Home Novel Cinta Semanis Derita, Sepahit Bahagia
20.2

Ammar Najjah melangkah menuju ke bilik. Tombol pintu dipulas. Dia melangkah masuk senyap-senyap, mendekati Dayana sedang terlena secara duduk di sisi katil. Dia duduk. Mata, menatap lama muka ayu di depan. 

Rambut ikal mayang mengurai cuba disentuh tetapi terpaksa membantutkan niat. Jika waktu mampu dihentikan, sekaranglah masanya. Biarlah begini. Andai Dayana terjaga, hanya amarah akan dia hadap. Namun, apakan daya. Dia tidak punyai kuasa.

Tangan hanya dilayang-layang di muka isteri tanpa bersentuhan. Cantik. Dia menatap muka Dayana puas-puas. Apabila Dayana terjaga, tiada lagi kesempatan begini. Tidak tahulah, sampai bila perlu dihadap kebencian dan kemarahan Dayana? Entah bila, cinta Dayana akan diperolehi? Dia memejam rapat mata.

Dayana rasa terganggu. Terasa hembusan nafas suam menyapa muka. Lantas membuka mata. Bulat-sebulatnya biji mata bereaksi. Haba panas menyerbu ke muka langsung ke hati.

“Awak buat apa ni?”

Ammar Najjah terkejut. Spontan membuka mata. Air liur, ditelan sepayah mungkin sebaik melihat muka marah di depan. Pantas bangun. Entah macam mana, boleh terhantuk pula kepalanya ke dahi Dayana.

“Apa ni? Sakitlah!” Laju tangan Dayana hinggap ke dahi lalu digosok laju. Kemudian, anak mata membesar sebaik kepala disentuh.

“Awak keluar?” Matanya memandang ke arah tudung di atas katil. 

Tanpa menunggu lama, Dayana meluru. Mahu mengambil tudung. Terlupa pula. Oleh kerana kepalanya sakit, dia terpaksa membuka tudung. Tidak sangka boleh terlena pula.

“Awak, dah halal untuk saya, Yana.” Tangan lembut itu digenggam kemas.

Dayana merentap tangan. Semakin kuat pula genggaman Ammar Najjah. Panas hatinya.

“Boleh tak lepaskan tangan saya ni?” Marah sehabis usaha disalurkan ke mimik muka.

“Tak ada salahnya pun. Saya pegang tangan isteri saya.” 

Dayana merengus. Ammar Najjah, kian melampau. Sehabis kasar, tangan direntap dan  berjaya. Bergegas ke katil, menyambar tudung. Secepat kilat, menyarung tudung. 

“Maafkan saya, Yana.” Ammar Najjah menghela nafas. 

“Saya tak suka awak buat perangai macam ni.” 

“Yana, apa perlu saya buat supaya awak maafkan saya?”

“Ceraikan saya!”

Senyap.

Menggigil tubuh Ammar Najjah bukan kerana geram. Dia memejam mata. Menarik nafas dalam-dalam, menghembus perlahan kemudiannya.

“Yana, jangan cakap macam ni lagi. Saya betul-betul minta maaf atas apa yang jadi. Tolong, jangan ungkit lagi pasal ni.”

“Kenapa? Kita takkan bahagia, Ammar. Lepaskan saya.”

“Yana. Duduk dulu. Dengar penjelasan saya.”

Enggan mengikut arahan. Dayana memeluk tubuh sambil berdiri.

“Yana, marahlah saya. Makilah saya. Cuma, satu saya minta daripada awak. Tolong terima mak dan ayah saya.” Ammar Najjah sudah habis daya memujuk. Kedegilan Dayana, berapa lama lagikah perlu dia hadap?

Dayana merengus.

“Sebenarnya, mak saya dah mula terima kehadiran awak. Mak sengaja berlakon bencikan awak untuk buat saya mengaku kesalahan. Yana, saya dah terangkan semua pada mak.”

“Jadi, awak nak suruh saya buat apa? Senyum? Maafkan awak? Terima awak bulat-bulat lepas awak mengaku salah?” 

“Bukan macam tu maksud saya. Bagilah peluang untuk saya tebus kesalahan. Bahagiakan awak, Yana.”

Dayana senyum mengejek.

“Peluang? Bahagiakan saya? Lepas awak khianati saya?”

Ammar Najjah menarik nafas panjang. Amarah Dayana, bukan senang mahu dikurangkan apatah lagi dihilangkan.

“Yana, mak tunggu kat dapur. Awak, mesti lapar. Mari.” Ammar Najjah perlu beralah. Dalam keadaan begini, tidak perlulah menambah minyak ke dalam api.

Dayana memejam mata. Nafas ditarik panjang dan dihembus perlahan. Pantas berpaling, membuka langkah. Sesak, lemas. Lama-lama duduk sebilik dengan Ammar Najjah, boleh meletup jantungnya. Mengalah, bukan perkara memalukan. 

  


Previous: 20.1
Next: 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.