PENATbersanding belum lagi habis, tetapi apakan daya. Jika
sudah ada suami, haruslah mengikut suami. Hannah memandang dirinya di cermin.
Cantik baju ini. Dia jatuh cinta dengan rekaan baju ini.Walaupun dia tidak tahu acara apa yang bakal mereka hadiri, dia
tahu dia harus menjaga air muka suaminya. Itulah pesan papa semasa dia selesai akad
nikah tempoh hari.
Aril kelihatan segak dengan sut hitamnya. Rambut yang didandan rapi
membuatkan Aril tampak classy. Melihat
Hannah masih lagi bersiap, Aril bercadang untuk turun ke bawah dahulu. Hendak
membancuh kopi katanya.
“Awak nak saya buatkan?” pelawa Hannah.
“Eh tak apalah, awak siap dulu. Saya okey.”
Aril mendail nombor seseorang. Gigih ke perkarangan rumah kerana tidak mahu
Hannah mendengar perbualan mereka. Bukan hendak berselindung tetapi ada perkara
Hannah tidak boleh tahu. Bukan masanya untuk Hannah tahu lagi.
“Iffah.” Sebut Aril sebaik sahaja talian itu telah disambungkan.
“Ya Encik Zafril,”
“Awak jangan lupa pesanan saya hari
tu. Ucapan pembukaan majlis tu biar Dato Faruk ataupun abang saya yang cakap.
Dan tolong ingatkan emcee pada hari ni, jangan sebut status saya. Saya serius
tentang perkara ni Iffah. Jangan ambil remeh ya. Faham?” Tegas Aril memesan.
“Faham Encik Zafril. Nanti saya sampaikan pada emcee.” Balas Iffah
takut-takut.
“Bagus. Macam mana persiapan dekat sana? Semuanya okey? Hadi dah sampai?”
“Sudah Encik Zafril. Encik Hadi tengah periksa sound system.”
“Ok, terima kasih Iffah.” Ucap Aril, mengakhiri perbualan itu.
Baru sahaja dia mahu masuk kembali ke rumah, dia melihat Hannah turun dari
tingkat atas. Dia mengorak langkah menuju Hannah. Penuh hati-hati Hannah turun
tangga agar tidak terpijak kain sendiri.
“Hannah, awak tahu tak kadang-kadang saya rasa macam nak simpan awak dalam
rurmah saja.” luah Aril tiba-tiba.
Dahi Hannah berkerut. Apa kena dengan Aril ni? Apa maksudnya berkata
begitu? Ingat dia ni binatang ke yang boleh dikurung-kurung? Agak-agaklah Aril
ni pun.
“Kenapa? Teruk sangat ke saya ni?” Hannah cuba memeriksa penampilan diri.
Tudungnya rapi dililit, mekapnya tidaklah sememeh mana. Jadi apa masalahnya?
“Sebab awak terlalu cantiklah saya nak simpan. For keep’s sake.” Ujar Aril, melegakan Hannah. Pandai Aril
membuatnya gentar.
“Cantik itu letaknya pada hati, Aril. But
Aril, you’re so sweet. Too much of sugar can cause me diabetes. I’ll get sick
in a matter of time.”
Aril meledak ketawa mendengar kata-kata Hannah itu. Kedengaran sangat comel
dan tulus. Kalau dia memuji gadis lain, pasti sudah pengsan kerana cair
mungkin. Maka dengan itulah Hannah adalah gadis istimewa padanya. Dia memimpin
Hannah keluar dari rumah.
Hannah terdetik. Inikah lelaki yang dia kenal suatu ketika dahulu? Yang
sering menyakitkan hatinya, yang sering mencari silap dengannya setiap kali
bertemu? Bagaimana Aril boleh berubah dalam sekelip mata? Atau mungkin Aril
hanya bersikap begini kepada orang yang dia kenal dan rapat sahaja. Lantaran
dengan itu, peluang untuk berkenalan dengan suami sendiri pada tempoh masa ini
adalah amat penting baginya.
SAAT Hannah memasuki ballroom
hotel tersebut, dia terpegun melihat hiasan dan dekorasi di bilik itu. Nampak
sangat gah. Bagaikan majlis untuk orang-orang koperat. Tadi ketika di dalam
kereta, Aril hanya memberitahunya bahawa ini adalah acara syarikatnya tetapi
tidak mungkin sehebat ini?
Mereka didatangi seorang lelaki yang kemudiannya menunjuk jalan ke meja
mereka Telinga Hannah menangkap bisikkan orang-orang sekeliling ketika mereka
melalu meja-meja di situ. Sebuah kertas tertera VVIP di atas meja itu
membuatkan Hannah semakin tertanya-tanya. Bukannya Aril hanya seorang arkitek?
Mengapa mereka berada di meja VVIP?
Kerusi Hannah ditarik bagi membolehkan Hannah duduk. Hannah memandang Aril
tersenyum. Aril semakin pelik. Adakah sebab mereka berada di tempat sebegini,
Aril harus menunjukkan lagak gentlemannya?
“Kenapa senyum macam tu?” tanya Aril.
“Tak adalah, saya cuma terkejut sebab awak tak pernah buat macam tu pun
selama ni.” Jawab Hannah.
“Ya ke? Saya minta maaf tapi saya seriuslah. Awak fikir apa? Saya ikhlas
okey.” Balas Aril, melihat wajah Hannah yang tidak yakin itu.
Perbualan mereka terhenti apabila Aril melihat kelibat Iffah yang lalu di
hadapan pentas.
“Awak tunggu sini sekejap ya.” Pesan Aril lalu bangun untuk mendapatkan
Iffah.
Dari jauh Hannah hanya memerhati. Seperti serius saja perbualan mereka
nampaknya. Mungkin gadis itu adalah salah satu daripada pekerja Aril. Maka
dengan itu mereka begitu formal.
“Encik Zafril, Encik Fahmi oustation
dan Dato Faruk suruh Encik Zafril yang beri ucapan tu.”
Aril menguak rambut. “Hadi tak boleh ke?”
Iffah diam, tidak berani beri kata putus.
“Tak apalah kalau macam tu, cuma jangan buat silap ya.”
“Baik Encik Zafril.” Iffah mengganguk serba-salah.
Apa kena dengan bosnya hari ini? Jika acara lain, boleh saja mereka
dedahkan statusnya kepada orang ramai. Entah mengapa dia berahsia sangat pun
Iffah tidak tahu. Sudahnya, dia yang tersepit seraya orang tengah. Kusut!
MAJLIS itu bermula tidak lama kemudian. Seorang gadis naik ke pentas untuk
memberi sepatah dua kata.
“Tanpa membuang masa, dipersilakan yang kami hormati, CEO Faruk Creative
Works, Encik Zafril Reza ke atas pentas untuk memberi ucapan pembukaan majlis
sempena ulangtahun syatikat ke 20 ini. Silakan Encik Zafril.”
Jantung Hannah bagai berhenti berdetak. Nama lelaki itu sama seperti nama
suaminya tetapi adakah mereka orang yang sama? Tidak mungkin. Aril hanya seorang
arkitek. Bukannya CEO seperti disebutkan emcee tadi. Hannah dan Aril memandang
sesama sendiri.
Aril sudah tidak tentu arah. Dia berasa bersalah melihat wajah Hannah yang
jelas terkejut dengan pernyataan ini. Di dalam hati, berbakul-bakul marah
dilontarkan kepada Iffah kerana tidak mengambil pesanannya serius. Rasanya
daripada mula mereka mesyuarat tentang acara ini, dia sudahpun mengingati Iffah
tentang statusnya.
“Pergilah, orang ramai tunggu awak.” Suruh Hannah, melakar senyuman.
Setelah mendapat respons daripada Hannah, Aril bangkit dan ditemani dua
orang lelaki yang mengiringinya sehingga ke pentas. Di atas pentas, matanya melekap ke arah Hannah.
Hannah seorang wanita yang hebat. Hebat mengawal emosi.
“Assalamualaikum semua. Sebenarnya saya tak layak nak berdiri di atas sini
sebab Dato Faruk ada dekat bawah tu tengah pandang saya. Dan saya masih ada
abang yang jauh lebih berpengalaman daripada saya. Habislah saya kalau saya
salah cakap ni.” Kata-kata Aril dibalas dengan gelak tawa orang ramai.
Hannah semakin keliru. Dato Faruk? Memanglah nama abah Faruk
tetapi...tunggu. Adakah ini bermakna Faruk Creative Works adalah empunya
keluarga Zafril Reza? Bodohnya dia kerana tidak pernah terfikir langsung
tentang perkara itu. Mengapalah ia tidak pernah terlintas di dalam fikirannya?
Kesal dengan diri sendiri, Hannah mengetap bibir.
“Tujuan kami mengumpulkan kesemua staf Faruk Creative Works adalah untuk
mengucapkan beribu-ribu terima kasih ke atas tenaga kerja anda semua. Anda
mungkin tidak memegang posisi besar di dalam syarikat ini tetapi tanpa anda
juga kertas kerja Faruk Creative Works tidak akan berjalan. Maka semua staf di
dalam syarikat ini adalah penting kepada kami.”
Ucapan Aril berpanjangan selama 15 minit. Daripada pandangan Hannah, Aril
seorang bos yang tegas tetapi mengambil berat tentang kebajikkan para
pekerjanya. Yang telah melakukan kerja luar biasa, Aril memuji di atas pentas.
Meski rasa tertipu dengan Aril, Hannah memujuk diri untuk bersabar.
Untuk keluar dari ballroom ini,
rasanya seperti tidak sopan dan sangat kebudak-budakkan. Sebaik sahaja Aril
tamat dengan ucapannya, dia diberi tepukkan yang gemuruh. Malah ada yang
berdiri, memberi sokongan. Aril sempat bersalaman dengan staf lelaki ketika
hendak ke meja mereka.
“Saya tahu saya salah.” Bisik Aril saat sudah kembali duduk.
Hannah hanya tersenyum, berlagak tenang selagi mampu. Dato Faruk dan Datin
Liza menghampiri meja mereka. Melihat ibu bapa mertuanya, Hannah bangun untuk
bersalaman. Dia musykil mengapa semalam umi tidak menyebut sama sekali tentang
majlis ini.
Jauh di sudut hati, dia terasa hati. Dia merasakan dirinya tersisir dan
tertipu dengan semua orang. Ikutkan hati, memang dia ingin meninggalkan Aril
sekarang juga. Mahu saja dia lari keluar dan menahan teksi. Tidak betah dia
berada di majlis ini.
USAI majlis itu selesai, Aril tidak terus mengajak Hannah pulang. Dia tahu,
jika dia mengajak Hannah pula, kemungkinan Hannah untuk mengurung diri di dalam
bilik adalah besar. Maka dengan itu, dia memandu ke pantai untuk menyelesaikan
masalah mereka ini.
“Kenapa kita ke sini?” tanya Hannah, memeluk badan. Sudahlah angin malam
bersepoi-sepoi basah, kelihatan seperti hanya ada mereka saja di pantai ini.
Mujur ada lampu kereta mereka yang menerangi tempat itu.
“Untuk menjawab segala yang tidak terjawab.”
Hannah mendengus kasar.
Aril mempimpin tangan Hannah untuk duduk di kayu besar di pantai itu.
“Awak memang hebat bab-bab kejutan ni kan?” sindir Hannah.
“Saya minta maaf. Saya tak bermaksud nak tipu awak.”
“Atau awak nak uji saya kalau saya ni pisau cukur? Awak takut kalau awak
beritahu awak CEO syarikat, saya akan habiskan harta awak?” halus tetapi tajam
kata-kata Hannah itu.
“Ok, sekarang ni bagi saya pula jelaskan ya.” Aril menggengam erat tangan
Hannah. Walaupun enggan, Aril tetap menggengamnya.
“Ingat tak awak pernah cakap dengan saya yang kita perlu percayakan satu
sama lain? Jadi sekarang ni, awak harus percaya kalau saya cakap saya tak
terlintas untuk menguji awak seperti awak katakan. Saya tak beritahu awak sebab
saya tak rasa perkara itu penting. Saya terima awak kerana siapa diri awak
Hannah.” Jelas Aril dengan harapan ia dapat menyingkir buruk sangka Hannah
terhadap dirinya.
“Tapi awak tak jujur bila saya tanya awak kerja apa.”
“Saya cuma nak kita terima satu sama lain seadanya. Sekarang ni, boleh tak
kalau kita teruskan hubungan ni sayang? Dengan cinta?” Aril bersuara.
Lama Hannah mendiamkan diri, memikirkan jawapan untuk diberi Aril.
“Boleh kita cuba?” tanya Aril buat kali kedua.
Hannah menarik nafas dalam sebelum mengganguk.
“Terima kasih, sayang. Ia amat bermakna untuk saya. Saya janji untuk
taburkan baja cinta, curahkan kasih dan pancarkan sayang untuk awak. Agar cinta
kita subur dan mekar.” Luah Aril, penuh perasaan. Itulah ikrar kasih mereka, di
bawah saksian bulan dan bintang.
Hannah memandang Aril, tersenyum. Semua orang melakukan kesilapan di dalam
hidup mereka dan kita tidak adil untuk menghukum mereka. Jika dia sebagai
isteri tidak memberi Aril peluang, siapa lagi yang akan memberinya? Dia tidak
mahu mengingati kesalahan Aril ini untuk
jangka masa yang panjang. Sudah tentu ia tidak sihat untuk hubungan mereka.
Hubungan cinta mereka tidak akan sihat tanpa kepercayaan. Setiap hubungan ada
cacat celanya kerana kita sebagai manusia, tiada yang sempurna.