Home Novel Cinta Semanis Derita, Sepahit Bahagia
16

“Hai, Yana!” 

“Opocot hantu raya!” 

Syifa gelak dengan kuat.

“Kau ni, Syifa. Pantang keturunan aku kena sergah. Nak kena hempuk?” Mata Dayana mengecil.

“Sorrylah. Aku lupa, Yana.” Syifa buat muka kesian.

“Lupa, lupa! Gugur jantung aku ni, kau kutip balik.” 

“Ada pula macam tu?” Syifa sambung gelak. Dayana suka buat lawak dengan mimik serius.

“Kalau tak, macam mana aku nak hidup?” 

“Banyaklah songeh kau, Yana. Aku lupa, kau tu, melatah. Ingatkan, lepas bertapa kat kampung, latah kau hilang. Rupanya, lagi teruk.” 

“Bertapa konon. Rasanya, bukan dengan bertapa. Silap-silap, kena berkubang dalam kubang kerbau, baru boleh hilang...” 

“Hahaha!” 

Dayana menoleh. Mata spontan membesar. Sejak bila pula ada dua makhluk berdiri di belakang? Mengekek-ngekek gelak. 

“Korang, tak ada kerja lain?” Dayana merengus halus kemudian memandang Syifa yang hanya mengangkat bahu.

“Tak ada.” 

Dayana mengetap gigi. Jawapan Ammar Najjahkan...

“Carilah kerja berfaedah sikit.” Dayana mencebik .

“Eh, apa pula tak ada faedah? Sekurang-kurangnya, awak dah bantu kami buat senaman muka pagi ni. Kan, Syafi?” Ammar Najjah sambung gelak. 

“Jomlah, Syifa! Malas nak layan mamat senget ni.” Lantas menarik tangan Syifa tapi malang tidak berbau, dia terpelecok.

Secara kebetulan, terjadi betul-betul di sebelah Ammar Najjah. Apa lagi, dengan lagak hero, pantas dia memaut bahu Dayana lalu pandangan mereka bersatu. 

Sepi.

Dayana tergamam! Tersentak pula tidak lama kemudian. Pantas menolak tangan Ammar Najjah.

“Kenapa tak cakap ada longkang kat depan aku, Syifa!” 

“Eh, marah aku pula?” Syifa tercengang. Patutkah dia dimarahi? Serta-merta mimik muka berubah. Sedikit terasa hati dengan Dayana, menyinga tiba-tiba.

“Awak okey tak, Yana? Ada sakit kat mana-mana?” 

Tanpa menjawab soalan Ammar Najjah,  Dayana terus melangkah. 

Terpinga-pinga Ammar Najjah. Niat hati mahu menolong. Tidak menyangka sama sekali, Dayana marah. 

“Kenapa pergi macam tu aje, Yana!” Syifa geram. Segera mengejar Dayana hingga ke kelas.

Senyap.

“Kesian aku tengok Ammar. Kalau tak pasal dia, kau dah jatuh tadi. Bukan nak cakap terima kasih.” Syifa merengus halus. Makin geram melihat Dayana buat tidak tahu.  

“Aku tak tahu apa tak kena dengan kau? Cubalah jangan sombong sangat. Tak ke mana pun dengan sombong kau tu, Yana. Ditakdirkan nanti kau jatuh hati kat Ammar, buatnya dia tak layan macam kau buat tadi, baru nak menyesal?” Merengus lagi Syifa. Kali ini, agak kasar.

Bengang betul Syifa dengan perangai Dayana. Kesian Ammar Najjah. Padanya, Dayana melampau! Entah apa-apalah perangai teman barunya. Dia kenal dan tahu sangat perangai Ammar Najjah. Seorang pemuda yang baik hati. Mereka berkawan sejak dari sekolah rendah lagi.

“Kau dengar tak, Yana?” Sudah pekakkah Dayana? Keras hati Dayana bagi Syifa, tidak kena pada tempat langsung.

“Yana!” Sedikit memekik Syifa. 

“Habis tu, kau nak suruh aku buat apa, Syifa? Peluk dia?” 

Syifa membuntangkan mata. Ke situ pula Dayana merepek. 

“Kau ada akal. Fikirlah elok-elok, Yana.”

“Dah tu?” Dayana berpaling, memandang muka Syifa.

“Aku tak suruh buat macam tu. Cukup sekadar ucap terima kasih. Tu pun, tak boleh buat?” Suara Syifa sudah tidak sekeras tadi. Dia memandang sekilas Dayana di sebelah.

Dayana hanya mendiamkan diri. Tidak kuasa bertekak dengan Syifa lagi. Biarlah, Syifa nak kata apa. Kerana kejadian tadi, dia teringatkan seseorang. Sengaja, berterusan menyakiti hati Ammar Najjah yang cuba meraih perhatiannya kebelakangan ini. Puas disetkan minda bahawa mungkin dia yang perasan lebih. Ulah Ammar Najjah, semakin nyata mahu mendekati hingga membuatkan dia rimas.

“Saya minta maaf, Yana. Saya tak sengaja. Niat saya, ikhlas nak tolong.” 

“Sudahlah, Ammar. Tak payah ungkit lagi pasal ni. Anggaplah macam tak jadi apa-apa.”  

“Tapi Yana,”

“Boleh tak jangan ungkit lagi!” 

Ammar Najjah tersentak dengan nada keras Dayana lalu mengambil keputusan untuk mendiamkan diri. 

Dayana lantas memalingkan muka ke arah lain buat seketika. Melihat Ammar Najjah di depan lama-lama, bimbang sebenarnya. Cair pula hatinya nanti. Rasa bersalah sudah menghurungi kerana meninggikan suara tadi tapi... biarlah.


Previous: 15.4
Next: 16.2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.