Suasana sepi di dalam kereta
Proton Saga hitam berkilat milik Eja. Hanya kedengaran deruman enjin kereta
yang meluncur bersama celoteh deejay
di radio.
Anisah tidak berkata sepatah pun
semenjak mereka tiba di jalan besar menuju ke kelab. Eja pula seakan membiarkan
Anisah melayan apa yang menguasai fikirannya. Atau mungkin dia menunggu Anisah
membuka mulut.
"Anak-anak akak sihat?"
Eja memecah kesunyian dengan keadaan yang terlalu kekok baginya.
"Sihat." Jawab Anisah
ringkas.
"Kenapa akak macam ada
masalah?" Eja sudah tidak sabar menunggu. Nampaknya dia terpaksa
memulakannya.
"Akak pun tak tahu nak
mulakan dari mana." Keluh Anisah.
Eja hanya menunggu.
"Ustaz Hairi dah
meninggal."
"Innalillah...," suara
lirih Eja.
"Eja percaya tak kalau akak
beritahu dia diracun madu akak sendiri?"
"Sampai macam tu sekali?!
Apa masalah dia kak? Hari tu saya tengok dia okey aje." Eja seperti tidak
percaya.
"Dia masih tak dapat lupakan
kekasih lama dia. Kekasih lama dia pun ambil kesempatan. Dia ada latar belakang
peguam. Sebab tu senang-senang boleh buat rancangan macam ni. Habis harta Ustaz
Hairi dia bolot."
"Agaknya dia rasa akak ni
kahwin dengan ustaz semata-mata kerana harta agaknya?" Eja cuba meneka.
Anisah tersenyum sinis.
"Kalau akak nak kan harta, akak tak cari orang macam ustaz tu. Baik akak
cari orang kaya. Sedangkan tawaran Dato' Shah pun akak tolak dulu." Anisah
meluahkan perasaan.
Eja terdiam, seolah-olah sedang
menyelami perasaan Anisah selepas apa yang melanda kehidupannya.
"Kalau ikut hati akak, tak
sanggup nak ke kelab ni. Akak dah agak apa yang Maya dan Dato' Shah nak buat.
Akak tak tahulah sama ada tahan ke tak telinga ni."
"Alah, akak buat tak tahu
aje. Yang penting akak kerja elok-elok. Ramai pengunjung yang tanya mana akak.
Maya tu cemburu sebenarnya."
Anisah tidak menjawab. Dia diam
mengumpul kekuatan dalaman, sebagai perisai menghadapi panahan kata-kata yang
bakal dilontarkan kepadanya di kelab.
Setibanya di kawasan parkir
kelab, Anisah yang kelihatan manis berbaju kurung menapak menuju pintu belakang
kelab.
Sedikit pun dia tidak perasan
sepasang mata sedang memerhatikannya dari dalam teksi.
***
Nasib nampaknya seperti tidak
menyebelahi Anisah. Maya, Zetty dan Anne sedang rancak berbual di bilik
persalinan.
"Eh, Anisah!... Apa kau buat
kat sini? La... aku ingatkan kau dah jadi perempuan solehah. Pakai purdah,
duduk di rumah. Layan suami..." Kata-kata tajam yang menghiris hati
Anisah. Menguji kesabarannya.
Anisah tidak menjawab.
"Kenapa? Laki kau tak bagi
makan cukup? Atau madu kau tu jenis mengikis harta laki kau?" Kata-kata
Maya diikuti tawa sinis mereka bertiga.
"Atau kau sudah bosan dengan
hidup sebagai orang baik? Sebab hidup terasa amat membosankan? Hmm..."
"Cukup Maya! Cukup! Aku nak
tukar baju. Tolong keluar sekarang." Anisah tidak dapat menanggung beban
emosi yang sedang melanda.
"Ish, ish.... jangan kurang
ajar Anisah. Ini tempat aku. Kau kena belajar sikit. Dulu kau dah selamat dari
mulut buaya. Jangan fikir kau dapat lepas lagi kali kedua.... Bye Anisah."
Suara Maya yang hanya beberapa inci dari wajah Anisah, sebelum wanita bertiga
meninggalkan bilik itu.
***
Suasana di meja bar sepi buat seketika
apabila Anisah selesai bercerita perihal kisah hidup yang baru dialami.
Masing-masing tergamam. Yang kedengaran hanya muzik santai dari lantai disko
awal malam itu.
"Besar betul dugaan yang kau
hadapi Anisah. Selama ni aku rasa beban yang aku tanggung dah cukup berat.
Rupa-rupa apa yang kau alami jauh lagi berat." Luahan hati Sofea. Spontan.
"Aku pun rasa macam tu juga.
Kalau akulah... entah apa yang aku dah buat sekarang ni." Rachel menambah.
"Teruk betul Farizah tu.
Orang macam tu baik kena bunuh saja. Senang. Tak menyusahkan orang lain."
Cynthia menambah. Emosinya meluap-luap.
Anisah tidak menjawab.
"Kak Anisah memang kuat.
Kalau tak, dia takkan kerja kat sini lagi. Kalau saya agaknya, dah berhari-hari
terperap kat rumah. Melayan perasaan." Puji Eja.
"Itu yang kau nampak di luar
saja Eja. Dalam ni. Huh!" Akhirnya Anisah bersuara sambil menunjuk ke arah
dadanya sendiri.
"Takkan kau tak nak cuba
dakwa dia di mahkamah? Takkan nak diam aje?" Sofea bersuara.
"Tak ada gunanya. Ex
Farizah tu peguam. Perempuan tu siap sound
aku lagi. Kalau bawa ke mahkamah, aku gerenti kalah punya. Buat habis duit aku
bayar aje." Keluh Anisah.
"Susah juga macam tu
kan?" Sofea baru faham.
"Tau tak apa."
"Tapi kau tak cuba balas
dendam dengan perempuan tu ke? Baru padan muka dia!" Emosi Cynthia masih
bersisa.
"Kalau aku balas dendam pun,
boleh berubah ke nasib aku? Lebih baik aku teruskan hidup. Demi
anak-anak." Jawab Aniisah.
"Betul tu kak. Lagipun kami
semua happy sebab akak dah kerja
semula. Muka Madam Vie tadi pun dah macam lampu spotlight. Berseri-seri nampak akak. Jangan fikir benda yang dah
lepas kak. Terus jalan ke depan." Kata Eja sebelum mereka bersurai untuk
menjalankan tugas masing-masing malam itu.
***
Sebaik sahaja Anisah masuk ke
bilik VIP atas arahan Madam Vie tadi, kedengaran riuh suara lelaki yang ada di
situ melihat ketibaan Anisah.
"Anise... long time no see... How are you?"
Ucap Dato' Hazman.
Maya yang berada di sisi lelaki
itu memandang Anisah dengan renugan yang menjengkelkan.
"Baik," jawab Anisah
ringkas. Emosinya bercampur baur ketika itu. Maya menjeling seperti mahu
menelannya hidup-hidup. Dari hujung kawasan bersantai itu, Dato' Shah memandang
dengan pandangan sinis.
'Kalau aku ikutkan hati, mahu
rasanya aku balik sekarang juga. Biar naik teksi pun tak apa.' Hati Anisah
membentak.
"Sit, sit ... Maya, bring one fresh orange." Helah Dato' Hazman
seperti biasa untuk 'menyingkirkan' Maya buat sementara. Sedangkan Zetty dan
Anne masih memerhatikan setiap gerak-geri Anisah.
"Mana you pergi? I rindu pada you. Call pun tak jawab." Bisikan lirih Dato' Hazman sambil
memerhatikan leher Anisah. Pandangan itu membuatkan Anisah rasa tidak selesa.
Ditambah dengan jelingan Dato' Shah yang sinis dan menjengkelkan.
"Ada projek lain. Sekarang
dah habis dah." Anisah menjawab sambil lewa. Dia malas bercerita tentang
kisah duka yang sudah diulang cerita beberapa kali.
Sebaik sahaja Maya tiba bersama
gelas tinggi berisi jus oren, Dato' Hazman kembali memberi perhatian kepada
Maya.
Masa berlalu hinggalah hanya tinggal
Anisah dan Dato' Shah yang masih duduk di kerusi santai itu. Beberapa kali
Anisah diajak Dato' Hazman dan gengnya menari tetapi dia memberi alasan kurang
sihat. Maya hanya tersenyum gembira. Sekurang-kurangnya dia tidak payah melihat
saingannya mendapat perhatian di lantai tari.
Dato' Shah yang duduk di hujung
kini sudah bangun dan mengambil tempat berhampiran Anisah. Detik-detik yang
cuba dielak oleh Anisah akhirnya tiba juga.
"Berani kau kerja di sini
semula, selepas apa yang dah berlaku hari tu." Kata-kata Dato' Shah berbau
provokasi.
Anisah hanya meneguk liur. Tiada
kata yang keluar, walaupun sepatah.
"Ramai perempuan yang aku
kenal, yang senasib dengan kau dah tak berani jenguk ke sini lagi. Tapi kau...
kau memang tak tahu malu kan? Bermaruah konon? Tapi tergamak jilat ludah yang terpalit
di lantai. Jijik!" Lelaki itu membuat serangan psikologi ke atas Anisah.
Anisah masih berdiam. Dadanya
berdebar kencang. Tangannya terasa menggigil. Emosinya bercampur baur. Takut.
Marah. Malu. Sedih. Semuanya bergelodak dalam jiwanya.
"Kalau tak kerana lelaki
bedebah tu, kau dah jadi habuan aku. Mana dia sekarang? Dia dah tinggalkan kau?
Atau dia tahu siapa kau sebenarnya? Perempuan jijik dan kotor yang perasan
bermaruah?"
Dada Anisah terbakar dengan
kata-kata tidak beralas lelaki itu.
"Dia dah mati. Puas hati
Dato'?" suara Anisah dengan emosi yang cuba dikawal.
"Ooo... dah mati... padanlah
kau terhegeh-hegeh datang ke sini semula. Kasihan..."
Anisah cuba mengawal emosi. Dia
tidak mahu ekspresi wajah dan air mata ini mengganggu tugasnya malam ini.
"Anisah, Anisah... Sayang
sekali. Kau ada rupa. Kau ada daya tarikan. Tapi kau sia-siakan. Kalau kau
terima tawaran aku dulu kau dah hidup senang sekarang ni. Ramai yang inginkan
peluang seperti yang kau dapat. Tapi kau? Kau sia-siakan aset yang kau ada,
seperti air yang terbazir keluar dari paip. Terbuang begitu saja. Kau jangan
lupa, apa yang kau ada ni tak akan berkekalan. Sampai masanya semua akan pudar.
Kendur. Geleber. Masa tu nanti baru kau menyesal." Permainan psikologi
lelaki itu diteruskan.
"Apa yang Dato' nak
sebenarnya ni?" Anisah mula terganggu dengan kata-kata lelaki itu.
"Tawaran aku masih terbuka
untuk kau. Apa yang kau nak, semuanya kau akan dapat. Asalkan kau beri apa yang
aku nak. Hanya untuk aku, tak ada orang lain. Fikirkan betul-betul Anisah.
Peluang ini masih terbuka, asalkan aku belum berubah fikiran. Masa tu nanti
jangan kau terhegeh-hegeh pulak."
Entah mengapa kata-kata itu mula
meresap ke sanubari Anisah. Seperti racun yang menyelinap ke segenap pembuluh darah dan saluran nadi
Anisah.
***
Setelah bertukar semula memakai
baju kurung, Anisah berjalan pagi itu menuju ke kereta Eja. Eja sudah pun
menunggu bersama deruman enjin yang kedengaran. Hanya menunggu Anisah masuk
untuk ia meluncur laju meninggalkan tempat itu.
Anisah mengatur langkah bersama
pelbagai perkara yang bermain di fikiran.
"Puan Anisah!" Suara
dari belakangnya. Suara yang dia kenal.
Anisah terpegun melihat lelaki
berbaju lengan pendek putih berhampiran sebuah teksi.
"Pak Majid ... apa buat kat
sini?" Anisah gugup.
"Saya hantar penumpang yang
nak ke kawasan ni awal malam tadi. Saya nampak puan. Saya… tak sangka puan
kerja di sini."
Anisah serba salah nak menjawab.
Dia hanya menguak rambut di sebalik telinga.
"Saya nak pastikan yang saya
nampak ni betul-betul puan. Jadi saya dah masuk ke kelab dan nampak puan."
Anisah cemas. Tembelang yang
disembunyikan selama ini akhirnya pecah.
"Saya minta tolong Pak Majid
rahsiakan perkara ni, boleh? Terutamanya dari anak-anak saya. Dan orang
kampung."
"Saya boleh rahsiakan puan.
Tak ada masalah. Tapi benda macam ni, lambat laun orang akan tahu juga."
Kata-kata Pak Majid penuh makna.
Anisah hilang kata-kata.
"Okeylah puan. Saya minta
diri dulu. Dah lama saya menunggu di sini sebab nak pastikan betul apa yang
saya nampak. Puan jangan risau, rahsia puan saya akan simpan. Tapi saya harap
puan fikirlah baik-baik. Kalau puan nak, saya boleh tolong carikan kerja,
asalkan puan tak kerja lagi kat tempat macam ni."
Anisah tertunduk malu dengan
kata-kata lelaki itu. Hanya selepas kedengaran hon baru Anisah tersentak dan
menuju ke kereta Proton Wira hitam.
***
Setelah rumah sunyi tanpa
anak-anak yang sudah ke sekolah, Anisah merebahkan tubuh ke katil. Matanya
merenung kosong kipas di siling yang berputar.
Dilema demi dilema dia terpaksa
hadapi dalam hidup ini. Sekarang dia terpaksa memikirkan sama ada untuk
mengikut nasihat Pak Majid supaya dia meninggalkan kelab dan mencari kerja
lain. Mungkin kerja yang akan dicarikan oleh lelaki itu kelak.
Pada masa yang sama dia memikirkan
kata-kata Dato' Shah. Dia memiliki apa yang diidamkan oleh ramai wanita, tetapi
dia terlalu naif untuk menggunakannya demi kepentingan diri sendiri.
Kata-kata Dato' Shah
terngiang-ngiang di telinga.
"Kau ada rupa. Kau ada daya
tarikan. Tapi kau sia-siakan. Kalau kau terima tawaran aku dulu kau dah hidup
senang sekarang ni."
Satu masa dahulu dia terlalu
bersemangat untuk mempertahankan maruah dirinya. Namun apa yang menimpa arwah
Ustaz Hairi membuat dia mula berfikir. Apa yang berlaku kepada Farizah membuatkan
pendiriannya mula goyah.
'Kenapa orang baik seperti Ustaz
Hairi menerima nasib seperti itu? Dan manusia kejam seperti Farizah boleh lepas
macam tu saja? Di mana letaknya keadilan dan pembalasan setimpal dalam hidup?!'
Anisah seolah-olah mempertikaikan kuasa yang berada di luar pemikiran ceteknya.
'Mungkin dah tiba masanya aku
tentukan haluan hidup aku sendiri. Bukan hanya berharapkan pembalasan baik
selepas hidup dalam keadaan taat dan mengikut peraturan.'
Sisi gelap Anisah semakin
mencengkam nalurinya. Segala nasihat dan pesanan arwah Ustaz Hairi suatu masa
dahulu sudah lenyap seperti air yang mengalir keluar dari sinki pemikirannya.
Satu azam baru tertancap dalam
jiwa Anisah.