Lama Anisah memikirkan keputusan yang telah dibuat. Akhirnya
dia membuat keputusan menelefon Eja.
"Helo Eja. Malam ni akak tak kerja."
"Kak Anisah ambil cuti? Tak sihat ke?"
"Taklah."
"Malam esok saya datang ambil akak macam biasa."
"Tak payah."
"Tak payah? Kak Anisah cuti berapa hari?"
"Akak bukan cuti."
"Habis, kenapa?"
"Akak dah berhenti."
"Kenapa buat keputusan mengejut macam ni kak?"
Suara Eja agak meninggi.
"Datuk Shah. Akak keluar dengan dia tadi."
"Akak keluar dengan dia?! Akak okey tak?" Ada nada
cemas dalam suara Eja.
"Nasib akak baik sebab ada orang tolong. Kalau tak, tak
tahulah apa yang dah jadi."
"Syukurlah kak. Kan kami dah suruh akak
hati-hati?"
"Akak tahu. Ini semua pengajaran supaya akak lebih
beringat di masa akan datang."
"Ini semua perangkap dia dengan Maya. Ramai yang
berhenti disebabkan dia."
"Tapi macam mana dia boleh lepas macam tu aje? Takkan
tak ada yang lapor pada polis."
"Itulah hakikatnya hidup ni kak. Ada orang yang salah
gunakan kuasa untuk kepentingan diri sendiri. Orang macam Datuk Shah tu ada
kabel kuat. Sebab tu susah nak sabitkan kesalahan dengan orang macam dia."
Segala soalan Anisah tentang lelaki itu kini telah terjawab.
"Kenapa akak tak ambil cuti beberapa hari? Nanti
datanglah kerja semula. Saya boleh terangkan pada Madam Vie." Cadang Eja.
"Entahlah Eja. Akak tak tahu macam mana nak berdepan
dengan lelaki jahanam tu. Akak rasa tak cukup kuat nak hadapi semua ni. Entah
apa cerita yang dijajakan pasal akak di kelab nanti."
"Pedulikan semua tu kak. Akak kan kerja kerana
anak-anak? Buat apa nak ambil pusing apa yang orang lain kata."
"Nantilah akak fikir dulu. Nanti akak beritahu Eja
kalau akak ubah fikiran."
"Eloklah tu kak. Lagipun bukan senang nak cari kerja
sekarang ni. Madam Vie pun memang dah suka dengan akak. Akak fikirlah elok-elok
ya?"
"Terima kasih Eja. Assalamualaikum"
"Waalaikumsalam."
***
"Kenapa kepala kamu ni Ben? Jatuh?" Tanya Anisah
sambil membelek dahi anak lelakinya. Budak itu mendiamkan diri.
"Abang bergaduh lagi kat sekolah." Jawab Umairah.
"Umairah! Kan abang dah pesan!" Benjamin
menjegilkan mata.
"Tak habis-habis kamu buat hal, Ben." Keluh
Anisah.
"Budak yang buli Firdaus yang mulakan. Takkan Ben nak
biarkan adik Ben kena buli depan mata. Apa guna jadi abang macam tu?"
Benjamin membela diri.
"Niat kamu tu baik. Tapi salah buat keputusan sendiri
macam ni. Apatah lagi kalau sampai bergaduh di sekolah." Tegur Anisah.
Lewat petang itu Anisah mendapat panggilan dari sekolah.
"Assalamualaikum. Puan Anisah?"
"Ya."
"Saya Cikgu Zain. Puan diminta hadir ke sekolah pagi esok.
Ini berkaitan dengan Benjamin, anak puan."
"Ada masalah ke cikgu?"
"Dah beberapa kali dia terlibat dalam pergaduhan di
sekolah. Tapi hari ni memang teruk dia bergaduh. Atas sebab itu pihak sekolah
nak berbincang dengan puan tentang kes ini."
Anisah tergamam. 'Ben, Ben. Tengok apa yang kamu dah buat
sekarang.' Keluhan hati Anisah.
***
Anisah mengelamun di tempat menunggu sambil memikirkan
tentang Benjamin. Dia risau memikirkan apa yang akan didengar tentang anaknya.
Adakah perjumpaan ini sekadar amaran atau tindakan akan diambil?
'Kenapa kamu selalu buat mama risau, Ben?' Keluhan hati
Anisah.
"Puan Anisah?" Suara lelaki yang menyentak Anisah
daripada lamunannya.
"Ya," jawab Anisah setelah dia menoleh ke arah
lelaki itu.
"Saya Cikgu Zain. Boleh puan ikut saya." Ujar
lelaki itu.
Setelah mereka tiba di tempat perbincangan, Cikgu Zain
memulakan bicara. "Saya minta maaf sebab terpaksa ambil masa puan untuk
datang ke sekolah. Tapi ini semua untuk kebaikan anak puan juga."
"Apa yang dia dah buat cikgu?"
"Saya tak salahkan Ben saja dalam hal ini. Saya tahu
niat dia baik untuk bela adik dia yang selalu dibuli. Tapi bergaduh di sekolah
bukan penyelesaiannya. Kami dah cuba nasihatkan dia. Saya harap puan juga boleh
buat perkara yang sama."
"Saya bukan nak kata apa yang anak saya betul. Tapi
kenapa anak saya saja yang dipersalahkan?"
"Itu saya faham puan. Di sekolah ni memang ada beberapa
orang murid yang degil dan suka membuli. Dah macam-macam kami buat. Nasihat,
denda, gantung sekolah, tapi mereka memang susah dibentuk. Jalan akhir adalah
buang sekolah, tapi saya khuatir keadaan akan jadi lebih teruk kalau mereka
diberhentikan."
"Tapi bukankah dengan membiarkan mereka berada di
sekolah ni akan memberikan imej yang buruk pada sekolah? Macam mana kalau ada
murid lain yang terpengaruh dengan tabiat mereka tu?" Anisah melahirkan
rasa risaunya.
"Itu tugas kami di sekolah, puan. Biarlah kami yang
fikirkan jalan penyelesaiannya. Cuma kami minta kerjasama puan supaya pastikan
anak puan tak terlibat dengan murid-murid seperti ini. Ini untuk kebaikan dan
masa depan dia juga." Jawab Cikgu Zain.
"Baiklah, saya akan cuba nasihatkan dia." Jawab
Anisah ringkas dengan rasa tidak puas hati yang masih bersarang dengan
pendirian pihak sekolah.
***
Anisah melangkah lesu pulang setelah selesai perbincangan
dengan Cikgu Zain di sekolah. Kata-kata Cikgu Zain tadi masih kedengaran lirih
di telinganya.
'Mungkin tak adil kalau aku nak salahkan pihak sekolah
sepenuhnya. Sekurang-kurangnya mereka prihatin memanggil aku ke sekolah untuk
berbincang. Bukan main lepas tangan saja. Agaknya ibu bapa budak-budak tu yang
tak ambil tahu tentang perangai anak-anak mereka di sekolah.' Anisah cuba
menyedapkan hati.
Ketika itu mata Anisah melihat sebuah kereta Proton Wira
berwarna putih diperlahankan sebelum berhenti beberapa meter di hadapannya.
"Cik Anisah?" Suara lelaki yang muncul dari dalam
kereta.
"Eh, Ustaz Hairi." Ada nada terkejut dalam suara
Anisah.
"Cik Anisah nak ke mana? Kenapa berjalan kaki? Tak naik
teksi?" Soalan bertubi-tubi lelaki itu.
"Saya dari sekolah tadi. Rumah saya dekat saja. Kat
depan tu." Jawab Anisah.
"Mari saya hantarkan."
"Eh, tak payahlah ustaz. Nanti apa pula orang
kata."
"Tak apa. Biar saya hantar. Naiklah."
"Tak payah hantar sampai rumahlah ustaz. Sampai jalan
besar cukup." Anisah mengenakan syarat. Ustaz Hairi mengangguk.
Hati Anisah masih berbelah bagi ketika dia menumpang kereta
itu. Terlalu banyak pengalaman yang telah dilalui menyebabkan perasaan itu
timbul.
"Saya nak ke sekolah jumpa kawan saya sekejap tadi.
Bila saya nampak Cik Anisah terus saya buat U-turn."
"Susah-susah saja ustaz."
"Tak adalah. Lagipun banyak masa lagi. Ada apa hal Cik
Anisah ke sekolah tadi?"
"Anak saya buat hal di sekolah. Nak buat macam mana,
nasib ibu tunggal macam saya. Semenjak kematian suami, semua saya kena
fikir." Keluh Anisah.
"Cik Anisah jumpa cikgu yang mana tadi? Saya pun ada
kawan di sekolah tu."
"Cikgu Zain."
"Itu memang kawan baik saya sejak kami kecil
lagi."
"Oh, ya ke?" Jawab Anisah.
"Eh, bukan ke semalam ustaz pakai motor? Hari ni pakai
kereta pulak." Anisah mengubah topik.
"Kalau cuaca tak elok atau kalau ada urusan baru saya
guna kereta. Kalau pergi mengajar saya guna motor. Ringkas." Jawab Ustaz
Hairi.
"Ustaz berhenti depan tu aje." Anisah menunjuk ke
arah jalan yang menuju masuk ke rumahnya.
"Terima kasih ustaz." Kata Anisah sebelum menutup
pintu.
Sedikit pun Anisah tidak sedar beberapa pasang mata sedang
memerhatikan gerak-gerinya dengan rasa penuh curiga.
***
Malam itu Anisah sukar melelapkan mata. Dia asyik memikirkan
tentang ustaz Hairi. Ada sesuatu yang membuatkan dia rasa pelik dengan tindakan
lelaki itu.
'Aku hairan. Kenapa dia sanggup patah balik semata-mata
untuk menumpangkan aku? Lagipun dia tu ustaz. Takkan dia senang-senang nak menumpangkan
perempuan yang bukan muhrim macam aku? Kenapa dia sanggup buat macam tu?' Hati
Anisah dilanda kemusykilan.
'Tentu bahagia kalau ada lelaki seperti itu dalam hidup aku.
Aku yakin dia mampu membimbing aku dan anak-anak menghadapi pancaroba hidup ketika
ini. Orangnya pun boleh tahan.' Sedikan nakal hati Anisah bersama senyum
meleret di bibir.
Di kala itu kenangan bersama Jalaludin membangkitkan rasa
rindu di malam yang dingin.
'Anisah boleh menipu orang lain, tapi Anisah tak mampu
menipu diri sendiri bang. Anisah memang rindu berada dalam dakapan abang pada
saat-saat seperti ini.' Air mata Anisah sudah mula tiris.
'Bila abang ada Anisah rasa tenang dan selamat untuk
menjalani kehidupan. Anisah masih lagi terkapai-kapai mencari dahan untuk
berpaut sekarang ni bang. Tapi dahan yang Anisah capai semuanya rapuh. Kalau
tak rapuh pun, ada ular berbisa yang bersembunyi di celah-celah dahan. Sentiasa
mencari peluang untuk menerkam Anisah.' Tangannya menyeka air mata yang sudah
melimpah membasahi bantal.
'Anisah ingin bersama-sama abang sampai ke syurga. Tapi
dalam keadaan ini Anisah tak tahu sama ada Anisah mampu bertahan atau tidak
tanpa lelaki dalam hidup Anisah. Anisah terpaksa akui, Anisah masih belum cukup
kuat untuk menempuh semua dugaan ini sendirian. Anisah minta maaf sekiranya ada
lelaki lain yang akan mengisi hidup Anisah.'
Anisah memeluk bantal dengan harapan air mata akan surut dan
dia dapat melelapkan mata.