Hari ini hari kedua Tini dan Isma berada di kolej.
Perasaan mengantuk begitu kuat bersarang di hati Tini dan Isma. Minggu
orientasi masih belum berakhir. Tini mengeluh kepenatan. Kenapalah perlu ada
minggu seperti ini. Hanya menakutkan dan meruntuhkan perasaan dan semangat
berkobar-kobar setiap junior sahaja…rungut Tini dalam hatinya. Semalam nyaris
dia tidak kena ketuk ketampi di depan dewan hanya kerana dia terlupa nama Ketua
Orientasi kolej mereka.
“Kan
saya dah suruh awak cari nama setiap urusetia program orientasi ni? Apa yang
awak buat dalam tempoh dua jam yang diberi ha!!? Awak tidur ye? Kalau nak tidur
pergi balik rumah! Jangan datang sini! Sini tempat orang nak belajar aje!!”
berdesing telinga Tini apabila disergah begitu. Sebenarnya memang dia telah
dapat semua maklumat yang dikehendaki tetapi apabila dia meraba poket seluar
sukannnya dia tidak dapat mencari kertas tersebut. Seingatnya dia telahpun
memasukkan kertas itu ke dalam poket
sebelum dia keluar dari bilik tadi. Mungkin tercicir….dan ketakutan pula telah
menyebabkan dia “blank” sebentar. Habis nama-nama yang telah dihafalnya tadi
hilang dari kotak fikirannya. Dia hanya mampu tercegat di hadapan senior lelaki
bertubuh tinggi lampai itu sambil tunduk memandang lantai.
“Ha! Ketuk ketampi sepuluh kali sebagai denda!
Sekarang!!” tengking lelaki itu lagi. Tini pula terkedu. Perasaan malu semakin menebal
dalam dirinya lebih-lebih lagi dia dikelilingi tiga orang lagi pelajar senior
lelaki.
“Errr….Rashid bin Shaari,” entah macam mana tiba-tiba
sahaja nama itu terpacul dari mulut Tini.”
“Apa?” pelajar lelaki itu bertanya. Telinganya dihalakan
ke wajah Tini meminta Tini mengulanginya dengan lebih jelas.
“Nama Ketua urusetia adalah Rashid bin Shaari…”
terketar-ketar Tini menyebut nama itu semula.
“Ha! Tahu pun! Nasib baik kau ingat! Kalau tak nasib kau
dah macam dia orang!” pelajar lelaki itu menunjukkan ke arah tiga orang pelajar
baru yang telah didenda ketuk ketampi. Hati Tini sebak. Perasaan kasihan
menerpa ke dalam hatinya. Baginya minggu orientasi ini agak melampau dan
memalukan.
“Abang Faizul kirim salam,” beritahu Isma sambil
tersenyum meleret.
“Ha?” Tini yang masih mengelamun tersentak. Dia
memandang ke arah Isma yang berdiri di hadapannya.
“Waalaikummussalam…,” jawab Kartini bersahaja, cuba mengawal
rasa hati dan riak wajahnya agar tidak
dijadikan bahan usikan Isma.
“Tini ni menung apa ni?” tegur Isma yang perasan sikap
Tini sejak tadi.
“Tak ada…Tini penatlah dengan minggu orientasi ni.
Teringat kisah semalam…,”
“Nasib baik semalam Tini ingat nama Ketua Orientasi tu kan…,” bisik Isma dengan
senyuman di bibir. Dia juga kasihan melihat Tini yang pucat lesi apabila disoal
bertubi-tubi oleh abang senior tersebut. Tetapi apakan dayanya kerana dia tidak
dapat membantu kerana dia juga langsung tidak tahu jawapan yang dikehendaki
oleh senior tersebut.
Tini tersenyum dan mengangguk. Memang dia benar-benar
bernasib baik semalam. Kalau tidak pasti hari ini menggeletar lututnya dek
kerana ketuk ketampi semalam.
Perbualan mereka terhenti apabila giliran mereka untuk
mengambil makanan tiba. Dulang yang kini berisi nasi dan lauk pauk ditatang
dengan berhati-hati. Mereka duduk di sebuah meja yang agak jauh dari orang
ramai. Maklumlah junior, masih lagi takut-takut dengan kehidupan baru mereka.
Kartini perasan ada beberapa siswa lelaki yang berkali-kali memandang ke arah
meja mereka, pasti tertarik dengan Isma yang memang mampu memukau mata setiap
lelaki yang memandangnya.
“Rasanya abang Faizul macam ada hati kat Tini,” ujar
Isma berterus terang.
Kartini agak terkejut mendengar kata-kata Isma. Ikan
goreng yang berada di tangan diletakkan semula ke dalam dulang.
“Jangan merepeklah Isma,” Kartini tunduk, cuba
melindungkan resah yang melatari dirinya.
“Betul…….,” Isma cuba menyakinkan.
“Tak ada apa-apa tu. Dia saja kirim salam, macam
dulu-dulu. Tini tak mahu cakap tentang ni, okey?” jawab Tini tegas.
Isma mengangguk walaupun agak kecewa juga dengan sikap
Tini yang langsung menolak mentah mana-mana lelaki yang berminat untuk
mendekatinya. Tetapi dia terpaksa akur dan akhirnya faham benar dengan perangai
Kartini yang tidak suka berbincang tentang lelaki dan perasaan.
“Ada
bawak baju hitam putih?” tanya Isma kepada Kartini yang hanya diam sejak tadi.
Tini yang sedang menyuap makanan hanya mengangguk.
Kemudian dia memandang Isma.
“Ada
bawak. Tapi tak banyak. Is bawak banyak ke?,”
“Ada
empat pasang. Boleh basuh dan tukar-tukar. Orientasi kat fakulti dua minggu kan?”
Kartini mengangguk.
“Risau kan.
Apa yang diaorang nak buat kat kita ya,” luah Isma dengan wajah yang resah.
“Biarlah apa pun dia orang nak buat. Asalkan jangan
sampai cedera dan mati dah,” jawab Tini acuh tak acuh. Isma tergelak kecil.
“Freshie ke
ni?” tiba-tiba seorang lelaki berdiri di sebelah meja mereka. Tini dan Isma
mendongak. Seorang lelaki berambut pendek dan berkulit sawo matang serta
berkumis nipis sedang tersenyum memandang mereka.
Kartini dan Isma mengangguk. Pasti ini senior di asrama
ni….bisik Kartini bimbang. Janganlah dia orang nak kenakan kami pada waktu
makan macam ni…, bisik Kartini lagi.
“Siapa nama?” tanya lelaki itu kepada Isma.
“Sharifah Ismawati,”
“Yang ni?” lelaki itu menunjuk kepada Kartini pula.
“Kartini,”
“Abang-abang senior kat meja sana tu mintak kamu berdua duduk dengan
mereka sekali,”
Lelaki itu menunjukkan pula ke arah sekumpulan lelaki
yang sedang duduk di sebuah meja bulat yang besar di dewan makan itu. Ada yang tersenyum-senyum
memandang mereka. Kartini dan Isma saling berpandangan. Masing-masing merasa
serba salah.
“Kami bukan nak buat apa-apa. Saja nak berkenalan je…,”
lelaki itu berkata lagi seolah-olah dapat membaca perasaan mereka.
Tini dan Isma saling berpandangan. Nasib baik nasi di
dalam pinggan sudah hampir habis sewaktu lelaki ini datang ke meja mereka. Jika
tidak tentu amat ketara yang mereka sedang cuba melarikan diri dari
pelajar-pelajar tersebut.
“Maaf, kami tak boleh. Kami kena naik ke bilik sekarang
ni. Ada hal
penting,” jawab Kartini nekad kemudian dia bangun bersedia untuk melangkah.
Isma juga memberanikan diri untuk mengikut langkah
Kartini tetapi tiba-tiba lelaki itu menghalang.
“Jangan macam tu. Tolonglah saya. Kalau saya tak buat
sampai awak berdua dapat duduk di meja tu, habislah saya. Saya pun freshie kat sini,” lelaki itu bersuara
perlahan menghadap mereka dan membelakangkan lelaki-lelaki senior tersebut.
Kartini dan Isma agak terkejut kemudian rasa kasihan
menerpa di hati Kartini. Memandangkan minggu orientasi juga belum lagi
berakhir, Tini terpaksa mengalah kerana jika tidak pasti mereka akan dikenakan
dengan lebih teruk lagi dalam program-program orientasi lain selepas ini. Kartini
memandang Isma kemudian mereka sama-sama mengangguk. Dengan berat hati mereka
berdua melangkah perlahan ke arah meja bulat itu. Seorang siswa yang agak kurus
dan berambut lurus bangun kemudian membawa dua buah kerusi untuk Isma dan
Kartini.
Kartini dan Isma berasa kekok. Kartini tidak senang
duduk, peluh terasa membasahi wajahnya. Tidak tahu di mana hendak disorokkan
wajahnya apabila setiap mata siswa-siswa tersebut memandang ke arah mereka.
“Janganlah takut. Kami tak makan orang…,” salah seorang
siswa tersebut mengusik apabila melihat sikap mereka yang takut-takut. Senyum miang bersimpul-simpul di bibir setiap
pelajar lelaki tersebut. Geli sungguh hati Kartini melihat kelakuan mereka. Kartini semakin rimas dan Isma juga begitu.
“Abang ni nama Shahrul, ini Murad, ini Rizman, ini
Saiful….ha, adik-adik junior kena ingat nama senior tau. Dan tak lupa, nama
abang pulak Kamal,” lelaki berbadan kurus dan berkumis nipis memperkenalkan kawan-kawannya
dan kemudian dirinya sendiri. Isma dan Kartini hanya tersenyum dan
mengangguk.
Kemudian seorang demi seorang siswa senior itu
menemubual mereka. Asal usul mereka, nama, fakulti apa dan sebagainya sehingga
Kartini naik bosan. Kartini juga semakin rimas apabila senior lelaki bernama
Rizman yang duduk berhadapan dengannya asyik memandangnya kemudian
tersenyum-senyum. Tetapi tidak dinafikan, Rizman itu juga yang paling pendiam
dan yang paling kacak di antara lelaki-lelaki yang berada di hadapan mereka.
“Maaflah ya, saya terpaksa naik ke bilik. Lain kali kita
berbual lagi,” dengan penuh hormat Kartini meminta diri.
“Eh, nantilah dulu….tak habis lagi ni….,” lelaki
bermisai nipis dan kurus cuba
menghalang.
“Maaf, ada program orientasi lain lepas ni. Kalau
lambat, nanti kami kena denda,” ujar Tini lagi dengan suara yang sengaja
ditekankan nadanya. Tini berasa lega. Nasib baik lelaki-lelaki tersebut
memahami dan membenarkan lalu mereka berdua terus melangkah keluar dari situ tanpa
berlengah lagi.
“Menyampah betul aku dengan yang si gemuk tu.
Tersengih-sengih macamlah ada orang nak kat dia. Dia pulak yang lebih-lebih,”
bebel Isma membuatkan Kartini tergelak kecil.
“Itulah, bila ada kuasa, mereka ingat mereka boleh buat
sesuka hati pada kita yang junior ni. Menyampah betul aku,” omel Kartini pula.
“Ha, ini baru je orientasi kat asrama, esok orientasi
kat fakulti pulak. Entah apa-apa lagi lah kita kena hadapi,”
“Aku rasa dia orang suka kenakan kau sebab kau tu cantik
sangat,” terang Kartini lagi.
“Tak adalah sebab tu. Bukan aku je, kau tu pun cantik
jugak…,” balas Isma sambil senyum meleret kemudian mengenyitkan matanya.
“Aku pulak…..,” selar Tini lalu menepuk bahu Isma dengan
senyum malu-malu. Kemudian mereka berdua ketawa mengekeh lebih-lebih lagi apabila
teringatkan wajah si gemuk yang lebih-lebih menyoal mereka tadi.
“Tini…satu lagi kan,
Is perasan lah abang yang nama Rizman tu asyik pandang-pandang je kat Tini,”
“Mana ada lah…dia tu juling sebab tu mata dia asyik nampak
macam pandang Tini…,”
Isma tergelak besar apabila Tini memberi alasan begitu.
“Ada
ke kata orang juling. Orang handsome macam tu mana ada juling lah….lagipun dia
tu kan bakal
doktor. Doktor mana boleh juling maa…,”
Isma membalas kemudian mereka sama-sama ketawa lagi.
“Mana ada syarat orang juling tak boleh jadi doktor,”
dalam tawa yang masih bersisa Tini masih mahu mempertahankan alasannya.
“Tini….nanti patient
takut tau. Dia ingat doktor tu pandang tempat lain kalau sedang examine pesakit. Contohnya katakan yang
doktor tu sebenarnya nak cucuk kat tangan pesakit, tapi patient ingat doktor tu tak focus tempat yang nak dicucuk tu. Kan
ke kes naya tu….,”
“Dah lah Is. Tak baik mengata orang sampai macam tu
sekali tau. Nak jadi doktor ke tak, bukannya bergantung pada keadaan fizikal
kita, tapi pada sini,” Tini menunding jarinya ke tepi kepala untuk menunjukkan
bahawa otak yang bijak lebih diperlukan untuk berjaya menjadi seorang doktor.
“Bukan Is yang mulakan tau. Tini yang kata abang Rizman
tu juling,”
“Ye lah…ye lah….Tini jugak yang kena…Jom cepat. Tak
solat Zuhur lagi ni,”
Mereka berdua kemudian bergegas melangkah anak tangga
dan berjalan pantas menuju ke bilik masing-masing sebelum berjanji untuk
bertemu semula pukul 2.30 petang untuk acara orientasi seterusnya.