Masjid Salihin biasanya lengang pada waktu begini. Tetapi
hari ini kelihatan beberapa buah kereta diparkir di pekarangan masjid. Hari ini
adalah upacara akad nikah sempena penyatuan Ustaz Hairi dan Anisah.
Anisah kelihatan anggun dan sopan dengan busana putih yang
diserikan dengan kain renda London dan tudung putih berlabuci. Jari-jemarinya
sudah merah dengan inai yang menghiasi.
Ustaz Hari kelihatan segak dengan baju melayu serba putih
diserikan dengan songkok hitam dan kain samping songket hitam disulam benang
keemasan. Sebentuk kerongsang swarovski menghiasi songkok menambahkan serinya
sebagai pengantin lelaki.
Farizah begitu tenang duduk berhampiran Anisah dengan baju
kurung berwarna biru. Dalam diam Anisah kagum dengan wanita seperti Farizah.
Bukan mudah bagi seorang wanita melahirkan kesanggupan berkongsi lelaki yang
menemani hidupnya dengan wanita lain.
Zaiton, Jameah dan Rokiah juga ada di situ. Masing-masing
mengenakan baju kurung dan selendang.
Selesai majlis akad nikah, mereka ke rumah Ustaz Hairi dan
Farizah. Majlis perkahwinan mereka agak sederhana. Ustaz Hairi menjemput jiran,
rakan dan keluarga untuk meraikan perkahwinan dengan isteri keduanya.
"Tahniah puan. Semoga berkekalan hingga ke akhir
hayat." Ucapan Pak Majid semasa dia bertemu Anisah selepas majlis selesai.
"Terima kasih Pak Majid."
"Selepas ni puan akan tinggal di mana. Di rumah ustaz
atau rumah lama?"
"Kami tinggal di sini dulu buat permulaan. Tengoklah
kalau perlu, pindah ke rumah lama."
"Tak mengapa. Puan tengoklah mana yang sesuai.
Barang-barang tinggalkan di rumah lama dulu pun tak apa. Bawalah apa-apa yang
perlu saja."
"Terima kasih Pak Majid. Semenjak arwah tak ada, Pak
Majid banyak tolong kami sekeluarga. Tak tahulah macam mana nak balas."
"Jangalah puan risau sangat tentang tu. Saya bersyukur
sebab tengok puan dah bahagia sekarang. Keadaan anak-anak pun insya-Allah
terjaga. Dah dapat ayah ustaz."
"Saya pun harap macam tu juga Pak Majid."
"Mana budak-budak tu?"
"Ada kat dalam, dengan mak nombor dua."
"Saya kagum dengan madu puan. Yalah, tak ramai yang
sanggup buat pengorbanan macam dia."
"Saya pun rasa macam tu juga Pak Majid."
"Okeylah puan. Saya minta diri dulu. Kalau ada apa-apa
hal, puan telefon saja saya."
"Insya-Allah Pak Majid. Terima kasih."
Selepas Pak Majid beredar, jiran bertiga Anisah pula
mendapatkannya.
"Tahniah Anisah. Tak sangka diam-diam kau dapat suami
ustaz. Untung kau." Ucapan Zaiton.
"Amboi Kak Anisah. Kata dulu tak kenal lelaki yang
tumpangkan naik kereta Proton Wira putih. Rupa-rupanya bakal suami." Usik
Rokiah.
"Untung Kak Anisah. Dahlah dapat suami ustaz. Madu sporting pulak tu. Kalau Jameahlah...
Hmm...." Jameah pula menambah.
Anisah terpinga-pinga hendak menjawab ucapan dan usikan
bertubi-tubi mereka bertiga.
"Anisah ucap terima kasih pada semua. Kak Eton, Kiah
dan Meah banyak bantu. Tak tahulah macam mana nak balas."
"Alah Kak Anisah, itukan adat kehidupan. Ada masa kita
di atas, ada masa kita di bawah. Masa kita di atas jangan lupa orang di bawah.
Jangan masa dah berada di bawah baru nak ingat orang lain." Kata-kata
Rokiah penuh makna.
"Walaupun kita dah tak berjiran lagi, tapi kami akan
tetap ingat Kak Anisah. Kalau ada apa-apa masalah, kami sedia bantu." Kata
Jameah.
Anisah hanya mengangguk.
***
Tengah hari itu Anisah dikejutkan apabila dia melihat Eja
datang. Gadis itu kelihatan manis berbaju kurung bersama hadiah untuk Anisah.
"Tahniah Kak Anisah." Ujar Eja sambil menghulurkan
hadiah.
"Terima kasih Eja. Alhamdulillah, akak pun tak sangka
hidup akak akan berubah macam ni."
"Itu rezeki namanya. Macam mana akak kenal dia?"
"Oh ya. Akak minta maaf sebab tak sempat terang hari
tu. Alih-alih akak jemput Eja ke majlis ni. Sebenarnya dia yang selamatkan akak
daripada Datuk Shah dulu. Akak tak sangka dia sanggup melamar akak selepas dia
tahu akak kerja kat tempat tu." Anisah sempat menjeling untuk memastikan
tiada siapa yang mendengar perbualan mereka berdua.
"Akak jangan risau. Rahsia akak hanya saya dan suami
akak yang tahu."
"Itulah. Akak harap pun macam tu juga. Akak tak sanggup
kalau nama Ustaz Hairi diburukkan disebabkan akak."
"Kak Anisah janganlah risau sangat. Untunglah sebab
akak dah tak payah nak menghadap kerenah lelaki macam Datuk Shah lagi. Manusia
yang hanya manis di bibir, tapi penuh agenda tersembunyi dalam hati dia yang
dah hitam gelap macam tu. Saya rasa pun akak tak akan kerja kat tempat macam tu
lagi kan? Akak doakanlah semoga saya jumpa lelaki yang dapat membimbing keluar
saya dari jalan ni."
"Insya-Allah Eja. Sama-samalah kita berdoa." Kata
Anisah bersama senyum menguntum di bibir.
***
Anisah sedang duduk di birai katil ketika Ustaz Hairi masuk
ke bilik peraduan mereka. Anisah terasa berdebar-debar menanti detik ini.
Kenangan silam semasa dia diijab kabulkan dengan Jalaludin kembali singgah di
fikiran. Walaupun dia sudah berpengalaman menghadapi detik-detik sebegini,
tetapi debar untuk bersama lelaki baru di dalam hidupnya ini masih serupa.
Ustaz Hairi duduk di sisinya. Dagu Anisah yang sedang tunduk
dipegang lembut agar pandangan wanita itu berpaling memandang wajahnya. Dengan
malu-malu Anisah membiarkan matanya merenung wajah lelaki yang sudi menyerikan
hidupnya. Wajah yang begitu rapat itu menyebabkan debaran hati Anisah semakin
kencang.
Kemudian tangan kanan Ustaz Hairi diletakkan di ubun-ubun
Anisah dan dia melafazkan doa yang boleh didengar oleh Anisah.
“Ya Allah, aku
memohon kepada-Mu dari kebaikannya dan kebaikan apa yang Engkau tetapkan
kepadanya, dan aku berlindung kepada-Mu dari kejahatannya dan kejahatan yang
Engkau tetapkan padanya. Ya Allah berkatilah isteriku ini atasku dan lindungi
dirinya dari segala keburukan perbuatan orang-orang yang dengki dan perbuatan
tukang sihir apabila dia telah melakukan sihir dan perbuatan orang-orang yang
suka melakukan tipu daya.” Doa yang dibaca oleh Ustaz Hairi.
"Terima kasih kerana Anisah sudi menyerikan hidup
abang." Kata Ustaz Hairi.
"Terima kasih kerana abang sudi terima Anisah tanpa
mempedulikan masa lampau Anisah."
Ketika itu Ustaz Hairi menyuramkan lampu di bilik.
Udara begitu nyaman bertiup pada malam itu bersama taburan bintang
indah menghiasi langit. Wajah bulan begitu berseri memancarkan cahaya yang
indah pada malam yang istimewa itu. Malam yang menyatukan Anisah dan Ustaz
Hairi.
***
Anisah merebahkan kepala di dada Ustaz Hairi sambil tubuh
mereka masih diselimuti duvet. Ustaz Hairi mengelus-elus rambut Anisah yang
menutupi pipinya.
"Abang tak percaya abang bersama dengan Anisah
sekarang." Kata lelaki itu.
"Kenapa?"
"Yalah, wanita yang secantik Anisah sedia terima
lamaran abang."
"Abang juga yang ajar Anisah dulu. Kemampuan fikiran
kita ni terhad, sebab tu kita kena minta petunjuk dari Tuhan." Anisah menjawab.
"Betul tu. Abang bersyukur dengan peluang yang
diberikan Tuhan kepada abang. Insya-Allah abang akan laksanakan tanggungjawab
sebaik mungkin. Kepada Anisah dan anak-anak kita."
"Anisah berterima kasih kepada Tuhan. Juga kepada
Farizah kerana sudi terima Anisah sebagai madu."
"Hidup ni penuh dengan kejutan kan? Siapa sangka
kejadian hitam itu boleh menemukan kita. Sekarang kita bahagia sebagai satu
keluarga yang besar." Kata Ustaz Hairi. Anisah hanya tersenyum sambil
mengusap lembut tangan suaminya.
"Anisah harap kita akan berkekalan begini. Rasa perit
memori silam masih belum hilang lagi. Anisah nak rasa keindahan buat seketika.
Biarlah yang turun hanya air mata gembira. Anisah dah lelah menangis kerana
kesukaran hidup. Anisah nak rasa bahagia hidup bersama abang."
"Siapa kita untuk menolak kepayahan dalam hidup? Kita
hanya hamba, Anisah. Kita kena reda terima apa juga yang mendatang. Walaupun ia
terlalu menggembirakan atau terlalu menyusahkan. Semuanya ada maksud yang
tersurat dan tersirat." Anisah hanya mendengar kata-kata Ustaz Hairi yang
penuh dengan nasihat berharga.
"Anisah ada satu permintaan pada abang." Kata
Anisah.
"Permintaan apa tu?"
"Anisah harap abang jangan sia-siakan hidup Anisah dan
anak-anak. Kami dah tak ada sesiapa lagi untuk membimbing kami dalam hidup.
Hanya abanglah harapan kami."
"Insya-Allah, selagi ada hayat abang, abang akan buat
apa yang termampu. Abang pun ada satu permintaan." Tanya Ustaz Hairi
sambil mengusap lembut bahu Anisah.
"Apa dia bang?" Tanya Anisah.
"Apa perasaan Anisah kalau abang ditimpa
kecelakaan?"
"Eh, tentulah Anisah risau."
"Kalau abang terlantar sakit di hospital?"
"Anisah akan jaga abang."
"Kalau abang dicampakkan dalam api kerana perbuatan
Anisah?"
"Anisah akan buat apa saja supaya abang
terselamat."
"Sebab itu abang ada permintaan penting. Abang harap
Anisah akan kekal bertudung seperti masa majlis tadi. Anisah nampak manis bila
bertudung. Berseri-seri sinar wajah Anisah bila bertudung, walaupun zahirnya
Anisah tampak menarik hati ramai lelaki bila tunjuk rambut."
"Anisah faham bang. Anisah akan terus bertudung seperti
yang abang mahukan." Kata Anisah.
"Terima kasih sayang." Suara romantis Ustaz Hairi
sambil mengucup dahi Anisah.
Pelukan mereka malam itu semakin erat.