Home Novel Cinta Semanis Derita, Sepahit Bahagia
17.1

Hari ini, sepatutnya nyaman dan tenang seperti selalu telah bertukar menjadi bahang. Boleh hangus jadinya. Tanpa disangka-sangka, telah datang tetamu tidak diundang. Tidak cukup satu, dua masalah datang menimpa sekaligus. 

Terasa sesak nafas, walaupun udara segar berlegar di sekitar kantin. Mengapalah pak su, boleh bersetuju dengan cadangan perjumpaan ini?

“Yana.”

Dayana masih membisu. Pemuda duduk di depan, tidak mampu untuk dipandang apatah lagi dikerling. Mata hanya statik, memandang ke bawah. Kaki bersarung sepatu hitam, ditenung tanpa rasa jemu hingga naik juling mata dibuat. Haish!

“Abang minta maaf sebab datang mengejut macam ni.”

Senyap.

“Arwah mama tinggalkan pesan, suruh cari Yana.” Berhenti seketika, memandang sekilas gadis yang masih lagi diam membisu.

Dayana memejamkan mata. Pelupuk mata terasa hangat tiba-tiba. Mak Cik Maznah. Terkenangkan kelembutan sahabat emak, penuh dengan sifat keibuan sangatlah terkesan di hati. Sebak sebaik mendapat tahu tentang pemergian Mak Cik Maznah akibat serangan jantung.

“Yana jangan salah faham dengan kedatangan mengejut abang.” Badrul mengerling. Pilihan mama, tidaklah mengecewakan. Badrul perasan dengan perubahan Dayana. Nampak semakin cantik dan manis. Kulit juga semakin cerah.

“Maaf kalau buat Yana tak selesa. Abang, nak tunaikan hasrat mama...” Badrul mengerling lagi. Tiada sebarang penyesalan baginya berjumpa Dayana hari ini. Telah lama berniat, asyik tertangguh. 

Dia dan mama pulang menunaikan umrah kira-kira dua tahun lepas. Sebaik mendapat berita tentang kematian Puan Zakiah, arwah mama diserang penyakit jantung dan strok hingga lumpuh sebelah badan. Dialah menjaga mama hinggalah mama menghembuskan nafas terakhir.

“Abang akui. Dulu, abang tak berapa berkenan bila mama bangkitkan pasal Yana.”  

“Jadi?” Bersuara juga Dayana.

“Sejak kebelakangan ni, abang dapat rasakan sesuatu.”

Dayana menelan air liur kelat. Sudah. Jangan ada satu lagi ulat bulu. 

“Nak apa sebenarnya, ya?” 

Badrul sedikit tersentak.

“Abang... nak tengok Yana.”

“Okey. Dah tengok, kan? Yana sihat. Ada apa-apa lagi nak tahu pasal, Yana?”

Badrul mengeluh halus. Dayana, dingin dengannya. Hajat hati, mahu lebih mengenali. Mahu menjadikan Dayana, insan istimewa dalam hidup. Sejak melihat foto terbaru Dayana setelah puas meminta daripada Sahiman, hatinya benar-benar tertawan. 

“Boleh tak kalau abang, nak tunaikan permintaan arwah mama? Satukan kita?”

Biji mata Dayana hampir tersembul. Terkedu. Perlukah hal sebegini, dibangkitkan sekarang? Sudahlah peperiksaan penting akan berlangsung beberapa hari sahaja lagi. Akalnya perlu berfungsi dengan baik. Parah macam ni.

“Boleh tak, Yana?”

Senyap.

“Abang tak tenang selagi hasrat mama, abang tak tunaikan.” Badrul menoleh sekilas. 

“Yana, setuju?” Jauh di sudut hati Badrul, ‘ya’ jawapan yang diharapkan daripada Dayana.

“Yana terpaksa tolak.” 

Senyap.

“Abang, betul-betul dah jatuh hati pada Yana.” Sudahnya, dia juga seperti Shahiman. Tergila-gilakan seorang budak sekolah. Ah seksanya, apabila lamaran ditolak.

“Yana, bukan pengganti sesiapa.”

“Pengganti? Maksud Yana?” Dahi Badrul berkerut.

“Yana tahu, abang suka Lia, kan?”

“Itu dulu.” 

“Yana tahu, Lia cantik. Yana ni, banyak kekurangan.”

“Jangan cakap macam tu. Yana sempurna. Sempurna sangat. Abang yang buta.” Ingatan Badrul mula menerawang seketika. Adakah Dayana terdengar perbualannya dengan arwah mama dahulu? 

“Yana tak layak untuk abang.” 

Badrul semakin pasti, Dayana telah mendengar semuanya. Perlukah dia menyesal kerana menolak Dayana mentah-mentah dahulu? Jika masa boleh diputarkan kembali...

“Abang...” Badrul terdiam.

“Yana minta abang, faham keadaan Yana sekarang. Yana minta, abang lupakan pasal hal jodohkan kita, boleh?”

Lupakan Dayana? Badrul mengeluh dalam hati. Betapa kuat karisma dan aura si gadis membayanginya selama ini. Mampukah dia?

“Yana minta maaf. Yana tak berdaya. Biarkan Yana hidup dengan tenang. Yana nak corak masa depan sendiri.”

Sepi.

“Yana tak ada niat buat abang terasa. Perjanjian untuk satukan kita, mak Yana tak pernah kata setuju. Lebih baik kita biarkan masa uruskan semua. Kalau takdir jodoh milik kita, takkan ke mana-mana pun. Kita, tetap akan bersatu.” 

Badrul mati akal. Walaupun masih muda, hujah banyak kebenaran.

“Harap, abang faham situasi Yana sekarang.”

Senyap.

“Abang doakan Yana berjaya, dunia dan akhirat. Abang takkan paksa Yana. Ada rezeki, kita akan jumpa lagi.” Mengalah juga Badrul dengan gadis bernama Dayana. 

Badrul kemudian bangun. Dengan berat hati mengatur langkah. Jauh di sudut hati, dia mengharapkan keajaiban berlaku. Harapannya, semoga Dayana dapat membuka pintu hati, menerima kasihnya. Mengapa dia tidak mahu mengenali Dayana dahulu? Dia merintih dalam hati.

Dayana hanya mampu menghantar pemergian Badrul dengan pandangan kosong. Perlukah dia merasa lega? Setelah selesai peperiksaan, bagaimana pula nanti? Adakah dirinya akan dikejar lagi? Ditagih untuk menunaikan janji yang tidak dimeterai oleh dua pihak? 

Dia memejamkan mata. Nafas ditarik panjang kemudian dihela perlahan-lahan. Malas, mahu menyaratkan pemikiran dengan hal berbangkit. Lebih baik tumpukan sepenuh perhatian terhadap peperiksaan yang akan dihadapi. Buat tidak kisah dengan semua perkara remeh, lebih baik baginya.

Tidak jauh dari situ, sepasang telinga sedang mendengar seiring dengan sepasang mata, sedang melihat. Saat mendapat tahu berita tentang peristiwa merisik idaman hati, tidak keruan jadinya. Yang merisik pula bukan orang lain, mama kepada sahabat baiknya. 

Arwah mak ngah, tidak pernah pula menceritakan apa-apa apatah lagi Badrul, temannya. Menyesal pula mengikut permintaan Badrul, mahu bertemu Dayana. 

“Abang Iman, tengok apa?”

Spontan Shahiman mengalihkan pandangan. Muka bujur sirih berkulit cerah, dipandang.

“Saja, tengok pagar ni. Kukuh atau tak?” Pagar berdawai hijau digegar lembut.

“Eleh, tengok pagarlah sangat. Tu, dok mengendap orang kat sanalah tu.” Panjang muncung Liyana menghala ke depan.

“Siapa ada kat sana?” Shahiman buat-buat lurus bendul. 

Senyap.

“Abang, nampak sepadankan, Yana dengan kawan abang tu.” Liyana gelak kecil sebaik melihat Shahiman mencebik.

“Sepadan? Nampak macam pak cik dengan anak saudara.” Nada cemburu Shahiman sangat jelas.

Liyana sengih sambil menggeleng lembut berkali-kali.

“Lia tahu tak, pasal hal Yana kena risik?” Segera Shahiman menoleh, melihat reaksi Liyana. 

“Tak.” Liyana memandang tepat ke arah Dayana nun di sana. 

Berkerut kening Liyana setengah jam lepas sebaik mendengar cerita tentang Dayana pernah dirisik. Semakin pelik kerana masih berpanjangan. Yalah, hampir dua tahun berlalu dan pemuda bernama Badrul sanggup ke sini semata-mata mahu bertemu Dayana. 

“Arwah mak ngah, tak pernah cerita kat Lia pasal hal ni?” Sedikit hampa dengan gelengan Liyana. Adakah Dayana akan menerima lamaran ini? Dia sedikit tertekan. Mata, masih terus memandang muka di depan sana.


Previous: Bab 17
Next: 17.2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.