Hari ini adalah hari dimana Tini akan berangkat ke Kuala Lumpur. Tini, emak
dan Nazrin pagi-pagi lagi telah bertolak dari rumah dengan menaiki teksi ke
stesen bas Kuala Kangsar. Tini
meletakkan begnya di sebelah kerusi yang mereka duduki. Masih tidak ramai orang
yang berada di stesen bas itu. Kedai-kedai yang berada di kiri kanan stesen bas
itu juga masih belum banyak dibuka. Suasana agak sunyi seolah-olah memahami
bahawa satu perpisahan akan berlaku sebentar nanti. Kaunter-kaunter tiket juga
masih kosong dan pekerja-pekerja kaunter pula kelihatan sedang sibuk untuk
memulakan tugas mereka pada pagi itu.
Tepat pukul 8.00 pagi, bas yang akan dinaiki oleh Tini
tiba dan parkir tidak jauh daripada tempat duduk mereka. Dada Tini
berdebar-debar. Hatinya berasa sebak.
“Pandai-pandai jaga diri,” pesan Rohana kepada Kartini.
Tangannya menggenggam erat kedua-dua tangan Kartini.
Matanya berair namun cepat-cepat dikesatnya sebelum air
mata itu gugur. Kemudian Rohana mengeluarkan wang sebanyak dua ratus ringgit
daripada beg tangannya lalu diserahkan kepada Kartini.
“Tak payahlah mak. Duit simpanan Tini masa kerja kat
kedai buku tu pun ada lagi,”
“Ambiklah. Duit ni memang mak simpan untuk Tini sambung
belajar,” desak Rohana lagi. Tangan
Tini digenggam erat seolah-olah begitu berat untuk dilepaskan. Tini semakin
sebak. Kemudian air mata yang ditahan sejak tadi pecah juga.
“Mak….halalkanlah makan minum Tini ya mak. Mak
sentiasalah doakan Tini agar Tini berjaya di sana,” ujar Kartini dalam esak tangis yang
semakin kuat.
“Sudahlah tu, malu kat orang. Dah besar pun nak menangis
lagi,”
Rohana memalingkan wajahnya. Cuba menyembunyikan kesedihan
hatinya sendiri. Sesungguhnya seumur hidupnya, ini adalah perpisahan pertama
antara dia dengan Kartini. Apabila saat-saat berpisah semakin hampir, semakin
sebak hatinya.
“Mak…Tini ikut mak balik lah mak. Tini tak nak pergilah
mak…,” rayu Kartini. Entah kenapa dia begitu berat pula untuk terus berada jauh
dari keluarganya sedangkan malam tadi dia juga yang beria-ia hendak mendaftarkan
diri di universiti sehingga tidak habis-habis dia bercerita dengan emaknya
tentang impiannya. Tetapi pagi ini, apabila dia terpaksa meninggalkan rumahnya,
hatinya tiba-tiba diserang perasaan sayu dan sedih.
”Jangan jadi bodoh. Ini impian mak. Mak memang nak
sangat tengok Tini masuk universiti. Mak nak Tini belajar bersungguh-sungguh.
Jangan ingat perkara lain. Bila cuti Tini boleh balik kampung jenguk mak,”
marah Rohana.
“Bas ke Kuala
Lumpur!! Bas ke Kuala
Lumpur!!” jeritan pemandu bas di stesen bas Kuala
Kangsar menyentakkan Kartini. Dia melihat jam di tangan. Telah pukul 8.00 pagi,
maknanya dia perlu naik ke atas bas kerana bas akan bertolak sedikit masa lagi.
Air mata Kartini semakin lebat mengalir. Nazrin yang berada di sisi dipeluknya
erat.
“Jaga mak ya dik,” pesan Kartini dan adiknya itu hanya
mengangguk.
“Maafkan mak sebab tak dapat hantar Tini sampai ke sana. Tini pun fahamkan
keadaan kita. Lagipun kalau mak pergi,
kat mana pulak mak nak tidur. Kita bukan ada saudara mara kat sana. Duit pun tak cukup kalau nak sewa
hotel,”
Kartini mengangguk. Dia cukup faham dengan situasi
kewangan mereka.
“Bila tiba sana,
cari Isma. Hanya dia sahaja kawan baik Tini,” pesan Rohana lagi.
Kartini terus memeluk emaknya kemudian mencium kedua dua
belah pipi emaknya. Lama mereka berpelukan sehinggalah Rohana menolak tubuh
Kartini jauh dari dirinya.
“Naiklah bas Tini,” suruh Rohana. Dia tahu Kartini berat
hendak meninggalkannya dan Nazrin namun demi masa depan yang lebih baik, banyak
yang terpaksa dikorbankan.
Di dalam bas, air mata Tini masih mengalir. Lambaian
tangan emak dan Nazrin semakin lama semakin hilang dan kini bas mula bergerak
di jalan besar. Kartini menyandarkan tubuhnya di kerusi. Matanya dipejamkan
rapat. Beg tangannya dipeluk kemas, takut sekiranya dicuri kerana hanya itulah
sahaja wang yang ada untuknya sebagai belanja hidup di Kuala Lumpur nanti. Di sebelahnya duduk
seorang wanita Melayu berumur dalam lingkungan 40-an yang berpakaian baju
kurung moden berwarna hijau lumut. Melihatkan wajahnya yang agak masam, Tini
mengambil sikap mendiamkan diri dan terus melelapkan matanya di sepanjang
perjalanan.
Fikiran Tini segera teringatkan Isma. Isma sejak dari
semalam lagi telah bertolak ke Kuala
Lumpur menaiki kereta baru Syed Faizul, abangnya yang
kedua. Isma ada mengajak Tini bersama tetapi Tini menolak. Isma kata dia akan bermalam di rumah yang
baru dibeli oleh Faizul di Kuala Lumpur. Sebenarnya jelingan mata makcik
Sharifah juga membuatkan Tini tidak berani untuk lebih-lebih berbual dengan
Isma pada petang semalam.
Tini sedar yang emak Isma kurang menyenangi dia berkawan
baik dengan Isma. Perkara ini semakin ketara sejak Isma dan Tini belajar di
sekolah menengah. Tini sendiri tidak dapat memastikan kenapa makcik Sharifah
bersikap begitu terhadapnya. Agakannya mungkin kerana sejak di sekolah
menengah, kepandaian Tini di sekolah lebih ketara daripada Isma dan Tini sering
sahaja mendapat tempat pertama dalam peperiksaan akhir tahun di sekolah mereka.
Tini juga aktif bersukan dan pernah beberapa kali dianugerahkan sebagai
olahragawati terbaik bagi sekolah mereka.
Keadaan ini berbeza semasa mereka berada di sekolah
rendah. Waktu itu, Isma lebih cemerlang. Kecantikannya dan kepetahannya
bercakap menyebabkan guru-guru gemar mengambil Isma menyertai pertandingan
tarian dan drama di sekolah. Dan kejayaan itu menyebabkan makcik Sharifah
sering menjaja dan mewarwarkan cerita tentang Isma di seluruh kampong. Dan kini
apabila nama Tini pula yang naik sebagai pelajar terbaik di sekolah, makcik
Sharifah kelihatan tidak berpuas hati.
Tetapi Tini bukannya seorang yang gemar bermusuh dengan
orang. Dia tetap berkawan baik dengan Isma cuma dia jarang pergi ke rumah Isma.
Hanya Isma yang rajin ke rumahnya. Jika mereka ingin berbual panjang, selalunya
mereka akan mandi dan berehat di air terjun di kampung mereka.
“Aku rasa mak kau tak suka aku,” luah Tini suatu hari.
Waktu itu mereka masih di Tingkatan
Tiga. Isma memandangnya seketika kemudian tersenyum.
“Lantaklah. Biarlah dia tak suka kau pun. Yang penting
aku suka,” jawab Isma sambil kakinya bermain-main dengan air sungai yang sejuk.
“Kenapa ya?” Tanya Tini lagi.
Isma menjungkitkan bahunya. Walaupun Kartini
memandangnya untuk mendapatkan jawapannya, namun sehingga mereka pulang ke
rumah, Isma masih mendiamkan diri. Dan
sejak itu Tini tidak bertanya lagi kerana dia sedar dia tidak akan mendapat
jawapannya dari mulut Isma.
Sejak itu Kartini nekad. Biarlah makcik Sharifah tidak
sukakannya, tetapi janganlah sehingga dia terpaksa mengorbankan persahabatannya
dengan Isma. Dia tidak sanggup sekiranya itu terjadi kerana sejak dari darjah
satu lagi, hanya Isma lah kawannya yang paling rapat. Sesungguhnya mereka
serasi bersama. Kartini juga tahu Isma
juga begitu, sanggup berkorban dan mempertahankannya. Kartini tahu Isma
bersikap degil dan tidak memperdulikan kata-kata makcik Sharifah yang sering menghalang Isma
daripada bertemu dengan Kartini. Makcik Sharifah juga tidak mampu berbuat
apa-apa kerana dia terlalu menyayangi Isma dan dia tidak mahu Isma marahkannya,
dan kerana itu jugalah perhubungan mereka masih kekal sehingga ke hari
ini.
Tini terkejut. Bas yang membrek mengejut menyedarkannnya
dari lena. Makcik di sebelahnya terpinga-pinga, juga terkejut dengan apa yang
berlaku. Tini menjengukkan wajahnya ke luar tingkap. Melihatkan
bangunan-bangunan tinggi yang begitu padat di kiri kanan jalan, Tini tahu dia
sudah pun tiba di bandaraya Kuala Lumpur, ibu
negeri Malaysia
yang tercinta. Tini membetulkan duduknya. Dia memanjangkan lehernya ke hadapan,
cuba
mengambil tahu apa yang telah berlaku sebentar tadi. Keadaan penumpang agak
riuh rendah di dalam bas. Ada
yang berdiri dan ada juga yang terngintai-ngintai ke hadapan. Ada pula yang terlebih aktif sehingga bangun
dan berjalan ke bahagian hadapan bas untuk mendapatkan berita yang lebih
terkini.
“Ada
accident kat depan,”
Tini mendengar suara pemandu bas memberitahu. Tini
menjadi cemas. Barisan kenderaan agak panjang dan kesesakan jalan ini pasti akan
menyebabkan Tini lewat untuk mendaftarkan diri di kolej. Tini bersandar semula
di kerusi. Dia berdoa agar pihak polis akan dapat menyelesaikan masalah
kesesakan jalanraya ini dengan secepat mungkin agar dia dapat segera tiba di
kolej. Dia tidak mahu berhadapan dengan sebarang masalah pada hari ini kerana
hari ini adalah hari yang paling bermakna buat dirinya.
“Hisshhh! Bila orang nak cepat, macam-macam hal pulak
berlaku,” Tini tergamam seketika apabila mendengar makcik di sebelahnya
merungut. Tini menoleh sekilas tetapi makcik tersebut pula sedang asyik
melihat-lihat ke hadapan. Mungkin mengharapkan agar kesesakan itu akan cepat
reda.
Tini mengucap syukur apabila bas yang tadinya statik
mula bergerak perlahan-lahan meninggalkan kawasan kemalangan. Tini menggeleng
kepala apabila dari tingkap bas dia dapat memerhatikan dua buah kereta remuk di bahagian
hadapan dan belakang. Tini semakin memanjangkan batang lehernya apabila melihat
sekujur tubuh yang telah ditutupi dengan plastik berwarna hitam terbaring di
atas jalanraya.
“Innalillah…..,” Tini mengucap perlahan.
Tini bersandar semula di kerusi. Dia melihat jam di
pergelangan tangannya. Telah menunjukkan pukul 12.00 tengahari. Dia yakin dia akan sempat sampai
pada waktunya.