Home Novel Cinta Semanis Derita, Sepahit Bahagia
Bab 3.2

"Okey semua. Cikgu Amnah minta kita berkumpul kat depan perpustakaan sekarang. Jom, gerak." Selaku ketua kelas, Irshad memberikan arahan.

Apa lagi, nama pun arahan haruslah dipatuhi dan kini mereka sekelas sudah berdiri terpacak di hadapan perpustakaan sekolah.

“Mesti awak semua terkejut, kenapa saya suruh ke sini?” Sempat lagi Cikgu Amnah menilik muka-muka sedang terpunga-pinga di depan.

“Sebenarnya,hari ni, giliran kelas kamu pula buat rondaan,” Cikgu Amnah menyambung.

Barulah mereka faham lalu bersorak serentak. Maksudnya, program gotong-royong mengutip sampah di sekeliling sekolah. Setiap kelas dan tingkatan akan lakukan aktiviti yang sama mengikut giliran. Mereka semua bergerak mengikut kawasan ditetapkan. 

Dayana tertarik dengan serumpun bunga di tepi padang. Langkah, pantas di hala ke sana.

“Kau ni. Cikgu kata, kutip sampah. Yang kau petik bunga tu, kenapa?” Sara merengus halus.

“Kenapa? Salah ke?”

“Kalau bunga ros, tak apalah juga. Ni, bunga lalang.”

“Dah aku suka, nak buat macam mana. Tengok, bila kena tiup angin. Terlentok sana, terlentok sini. Cantik sangat.” Dibuat gaya sedikit gedik untuk menggambarkan rasa teruja kepada Sara sambil mulut meleret senyuman manis untuk tatapan Sara.

“Dah, dah. Jangan cuba goda aku. Tak ada makna apa-apa pun.”

“Alah, memang dah tergodalah tu. Mengaku ajelah.” Dayana tertawa kecil.

Sara menjelir lidah, dia meneruskan kerja. Malas mahu melayan kerenah Dayana. Apa kerja tidak siap nanti.

Terleka Dayana memerhatikan liuk-lentuk bunga lalang di tangan apabila ditiup angin.

Er nah...”

Dayana tersentak. Tidak pula berpaling.

Nah. Saya buat khas untuk awak."

Barulah Dayana berpaling. Terkejut bukan kepalang apabila melihat Irshad sedang berdiri tegak di belakang. Di tangan Irshad pula kelihatan sejambang... bunga lalang? Matanya meluas.

“Dari tadi saya perhatikan awak. Asyik dengan bunga-bunga ni.” Irshad sengih.

‘Nasib kulit aku gelap. Kalau tak, sah-sah nampak merah muka aku. Macam mana tahu aku sukakan bunga ni?’ 

Nahlah,” Sekali lagi Irshad menghulur jambangan bunga lebih dekat.

“Awak demam? Tak ada angin, tak ada ribut, tiba-tiba bagi saya bunga?” Dayana menoleh ke kanan sebaik mendengar suara-suara sedang ketawa.

Hai... malu-malu pula dia. Ambil ajelah, Yana.  Dah orang nak bagi.” 

Dayana menjeling tajam Adibah. Ei, geramnya.

Nahlah, Yana.Lenguh tangan saya ni.”

Dayana mendecit. Kenapalah Irshad buat lawak waktu ni?

“Awak ingat, saya lembu? Boleh makan bunga-bungani?"

Bertambah kuat ledakkan suara sedang gelak di belakang. Dayana semakin kuat menggigit bibir. Kerana geram, mahu membidas Irshad dihentam sahaja dialognya. Sampaikan lembu pun boleh masuk. Walaupun hampir gelak, cuba ditahan.

 “Kalau lembu, dah lama saya tolong suap. Kunyah terus. Tak payah meragut rumput dah. Lagi satu, saya ada suruh awak makan bunga-bunga ni?” Irshad sengih sambil mengangkat sedikit jambangan bunga di tangan.

Toing! Kan dah kena sebiji dan nah dua biji. Dayana menjulingkan mata ke atas. Konon pandai berhujah, akhirnya terkena balik. Gigi diketap.

“Takkan tak sudi terima? Lekaslah, nak tercabut tangan sayani hah.” Langkah dimajukan setapak.

“Apa-apa ajelah!” Muka berbahang. Geram melihat Irshad sengih. Jambangan bunga lalang langsung tidak diendahkan. Tanpa berlengah, Dayana mengatur langkah, meninggalkan Irshad. Entah bagaimana, sebaik sahaja dia berpusing...tengg!

Senyap.

Dayana merasa pening-pening lalat. Tangan kanan sudah menggosok dahi. Parut kecil bertukar kemerah-merahan kian terserlah. Ditekan kawasan yang terasa sengal dengan perlahan-lahan.

‘Sejak bila ada tiang kat sini? Aduh, macam nak pitam. Sakitnya dahi aku. Tahan Yana, tahan.' Semakin laju tangan mengosok dahi yang mula rasa sedikit kebas.

“Tiang pula dia langgar! Macam-macamlah buah hati aku sorang ni.”

Dayana terkedu. Semakin kuat pula dahinya berdenyut. Walaupun perlahan dituturkan, telinganya masih boleh menangkap setiap butir patah perkataan tersebut. Dia menelan air liur.

Ahmad Fahim mendekati. Tangannya cuba menyentuh bahu Dayana.

Eh, tak apa. Saya okey. Boleh bangun sendiri.” Dayana mengelak. Dia kemudian meleraikan pautan pada tiang setelah dapat berdiri dengan seimbang.

‘Nasib baik terhantuk perlahan kalau tak, mahu benjol kepala aku ni.’ Dayana masih menggosok dahi.

“Yana, Yana. Kalaulah saya bagi bunga ros kat awak tadi, rasanya dinding pun awak langgar. Jenis suka gelabah juga awak ni.” Irshad 

‘Kalau bukan kau punya pasal, tak adanya aku langgar tiang ni Irshad oi.'

Ahmad Fahim menjeling Irshad. Patutlah gadis pujaan terlanggar tiang, rupa-rupanya Irshad punya kerja.

Irshad sedar pandangan sinis Ahmad Fahim, lalu dengan pantas membaling bunga di tangan ke tanah. Perlahan-lahan dia sengih sambil angkat jari telunjuk dan jari tengah serentak. 

'Apa motif  Irshad bagi bunga kat pengarang jantung aku? Tak boleh jadi ni! Dia pun, nak mengurat Yana? Habis, aku macam mana? Takkan nak diamkan diri aje?’

Er, Yana. Awak, okey tak?” Irshad gagap.

“Mari, saya bantu awak duduk kat sana.” Ahmad Fahim bergerak mendekati Dayana.

“Tak apa. Saya boleh pergi sendiri. Terima kasih.”

Sara mendekati Dayana tanpa sebarang kata. Tangan Dayana ditarik.

‘Boleh hilang ingatan tak kalau cedera macam ni? Ish, dah biul ke aku? Ya Allah, aku muda lagi. Banyak perkara belum tertunai.’ Dayana mula merepek bukan-bukan. Dalam pada dia sedang menahan sakit sempat lagi sengih tanpa sedar.

“Kau Yana, tersengih-sengih. Nasib tak benjol dahi tu?  Kaki tu, baru nak baik. Ni, kau tambah pula kat dahi. Esok-esok, kat mana pula, tak tahulah aku?” Sara membelek dahi Dayana.

Boleh tahan apabila Sara mula berleter. Dayana hanya menadah telinga. Sepatah pun tidak menjawab. Melarat nanti, susah pula dia. Bimbang pula jika Sara menjadi seperti jenis emak, berleter hingga susah mahu berhenti.

Sepanjang hari, fikiran Dayana asyik teringatkan peristiwa tadi. Sepanjang berada di dalam kelas, dia dapat merasakan Irshad dan Ahmad Fahim sering mencuri pandang. Dia rimas. Kegelisahan semakin berganda dengan ayat, ‘buah hati aku’, terkeluar daripada mulut Ahmad Fahim, masih terngiang-ngiang di telinga. 

Previous: Bab 3.1
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.