Home Novel Cinta Semanis Derita, Sepahit Bahagia
23
Sejak kejadian dua hari lepas, Dayana kurang mesra dengan Ammar Najjah. Seringkali  mengelak sehabis boleh, tidak kira walau di mana sekali pun jika bertembung. Hati, masih sakit. Tiada langsung perkataan maaf, diucapkan kepadanya.

Sanak-saudara sedang berkumpul di ruang tamu atuk. Ada sesuatu, Shahiman ingin sampaikan. Sudah seperti satu majlis sidang media pula. Dayana duduk di atas sofa. Dari jauh melihat susuk suami melangkah menuju ke arahnya dengan senyuman. Pantas mengalihkan muka. Masih menebal sakit di hati. 

Ammar Najjah mengambil tempat di sebelah Dayana. Dengan selamba, memaut bahu isteri. Bertambah erat rangkulan, semakin monyok muka comel isterinya. hanya senyum dalam hati. Bukan tidak mahu memujuk. Nantilah. Bukan isterinya mahu lari ke mana-mana.  

“Apa perkara penting sangat ni, Iman?” Hajah Rokiah menilik muka cucu bertuah.

Shahiman sengih. 

“Lekaslah beritahu. Tadi, beria-ia suruh berkumpul.” Puan Zaleha pula bersuara.

“Macam ni. Iman sebenarnya nak...”

“Nak apa?” Geram pula Puan Salmah dengan ragam lambat anak bertuah.

“Mak. Iman setuju dengan cadangan mak.”

Puan Salmah hampir melompat kegembiraan. Kurang manis pula nanti. Tidak sia-sia usahanya. Memujuk anak bujang tanpa berputus asa.

“Cadangan apa? Salmah, ada apa ni?” 

“Iman setuju. Kahwin dengan Lia, tuk.”

Senyap.

“Betul ni, Abang Iman?” Dayana pandang tepat ke muka Shahiman tanpa berkelip mata. 

“Nampak macam, abang olok-olok?” 

Terdiam Dayana. Pelik? Mengapa secepat ini hati Shahiman berubah? Perlukah mengesyaki abang sepupunya? Ah, mungkin Shahiman benar-benar ikhlas. Untuk apa menghalang kebahagiaan jika memang milik Liyana. Dia sepatutnya bersyukur kerana Liyana akan dijaga oleh saudara sendiri. Darah dagingnya juga.

“Kau serius ni, Iman?” Hajah Rokiah, menilik muka cucu.

“Ya, Iman serius.” 

“Baguslah kalau macam tu. Dah lama, atuk nak suarakan perkara ni. Kau pula Lia, macam mana?” Hajah Rokiah juga turut teruja dengan berita tersebut. Bolehlah menarik nafas lega selepas ini.

“Lia, ikut aje.” Lantas menundukkan muka cantiknya. 
Liyana sangat bersyukur. Dayana, selalu menjadi penghalang. Kini, boleh menarik nafas lega kerana tembok penghalang telah runtuh. Tidak perlu risaukan apa-apa lagi. Hanya perlu mencorak masa depan dengan lelaki menjadi idaman.

“Kami semua, tak ada halangan. Asalkan, kau jaga Lia baik-baik. Mak long dengan pak long, restui hubungan ni.” Puan Zaleha juga gembira. Tambah melegakan hati, saudara terdekat juga. Maka, tidak perlulah bimbang dengan nasib Liyana.

“Jadi, tunggu apa lagi. Cepatkanlah majlis tunang budak berdua ni.”

“Salmah setuju sangat, mak.”

“Jangan bertangguh. Kau, bila habis belajar Iman?” 

“Lagi satu semester, tuk. Bagi Iman tempoh paling lama, dua tahun.”

“Iyalah. Nama aje dua tahun. Cukup belanja, kita terus buat kenduri. Tak elok bertunang lama-lama.” Hajah Rokiah kemukakan pendapatnya.

“Iman faham, tuk.”

Puan Salmah senyum. Impian mahu menyatukan Liyana dengan Shahiman, berjaya juga tanpa perlu bersusah payah melaksanakan apa-apa rancangan. Selama ini, dia mahu menjarakkan hubungan anaknya dengan Dayana. Sudah lama berkenankan Liyana yang cantik, menjadi menantunya. 

“Yana, setuju tak?” Shahiman memandang muka yang sering menggalaukan hati. Bertekad, cuba menukar perasaan cinta terhadap Dayana, kepada sayang seorang adik.

“Orang, ikut aje. Kalau dah semua setuju, buat apa nak bantah. Bahagiakan Lia, ya bang.” 

“Abang akan jaga Lia dengan baik.”  

“Berbiraslah kita, Abang Iman.” Ammar Najjah pamer senyum kelegaan.

Shahiman membalas dengan senyuman kelat.

“Kalau dah tak ada apa-apa, Yana minta diri dulu. Nak kemas beg. Esok, dah nak bertolak balik rumah Ammar.”  

Dayana bangun. Mengatur langkah, meninggalkan sanak saudara. Biarlah, mereka meneruskan perbincangan. Bukan apa, malas mahu melayan tangan merenyam Ammar Najjah. Sekejap memaut pinggang, meramas tangan. Tidak selesa. Sudah beberapa kali matanya menjegil. Ammar Najjah, tetap dengan lagak selamba. Memang tidak makan saman betul.

Selesai mengemas pakaian, Dayana berbaring di atas katil. Aman hidup jika dapat berseorangan. Dia menghela nafas panjang. Mata dipejam. 

“Mengeluh panjang, nampak.” 

Dayana tersentak. Bingkas bangun. Bersila di atas katil.

“Marah lagi?” Ammar Najjah duduk. Muka kejung di sebelah, menjadi tatapannya. 

“Saya, minta maaf.”

Senyap.

“Tak terlintas langsung niat di hati nak sakiti awak, Yana.” Ammar Najjah mengeluh dalam hati. Hampa sedikit dengan respon kaku Dayana. Payah dipujuk.

“Yana. Maafkan saya. Tak tahu, apa tak kena dengan saya hari tu.”

Senyap.

“Jangan seksa saya macam ni, Yana. Saya betul-betul, minta maaf. Saya janji akan cuba kawal cemburu saya. Saya, takkan buat lagi.” 

Dayana memandang sekilas. Hati, mulai cair apabila memandang muka bermata redup. Dia perlu kentalkan hati. Enggan, memberikan kemenangan mudah kepada Ammar Najjah. Sebetulnya, hati masih sakit dengan insiden tempoh hari. 

“Saya janji, saya takkan buat lagi. Percayalah.” Semakin bersungguh-sungguh Ammar Najjah memujuk.

Senyap.

“Yana, awak nak saya buat apa, untuk awak maafkan saya?” Ammar Najjah semakin tidak keruan. Betapa payah mahu meraih kemaafan daripada Dayana. Bagaimana dia boleh terlupa, kekerasan hati Dayana sebelum ini?

“Saya betul-betul minta maaf, Yana.” 

“Janji. Tak buat lagi. Kalau jadi lagi, saya lari nanti.” Dayana akhirnya membalas dengan sejemput senyuman. Kerana rimas dipujuk rayu. Bukan untung apa-apa pun memanjangkan pergaduhan.

“Saya janji.” Bukan senang mahu mendapatkan Dayana. Akan dipastikan bahawa tiada sesiapa pun terutama kaum lelaki, mendekati isterinya. Bukan tidak percayakan isteri, lelaki di luar sana yang dikhuatirkan.


“Cemburu tu, penting, Ammar. Tapi janganlah sampai cemburu buta. Yang tu, bahaya.” Dayana risau jika Ammar Najjah terlalu obses dengan sikap cemburu. Pasti akan mengundang bala kelak jika tidak ditanggani dengan baik. 


Malas mahu memanjangkan marah. Bukan ada kerugian jika dia memaafkan Ammar Najjah. Mana ada manusia yang sempurna di dunia ini. Dayana selalu berdoa, moga ada sinar bahagia menantinya. 


Previous: 22.1
Next: 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.