1
IRIS Suhayla tersedak
bila diberitahu ada keluarga yang datang merisiknya hujung minggu lepas. Beberapa
kali dia batuk kecil, sebelum mengurut dada. Tersalah dengar agaknya, atau
barangkali dia sedang bermimpi.
“Tak payah nak buat muka
kasihan, ayah dah setuju pun,”
“Ayah setuju? Mak, Su tengah
mimpi, kan? Tepuk Su sekali!”
Pintanya. Tidak lama, dahinya
ditepuk kuat lantas dia membuka mata. Terasa perit dahi itu gara-gara tangan
emak yang singgah kuat di dahinya. Emak ketawa namun tangannya masih ligat
menyusun pinggan di rak. Iris Suhayla sedar dia tidak bermimpi. Akhirnya dia
membuang keluhan panjang.
“Orang dah tanda Su, apa lagi
yang nak dikesalkan,”
“Mak! Ni soal masa depan Su,
kan? Mana boleh ayah dan mak buat keputusan untuk Su!”
“Kenapa tak boleh?”
“Kalaupun Su perlu
berumahtangga, Su nak pilih calon Su sendiri, bukan calon dari mak atau ayah,”
Tolaknya, agak keras namun emak
masih bersahaja. Tidak ada tanda-tanda emak marah atau tersinggung dengan jawapan
keras darinya. Usai menyusun pinggan, emak masuk ke dalam kamar tidurnya yang
memang dibina di ruangan dapur. Iris Suhayla membuang keluhan lagi namun dia
terkedu melihat gambar seorang lelaki yang beralih tangan selepas diserahkan
oleh emak tidak lama selepas itu.
“Gambar bakal tunang Su!”
Balas emak bersahaja. Lama
Iris Suhayla menatap wajah lelaki yang dikatakan bakal menjadi tunangannya itu.
Tampan. Karisma lelaki itu terserlah walau hanya disebalik gambar.
“Handsome?”
Tanya emak, seraya ketawa kecil.
“Setakat handsome dalam gambar! Entah siapa yang mak dan ayah nak jodohkan
buat Su ni. Penganggur ke, penagih ke, penjenyah ke? Senang aje kan kerja mak
dan ayah! Pakai saut.”
“Pakai saut apa? Kalaupun
penganggur, padanlah dengan Su, kan? Su pun penganggur jugak. Apa? Su ingat mak
ayah nak sumbat Su dalam kandang harimau ke? Iris Suhayla, umur Su tu dah 25
tahun. Bukan muda lagi! Nak tunggu Su kerja, cari jodoh sendiri macam tunggu
intan berlian jatuh dalam telaga. Entah bila-bila!”
Ayah menyampuk dari tepi daun
pintu. Barangkali perbualannya dan emak didengari ayah, sebab itu ayah menokok
kena pada tempatnya.
“Eleh, baru 25 dah kecoh nak
suruh orang kahwin,”
Omelnya sendirian, berpaling
ke arah lain dengan hati yang masih bersisa panas.
“Apa dia?”
“Ayah, Su tak mahu dijodohkan
dengan lelaki tu! Su tak kenal dia siapa. Su tak mahu!”
“Tak kenal? Tak mahu? Mahu tak
mahu kena mahu jugak. Ini keputusan ayah.”
IRIS
Suhayla berdiri di birai tingkap, membuang pandang ke arah langit dengan
perasaan yang masih sebal. Kepulangannya ke kampung selepas melawat ibu saudara
di Melaka hanya mengundang sakit di hati dan kepala. Dengan mudahnya emak dan
ayah membuat keputusan sedang pendapatnya langsung ditolak ke tepi. Bukankah
dia tuan yang empunya hati dan badan? Mengapa senekad itu emak dan ayah membuat
keputusan? Jika hanya bersandar pada gambar untuk membuat keputusan mengenai
masa hadapannya, rasanya dia patut sekali diberi hak untuk menolak. Telefon
bimbitnya berdering beberapa kali. Iris Suhayla berpaling sebelum duduk di
birai katil. Ketika membaca nama yang tertera pada skrin telefon bimbit itu,
senyumnya yang lama menghilang kembali berbunga.
“Mak Su!”
“Assalammualaikum, anak dara!”
Ucap Mak Su Daniah, menyelit
sindiran disebaliknya.
“He he. Waalaikumussalam, mak
su dara!”
“Ha ha. Apalah awak ni Su, tak
lama lagi nak jadi tunang orang tapi perangai masih macam budak-budak!”
“Hmm, tengok! Mak Su pun dah
tahu,”
Soalnya, ingin tahu. Terluka
kembali perasaan yang sedang cuba diubati semenjak petang tadi. Semenjak
perihal risik itu sampai ke pendengarannya.
“Apa, pasal awak yang Mak Su
tak tahu? Awak ponteng sekolah masa form
one, dah tu berendam pulak dalam Sungai Pak Kob pun Mak Su tahu. Inikan
pulak hal risik-merisik ni,”
“Mak Su ni! Lupakanlah pasal
berendam kat Sungai Pak Kob tu. Su sakit hati lagi pasal merisik ni,”
“Apa yang nak disakitkan
laginya? Mak dan ayah dah terima, kan? Bukankah restu mak dan ayah tu yang
penting, terutama dalam hal calon suami anaknya?”
Bertubi-tubi soalan ditanya, dalam
usaha Mak Su Daniah menasihatinya supaya menerima apa yang diputuskan buat masa
hadapannya. Namun tidak semudah itu dia merelakan. Dia masih ada kehendak untuk
memajukan diri di masa hadapan. Bukan menguburkan impian disebalik asap dapur
kelak.
“Iyalah, Su tak nafikan restu
mak ayah penting tapi Mak Su, Su belum mahu kahwin lagi. Dahlah Su tak kenal
pun siapa gerangan mamat tu, macam mana orangnya, tiba-tiba datang merisik Su.
Paling teruk, mak dan ayah terus terima, langsung tak tunggu Su!”
“Amboi, marahnya! Macam nilah
Su, bincang dulu dengan mak dan ayah. Luahkan apa yang Su rasa. Kalau tidak
pun, apa kata Su berkenalan dulu dengan lelaki yang bakal jadi tunangan Su tu.
Mak Su dengar, Su nak ditunangkan dalam tempoh sebulan lagi. Jadi, kalau rasa
tak begitu yakin, cubalah kenali dulu hati budi lelaki tu. Macam mana orangnya
sampai mak ayah Su terus terima lelaki tu bulat-bulat,”
“Taklah bulat sangat Mak Su,
tuannya nampak gagah perkasa. Handsomelah
jugak!”
Balas Iris Suhayla bersama
tawa kecil. Mak Su Daniah di hujung talian juga ikut ketawa. Dia cuba mengubat
hati sebenarnya. Manakan tidak, sepanjang hari ini, dia hanya berkurung di
dalam bilik. Dia langsung tidak keluar walau dipanggil berkali-kali untuk makan
malam. Yang terfikir dek akalnya, mengapa begitu keputusan yang diambil oleh
mak dan ayah?
“Amboi, tadi bukan main marah,
sekarang lain pulak bunyinya! Hati Su dah berubah ke?”
“Taklah, menyejukkan hati aje.
Ingatkan Mak Su nak sejukkan hati Su, nampaknya Mak Su pun sama aje, di pihak
mak dan ayah,”
Balasnya lagi. Mak Su Dianah
tidak mengambil hati malah kata-kata anak saudaranya menggeletek perasaan. Iris
Suhayla berdiri sekali lagi di birai tingkap. Bunyi motor ayah menarik
perhatiannya, namun cepat disembunyikan diri di sebalik dinding, bimbang jika
ayah melihat susuk tubuhnya di situ.
“Su, Su? Senyap aje! Ada lagi
ke tu?”
“Err...emm...ada, ada!”
“Tak payahlah nak menyorok
tepi dinding tu! Su ingat ayah tak nampak Su? Tutup tingkap tu! Dah pukul
berapa ni? Nyamuk banyak di luar ni. Kalau betul nak merajuk pun, janganlah
tunjuk muka di birai tingkap. Ayah boleh nampak, mak boleh nampak! Orang
kampung yang lalu tepi jalan pun boleh nampak muka Su yang masam macam kelapa
basi,”
“Macam kelapa basi ayah kata
Su, Mak Su! Sampai hati ayah!”
“MERAJUK lagi ke?”
Tanya emak, menegur dari
belakang. Dia yang sedang leka membaca akhbar mengangkat muka, menghadiahkan
sebuah senyuman kelat.
“Siapalah Su ni mak, nak
merajuk lama-lama dengan mak dan ayah walaupun mak dan ayah dah buat Su macam
ni,”
Emak mengambil tempat di
hadapannya, duduk di ruang tamu selepas pulang dari kelas masakan. Sudah empat
tahun emak mengajar di sana. Semenjak anak-anak keluar dari rumah untuk hidup
berdikari di kota, emak mula merasa sunyi lantas pada kelas masakan itulah
ditumpahkan segala cintanya.
“Apa yang teruk sangat bila
calon suami ditentukan oleh mak dan ayah, Su? Lagipun Su bukan orang pertama
yang ditentukan jodoh oleh keluarga. Mak dan ayah ni, jodoh dipilih keluarga
jugak tapi boleh aje hidup bahagia. Pernah Su tengok mak dan ayah bertengkar?”
“Memanglah tak pernah,”
“Keberkatan dan restu ibu bapa
tu yang paling penting, Su!”
“Hmm,”
Jawabnya, ringkas. Iris
Suhayla malas hendak memanjangkan cerita lagi. Kalau itu yang difikirkan
terbaik untuk dirinya, maka itulah yang terbaik. Tidak ada yang tidak kerana
jika dia menolak pun, emak dan ayah tetap mengiakan.
“Ini!”
Kata emak, menghulur cebisan
kertas kepadanya. Berkerut dahinya membaca nombor telefon yang antara jelas dan
tidak itu. Nombor satu atau nombor tujuh? Nombor lapan atau nombor tiga?
Siapakah pemilik tulisan tidak jelas itu? Tulisannya bersambung-sambung seperti
cacing kerawit.
“Nombor telefon bakal tunang
Su,”
“Kenapa mak beri Su?”
“Habis nak bagi ayam?”
Tanya emak, bersahaja. Iris
Suhayla mahu ketawa namun ditahan perasaannya sedaya yang boleh.
“Mak simpan ajelah,”
Tolaknya menghulur kembali
cebisan kertas itu kepada emaknya namun emak menggeleng sebelum bangun.
“Mak dah ada nombornya,”
“Dah ada?”
“Emm,”
Angguk emak lantas menapak menuruni
anak tangga hingga bayangnya tiada lagi kelihatan.
“Izzul Haq!”
Nama itu disebut sekali,
diikuti debaran dada yang berdegup kencang tiba-tiba. Teringat pula akan gambar
lelaki yang dikatakan bakal menjadi tunangannya itu. Izzul Haq! Lebih kencang
debaran itu berdetak.
“AWAK ni siapa?”
Taipnya sebelum menghantar
mesej ringkas itu kepada nombor lelaki yang dikatakan bakal tunangannya itu.
Beberapa hari nombor itu berada di dalam simpanannya sebelum dia bertekad untuk
menjejaki lelaki itu. Iris Suhayla membuka kekunci skrin telefon bimbitnya. Dia
memeriksa kembali jika mesej yang dihantar itu dibalas namun hampa.
“Oh, nak main-mainkan aku, ya?
Tak apa! Aku tunggu!”
Rungut Iris Suhayla sendirian.
Telefon bimbit itu dicampak kasar sebelum dia mencampak dirinya juga di atas
tilam empuk itu. Lama dia menanti sebarang bunyi dari telefon itu hingga mata
mula berkedip-kedip dan terasa berat. Akhirnya dia lena dalam penantian yang
tidak seberapa itu.
“IRIS, result
penempatan keluar esok!”
“Mana kau tahu?”
Tanyanya ketika mula melabuh
punggung di atas buaian. Afiqah yang duduk di hadapan hanya menggeleng kepala.
Itulah soalan paling kerap dilontar Iris Suhayla jika dia menyampaikan sebarang
maklumat.
“Hah, itulah kau! Aku pun
duduk rumah jugak tapi taklah sampai berkurung macam katak bawah tempurung!”
“Eh, apa pulak berkurung! Aku
pun kerap keluar cari kerja jugak tahu. Kalau lama sangat, aku pergi menziarah
ibu-ibu saudara. Melaka, Johor, Pahang! Berkurung apanya?”
Tanyanya kembali,
mempertahankan diri. Afiqah menepuk dahinya, tidak dapat menerima jawapan yang
diberi Iris Suhayla.
“Emm. Iyalah tu. Setakat
keluar ziarah sanak saudara tapi minda terkurung jugak. Apa perkembangan pun,
semua aku yang sampaikan. Yang tak tahannya, tanya pulak mana aku tahu! Aku
tahulah!”
“Ha ha ha,”
“Kau boleh ketawa pulak, ya?”
“Marah nampak!”
Usik Iris Suhayla, mengundang
cubitan kecil di pahanya. Terus sahaja dia menyambung tawanya.
“Marahlah! Hei, bilalah kau
nak berubah, ya? Kalau dapat posting ni,
kau boleh berdikari ke tidak agaknya? Aku rasa mesti murid yang kerjakan
cikgu!”
“Amboi, amboi, amboi! Tadi dah
mengata aku, katak bawah tempurung! Ni mengata lagi. Banyak betul dosa kau
dengan aku. Aku jampi kau postingke
pedalaman, nak?”
“Alah, kau ni Iris. Aku tengah
berdebar ni tahu. Kalau boleh tak mahulah ke pedalaman. Nanti susah nak balik
kampung,”
Akui Afiqah. Mereka berdua
terus bercerita sambil menikmati udara segar sebelum didekati Aini, emak Iris Suhayla.
“Apa yang seronok sangat dibualkan
sampai Iris tak hidang air pun untuk tetamu? Mari makan kuih ni anak-anak dara!”
Ajak Aini sambil meletakkan
dulang yang berisi minuman dan kuih di atas meja kopi yang duduknya di hadapan
buaian. Iris Suhayla mencuit lutut Afiqah, mengajak teman zaman kecilnya
menikmati juadah petang.
“Esok result posting keluar, makcik,”
“Emm, Fiqah takut kena posting ke pedalaman,”
Sampuknya bersahaja, sebelum
mengunyah sepotong kuih talam. Aini hanya ketawa kecil walau sebenarnya dia
yang lebih bimbang akan penempatan Iris Suhayla kelak. Satu-satunya anak bongsu
yang masih berada di sisi sedang abang-abang yang lain meneruskan kehidupan di
kota untuk mencari rezeki yang halal demi meneruskan kelangsungan hidup.
“Moga-moga tidaklah sampai ke
sana,”
“Harapnya begitulah, makcik!
Bukan apa, khabar anginnya bertiup kencang, Sabah dan Sarawak kekurangan guru.
Jadi, saya ke, Iris ke, semua ada kemungkinan ditempatkan di sana,”
“Kau aje, aku tak!”