24
Deringan telefon di atas meja membingitkan telinga Afini. Terasa malas
tangannya mahu mencapai gagang. Tetapi memandangkan hanya dia sahaja yang masih
berada di bilik itu, tepaksa jua dia menjawab panggilan yang entah daripada
siapa. “Helo. Nak bercakap dengan siapa?”
“Woi! Afini, kau tak keluar lagi ke? Aku dah
lama tunggu kau dekat bawah ni. Cepatlah sikit!”
Alamak! Afini terlupa langsung yang dia ada temu
janji dengan Siti. Dia meletakkan semula gagang ke tempatnya dan mencapaihandbag sebelum mengatur
langkah.
“Kau nikan. Geram aku! Suruh aku jangan lambat.
Tapi kau tu yang terhegeh-hegeh,” bebel Siti setelah menyedari kehadiran Afini.
“Sorrylah. Aku banyak kerja tadi. Sampai lupa yang aku ada janji dengan
kau,” pujuk Afini seraya memaut lengan Siti.
“Kau memang... selalu buat aku macam ni. Kau tau
tak, aku dah jadi patung cendana dekat sini sebab tunggu kau.”
“Alah… janganlah merajuk. Okey, oleh kerana aku
yang salah, hari ni aku belanja kaulunch.” Di saat telinga Siti menangkap perkataan belanja, cepat sahaja
dia tersenyum.
Siti begitu berselera menjamah makanan. Lapar benar lagaknya.
“Kau takbreakfast ke?” tanya Afini saat melihat Siti tergopoh-gopoh menjamu selera.
Siti menggeleng. Mulutnya penuh dengan makanan.
Sebaik makanan di dalam mulut ditelan, baru dia bersuara. “Aku tak sempat nakbreakfast tadi. Selepas
berumah tangga ni, semua kerja aku yang nak kena buat. Nak harapkan suami aku…
tak berkemaslah rumah. Dapur pun alamatnya tak berasaplah.”
Seingat Afini selama dia bersahabat dengan Siti,
jarang benar sahabatnya itu berbicara tentang suaminya itu. Baik sebelum atau
selepas mendirikan rumah tangga. Cuma apa yang dia tahu, Siti mengenali
suaminya itu semasa mereka sama-sama menghadiri satu seminar di Terengganu.
Bermula detik itulah, cinta mula berputik di hati mereka sehingga mekar ke alam
perkahwinan. Lebih daripada itu, dia sendiri tidak tahu bagaimana sikap dan
tingkah laku lelaki yang bernama Zaid itu.
Siti mengeluh. “Kadang-kadang aku penat dengan
sikap suami aku tu. Kau bayangkan, satu kerja rumah pun dia tak nak tolong.
Kerja sama-sama, tapi bab buat kerja rumah semua aku yang nak kena buat.”
Afini
hanya diam.
“Afini… kadang-kadang aku jadi betul-betul
tertekan. Dulu masa bercinta, bukan main manis lagi dia berjanji itu, berjanji
ini dengan aku. Tapi bila dah kahwin, semuanya tak sama dengan apa yang dia
janjikan. Aku penat Afini.”
Afini menggenggam jari jemari Siti untuk
menyuntik sedikit kekuatan. Tiba-tiba dia teringat Yus. Sikap Zaid dan Yus jauh
berbeza. Lelaki yang sudah bergelar suaminya itu tidak suka menabur janji
tetapi apa yang dikatakan akan diusahakan sehingga berjaya. Dari segi kerajinan
pula memang tiada tandingannya.
Semenjak dia duduk sebumbung dengan Yus, hanya
beberapa kali sahaja dia mengambil tugas sebagai tukang masak. Kebiasaannya,
Yus lebih suka memasak sendiri. Tidak dia nafikan, skill memasak suaminya itu
memang lebih hebat berbanding dirinya.
Mengemas rumah pula, Yus lebih pantas
melakukannya sendirian. Ketidakhadiran seorang wanita yang bergelar mama dalam
hidup Yus semenjak usianya tujuh tahun itulah yang telah mendorong lelaki itu
untuk lebih peka terhadap perkara-perkara seperti ini.
“Siti, aku tak tahu macam mana nak komen pasal
suami kau. Tapi, apa yang aku boleh cakap, ada baiknya kau berbincang secara
baik dengan dia tentang perkara ni.”
“Bukan setakat berbincang, dah bertekak pun.
Tapi suami aku tu jenis buat bodoh aje bila aku marah dia. Sakit hati aku!
Macam pagi tadi, bukannya dia tak nampak aku tengah kelam kabut bersiap nak
pergi kerja. Apa salahnya bancuh kopi sendiri! Ni tak, nak tunggu aku jugak!”
‘Nasib baiklah Yus tak macam tu,’ bisik hati
Afini.
“Kau kena banyak bersabar. Biasalah, semua orang
tak sempurna. Masing-masing ada kekurangan,” nasihat Afini.
Senyap seketika suasana antara mereka.
Dalam diam, Siti menerima kata-kata Afini
sebentar tadi sebagai kata sandaran untuk menyabarkan dirinya dalam menghadapi
masalah ini.
“Kau dengan Yus macam mana? Ada masalah?” tanya
Siti.
“Macam tu ajelah. Nak kata tak okey, tak jugak.
Nak kata okey… entahlah. Tapi sekarang ni yang merunsingkan aku bukan Yus.”
“Habis, siapa?”
“Zack,” jawab Afini, lambat.
“Zack? Kenapa dengan Zack?”
“Entahlah. Semalam aku jumpa Zack… dia lain…”
“Lain macam mana?” potong Siti.
“Dia… dah tak ceria macam selalu. Maksud aku,
dia dah lain. Tak macam dulu. Senyum pun macam terpaksa. Aku rasa dia ada
masalahlah,” kata Afini.
Siti yang mendengar kata-kata Afini itu terdiam
dan termenung sebentar. “Patutlah…”
Perkataan yang dituturkan oleh Siti walaupun
dalam nada yang rendah dapat jua ditangkap oleh telinga Afini. “Patutlah apa?”
Saat Afini bertanyakan soalan itu, Siti cepat sahaja memandang ke arahnya.
Pandangan Siti bagai ingin menceritakan sesuatu.
“Kau tahu tak Afini. Dua hari lepas aku dengan
Zaid pergi beli barang dapur dekat Tesco. Kau teka aku nampak siapa?”
“Siapa?” tanya Afini tidak sabar. Otaknya tidak
dapat memikir siapa yang ditemui Siti.
“Zack dan Has!”
Membulat mata Afini mendengar nama pasangan
kekasih itu.
“Aku jumpa dia orang masa dekat tempat letak
kereta. Waktu tu aku dengan Zaid nak balik dah. Masa aku sibuk punggahkan
barang dalam troli ke bonet kereta, tiba-tiba aku dengar suara orang menjerit.
Mulanya aku tak ambil peduli. Tapi bila aku dengar betul-betul suara orang yang
tengah bertekak tu. aku terus toleh ke belakang. Waktu tulah aku nampak Has
tengah menjerit pada Zack. Lepas tu boleh pulak Has tolak badan Zack sampai nak
terjatuh pun ada aku nampak.”
“Lepas tu?”
“Lepas tu, entah macam mana Has dan Zack
terperasan aku tengah perhatikan dia orang. Zack nampak macam serba salah. Aku
nampak Zack mengalah. Bila Has pukul… dia diam aje, tak melawan langsung. Kau
tahukan yang Zack tu betul-betul cintakan Has. Kadang-kadang aku sendiri pun
tak faham, macam manalah lelaki sesempurna Zack tu boleh nekad nak bercinta
dengan Has… sampaikan dia sanggup ketepikan orang sekeliling dia.”
Afini mengerti akan maksud yang ingin
disampaikan oleh Siti. Tapi apakan daya… bila cinta sudah menguasai diri, akal
tidak lagi diperlukan dalam menghakimi baik buruk percintaan.