30
IRIS Suhayla tidak dapat melelapkan mata semenjak lampu
mula dipadam. Dia kerap memikirkan esok. Setelah seminggu bersama, menjalani
kehidupan baharu sebagai suami isteri dan mula menyesuaikan diri dengan
keluarga baharu, kehidupannya bakal berubah lagi. Dia akan meninggalkan suami,
meninggalkan bumi Semenanjung sekali lagi menuju ke destinasi yang sementara
barangkali. Izzul Haq sudah menyisip pesanan. Dia mesti pulang dengan keputusan
selepas tiga bulan.
Iris Suhayla mengerdipkan mata, merenung syiling di dalam
kepekatan malam. Bolehkah syiling itu membantunya memberi jawapan?
"Aku sayang kerja aku. Aku
sayang anak murid aku. Aku sayang kawan-kawan aku."
Luahan itu mahu dilontar
kuat-kuat namun dia belum punya kekuatan untuk berbahas tentangnya lalu
dibiarkan luahan itu berputaran di dalam hati. Iris Suhayla membuang nafas
panjang. Dia mengalihkan badan, mengiring menghadap Izzul Haq. Lelaki itu sudah
lena diulit mimpi barangkali, lalu seperti biasa dia akan mencuri lagi. Mencuri
pandang suaminya dalam senyap. Dia mahu mencuri pandang lagi dan lagi untuk
bekalan selama tiga bulan di Labuan kelak.
TIADA bicara sepanjang
sepuluh minit awal penerbangan ke Labuan itu. Kali ini dia berpeluang memilih
tempat duduk di tepi tingkap. Menghantar pandangan ke luar bersama minda yang
tepu dengan persoalan. Izzul Haq di sebelah tiada suara juga. Sebagai isteri
yang mula mencintai suaminya sejak lafaz nikah, banyak pesanan yang ingin
dititip. Dan jika mampu, dia ingin meluahkan isi hatinya kepada Izzul Haq.
Suami,
Ketika aku tiada, ukirlah
namaku di hatimu
Ketika aku tiada, rindukanlah
aku
Ketika aku tiada, sebutlah namaku
Ketika aku tiada, hadirkan aku
dalam nafasmu.
Suami,
Ketika aku tiada, tabahlah
Ketika aku tiada, usah kau
berduka
Ketika aku tiada, senyumlah
Kerana senyumanmu pengubat
hari-hariku.
Tetapi suami,
Tahukah engkau bahawa aku
tidak mampu berdiri tanpamu
Walau segaris senyuman tak
mampu ku ukir
Pasti setiap detik akan
menyebut namamu
Merintih mendoakan
kesejahteraanmu
Kerana dirimu bakal jauh
beribu batu.
"Kenapa senyap sangat
ni?"
Tegur Izzul Haq, memecah
kesunyian perjalanan mereka. Iris Suhayla tersenyum sahaja, tidak mampu
meluahkan perasaan itu.
"Tak tahu nak cerita
apa."
Ujarnya, berterus terang.
Izzul Haq menggenggam jemarinya hingga terasa satu perasaan menyusup masuk
melalui genggaman itu. Perasaan itu aneh dan membuatkan pipinya merona
kemerahan.
"Lepas ni kita akan sibuk
dengan kerja masing-masing."
"Ya."
"Mungkin ada hari-hari
saya tak dapat dihubungi atau menghubungi awak."
Izzul Haq memberitahu lagi.
Iris Suhayla di sebelah tidak berbunyi, hanya riaknya sahaja yang berubah.
"Kadang-kadang saya di
dalam, kadang-kadang di luar Malaysia. Siang bekerja, malam pun sibuk
juga."
Iris Suhayla tidak mampu
menyahut. Dia cuba berimaginasi, melukis watak lelaki itu di dalam mindanya
yang ke sana ke mari dengan kesibukan kerjanya. Pasti di sepanjang harinya,
Izzul Haq bertemu dengan ramai wanita, ditambah pula dengan statusnya sebagai
pemilik syarikat kereta mewah terbesar di Malaysia. Dia memandang wajah si
suami lagi. Dia tidak mampu menolak wajah elok lelaki itu namun cintanya pada
Izzul Haq bukan kerana rupa yang elok tetapi kerana dia suami yang sah.
"LAPARLAH. Jom makan!"
Ajak Izzul Haq ketika mereka
keluar dari balai ketibaan. Iris Suhayla ketawa kecil. Lelaki itu tidak
berubah, barangkali memang betul tabiatnya begitu. Dia akan kelaparan setelah keluar
dari perut pesawat.
"Baru pukul sebelas. Dah
lapar?"
Soalnya pula. Mereka jalan
beriringan menyusuri laluan utama di dalam lapangan terbang itu sambil matanya
melirik ke kiri kanan. Matanya mencari tempat untuk beristirehat.
"Lapar tak tunggu
masa."
"Alah, sebut pasal makan
ni saya tak ingat langsung nak belanja along and angah makan. Tak ingat yang gaji pertama saya dah masuk."
Beritahunya apabila ingatannya
tiba-tiba melekat pada penyata baki yang disemak sehari sebelum majlis
perkahwinannya minggu lepas. Kesibukan menjalani hidup baru menyebabkan dia
terus terlupa tentang gaji yang belum diusik sesen pun itu.
"Baru dapat gaji pertama
ke?"
"Iya. Prosedurnya begitu.
Paling awal, selepas tiga bulan bekerja baru saya akan terima gaji
pertama."
Cerita Iris Suhayla serba
sedikit. Mereka masuk ke salah sebuah kedai makan yang ada di situ.
"Maknanya saya orang
pertama yang dibelanjalah ni?"
Usik Izzul Haq bersama
senyuman manisnya. Iris Suhayla menggeleng, enggan begitu.
"Awak dah banyak
duit."
"Saya nak berjimat dengan
duit saya. Nak simpan untuk kecemasan, untuk hari tua, untuk menunaikan haji
sebab saya takkan muda selalu. Betul, tak?"
Perli Izzul Haq. Iris Suhayla
hanya ketawa kecil. Teringat akan pertemuan mereka dahulu, dia pernah menyindir
suaminya tentang soal duit. Itulah antara pesanannya kepada Izzul Haq.
Kecemasan, hari tua, buat haji dan usia muda.
"Kejap lagi saya hantar
awak balik, lepas tu saya nak ke airport
semula."
"Awak nak balik terus
ke?"
Soal Iris Suhayla pula,
terganggu dengan penjelasan suaminya. Izzul Haq mengangguk kepala. Perjalanan
mereka tadi pasti membuatkan Iris Suhayla berasa letih. Dia hanya mahu
isterinya merehatkan diri. Tambahan pula, esok isterinya bakal kembali
bertugas. Seminggu yang dihabiskan dengan episod baru pasti tambah meletihkan,
sebab itu dia ingin cepat-cepat beredar, supaya Iris Suhayla dapat berehat.
"Saya hantar awak ke airport, ya?"
"Sayang jugak awak kat
saya."
Sakat Izzul Haq. Iris Suhayla
tidak dapat menjawab. Dia malu bila hal sayang diutarakan dalam perbualan
mereka lantas dia menunduk sambil bermain dengan ibu jari.
"Tapi tak perlu bersusah
payah. Saya nak awak rehat saja di rumah. Saya boleh balik dengan teksi."
"Tak jauh pun-"
Dia menjawab, perlahan namun
jawapannya sampai juga pada pendengaran Izzul Haq lantas lelaki itu terus
menyahut.
"Bukan masalah jauh atau
dekat. Saya nak awak rehat. Saya tahu sepanjang minggu ni awak letih. Hal
perkahwinan, hal suami, hal keluarga. Hari ni awak rehat saja."
"Tapi."
"Ada tapi pulak?"
Iris Suhayla tidak jadi membantah.
Dia menundukkan wajah sambil menanti pesanan makanan mereka tiba.
SUDAH lima kali dia mengelilingi meja makan itu
semata-mata mahu mengelak sepit tajam Siti Hajar. Siti Hajar marah gara-gara
dipermainkan tentang Izzul Haq.
"Cepatlah Su! Mari sini.
Aku nak cubit kau sekali aje. Aku dapat cubit kau sekali, puaslah hati
aku."
"Mana boleh! Kau simpan
kuku panjang. Buat apa aku nak bagi diri aku sakit? Apalah kau ni."
Balas Iris Suhayla, berhenti
setentang dengan Siti Hajar. Siti Hajar bercekak pinggang sambil menggigit
bibir, tanda geram. Bila agaknya baru aku dapat mencubit isteri Izzul Haq itu.
Patutlah selama ini dia begitu bersungguh menyelongkar cerita tentang Izzul
Haq, bertanya soalan yang kadang-kadang tak terjawab juga. Rupa-rupanya CEO
kereta itu benar suaminya.
"Memang aku saja. Aku
simpan ni memang untuk kau."
"Siti, sorrylah. Kau tahu aku tak bersedia,
kan?"
"Ah, aku tak terima helah
bela diri kau!"
Jawab Siti Hajar, menolak.
Melihat Iris Suhayla berdiri tegak di meja hadapan membuatkan perasaannya
bertambah geram. Dapat picit sekali pun cukuplah lalu dia menjingkit, cuba
menggapai badan teman serumahnya dari hujung meja. Iris Suhayla ketawa mengekek
lalu menapak laju ke belakang.
"Geramnya aku!"
"Aku tolong kau, ya! Aku
cubit diri aku sendiri."
Iris Suhayla cuba memujuk. Dia
pura-pura memulas lengannya namun Siti Hajar cepat mendapatkannya dari tepi.
Iris Suhayla terkejut dan tidak menyangka tindakan pantas Siti Hajar. Sekelip
mata, teman serumahnya sudah berada di tepi. Iris Suhayla dapat merasa
pinggangnya dipulas lembut. Kemudian diketam sana sini. Dia tidak dapat
mengelak lagi lalu menghambur tawa yang sangat kuat. Siti Hajar menepuk
lengannya sebelum mereka berpelukan erat.
"Rupa-rupanya, kau
berjaya mengatasi segala wanita yang bermimpikan Izzul Haq."
"Bukan aku nak mengatasi
mereka, Siti. Aku dah pernah kata sebelum ni. Calon suami aku ditentukan
keluarga. Kau ingat aku kenal Izzul Haq kalau tak kerana baca cerita di gerai cendol
tu?"
Ulas Iris Suhayla sambil
menarik sebuah kerusi. Siti Hajar juga begitu, barangkali kerana ingin
menyingkap rahsia, lalu dirinya ditemani di ruang makan itu.
"Kau langsung tak kenal
dia?"
"Sebab apa aku nak kenal
dia?" Dia kembali bertanya.
"Iyalah, walau dijodohkan
sekali pun, takkan kau tak pernah jumpa dia."
"Ada. Gambar dia aku dah
tengok. Kau ingat tak kisah lelaki dengan minyak angin dalam flight tu?"
"Dia?"
Tanya Siti Hajar, bagai tidak percaya.
Mulutnya separuh melopong. Iris Suhayla senyum dan mengangguk.
"Aku ingat kau sembang
gedik santai aje hari tu."
"Itulah kau. Langsung tak
menyelami perasaan aku. Berapa hint
dah aku bagi kat kau. Kertas kerja aku, kau dah bagi, lepas tu, kau delete. Aku mintak kat Zakwan pun kau
halang jugak, kan? Tapi tak apa. Aku tunjukkan kemuliaan hati dan menjemput kau
datang ke kenduri hari tu, sebab aku nak kau kenalnya di sana."
"Ha ah. Betullah. Kalau
ikut perjalanan cerita kau ni, aku yang jahat sebab kau cuba nak kenali tunang
kau, aku pulak yang jadi batu penghalang." Siti Hajar membalas, dengan
sedikit rasa kesal.
"Habis tu kau memang
betul-betul hantar ke kertas kerja untuk mohon sumbangan tu?"
"Dah kau ingat aku
melawak jenaka?"
"Err...dah tu respond Izzul?"
"Usah dikenang kisah yang
lalu. Kau ni kan, banyak pulak korek rahsia aku."
"Alah, Su..."
"Tak ada Su-Su...Perut
aku memulas ni. Nak termenung kejap."
Iris Suhayla bingkas bangun.
Bunyi bilik air dikatup kuat mengajaknya menoleh ke belakang. Teman serumah itu
tetap tidak berubah. Agaknya bagaimana hari-harinya nanti tanpa Iris Suhayla di
sisi? Pasti sunyi tanpa pelangi.
IZZUL Haq mengetuk pintu rumah Mama Jiya, menanti dengan
penuh sabar sebelum pintu rumah benar-benar dibuka oleh tuan rumahnya. Izzul
Haq kaget ketika melihat wajah papa di depan pintu, menyambut dirinya yang
mungkin disangka sebagai tetamu. Bukan cuma dia, papa juga terkejut akan
kehadirannya malam itu. Dia menghulur tangan untuk bersalaman tetapi papa tidak
mempedulikannya. Dia masih marah akan Izzul Haq namun tidak pula terdaya hendak
menghalau anak itu dari rumahnya. Lantas dibiarkan pintu itu terbuka tetapi
tidak pula mengajak anak itu masuk. Dia sendiri sudah menapak beberapa langkah
tetapi anak itu memanggilnya pula.
"Papa. Sampai bila ayah
nak mengelak dari Iz?"
"Aku tak mengelak tapi
malas nak jumpa kau."
Jujur dia meluahkan perasaan yang
berbuku di hati. Izzul Haq mendekati papa.
"Kenapa papa marah sangat
saya dapat harta arwah atuk?"
"Marah. Memang aku marah
sebab kau tu cucu, aku ni anak. Mentang-mentang berbelas tahun kau duduk dengan
arwah atuk. Kau hasut dia jangan bagi aku harta, kan?"
Bentak Izhar, mengungkit kisah
lama. Barangkali suaranya bergema seisi rumah, Najihah cepat-cepat turun ke
bawah.
"Apa yang arwah atuk nak
bagi, itu semua kehendak dia. Papa yang tak pandai jaga hati arwah atuk. Berapa
kali arwah atuk telefon papa suruh ayah balik kampung? Ada papa balik? Lepas
papa tinggalkan saya di kampung, ada papa tunjuk muka? Bukan setakat tunjuk
muka, duit pun tak pernah hantar. Makan pakai saya arwah atuk yang tanggung.
Bila papa muncul? Papa muncul lepas saya dah habis sekolah. Bila saya dah
pandai cari duit poket sendiri. Senanglah papa, kan? Satu sen pun tak keluar
duit untuk sara saya. Bila arwah atuk tinggal harta untuk saya, papa sakit hati
pulak."
Luahnya, sebal. Izhar tidak
menyahut serta-merta. Dia menyusun kelengkapan untuk melancar serangan pula.
Bukan Izzul Haq sahaja yang boleh
mengungkit tetapi dia boleh melakukan lebih dari itu.
"Kau tahu kenapa aku
hantar kau balik kampung? Sebab kau hanya bebanan. Aku sara kau, apa aku dapat?
Aku dapat susah. Aku menderita. Sebab apa? Sebab kau yang buat mak kau mati!
Kau tanggunglah semua."
Jerkah Izhar. Izzul Haq
terkedu. Terus lembaran silam terselak kembali. Terbayang di tubir mata
bagaimana isterinya meraung meminta tolong ketika rumah mereka dijilat api. Dia
tidak dapat kembali ke dalam rumah untuk menyelamatkan isterinya selepas
berjaya menyelamatkan Izzul Haq. Barangkali Izzul Haq tidak mengingati
peristiwa itu tetapi tidak baginya. Kerana menyelamatkan Izzul Haq, isterinya
kehilangan nyawa. Sampai putus nyawa pun dia takkan melupai peristiwa itu.
"Kenapa kau senyap? Dah
habis modal?"
"Atuk kata..."
"Atuk kata mak kau mati
kemalangan?"
Sindir Izhar lagi. Izzul Haq
mengangkat wajahnya yang hampir tidak berwarna dek tekaan itu. Raut wajah ibu
yang hanya samar-samar di ingatannya mula terbayang. Benarkah dia yang
menyebabkan kematian mama?
"Kalau tak sebab kau,
Zahra tak mati rentung dalam rumah tu, tahu?"
Sambung Izhar lagi. Dia tidak
menunggu lagi sebaliknya terus mendaki tangga menuju ke kamar tidurnya di
tingkat atas. Najihah yang menjadi pemerhati sejak tadi tidak mampu terus
berdiri. Pertempuran anak beranak itulah yang paling ditakutinya selama ini.
Dia bergegas mendapatkan Izzul Haq yang berdiri tegak bagaikan patung di
tengah-tengah ruang itu. Mama Jiya memeluk bahunya namun anak itu tidak
membalas.
"Iz balik dulu Mama
Jiya."
"Iz, tunggulah. Jangan
ambil hati dengan papa. Papa tengah marah tu. Mama Jiya tahu papa tak maksudkan
apa yang papa cakap tadi."
Ujar Mama Jiya, cuba menenangkan
hatinya yang sangat berduka dengan perkhabaran itu.
DIA melihat Izzul Haq duduk termenung di sebuah bangku
lalu dihampiri lelaki itu. Jam lima pagi, Izzul Haq sudah berada di Labuan.
Iris Suhayla bergegas menyiapkan diri, memandu di lorong sepi ketika suaminya
memberitahu tentang ketibaannya di Labuan. Suaranya kedengaran lemah. Dia tahu
ada sesuatu yang membawa suaminya ke mari.
"Izzul!"
Izzul Haq mengangkat wajah
ketika namanya diseru. Melihat kelibat isteri, dirinya kembali ceria.
Iris Suhayla mendekati lalu
duduk di sebelahnya. Tidak sempat hendak menyapa, Izzul Haq terlebih dahulu
memeluk dirinya. Iris Suhayla kehairanan. Firasatnya memberitahu bahawa lelaki
itu sedang berdepan masalah. Benarkah?
"Iz."
"Saya perlukan awak, Iris."
Akui Izzul Haq. Dia baru tiba
di Kuala Lumpur semalam namun perbalahan dengan ayah menyebabkan dia menerima
tamparan hebat, lalu dia membawa diri ke situ ketika diri mencari dahan untuk
berpaut. Dia terasa dirinya sedang jatuh ke dalam gaung yang dalam tetapi wajah
isteri seakan memanggilnya ke sini. Lantas dia mengambil penerbangan akhir ke
Labuan dan tidak sabar lagi menunggu isterinya berada di sisi. Dia ingin
melepaskan bebanan perasaan melalui pelukan itu. Ternyata perasaan itu benar.
Dia lega dapat memeluk Iris Suhayla erat-erat. Hilang segala bebanan perasaan
yang dibawa bersama ke Labuan.
"Kenapa ni?"
"Saja. Saya rindukan
awak."
Dalih Izzul Haq. Dia sudah
mereka alasan itu semenjak di dalam penerbangan lagi. Dia tidak mahu Iris
Suhayla khuatir kerana di kala kesedihan, dia hanya mahu pelukan itu. Biarlah
dia berhabis duit semata-mata untuk mendapat pelukan itu.
"Awak bohong, kan?"
Tanyanya, musykil. Izzul Haq
ketawa kecil lantas meleraikan pelukan mereka. Dahi si isteri dikucup sekali.
"Kalau bohong, takkan
saya di sini?"
Tanya Izzul Haq pula. Iris Suhayla
ketawa kecil. Dia tidak menolak ketika Izzul Haq menjadikan pahanya sebagai
alas kepala walaupun ada mata yang melihat aksi mereka. Manakan tidak, lapangan
terbang Labuan itu tidak pernah sunyi dengan kehadiran manusia walaupun jam di
tangan hampir lima setengah pagi.
Sebentar nanti, sesi
persekolahan suku kedua bakal bermula dan Iris Suhayla sedang berfikir
bagaimana hendak menghadapi hari itu sedangkan Izzul Haq baru berbaring di atas
ribanya. Hendak disuruh pulang, dia tidak tergamak. Tambahan pula, lelaki itu
melakukan perjalanan ke Labuan sebanyak dua kali hanya untuk hari itu sahaja.
Hendak meminta lelaki itu supaya tinggal dengannya buat beberapa hari, dia
tidak sanggup juga memandangkan masing-masing punya tanggungjawab untuk
digalas.
"Saya nak tidur sekejap.
Nanti saya hantar awak ke sekolah. Lepas tu saya balik."
Ujar Izzul Haq seraya memejam
mata. Isterinya bagai dapat menghidu kekeliruan yang sedang dihadapinya.
"Sekejap aje."
Ulangnya lagi. Kemudian,
tertangkap dek telinganya dengkuran halus. Iris Suhayla tersenyum. Dia dapat
mencuri pandang lagi wajah Izzul Haq yang sedang tidur. Tangannya lantas
mengelus rambut lelaki itu sebagai tanda kasih. Kasih yang mula mengalir dari
hatinya yang ikhlas.