Kai-sen-jyo (海 戦 女) (‘gadis tempur samudera’)
BUKU III: YUMEJIMA
ARKA II: KAISENJYO
**
Watak-watak utama
Okuhida Hisamiko (奥飛騨 久見子 (oku-hi-da hisa-mi-ko))
Genjirou
Nozomi
Yoshimaru
Kaisenjyo
Yoshihisa
Maharaja
**
Bab 33
Kala kesedihan menyelubungi selepas kematian Hisamine, Hisamiko termenung di atas tebing tinggi merenung laut. Segala apa yang berlaku dalam masa dua hari ini berkincahan dalam cepu fikirnya. Pembunuhan yang dilakukan Hisamine, dan kematiannya, dan kemudian pembunuhan yang dilakukannya sendiri di dalam kapal itu, menyebabkan tiga nyawa melayang. Namun mereka telah memperkosa Hisamine. Itulah karma mereka!
Kala diganggu cebis demi cebis memori hitam itu, Hisamiko merasakan memori lain yang baru menerpa benak seperti cahaya mentari di balik awan hitam yang berarak beredar ke belahan langit lain. Memori itu kian terang dan menenggelamkan memori hitam.
Memori baru itu dirasakan terlalu biasa, seolah-olah ia sudah sedia lekat di benak, sudah lama terpahat di situ. Ia memerikan seorang lelaki yang sedang menghuni di atas tanah tinggi yang hanya boleh dilawati menerusi gua dalam hutan gelap itu. Namanya Tomokazu.
Tomokazu? Aku tidak kenal seseorang bernama Tomokazu. Siapakah dia? Bagaimana pula aku merasakan bahawa aku pernah dan selalu bertemunya pula?
Memori itu cuba menyuguh kepada Hisamiko, bahawa beberapa puluh tahun lepas, Tomokazu sedang dikejar seseorang, sedang tangannya menekup darah di pinggang. Kemudian datang seekor binatang berbulu hitam seperti serigala yang menerkam dari sisi dan membawanya lari.
Hisamiko bermonolog, memori itu memberitahuku bahawa binatang itu Yoshimaru. Lima ratus tahun lepas, dia terjatuh ke sebuah lubang di lantai hutan gelap. Aku mengambus lubang itu agar dia ditimpa sumpahan pulau dan menjadi binatang hitam itu. Dia mengorek keluar sebagai seekor makhluk berbulu hitam dan bersayap, berwajah serigala. Dia terbang meninggalkanku. Aku membiarkan dia bertemu rakan wanitanya.
Tidak, aku tidak kenal Yoshimaru. Aku tidak kenal wanita itu. Aku pasti, ini bukan memoriku. Memori siapakah ini?
Siapa Yoshimaru? Siapa? Dan beberapa tahun lepas? Lima ratus tahun lepas? Bagaimana, bagaimana pula memori dari puluhan dan ratusan tahun lepas bermain di fikiranku? Sedang umurku hanya belasan tahun? Ini bukan memoriku, ini bukan memoriku!
Lagi, ada lagi. Ia datang lagi dan mengatakan bahawa Yoshimarulah yang nekad menyertaiku dibuang ke laut dan kami terdampar di pulau ini...
Tidak, semua ini salah! Aku datang ke pulau ini bersama abangku! Ia bukan memoriku, ia bukan memoriku!
Satu suara wanita menjelma di telinga Hisamiko...
“Engkau keliru bukan, Hisamiko?”
“Siapa engkau?!”
“Usah takut dan gentar anakku. Aku menumpang tubuhmu. Akulah Kaisenjyo.”
“Kaisenjyo?”
Hisamiko teringatkan sesuatu. Ia mimpi lama dahulu, sewaktu dia terlantar selepas misi Saikawa. Seorang gadis duduk di atas batu memandang laut dan berwajah jelita, dengan taring pada mulut dan rambut hitam yang panjang berbalut yukata putih. Cuma rambut yang masih hitam.
“Jadi, itu memori-memorimu?”
“Ya, dan juga memori tubuh yang pernah kutumpang sebelummu. Okuhida Nozomi namanya, salah seorang moyangmu.”
“Nyah engkau dari tubuhku!”
Kaisenjyo ketawa mengilai, nyaring dan panjang. Hisamiko menekup telinga, bingit.
“Mengapa Miko-chan? Engkau tidak ingat nasihatmu dalam mimpi itu? ‘Nee-san walau apapun yang berlaku, teruskan hidupmu. Walau apapun yang sudah tertulis, lalui dengan hati yang kental.’ Bukankah engkau yang berkata begitu? Aku menumpang tubuhmu demi meneruskan hidup. Aku mengikut nasihatmu!”
Tidak. Di dalam mimpi itu aku bertemu seseorang dalam yukata putih, rambutnya hitam dan dia bersiung. Sebentar. Wajahnya iras gadis yang mayatnya kubuang ke dalam laut. Tidak, gadis itu berambut uban.
“Kaisenjyo. Apakah gadis yang berubah dan bersiung itu Nozomi?”
“Bijak. Dialah moyangmu. Aku telah memilih tubuhmu. Tubuhnya sudah terlalu lama dan lemah. Aku mahu tubuh baru yang kuat dan mampu kugunakan demi mempertahankan pulau ini. Dan jika engkau sudi, kita akan menyerang tanah Yamato dari sini. Aku hanya perlukan kebenaranmu, dan selepas itu, gelora laut yang menghalang kita keluar dari sini akan melenyap.”
Gelora laut? Apakah ia perkara sama yang menghalang Shiro dari terbang meninggalkan pulau ini?
“Hisamiko, aku akan sentiasa bersembunyi dalam salur darahmu sehingga engkau menerimaku. Hisamiko, ingat, Maharaja telah mengejar engkau dan abangmu dari tanah Yamato. Fikir, andai baginda tidak mengejarmu sudah pasti engkau dan abangmu masih hidup. Fikir Hisamiko, bukankah sekarang masanya untuk engkau membalas dendammu? Dengan memusnahkan baginda dan negara yang baginda bina? Bersatu denganku Hisamiko, bersatu denganku!”
“Yamerou (hentikan)!”
Kaisenjyo ketawa mengilai sekali lagi. Hanya Hisamiko yang mendengar tawa itu. Dia menutup telinga dan mencangkung tatkala tawa itu semakin panjang, kuat dan merengsakan.
**
Kuro dan Nozomi
Musim luruh, 1378, Jepun di bawah pemerintahan Shogun Ashikawa (Ashikawa Shogunate)
Nara, Kansai
Para shogun dari keturunan Ashikawa telah memerintah Jepun di bawah nama Maharaja dalam tempoh yang singkat, sebelum perang saudara meletus dan berlarutan di Era Negeri-Negeri Berperang. Perang berlangsung sehinggalah Jepun disatukan kembali pada awal abad ke-17 di bawah pemerintahan Shogun Tetsugawa.
“Okuhida Nozomi.”
Seorang gadis sekitar dua puluhan beryukata putih dengan kedua-dua tangan dirantai dan diikat pada palang di atasnya. Kaki juga dirantai pada pemberat. Yukata putih dipenuhi kotoran tanah dan darah. Rambut panjangnya kusut masai terurai menutup dahi dan hujung bibirnya berdarah, mata dan pipi membengkak.
“Okuhida Nozomi, dengarkah engkau?”
Gadis itu masih tunduk membisu. Darah dari mulut menitik ke atas pasir di dalam kompleks mahkamah samurai atau bugyou di tengah-tengah kota Nara yang bersejarah itu. Di sini pernah bertapak istana pertama kerajaan Yamato sebelum dipindahkan ke Heian-Kyo di Kyoto pada abad ke-9.
Angin musim luruh 1378 bertiup sederhana namun dinginnya menggigit. Khalayak ramai mengelilingi perbicaraan yang sedang berlangsung, sengaja dijemput agar mereka kenal siapa gadis ini, agar mereka mengambil iktibar keras jika cuba-cuba mengkhianati Maharaja dan Ashikawa. Sekali-sekala gadis itu menggigil kesejukan kerana hanya yukata nipis membaluti tubuhnya.
Gadis ini telah dituduh sebagai pengkhianat negara.
“Bunuhlah aku.” Tutur gadis itu perlahan, namun masih dapat didengari bugyou di hadapannya.
“Okuhida Nozomi, engkau diberi pilihan sama ada dibuang ke pulau atau dibunuh. Apakah tidak engkau maklum?”
“Bunuhlah aku, bugyou Motoba.”
Hakim atau bugyou itu mengusap-usap dagu. Dia mengerling ke arah pembesar lain yang turut berada di kiri dan kanannya. Hatinya berat melihatkan gadis ini bakal dicabut nyawa. Dia difitnah demi kelangsungan politik Ashikawa. Dan dia selaku hakim tersepit di tengah-tengah. Keluarga gadis ini, keluarga samurai Okuhida, telah banyak berjasa kepada keluarganya, keluarga Motoba. Merekalah yang menaikkannya sehingga berjaya menjadi hakim di Nara ini. Sedang di sebelah neraca pertimbangannya yang lain, hasutan dan ugutan Ashikawa menggusarkan memberatkan dan cuba menggugatnya.