bila aku nak tunggu Tuhan ubah hidup aku ke arah yang baik dan sempurna, setelah aku cuba mengikut jalan yang lurus dan taat? Sampai bila?! Aku dah cuba buat segalanya, tapi keadaan bukan jadi makin baik. Memang benar kata Pak Majid, aku kena terus bersabar. Tapi kesabaran ini ada batasnya dan entah bila ia akan kontang, sebelum tiba nasib yang akan merubah hidup aku ini.'

Anisah sudah tidak sanggup melayan ribut yang melanda benaknya. Dia menutup muka dengan bantal sambil membiarkan air mata terus melimpah. Fikirannya cuba dikosongkan, walaupun mata masih enggan pejam untuk hanyut dalam lena dinihari itu.

***

"Assalamualaikum," suara yang memang sudah dijangka Anisah dari pekarangan rumah. Dia duduk sambul mengelus-elus rambut Suraya yang terlena lagi pagi ini.

"Waalaikumsalam, naiklah." Suara Anisah dari ruang tamu. Dia membetulkan anak tudung yang dipakai. Walaupun dia sudah menjengah dari tingkap, dia sudah dapat mengagak dengan mendengar suara yang memang sudah dia kenal.

"Lama betul tak nampak kamu, ya Anisah. Rindu betul aka dengan anak-anak kamu. terutamanya Si Suraya. Semua sihat?" Zaiton mengipas-ngipas badan yang masih berbahang dari terik panas di luar.

"Sihat Kak Eton." Suara Anisah cuba menyembunyikan kesugulan.

"Kalau lalu depan rumah ni, terbayang-bayang Kak Anisah dengan anak-anak. Seronok rasanya nampak akak dah balik." Rokiah menambah. Sama ada dia cuba menceriakan keadaan atau dia memang tidak dapat membaca apa yang telah berlaku.

"Berapa lama akak ada kat sini?" Jameah bertanya. Telus.

"Akak terus tinggal sini sekarang." Jawab Anisah.

"Eh, akak ada masalah dengan madu akak?" Rokiah tidak beralas.

"Ustaz Hairi dah meninggal."

"Hah?! Innalillah... Apa dah jadi Anisah?" Zaiton resah.

"Entahlah kak. Nak cerita pun rasa tak tergamak." Mata Anisah terasa hangat. Tanda-tanda ada air yang akan tiris.

Suasana sepi seketika. Masing-masing memberi peluang Anisah meredakan perasaan.

"Dia sakit. Bukan sakit biasa. Kena buatan orang." Anisah menyeka air mata.

"Siapa?" Rokiah tidak sabar.

"Entahlah." Anisah enggan memberitahu hal sebenar. Anak-anaknya pun sudah dipesan supaya jangan menceritakan hal yang sebenar. Dia masih belum pasti kenapa dia ingin merahsiakan hal itu.

"Madu kau?" Zaiton sudah berhenti mengipas. Cerita ini nampaknya begitu menangkap tumpuannya.

"Dia duduk rumah tu. Dahlah kak. Malas saya nak bercerita hal ni lagi." Anisah menyeka air yang masih berbaki di pipi.

"Macam-macam dugaan Kak Anisah hadapi ya. Tabah betul Kak Anisah ni." Jameah cuba menyedapkan hati Anisah.

"Entah lah Meah. Kadang-kadang akak rasa dah nak sampai penghujung dah ni. Kalau datang lagi lepas ni entah akak boleh bertahan atau tak." Mata Anisah masih merah, walaupun telah kering.

"Apa akak nak buat sekarang ni?" Tanya Rokiah.

"Entahlah Kiah. Rasa macam nak kerja tempat lama." Anisah mengelus rambut Suraya yang tersedar. Kemudian dia tidur semula. Penat berpindah malam tadi masih bersisa.

Zaiton mengeluh. Seolah-olah dia sedang menyelami perasaan Anisah ketika itu.

"Assalamualaikum," suara wanita dari luar. Suara dan lenggok yang memang sudah mereka kenal.

Rokiah keluar untuk melihat.

"Waalaikumsalam. Tak payah nak masuklah Kak Leha. Orang tak jemput pun." Kata-kata Rokiah lembut tetapi kasar bunyinya.

Zaiton dan Jameah berdiri di muka pintu. Anisah membiarkan Suraya yang masih lena dan turut ke muka pintu. Leha berdiri di kaki tangga bersama Normah dan Kalsom.

"Eh Anisah... kau dah balik ke sini? Aku ingatkan kau dah bahagia dengan madu dan laki kau. Wah manisnya kau berserkup. Kalau bertudung mesti lagi manis kan? Yalah, isteri nombor dua ustaz..." Suara mesra Zaleha penuh sindiran tajam yang dalam.

"Kau datang sini nak apa? Tak puas-puas hati sakitkan hati orang?!" Sergah Zaiton.

"Hish... apalah orang kampung ni. Dahlah tak ajak naik ke rumah. Nak marah-marah orang tak tentu pasal."

"Kenapa kau balik sini Anisah? Kau gaduh dengan laki kau? Atau madu kau yang baik hati tu dah tak tahan dengan anak-anak kau tu?" Sindiran Zaleha makin menjengkelkan.

"Dahlah Leha. Pergilah balik. Cukup-cukuplah menyakitkan hati orang." Zaiton menegur.

"Hmm... tak payahlah nak berselindung dengan aku Anisah. Dunia ni kecik aje. Dah ada orang sampaikan pada aku. Laki kau dah mati kan? Madu kau halau kau keluar? Betul tak?" Senyuman Zaleha sinis.

"Leha! Pergi balik sekarang!" Zaiton sudah berang. Jari telunjuknya tegak menunjuk ke jalan.

"Memang nak balik pun. Lepas ni siapalah pulak bakal jadi mangsa kau kan? Macam kata omputih tu apa? Labah-labah black widow?" Matanya tajam menjeling Anisah.

Anisah sudah tidak mampu menanggung beban perasaan. Dia terus masuk.

"Jomlah kita balik." Suara Zaleha yang didengar Anisah. Air matanya tiris semula bersama gelodak perasaan yang memuncak.

'Kenapalah teruk sangat dugaan yang aku terima ni?!' Hati Anisah membentak.

***

Petang itu Anisah memerhatikan anak-anak sedang menyiapkan tugasan sekolah sambil dia melipat baju. Suraya nampaknya asyik melayan rancangan kartun di televisyen.

"Mama, Ben rindu dengan Tok Abah dengan Tok Mak." Kata-kata Ben seperti menyentap perasaan Anisah.

Belum sempat Anisah bersuara, Marissa sudah pun memberikan jawapan.

"Ben! Tok Mak kan tak suka dengan mama. Kalau dia suruh kita tinggal dengan dia maca mana?"

"Apa salahnya." Jawab Ben selamba.

"Kenapa dengan Ben ni?!" Intonasi Marissa mula meninggi.

Ben sudah beremosi. Dia bingkas bangun dan berdiri di hadapan semua yang ada.

"Kakak nak tahu sebab apa? Sebab Ben dah bosan dengan cara hidup kita sekarang ni. Dulu masa papa ada semua senang. Sekarang tengoklah. Kita duduk rumah kayu yang dah buruk macam ni. Malam-malam nyamuk banyak. Tilam entah dari zaman mana, banyak pijat. Masa ada papa kita nak apa semua dapat. Sekarang macam mana? Ben dah bosanlah!" Suara budak lelaki itu sebelum meluru keluar.

"Ben!" Laungan Anisah tidak dipedulikan.

***

Malam itu Anisah sukar melelapkan mata. Dilema yang dihadapi menyebabkan dia pecah kepala memikirkan keputusan yang perlu dibuat. Kata-kata Benjamin siang tadi teruk menggangu fikirannya.

'Apa ikhtiar aku dalam keadaan macam ni. Nak cari kerja dengan pengalaman aku ni, apalah sangat. Takkan aku nak kerja semula di kelab. Kalau aku kerja di kelab terpaksalah aku buka tudung ni. Kalau tak nak kerja apa lagi?' Hati Anisah berhujah.

'Bukan salah aku. Aku baru nak berubah ke arah yang labih baik, tiba-tiba datang dugaan besar macam ni. Kalau Hairi ada, boleh juga dia bimbing aku. Kalau pakai tudung pun tapi tak banyak ilmu apa gunanya.' Sisi gelap Anisah cuba mempengaruhinya.

'Yang penting hati. Lagipun aku perlu utamakan anak-anak. Sumber pendapatan di kelab lumayan sikit. Taklah payah sangat nak fikir macam-macam. Kalau terpaksa korbankan tudung tak apalah. Nak buat macam mana? Aku takut Ben makin memberontak nanti. Sekurang-kurangnya kerja di kelab mewah sikit. Tak payah ikut waktu kerja siang.' Sisi gelap Anisah sudah mula mendominasi nalurinya.

Akhirnya Anisah sudah muktamad dengan keputusannya. Dia menelefon Eja.

Previous: Video Teaser
Next: Bab 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.