21
MATANYA terpaku melihat susuk tubuh agak berisi sedang
berdiri di hadapannya. Selama menguruskan The Speeds, wanita separuh abad itu
tidak pernah menonjolkan diri di pejabatnya namun kehadiran Mama Jiya pada
ketika ini menimbulkan tanda tanya buat Izzul Haq.
"Bila Iz nak jemput Mama
Jiya duduk?"
"Eh, jemput duduk Mama
Jiya! Iz terkejut tengok Mama Jiya depan Iz tiba-tiba. Mama Jiya dari
mana?"
Tanya Izzul Haq, menghulur
tangan untuk menyalami ibu tirinya
sebelum mempersilakan wanita itu duduk.
"Mama Jiya dari
mana?"
"Mama Jiya dari rumah.
Teringatkan Iz. Entah apa khabar Iz sekarang."
Ujar Najihah, berbasa-basi.
Hatinya dipalit kebimbangan semenjak seminggu dua kebelakangan ini. Semuanya
gara-gara gosip yang menimpa Izzul Haq. Semalam, ketika Datin Sakinah
menziarahinya di rumah, sempat juga dia dirisik mengenai Izzul Haq dan Putri
Ariyana. Tidak sekadar merisik gambar, gambar yang tersebar di internet juga
ditunjukkan oleh Datin Sakinah kepadanya.
"Oh, Iz ingatkan apalah
tadi! Iz sihat aje Mama Jiya. Next time,
Mama Jiya call aje Iz. Iz akan balik
jumpa Mama Jiya. Nak jumpa papa, setahun sekali."
"Iz jangan ambil hati
dengan papa. Mama Jiya pun jarang sekali jumpa papa. Duduk sahaja serumah.
Kadang-kadang seminggu sekali papa balik ke rumah. Kadang-kadang
berminggu-minggu perginya tapi tak pulak jadi jutawan macam Iz."
Usik Mama Jiya di akhir
ceritanya. Izzul Haq ketawa kecil. Kadang kala terdetik di hatinya ingin
bertanya lebih lanjut tentang papa namun akal warasnya kerap melawan. Dia
bimbang jika Mama Jiya berkecil hati akan pertanyaannya kelak.
"Mama Jiya ni. Mana boleh
samakan Iz dengan papa. Iz ada darah atuk. Arwah atuk kan panas punggung kalau
sehari tak berniaga. Ke hulu ke hilir, macam cacing kepanasan."
"Agaknya papa Iz lebih
dahsyat cacing kepanasannya. Pergi berminggu-minggu. Kalau tengok arwah atuk
dulu, pergi pagi, petang dah balik ke rumah."
Sambut Najihah pula. Memori
diketuk bayangan si suami. Semenjak dua tahun kebelakangan ini, sikapnya
menjadi-jadi. Hilangnya tiada jejak, pulangnya sekejap cuma. Dan seperti kata
Izzul Haq, hanya setahun sekali mereka bertemu. Jika dibelah dadanya, pasti
dapat dilihat hatinya yang buruk dan bernanah akan sikap suami yang acuh tidak
acuh akan kewujudannya dan anak-anak.
"Iz faham perasaan Mama
Jiya. Iz harap satu hari nanti Iz dapat bertanya sendiri dengan papa kenapa
sikapnya begitu."
"Sebab itu juga Mama Jiya
ke sini. Mama Jiya tak mahu Iz ikut jejak langkah papa Iz."
"Maksud Mama Jiya?"
Tanyanya, hampir tidak
mengerti apa yang mahu disampaikan oleh Mama Jiya. Ibu tirinya tidak segera
menjawab. Dia sendiri tidak pasti akan reaksi Izzul Haq apabila isu itu
dibangkitkan walaupun dia tahu Izzul Haq merupakan seorang anak yang baik. Jika
diberi pilihan, dia mahukan anak tirinya itu sebagai anak sendiri. Sikap hormat
yang dimiliki oleh Izzul Haq lebih menyerlah berbanding anak sendiri yang hanya
tahu menghabiskan duit.
"Boleh Mama Jiya sarankan
sesuatu?"
"Boleh."
"Apa kata Iz nikah aje dengan
Iris Suhayla cuti sekolah bulan Mac ni. Tak payah nak tunggu sampai bulan
enam."
Saran Najihah, menyebabkan
Izzul Haq tersentak. Semalam perasaannya berbelah bagi sama ada hendak
meneruskan perkahwinan itu atau sebaliknya namun Mama Jiya membawa cadangan
yang mengejutkan pagi ini.
"Hah?"
"Mama Jiya kurang
senanglah dengan gosip Iz ni. Nanti apa kata keluarga Iris di kampung. Bukan
setakat cerita, gambar pun tersebar. Tak eloklah Iz."
Jelas Mama Jiya lagi. Izzul
Haq meraup mukanya, buntu dan gelisah. Ya atau tidak? Terima atau tolak?
"Boleh Iz?"
"Okay."
Dia membalas, begitu perlahan
hingga hampir tidak kedengaran. Mama Jiya senyum lantas menepuk lembut
tangannya.
IRIS Suhayla menadah telinga, antara mendengar dan tidak
akan bebelan ayah. Kata ayah, tidak ada keputusan yang lebih muktamad selain
keputusan ayah.
"Lepas ni, ayah tak mahu
dengar lagi pasal hal putus tunang ni. Adatlah orang bertunang, cemburu tak
kena tempat. Dah jadi isteri esok, terbang segala cemburu tu."
Idris menyambung bicara. Selama
ini, dia tidak gemar berbual di telefon bimbit namun sikap anaknya yang suka
membuat keputusan membuta tuli membimbangkannya. Tambahan pula, Iris Suhayla
merantau jauh ke seberang laut Cina Selatan. Mahu tidak mahu, anak itu perlu
juga dihubungi.
"Su tak dengar ya apa
yang ayah cakap tadi?"
"Dengar."
"Kalau dengar, bagus.
Dah, cakap dengan mak!"
Kata ayah. Telefon bimbit itu
bertukar tangan dengan pantas. Sekejap sahaja suara emak sudah kedengaran di
telinganya.
"Kan dah kena marah
dengan ayah. Lain kali jangan mintak benda yang bukan-bukan. Su ingat hal putus
tunang ni hal mainan ke?"
"Su tak mahulah kahwin
dengan orang yang tak sayangkan Su."
"Rasa sayang tu boleh
dipupuk Su, boleh dididik. Macam Su mendidik anak-anak murid dari tak pandai
membaca hingga pandai membaca."
Pesan emaknya lagi. Keningnya
keruh lantas dia menjauhkan telefon bimbit itu dari telinga. Rasa sayang boleh
dididik? Kata-kata emak kedengaran janggal di telinganya.
"Hello, Suu?? Dengar tak
apa yang mak cakap tadi?"
Tanya Aini apabila dia berasa
seolah-olah bercakap sendiri. Tiada sebarang suara di hujung talian. Kalaulah
Iris Suhayla ada di sebelahnya, pasti telinga kanan anak itu sudah dipulasnya.
"Dengar. Okay mak. Su
faham tapi Su nak sambung tidur. Penat betul hari ni."
"Dengar ke buat-buat
dengar?"
"Huargggggghhh."
Dia berpura-pura menguap.
Kemudian dia menekup mulut supaya tidak kedengaran bunyi tawanya. Kalaulah emak
tahu yang dia sedang mentertawakan emak, pasti sudah merah telinganya dipulas
emak. Untung juga duduk berjauhan begini.
"Tak senonoh punya anak.
Assalammualaikum."
"Waalaikumussalam."
KEHADIRAN bakal keluarga mertua Iris Suhayla dialu-alukan
dengan tangan terbuka. Sejak dimaklumkan akan kedatangan mereka sekeluarga,
Aini telah bersiap sedia dari awal. Dia berniat hendak menyajikan gulai nangka
dan ikan masin, sambal belacan dan ulam-ulaman sebagai juadah utama ketika
makan tengah hari. Kuih seri muka pula sebagai halwa mulut lantas dia
bertungkus lumus sejak awal pagi.
Aini tidak susah hati lagi melayani tetamu yang mengunjungi
kediamannya apatah lagi kehadiran mereka kali ini kerana hendak membincangkan
perihal perkahwinan anak-anak mereka.
"Iris apa khabar? Lepas
bertunang hari tu, terus tak tahu apa ceritanya."
Tanya Najihah, membuka cerita.
Aini senyum sahaja walaupun mindanya memutar kembali perbualan semalam. Iris
Suhayla mengharapkan ikatan pertunangan itu putus sedangkan keluarga lelaki
mahukan ikatan itu diikat dengan lebih kemas lagi.
"Alhamdulillah. Iris
sihat. Kak Aini suruh dia balik cuti sekolah ni tapi dia berdolak-dalih
pulak."
Najihah melorek senyuman.
Sebenarnya dia tidak mengerti tentang dolak dalih yang disebut oleh Puan Aini
sebentar tadi.
"Berdolak-dalih? Maksud
Kak Aini, dia tak mahu balik ke?"
"Entahlah, katanya tak
ada duit nak beli tiket. Bila Kak Aini nak kirim duit untuk beli tiket, dia
tolak pulak."
Balas Aini, terbayang wajah
Iris Suhayla yang sudah tiga bulan tidak ditemuinya. Rindu. Hanya suara anak
itu yang kedengaran melalui telefon, itupun jarang-jarang.
"InsyaAllah, kalau tak
ada halangan, biar Izzul yang jemput dia di sana. Itu pun kalau Kak Aini tak
keberatan."
"Takut dia yang tak nak.
Kak Aini nak kirim duit pun dia keberatan."
"Kalau dah dijemput,
takkan dia tergamak menolak, kan?"
Balas Najihah pula. Mereka berdua
sama-sama ketawa namun tidak lama.
"Saya datang ni kak Aini sebenarnya
bawa hajat. Saya dan Izzul dah berbincang dan kami putuskan untuk
mempercepatkan perkahwinan Iris dan Izzul."
"Emm, cepat tu bila
agaknya?"
"Cepat tak cepat cuti
sekolah paling dekat ni, Kak Aini."
"Bulan tiga?"
Tanyanya, dengan mulut yang
hampir menganga. Najihah ketawa kecil dengan reaksi bakal besannya itu.
Barangkali ia kedengaran tergesa-gesa namun pada firasatnya, itulah tindakan
yang paling tepat. Dia tidak mahu Izzul Haq terus dipalit sensasi dan hati
orang-orang di sekelilingnya terluka akibat sensasi itu.
"Itulah jalan yang paling
selamat buat Izzul dan Iris memandangkan mereka berjauhan. Kata orang tua-tua,
orang bertunang ni darah manis. Banyak dugaannya. Sebelum jadi apa-apa yang
kita tak mahu, eloklah majlis mereka dipercepatkan."
Tambah Najihah lagi. Aini
masih tidak dapat memberi kata putus namun dia bersetuju dengan pendapat
Najihah. Dalam tempoh pertunangan yang masih muda itu pun Iris Suhayla sudah
meminta untuk meleraikan ikatan yang terjalin. Jika lebih lama, lebih banyak
pula ragam anak bongsu itu nanti.
"Kejap lagi abang Deris
balik. InsyaAllah, kita akan dengar pendapat abang Deris."
"Assalammualaikum."
"Waalaikumussalam. Hah,
panjang umur!"
IRIS Suhayla mencampakkan dirinya ke atas tilam. Dia
bergolek ke kiri, kemudian kanan. Baru sebentar tadi dia menerima panggilan
telefon dari kampung. Kali ini bukan datang dari emak tetapi panggilan itu
dibuat oleh ayah. Ayah sendiri yang memaklumkan bahawa tarikh pernikahannya
dibawa lebih awal. Lebih kurang dua minggu sahaja lagi. Kata ayah, Izzul Haq akan
menguruskan segala-galanya.
"Gila. Gila.
gilaaaaaaaaaaaaaaaaa!!!!!"
Jeritnya, sepenuh hati. Dia
menghentak kedua-dua belah kakinya di atas tilam itu berkali-kali tanda protes.
"Oi! Siapa gila? Kau
ke?"
Tegur Siti Hajar. Dia berdiri
di tepi pintu namun terperanjat dengan aksi Iris Suhayla yang kelihatan begitu
bertenaga menghentak tilamnya.
"Memang! Memang aku gila.
Mahu tak gila dibuatnya. Kalau kau jadi aku apa kau buat?"
"Jadi kau? Buat apa pulak
ni? Tak mahulah aku gila sebelum kahwin."
"Tapi aku akan gila
sebelum kahwin. Dua minggu lagi, Su. Dua minggu lagi aku kena kahwin."
Sahut Iris Suhayla, tertekan.
Diam Izzul Haq, diam ubi berisi rupanya. Dalam kebisuan, lelaki itu telah
mengatur segala-galanya.
"Kena kahwin? Macam kena
paksa aje bunyinya."
"Tak paksa ke kalau
tiba-tiba disuruh kahwin?"
Tanya Iris Suhayla pula. Siti
Hajar mendekati lantas duduk di sebelahnya. Bahu teman serumah itu dipautnya.
"Bersyukurlah, Su.
Sekurang-kurangnya jodoh kau dah pasti ada. Aku pulak, dengan umur aku macam ni,
jangankan calon, bayangnya pun tak ada. Telinga aku dah bernanah dengan perihal
jodoh yang tak kunjung tiba ni. Kalau aku di tempat kau, aku terima aje Su.
Orang mengata perempuan macam aku ni. Anak dara tua. Bukan aku aje, mak aku di
kampung pun dah berbuih mulut menjawab soalan orang. Bila aku dapat post di Labuan pun orang mengata jugak.
Malulah tu. Malu kena tanya pasal kahwin. Kau nak terima nasib yang sama macam
aku?"
Balas Siti Hajar, mencurahkan
isi hati yang dipendam sekian lama. Dia berharap, dengan perkongsian yang
sedikit itu, Iris Suhayla akan mengerti bahawa tiada yang lebih baik melainkan
redha dengan pilihan yang diberi buatnya.
Iris Suhayla tidak menyahut. Kata-kata Siti Hajar membuatnya
berfikir panjang. Memang, dia tidak pernah meletakkan dirinya di tempat Siti
Hajar. Dan kalau dia mengambil watak Siti Hajar sekali pun, mampukah dia
menanggung bebanan perasaan itu?
"Perempuan mana yang tak
mahu hidup berpasangan, Su?"
"Kau pula, diberi pilihan
untuk hidup berpasangan. Calon pilihan keluarga, Su. Barakah."
Iris Suhayla terus kehilangan
kata-kata. Rasanya, selama bertaut tali persahabatan dengan Siti Hajar, nasihat
tadi paling bijaksana dan memaku hingga ke dasar hati. Siti Hajar meninggalkan
dirinya bersendirian, bersama azimat yang paling mujarab, iaitu redha dan
barakah.
"HARI ni kita akan buat satu permainan."
"Yeayyy!!"
Jerit Saufi sambil mengangkat
tangannya tanda gembira. Beberapa orang rakan yang lain turut menjerit sama.
Lantas mereka berlari anak menuju ke sudut kreativiti tanpa disuruh. Ada juga
murid yang setia, masih menanti arahan darinya. Iris Suhayla menggosok dahinya
yang tidak sakit.
"Aduhai."
Omelnya perlahan.
"Ai, ei, ui,
oiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiii, siapa yang suruh main? Balik ke sini! Masuk semula
dalam barisan."
Perintahnya dengan mata bulat.
Saufi, Awang, Syahmi, Sofea sudah mengambil beberapa kotak mainan ketika itu.
Namun arahan guru mereka diturut dengan rasa kecewa.
"Syahmi, ada cikgu suruh
main?"
"Tadi cikgu cakap main."
"Main memang main tapi
cikgu belum habis cakap lagi kan. Hah, nak main sangat kan. Mari sini empat
orang tu. Cikgu nak tutup mata kamu dengan kain. Mari sini!"
Panggilnya. Saufi, Awang, Syahmi,
Sofea mendekatinya dengan mulut muncung ke depan. Antara empat sekawan itu,
muncung Sofea yang lebih panjang. Barangkali dia kecewa kerana tidak dapat main
seperti yang diharapkan. Iris Suhayla menahan tawa dalam hati. Dia mengambil
empat helai kain perca lalu mengikat empat orang murid itu secara
bergilir-gilir. Kemudian, dia meletakkan empat cawan plastik berisi pelbagai
rasa di dalamnya. Selesai tugasan ringkas itu, dia mendapatkan kembali
murid-muridnya.
"Dengar baik-baik arahan
cikgu. Arahan pertama ni untuk Saufi, Awang, Syahmi, Sofea sahaja. Orang lain,
zip mulut sekarang dan tengok."
Arahnya lantas semua murid
berpura-pura menzipkan mulut masing-masing. Iris Suhayla pntas memberi arahan
yang seterusnya.
"Untuk Saufi, Awang, Syahmi
dan Sofea. Cikgu akan beri setiap dari kamu satu cawan. Dalam setiap cawan ada macam-macam
benda. Cikgu nak kamu rasa. Selagi cikgu belum tanya, jangan beritahu apa yang
kamu rasa. Faham?"
"Faham."
Sahut mereka berempat hampir
serentak.
"Bagus. Saufi, guna jari
kamu untuk celup ke dalam cawan. Kemudian, letak ke dalam lidah untuk rasa."
Arahnya lagi. Saufi mengangkat
jarinya, dia meraba-raba cawan namun tidak berhasil. Rakan-rakan yang lain
sibuk membantu. Bermacam-macam arahan diberi untuk membantu Saufi.
"Kiri sikit. Lagi,
lagi!"
"Kananlah. Awak ni nda tau kiri sama kanan."
Iris Suhayla menahan senyum.
Dia membawa tangan Saufi mendekati cawan pertama lalu Saufi mencelup dan merasa
cecair itu ke dalam mulut. Berkerut keningnya menahan rasa lantas seisi kelas
berkongsi tawa melihat gelagatnya.
"Manisnyaaaa. Cikgu bagi sia gula ka?"
Saufi meluahkan reaksinya
dengan jujur. Nisa yang baru mengikuti sesi itu ketawa kecil di belakang.
"Hisy budak ni. Memang
tak boleh simpan rahsia. Cikgu cakap apa tadi? Jangan beritahu selagi cikgu
belum suruh, kan?"
"Opps."
"Next. Awang!"
Panggilnya. Awang mengangkat
tangannya dan teraba-raba. Tangan Awang dicapainya lantas rakan sekelasnya
ketawa lagi. Iris Suhayla ikut ketawa dan membantu Awang melalui proses yang
sama. Sekali lagi Awang mempersembahkan reaksi spontan.
"Eeeeeeeeee. Masinnyaaaaaaaaaa.
Apa siamakan ni, cikgu? Garam ka?"
Tanya Awang, terus menarik
balutan matanya. Dia pantas mengesat lidahnya berkali-kali. kemudian, dia
berlari anak ke luar kelas. Tidak lama kemudian, dia masuk kembali dengan leher
baju yang basah.
"PAHITTTTT!"
Syahmi menjerit kuat. Iris
Suhayla membantu Syahmi membuka balutan matanya. Kemudian, dia menarik Sofea
yang terkial-kial hendak membuka balutan matanya.
"Belum bukak lagi Sofea.
Mari sini, cikgu bagi awak rasa air sedap ni."
Iris Suhayla menyua cawan ke
mulut Sofea tetapi Sofea pantas mengelak. Dia mengunci mulutnya rapat-rapat.
"Sofea tak nak rasa,
cikgu tak nak buka mata Sofea."
Iris Suhayla mengugut,
selamba. Sekali lagi Iris Suhayla menyua cawan ke mulut Sofea. Kali ini Sofea
tidak menolak walaupun dia mengelak. Dia merasa sekali kemudian berkali-kali.
"Amboi! Cikgu suruh rasa
aje. Awak minum sampai habis?"
Kata Iris Suhayla lantas
membuka ikatan kain yang membalut mata Sofea. Dia mengarahkan Sofea duduk dalam
barisannya sebelum dia berdiri di hadapan mereka semua.
"Sebenarnya ada tujuan
cikgu menutup mata rakan-rakan kamu tadi. Cikgu mahu cerita apa yang kamu rasa
tapi sebab kamu dah cerita dulu, tak jadi kita nak main permainan yang cikgu
sebut tadi."
"Alahhhh!"
"Hari ni kita nak belajar
tentang anggota badan yang digunakan untuk merasa. Apa dia?"
"Lidah!"
Syahmi menjawab selepas
mengangkat tangan. Iris Suhayla menggeleng lantas meminta jawapan dari
murid-murid lain.
"Syahmi jawab salah.
Cikgu nak beri peluang orang lain pulak yang jawab. Siapa nak cuba?"
"Salah? Aik?"
"Saya nak jawab
cikgu."
Syakila mengangkat tangan.
"Ya."
"Mulut."