Home Novel Cinta Anehnya Cinta
BAB 30

30

Anyaman rambut yang dibuat, Afini buka semula. Sudah acapkali dibuat, namun hasil yang diingini tidak jua diperolehinya. Pertama kali melihat May mengikat tocang rambutnya, dia jadi kepingin untuk membuat anyaman rambut seperti itu.

Seingatnya, kali terakhir rambutnya diikat tocang sewaktu dia berada di tingkatan satu. Itu pun kerana emaknya yang buatkan. Nak harapkan dia? Sampai saat ini tangannya masih tidak mampu menghasilkan seni rambut itu.

“Susahnya nak buat tocang,” rungut Afini bersama keluhan kecil. Matanya masih ditumpukan ke cermin.

“Buat apa tu?”

Hampir gugur jantung Afini disapa Yus. Entah bila lelaki itu berada di belakangnya.

“Tak… tak ada apa-apa. Hmm… you pergilah makan. I dah siapkan sarapan,” jawab Afini, gugup.

“You tak jawab lagi soalan I. You tengah buat apa? Dari tadi I tengok you sibuk dengan rambut you. You nak buat tocang ke?”

Afini sekadar mengangguk.

“You tak reti nak ikat tocang ke?”

‘Banyak mulut pulak mamat ni. Pergi ajelah makan! Dahlah aku tengah bengang ni,’ gumam hati Afini sedangkan lidahnya masih lagi diam.

Melihat Afini masih membisu, Yus kian menghampiri isterinya itu. “Pusing belakang,” arahnya.

“Nak buat apa?” soal Afini, ingin tahu.

“You ni, I suruh pusing, pusing ajelah. Degil.” Yus lantas memusingkan badan Afini. “Bagi I sikat tu,” arahnya persis seorang ayah memberikan arahan kepada anak kecil.

“You nak buat apa?”

Yus tidak mengendahkan pertanyaan Afini. Pantas sahaja dia merampas sisir rambut yang sedang Afini pegang. Kemudian dia membelai rambut isterinya itu lembut sebelum menyisirnya lurus.

Niat asal untuk menghalang tingkah lelaki itu terbantut saat Afini berasa senang diperlakukan sebegitu.

Setelah siap menyisir rapi, Yus menjuraikan rambut Afini di bahu kiri isterinya itu dan serta merta tangannya menghentikan sentuhannya. Agak lama tingkahnya terhenti.

Afini yang mulai curiga lantas mengalihkan pandangannya ke arah cermin. Serta merta jantungnya berdegup kencang sehingga menghadirkan debaran yang hebat di dada dan menyerbukan darah ke muka. Yus sedang memandang ke arah lehernya. Dia tahu erti pandangan itu. Dadanya kian dilanda tsunami tatkala melihat Yus menelan liur dan kini lelaki itu cuba untuk mencumbui lehernya seperti malam itu.

Tidak! Afini tidak akan membiarkan peristiwa itu berulang semula! “You buat apa ni?!” sergah Afini lantas berpaling menghadap Yus.

Bagaikan baru tersedar, Yus meraup wajahnya berserta keluhan. “I… minta maaf. I… tak ada niat.”

Malas untuk mendengar alasan lelaki yang telah pun menghadirkan rasa takut di dalam dirinya, Afini pantas mengatur langkah untuk menjauhi Yus.

Namun, belum sebelum Afini meneruskan niatnya itu. Yus terlebih dahulu memaut lengannya dan sekali lagi dada Afini memainkan gendangnya. Ketakutan terus menerus menguasai diri Afini dan peristiwa malam ‘itu’ sekali lagi bermain di tabir matanya.

“Afini…” Lembut Yus memanggil nama insan yang amat dicintainya itu.

Afini suka nada itu digunakan untuk memanjakan dirinya. Tetapi dia tidak akan tertipu untuk kedua kalinya! “You nak apa! Kalau you cuba buat sesuatu, I takkan teragak-agak…” Ayat itu tidak mampu dia habiskan kerana otaknya menjadi beku untuk mencari kata yang sesuai.

“I takkan buat apa-apa. I cuma nak tolong tocangkan rambut you aje.” Sekali lagi Yus memegang lembut bahu Afini dan cuba untuk memusingkan badan isterinya itu.

Afini yang tidak mahu mengambil sebarang risiko mengeraskan tubuhnya agar lelaki di hadadapannya ini mengerti yang dia tidak memerlukan perkhidmatan lelaki itu. “Tak payah. I tak nak you tocangkan rambut I.”

“Kalau you tak nak pusing belakang dan tak izinkan I tocangkan rambut you, tak apa. Tapi jangan salahkan I kalau…”

“Kalau apa?” soal Afini, pantas setelah melihat Yus kian berani merapatkan wajahnya.

Saat ini hanya senafas sahaja lagi muka mereka akan bertemu dan Afini dengan pantas cuba menjauhi diri Yus. Namun tingkah Afini terkunci apabila Yus terlebih dahulu merangkul pinggangnya.

Afini kian ketakutan. Dadanya sudah tidak mampu menahan debaran. Kian kuat gendang irama yang teralun. Terasa sakit dadanya saat ini. ‘Ya Allah... bantulah aku.’ Doanya di dalam hati.

“Kalau you tak bagi I buat apa yang I nak buat, I akan tuntut ‘hak’ I.”

Dada Afini kian berdebar. “Nak tuntut ‘hak’ you?” Dia pantas menggeleng laju. Sungguh! Dia tidak mahu dilakukan seperti apa yang dikatakan oleh lelaki kejam di hadapannya ini. Andailah dia memiliki kuasa luar biasa, pasti sudah dilenyapkan Yus dari muka bumi ini untuk selama-lamanya.

“Kalau tak nak, jangan melawan.”

Saat ini tubuh Afini telah pun membelakangi Yus. Jari jemari Yus mula memainkan peranannya. Dibelai dan disisir sekali lagi rambut Afini sebelum dianyam menjadi seni rambut yang Afini inginkan.

Cantik! Itu perkataan pertama yang terdetik di hati Afini saat melihat hasil seni Yus menerusi cermin yang berada di ruang tamu itu. Tocang yang dihasilkan oleh Yus begitu sempurna. Setiap helaian rambut Afini dijalinkan antara satu sama lain sehingga menghasilkan satu anyaman yang begitu kemas dan cantik.

“Cantik.” Tanpa sedar Afini memuji. Terbang jauh ketakutan yang tadinya bermukim di hatinya.

Yus sekadar tersenyum.

“Mana you belajar?” soal Afini ingin tahu. Dia tidak menyangka lelaki sehebat Yus mampu menghasilkan seni rambut yang begitu sempurna. Mengalahkan dirinya yang sememang tidak tahu langsung. Malu pun ada.

“Masa I belajar dekat UK dulu. I duduk serumah dengan kawan I. Setiap pagi dia ikat tocang rambut dia.So, dari situlah I belajar.”

“You duduk serumah dengan perempuan?” Lancang mulut Afini bertanya.

“Tak adalah. You ingat I ni apa?” sedikit berang Yus berbicara.

“Manalah tahu,” perli Afini.

“You nikan dahlah tak reti nak ucapkan terima kasih, fitnah I lagi. I bukan duduk serumah dengan perempuan, tapi lelaki.”

“Takkan lelaki tocang rambut?” soal Afini lagi, kian pelik.

“Dia… mak nyah.”

Kenapalah dia boleh terlupa akan status gay yang dipegang oleh Yus? Pastilah mak nyah yang dimaksudkan oleh Yus itu adalah ‘teman wanitanya’. Dia sangka, Jeff insan pertama yang bertakhta di hati Yus. Tetapi ternyata sangkaannya itu meleset.

“Jombreakfast,” ajakan Yus itu mengembalikan Afini ke alam nyata.

“I puasa hari ni. You makanlah. I dah sediakan air kopi dengan roti bakar untuk you.”

“Roti bakar aje?”

‘Eh, mamat ni! Kira baiklah aku bagi kau makan roti bakar. Kalau aku bagi makan roti yang dah berkulat baru kau tahu!’ marah Afini.

Yus sudah pun mengambil tempat di meja makan sambil tangganya laju menjamah apa yang isterinya itu sediakan.

Afini yang turut mengambil tempat di hadapan Yus, masih berkira-kira untuk meluahkan apa yang sedang difikirkannya tika ini.

“Nak cakap apa?”

Afini terus memandang wajah Yus saat lelaki itu bertanyakan soalan. Tahukah Yus apa yang sedang dia fikirkan saat ini?

“Kalau muka you macam tikus mondok tu, maknanya adalah benda yang you nak cakap dengan I. Apa dia?”

‘Tikus mondok? Muka aku yang cantik macam bidadari ni dikatakannya tikus mondok? Kurang ajar punya gay!” Sempat lagi dia membebel di dalam hati.

“Hmm… you tahukan hari ni I puasa. Jadi… apa kata kalau you belanja I makan untuk berbuka puasa nanti?”

“I belanja you? Cik Afini yang cantik jelita, bukan ke you yang sepatutnya belanja I. Dahlah I tolong you tocangkan rambut. Terima kasih pun tak ada. Tup… tup... I pulak yang nak kena belanja you.”

“Alah. Bukannya I tak nak belanja you. Masalahnya you tu bukannya nak makan dekat restoran biasa. Nak yang adaair-cond. Dahlah gaji belum masuk,” perli Afini..

Yus tersenyum. “Okeylah.... You pilihlah you nak berbuka dekat mana nanti. Tapi ingat! I nak tempat tu mesti adaair-cond dan paling penting tempat tu bersih.”

Afini mengangguk.

Selesai makan Yus bangkit untuk membasuh piring dan cawan yang digunakan.

“Eh, ttak payah. Biar I buat.” Pantas Afini mengambil apa yang dipegang Yus. Kalau bukan kerana mengharapkan apa yang dirancangnya malam nanti menjadi nyata, tak ingin dia menjadi kuli batak lelaki yang masih memandang pelik ke arahnya itu.

“Kenapa you baik sangat hari ni?” tanya Yus.

“Mana ada. Bukan hari-hari I macam ni ke?” Afini pantas mengatur langkah ke arah singki agar Yus tidak dapat menghidu akan muslihatnya. Selesai mencuci, dia berpaling menghadap Yus yang masih duduk di meja makan.

“Yus… terima kasih.”

“Terima kasih?” ulang Yus.

“Tocangkan rambut I. Cantik.” Afini pusingkan semula tubuhnya sesudah mengakhiri kata-kata itu dan dia sendiri tidak tahu apakah reaksi muka Yus saat ini. Senyum atau…

Setelah yakin telah masuknya waktu Maghrib, Afini membaca doa berbuka puasa berserta doa makan. Terasa dingin tekaknya dibasahi jus tembikai. Kesejukan minuman ini menambahkan lagi keenakan rasanya. Dia tersenyum puas. Tiba-tiba terdengar tawa kecil lahir di bibir lelaki yang sedang memandang ke arahnya.

“Kenapa you ketawa?” tanyanya sambil menyuap makanan ke mulut.

“Tak ada apa-apa. Comel you senyum macam tu. Ni you puasa nazar ke apa ni? Yalah siap berbuka dekat Hotel Shangri-La lagi?”

“Perli nampak. Kan you yang kata. Tak nak tempat kotorlah. Nak adaair-condlah.So, inilah tempat yang paling sesuai untuk lelaki yang cerewet macam you. Untuk pengetahuan you, I ganti puasalah.”

Afini masih meneruskan suapan. Tetapi saat mindanya memikirkan tentang apa yang dirancangkannya malam ini, dadanya mula berdebar. Dia memandang ke arah Yus. Nyata lelaki ini kelihatan tenang. Adakah ketenangannya itu akan kekal? “Yus… Hmm… kalau…”

“Kalau apa?”

Entah mengapa Afini berasa takut untuk meneruskan kata-kata yang tersekat di kerongkongnya. Takut untuk mengambil risiko. Dia menggeleng.

Yus tersenyum. “Cakap ajelah. I tak makan oranglah.”

‘Memanglah sekarang kau cakap, kau tak makan orang. Tapi kalaulah kau tahu apa yang akan berlaku sekejap lagi, mesti kau cincang aku hidup-hidup.’ Terasa ngeri membayangkan kemungkinan yang dinyatakan oleh hatinya itu. Serta merta tekaknya terasa haus. Cepat Afini mencapai gelas dan meneguk airnya.

“You ni kenapa Afini? Dari pagi tadi lagi I tengok you lain macam aje? You ada sembunyikan sesuatu dari I ke?”

Hampir tidak mampu Afini bernafas saat ini. Segala sangkaan Yus tepat belaka. “Tak ada apa-apa. You tak nak makan ke? Dari tadi you asyik tengok I makan aje. Bukannya boleh kenyang pun.” Afini cuba mengalih topik.

“Siapa kata pandang you tak boleh buat I rasa kenyang?” Kali ini Yus sudah pun memandang penuh romantik ke arah Afini.

Tertelan liur Afini dibuatnya. ‘Ya Allah… andailah lelaki ini tahu apa yang sedang berlaku di luar pengetahuannya, adakah dia masih sudi memandang Afini seperti itu?’

“Afini…” Kian lembut nama Afini dipanggil. “Kalau I katakan… yang I ni bukannya seorang…”

Afini masih menanti penuh debaran ayat akhir yang ingin diucapkan oleh Yus. Kali ini debarannya berkali ganda mengetuk dadanya sehingga menghadirkan rasa sakit saat matanya terpandang sesuatu. Ya! Saatnya telah tiba!

‘Ya Allah... kau bantulah aku dalam menjayakan rancanganku. Andai kegagalan yangku temui, kau kuatkan hati dan semangatku untuk menempuhi sebarang kemungkinan. Amin...’

“Kalau I katakan yang I ni sebenarnya…”

“Yus...”

Serta merta riak wajah Yus yang tadinya begitu lembut dan romantik bertukar terkejut. Terlihat bunga-bunga kebencian dan kemarahan pada wajah lelaki itu tika ini. Dia pantas menoleh ke arah wanita yang sedang memanggil lembut namanya. Kini dua orang insan yang saling mempunyai pertalian darah yang kuat bertemu muka.

Terpamer riak kerinduan dan kegembiraan di wajah Datin Nur Kamiilah saat dirinya berdepan dengan insan yang amat dirinduinya.

Yus mendengus kasar. Jelas riak kebencian dimukanya. Mukanya memerah menahan marah.

“Yus… mama rindu Yus.”

Saat Datin Nur Kamiilah ingin menyentuh pipi anak lelakinya itu, Yus pantas menangkis tangan wanita itu kasar. “Siapa anak kau? Sedar sikit siapa diri kau tu! Untuk pengetahuan kau, kau tak layak nak gelarkan diri kau mama aku! Perempuan jahanam!”

Terkejut Afini mendengar kata-kata Yus. Dia tidak menyangka Yus sanggup mengeluarkan kata-kata yang begitu kesat kepada insan yang telah melahirkannya ke muka bumi ini. Walau sebesar manapun kesalahan wanita itu, Yus tidak sepatutnya menuturkan itu semua.

“Kau dengar sini! Aku bukan anak kau! Mama aku dah lama mampus!”

“Yus… sampai hati Yus cakap macam tu dengan mama…” Air mata Datin Nur Kamiilah sudah mula mengalir.Tidak dihiraukan lagi pandangan orang sekeliling yang memandang ke arah mereka untuk mengetahui apakah yang sedang berlaku.

“Sampai hati?! Ayat tu sepatutnya kau tujukan pada diri kau! Waktu kau menggatal dulu, kau campak aku dengan papa macam kain buruk! Sekarang kau nak aku terima kau semula? Kau ingat senang-senang aku nak lupakan semua tu?!” tengking Yus kuat.

Datin Nur Kamiilah kian dihambat rasa sedih. Tangisannya makin kuat.

“Kalau ikutkan hati aku! Nak aje aku bunuh kau!”

“Yus!” Tanpa sedar, Afini sudah menjerit memanggil nama lelaki yang kian lancang mengeluarkan kata-kata kesat. Tidak sanggup lagi rasanya, membiarkan Yus mencederakan hati wanita yang diundangnya ke sini bagi memenuhi impian wanita itu untuk bertemu dengan anak kesayangannya.

“Cukup. Kita balik,” pujuk Afini sambil menggenggam jari jemari Yus. “Kita balik.” Kali ini kian lembut Afini menuturkan kata-kata.

Afini yakin hanya kelembutan yang mampu meredakan sedikit api kemarahan yang dinyalakan oleh syaitan. Melihat Yus tidak bersuara, Afini menarik tangan Yus menjauhi wanita yang masih memandang simpati dan belas ke arahnya itu. Bukan Afini tidak berasa kasihan atau belas terhadap dirinya. Tetapi untuk saat ini, dia sendiri tidak mampu untuk berbuat apa andai Yus masih tidak mahu menerima wanita itu.

Previous: BAB 29
Next: BAB 31

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.