14
Hari ini, Afini
pulang tepat 6.00 petang. Sesampainya di rumah, azan maghrib sudah
berkumandang. Cepat sahaja dia mengambil tuala dan melangkah ke bilik air untuk
membersihkan tubuhnya.
Seusai solat Maghrib,
Afini terus mengenakan sepasang kurung berwarna merah jambu ke tubuhku. Dia
mengikat satu rambutnya agar kelihatan kemas. Setelah berpuas hati dengan
penampilannya, dia mengatur langkah menuju ke bilik emaknya.
“Mak, cepatlah. Nanti
lambat pulak.”
“Iya, mak dah siap ni,”
balas Imah dari dalam biliknya.
Seminit kemudian, pintu
bilik emak Afini terbuka. Emaknya berbaju kurung, bertudung sedondon dengan
warna pakaiannya.
Afini tersenyum. “Wah!
Merah mak malam ni. Cantiknya, mak siapalah ni?” usik Afini.
Imah mencuit lembut hidung Afini. “Kalau bab
mengusik, bagilah kat dia. Dah jom, nanti lambat pulak. Kesian Siti.”
Afini mengangguk
JIRAN tetangga dan
saudara mara telah memenuhi rumah keluarga Siti. Sebaik sahaja sampai, Imah
terus ke dapur untuk menolong apa yang patut manakala Afini terus menuju ke
bilik Siti.
“Afini!!!” jerit Siti
tatkala melihat kelibat Afini. “Aku ingat kau tak datang. Sedih aku.”
Afini tersenyum. “Sorrylah. Aku dah siap awal tadi, tapi tunggu Mak Datin
Imah kesayangan aku tu bersiap dulu. Tu yang terlambat sikit,” jawab Afini.
“Nasib baik kau datang.”
Terusir sudah kesedihan Siti.
“Mestilah aku datang.
Kaukan kawan terbaik yang pernah aku ada. Lagipun kalau aku tak datang… nanti
ada pulak yang merajuk tak nak bersanding,” usik Afini.
Siti tersenyum.
“Tahniah, Siti.
Akhirnya jodoh kau kuat dengan Zaid. Dia beruntung dapat kau. Mesti kauhappykan sekarang, dapat berkahwin dengan orang yang kau
cinta.” Entah kenapa ada kesayuan dalam bicara Afini saat ini.
“Afini, kau janganlah
sedih-sedih macam ni. Aku yakin, suatu hari nanti mesti kau pun akan bahagia!”
Bahagia? Apakah erti
bahagia sebenarnya? Bahagiakah dia andai tidak lama lagi dia akan dimiliki oleh
seorang lelaki yang tidak layak untuk mencintai dan dicintai?
“Afini, apa kata kau
pun pakai inai sekali.” Siti memberikan cadangan sementelah Afini bakal menjadi
pengapitnya esok.
“Hisy! Tak naklah. Tak
pasal-pasal aku pulak yang diorang ingat pengantin nanti.”
“Alah... apa salahnya.
Kau kan pengapit aku,” rengek Siti.
“Tak payahlah paksa
Afini pakai inai. Lagipun bukan Afini yang nak bersanding, tapi kamu.” Mak usu
Siti yang tadinya diam kini bersuara. Mungkin dia kurang senang melihat kerenah
Siti.
“Hmm… Afini ni pulak
bila nak naik pelamin?” soal mak usu kemudiannya.
Afini hanya tersenyum.
“Jangan tunggu lama-lama.
Nanti dah tua, tak laku.”
‘Pedasnya mulut janda
beranak dua ini. Nasib baiklah perempuan yang bermulut longkang ini mak saudara
Siti. Kalau tak, dah lama aku cilikan mulutnya,’ kata Afini di dalam hati.
Siti yang menyedari
perubahan wajah Afini, cepat mengubah topik bicara. “Afini, esok kau pakai baju
kurung biru yang aku buatkan untuk kau tu ya.”
Afini tersenyum.
“Jangan risau. Aku akan pakai cantik-cantik esok, supaya cepat dapat jodoh!
Kan, mak Usu?”
Mak usu yang menyedari
Afini memerlinya, berubah riak. Dia bangun dan mengatur langkah dengan alasan
ingin membantu kerja di dapur.
Afini dan Siti hanya
tersenyum.
Afini tersenyum melihat
Siti yang kelihatan gelisah menantikan rombongan lelaki yang baru sahaja
menjadi suaminya lima jam yang lalu. Majlis akad nikah yang berlangsung di
rumah Siti pada pagi tadi ternyata berjalan dengan lancar. Hanya sekali lafaz
sahaja Siti sah menjadi isteri Zaid. Kini tibalah pula majlis resepsi yang
diadakan di rumah Siti untuk meraikan pasangan Raja Sehari itu.
“Afini, aku rasa
takutlah. Dada aku ni rasa macam nak pecah.”
“Aku faham… kau
relakslah. Kejap lagi pengantin lelaki sampai. Semuanya akan okey,” pujuk
Afini. Dia menggenggam erat jari jemari Siti untuk memberi semangat kepada
sahabatnya itu.
Afini memandang ke
segenap wajah dan tubuh milik Siti untuk kesekian kalinya. Ternyata sahabatnya
itu kelihatan cantik sekali. Seri pengantinnya terserlah. Kebaya songket biru
yang membaluti tubuh Siti begitu sepadan dengan tubuh tinggi lampai miliknya.
“Kenapa kau pandang aku
macam tu sekali?” soal Siti apabila menyedari Afini memerhatikannya.
“Kau cantik sangat hari
ni. Terpegun aku. Itu baru aku yang pandang, belum lagi si Zaid tu. Agaknya
kalau dia nampak kau cantik macam ni, tak sempat bersandinglah nampaknya,” usik
Afini.
Siti sudsh tersipu-sipu
malu dengan usikan Afini. “Kau nikan Afini. Teruk tau.” Dia cuba mencubit
Afini, namun Afini pantas mengelak.
Tidak lama kemudian,
kedengaran kompang dipalu menandakan ketibaan pengantin lelaki.
Siti semakin rasa
berdebar.
Afini yang menyedari
keadaan Siti, pantas memujuk. “Relaks. Buat macam biasa.”
Siti hanya mengangguk.
Sebelum bermulanya
acara menepung tawar, persembahan silat
dipersembahkan kepada ‘raja sehari’. Selepas itu, barulah acara tepung tawar
dimulakan.
Ramai saudara mara
serta sahabat handai yang hadir tidak melepaskan peluang menepung tawar.
Berbagai gelagat dan telatah sewaktu menepung tawar dipersembahkan oleh para
tetamu. Hendak ketawa pun ada dengan teletah mereka.
Tapi tatkala seorang
lelaki yang amat Afini kenali naik ke atas pelamin dan mempunyai niat yang
sama, matanya bagaikan terpaku. Lelaki itu segak memakai kemeja berlengan
panjang berwarna sedondon dengannya dan berseluar hitam. Tatkala mata mereka,
bertemu Yus menghadiahkan senyuman manis.
Setelah habis sesi
bergambar, Afini meminta diri daripada Siti. Sewaktu dia mencari kelibat
emaknya, dia terdengar namanya dipanggil. Pantas, dia menoleh. Tiga orang
lelaki memandang tepat ke arahnya.
“Hai, Afini. Wah!
Cantik hari ni, mengalahkan pengantin,” usik Jeff.
“Tak adalah, biasa
aje,” balas Afini sambil tersenyum.
Yus masih memadang
tepat ke arah wanita di hadapannya. Matanya tidak berkelip.
“Hmm... ni siapa?” soal
Afini tatkala merasakan pandangan Yus mengganggu perasaannya.
“I kenalkan ni kawan I,
Ed,” ujar Jeff bersahaja.
“Hai, Kak Afini,” sapa
Ed dan menghulurkan tangan tanda perkenalan.
Afini menyambut huluran
tangan itu. Sekilas memandang Ed, Afini yakin lelaki itu masih muda remaja. Ed,
berkulit cerah dan mukanya persis lelaki berketurunan Cina.
“Afini!”
Dari jauh Zack sudah
memanggil namanya dan melambaikan tangan.
“Puas I cari you,”
tutur Zack setelah mendapatkan Afini.
“You cari I dekat
mana?”
“Dekat London,” gurau
Zack masih seperti dulu.
“You cantik sangat hari
ni. Seingat I lah ini, kali pertama you bersolek sakan. Cantik,” puji Zack
ikhlas, namun keikhlasan itu tidak disenangi oleh Yus.
“Sorry, I tak perasan Yus pun ada. Untung you dapat Afini. Dahlah
cantik, baik pulak tu.” Zack masih tidak puas memuji dan matanya masih terhala
kepada Afini.
“Sebab dia cantiklah I
terpikat,” balas Yus sinis setelah lama membisu.
Afini terasa amat kekok
dengan situasai sekarang. Tidak tahu untuk berkata atau berbuat apa. Nasib
baiklah dia terlihat kelibat emaknya. Dia mengamit emaknya menghampiri mereka.
“Afini pergi mana? Puas
mak cari Afini,” kata Imah sebaik sahaja dia menghampiri Afini.
“Ya ke? Afini pun cari
mak tadi. Nasib baik jumpa.” Afini sudah memaut manja lengan emaknya.
“Eh… ni Zack, kan?”
soal Imah tatkala menyedari kehadiran anak muda itu di antara mereka.
“Ya mak cik. Dah lama
tak jumpa,” kata Zack sambil menghulur tangan untuk bersalaman.
“Yalah, kalau dulu
hari-hari kamu dengan Siti datang rumah buat kerja sekolah sama-sama. Mak cik
rasa ada kot dalam dua tahun kita tak jumpa,” lembut Imah menuturkan kata-kata.
“Betul, mak cik. Saya
baru balik dari Australia. Kerja dekat sana.”
“Kerja-kerja jugak. Ni
bila ni nak bagi mak cik rasa nasi minyak?” gurau Imah.
“Tulah, ingatkan balik
sini nak melamar Afini. Tapi nampaknya tak ada canlah sebab orang tu dah ada
yang punya. Tak lama lagi dah nak kahwin.” Zack mengerling Afini sekilas.
Afini hanya tersenyum.
Dia tahu tutur kata Zack hanyalah satu gurauan. Tidak mungkin untuk lelaki itu
memilih dirinya sedangkan hati Zack hanyalah untuk Has!
“Afini ada buah hati?
Dah nak kahwin?” soal Imah pelik dan memandang tepat ke arah anak tunggalnya di
sisi.
Afini dan Yus serentak
memandang. Seperti Afini, Yus juga kelihatan cemas andai rahsia yang
disembunyikan terbongkar waktu ini.
“Mak, Afini lupa pulak
yang pak teh cari mak tadi,” seraya menuturkan kata-kata itu, Afini menarik
lengan emaknya melangkah menjauhi empat orang lelaki yang masih memandang
tingkah mereka.
Sesampainya di
rumah, Afini menarik nafas lega kerana tiada perkara buruk yang berlaku akibat
kata-kata Zack di majlis perkahwinan Siti tadi. Emaknya juga tidak bertanya
langsung mengenai apa yang dinyatakan oleh Zack. Mungkin emaknya itu menganggap
ia hanyalah satu gurauan sementelah Zack yang emaknya kenali semenjak dahulu
memang suka bergurau.
Setelah menunaikan
solat Asar, Afini mengelap rambutnya yang masih basah.
“Afini! Keluar kejap.
Ada kawan datang ni!” jerit Imah.
Afini yang mendengar
jeritan itu pantas berlari ke ruang tamu.
“Aaaaaaa...” jerit
Afini tatkala melihat Yus, Jeff dan Ed memandang tepat ke arahnya yang hanya
memakai kain batik dan t-shirt. Lebih malang lagi rambutnya masih belum kering
sepenuhnya. Dia berlari semula ke bilik untuk memilih persalinan yang lebih
sesuai.
Yus, Jeff dan Ed
terpinga-pinga seketika melihat reaksi Afini. Mereka saling berpandangan
sebelum tersenyum.
Selepas menyalin
pakaiannya, Afini ke dapur terlebih dahulu. Dia menyediakan teh panas dan
sepinggan biskut kering untuk dihidangkan pada tetamu. Selepas itu, dia terus
ke ruang tamu. Kelibat emaknya tidak kelihatan. Mungkin emaknya sedang
menunaikan solat Asar.
“Minumlah,” pelawa
Afini.
“Kenapa Kak Afini
menjerit tadi? Macam nampak hantu aje,” soal Ed sambil tersenyum.
“Hmm… tak, tak ada
apa-apa,” kata Afini.
“Afini pandai pakai
kain batik ya?” Tiba-tiba Jeff menanyakan soalan pelik.
“Dah tentu. I kan
perempuan? Mestilah pandai.”
“Tapi I tak pernah
nampak mama dengan kakak I pakai.” Suara Jeff lagi.
Afini hanya tersenyum.
“Cantiklah Afini pakai
kain batik tu. Lebih cantik daripada pakai seluar ni,” tambah Jeff lagi. T
anpa disangka Ed
mencubit paha Jeff, persis seorang makwe mencubit paha pakwenya kerana cemburu
kekasih hatinya memuji wanita lain. Pelik!
“Hmm… makanlah,” pelawa
Afini sekali lagi dan kali ini matanya bertentang dengan Yus.
Yus merenung Afini
membuatkan Afini rasa gelabah.
“Afini, pelawalah kawan
kamu tu makan,” kata Imah yang kemudiannya mengambil tempat di sebelah Afini.
Afini memandang emaknya.
“Mak, Afini kenalkan yang ni Ed, sebelah tu Jeff dan yang ni pula Yus.”
“Kamu semua ni kawan
sekolah Afini ya?” soal Imah.
“Tak, mak. Jeff dengan
Ed ni kawan Yus. Yus ni pula bos tempat Afini bekerja,” pantas Afini menjawab
sebelum sempat Yus membuka mulut.
“Bos rupanya. Maaflah,
Encik Yus. Mak cik tak tahu tadi,” kian sopan Imah berbicara.
“Tak apa, mak cik. Tak
ada beza pun sama ada saya ni bos atau kawan Afini.” Yus memaniskan wajahnya.
“Apa tujuan kamu semua
datang ke sini?” soal Imah kian mesra.
“Hmm… mak cik.
Sebenarnya tujuan saya datang ke sini, sebab… nak beritahu yang dalam minggu
depan papa saya akan datang ke sini untuk merisik Afini,” tenang, Yus
menyampaikan hajatnya.
Afini membulatkan
matanya, terkejut dengan bicara Yus. Emaknya pula sudah memandang wajahnya dan
jelas riak terkejut yang amat sangat terpamer di wajah tua itu. Dia tidak
menyangka yang Yus begitu berani berterus terang tentang tujuannya ke mari.
“Tapi seingat mak cik,
Afini tak pernah beritahu tentang kamu dengan dia bercinta.” Suara Imah masih
lembut.
“Saya tahu. Maksud
saya… mungkin Afini tak bersedia nak beritahu tentang hubungan kami. Sebab
tulah saya ambil keputusan datang ke sini untuk berjumpa dengan mak cik dan
berterus terang tentang hubungan saya dengan Afini.”
Afini hanya membisu.
Dia tidak tahu untuk menyampuk apa dalam bicara Yus kali ini.
“Kamu betul-betul
ikhlas dengan Afini?” soal Imah meminta kepastian.
Yus menarik nafas dalam
sebelum berkata-kata. “Saya ikhlas untuk mengambil Afini menjadi isteri saya,
mak cik.”
Imah tersenyum. “Mak
cik tak ada halangan. Tapi… kamu tahulah kami ni bukan orang senang. Jadi apa
pun keputusan yang kamu berdua nak ambil, fikir masak-masak. Kita ni kalau nak
berumah tangga bukan sehari dua kemudian bercerai.Kalau boleh biarlah kekal
hingga ke Syurga,” nasihat Imah panjang lebar.
Afini tertunduk tatkala
mendengar kata-kata itu. Hatinya kini dipaut rasa sedih kerana dia yakin
kerisauan yang dituturkan oleh emaknya sebentar tadi pasti menjadi kenyataan.
Perkahwinan tanpa rela ini, dia sendiri tidak tahu berapa lama ia mampu
bertahan!
Yus dan Jeff
masing-masing membuang pandangan ke arah Afini.
“Insya-ALLAH, mak cik,”
kata Yus. Dia merenung Afini seketika.
Tidak lama kemudian,
mereka bertiga meminta diri untuk pulang.
Afini terus
merebahkan tubuhnya ke tilam. Badannya terasa penat setelah seharian membantu
Siti di majlis perkahwinannya. Matanya sudah memberat, tetapi ketukan di muka
pintu membantutkan niatnya untuk tidur. Dia membuka pintu dan cepat sahaja
emaknya melangkah masuk ke dalam.
“Mak mengganggu ke?”
“Tak adalah. Kenapa
mak?” soal Afini.
“Hmm… mak nak tanya
Afini sikit ni,” katanya sambil merenung Afini.
“Pasal apa?”
“Pasal Afini dengan
Yus.”
Berdebar dada Afini
mendengar kata-kata emaknya. “Hmm… mak nak tanya tentang apa?”
“Betul ke Afini
cintakan Yus? Betul Afini takkan rasa menyesal untuk berkahwin dengan Yus?” Terselit
sedikit keraguan di dalam setiap persoalan yang ditujukan kepada anak
tunggalnya itu.
Lain benar bentuk
soalan emaknya kali ini. Adakah naluri keibuan emaknya itu dapat menghidu
ketidakbahagiaan di wajahnya?
“Mak bukan apa. Mak tak
nak apa yang berlaku pada mak akan berulang pada Afini. Mak tak nak anak
kesayangan mak ni menderita. Cukuplah mak seorang dah rasa perit dan sakitnya
andai orang yang kita cintai khianati kita.” Sedikit sebak nada Imah.
“Mak… Afini sayangkan
mak. Afini… takkan menyesal untuk berkahwin denganYus. Afini nekad!”
“Betul Afini sayangkan
Yus dan takkan menyesal?” soal Imah masih inginkan kepastian.
Afini mengangguk. Dia
memeluk emaknya erat.