Home Novel Cinta Semanis Derita, Sepahit Bahagia
11.3

Dayana menjengah kawasan yang dulu sering menjadi tempat larangan. Emak selalu berpesan kepada mereka berdua, “Jangan main kat situ, nanti terpijak jarum.” Masih terngiang-ngiang di telinga. Terpandang kain pasang dibeli oleh emak, hatinya sebak. Beria-ia emak membeli kain-kain itu kerana mahu memakai di pagi hari raya. Keinginan emak, memakai pakaian sedondon hanya tinggal kenangan. Kain di depan, dibelek-belek. 

 “Kau kenapa?” Liyana mendekati Dayana sedang duduk bersila sementara di depan adiknya ada selonggok kain.

“Lia, cuba kau tengok baju raya kita ni.”

“Kenapa?”

“Tengok, mak cuma sempat potong baju dia dengan kau aje.” Dia menyua kain dekat dengan Liyana. 

“Macam mana ni? Aku, bukan reti potong baju.” Selama ini, dia tidak pernah menunjukkan sebarang minat dengan apa emak buat. Bukan emak tidak pernah menyuruh belajar. Dia selalu mengelak. Memadai jika Dayana sahaja pandai. 

“Aku cuba, Lia.”

“Sempat tak? Puasa lagi berapa hari aje ni. Lusa, kita dah nak pindah.” 

“Aku lupa bulan puasa dah makin dekat. Aku cuba Lia, malam ni.” 

“Aku yakin kau boleh. Tak apalah. Aku nak ke depan. Tolong mak su kemas kat sana.” 

Liyana bangun meninggalkan Dayana keseorangan. Ketiadaan emak, masih belum cukup untuk merapatkan hubungan mereka. Kekok pula mahu jadikan Dayana sebagai tempat mengadu. Kebelakangan ini, mak su. Insan yang sudi menjadi pendengar setia setiap luahan hati.



Terasa mahu tertanggal segala sendi tulang kerana mengemas rumah tanpa henti. Hampir separuh barang di dalam rumah sudah dikemas. Dayana berjalan perlahan-lahan menuju ke ruang jahit. Hanya ruangan ini masih belum diusik sepenuhnya. Misi memotong baju akan dimulakan. Bertungkus lumus memerah otak, mengingati langkah demi langkah, emak lakukan dulu. 

“Ehem!”

“Opocot!”

Shahiman ketawa mengekek-ngekek. 

Dayana memandang tepat ke muka penyergah. Mata, mengecil.

“Pandainya buah hati abang, potong baju.” 

“Nasib gunting ni, tak terpacak kat dahi tu. Tak paham Bahasa Melayu? Tak reti bagi salam!” Gigi diketap. Pandangan penuh geram dihalakan tepat ke arah Shahiman.

‘Kenapa suka sangat buat aku terkejut? Memang nak sangat aku mati kena serangan jantung agaknya?’ Kembang kempis hidung, menarik dan menghembus nafas. Rasa terkejut masih bersisa. Degup jantung laju. Bertenang, bertenang. 

“Oh, kena bagi salam dulu ya? Okeylah, assalammua’laikum.” Dia sengih. 

“Cubalah serius sikit. Benda tak jadi kalau boleh jangan bagi jadi kenyataan. Masa tu, menyesal dah tak guna.” Berleter dengan mimik serius. Shahiman memang suka bergurau tetapi kadangkala, tidak kena pada tempat. 

“Janganlah marah. Abang minta maaf.”

“Maaf, maaf. Nanti buat lagi!” Merengus perlahan.

Senyap.

“Abang sukalah tengok muka Yana kalau marah. Comel. Geram, rasa macam nak cubit-cubit pipi yang ada lesung pipit tu.” 

‘Lelaki ni... memang tak faham bahasa atau sengaja buat-buat tak faham?’ Kecil besar matanya.

“Belajar aje tinggi, samalah dengan bebal abang bertingkat-tingkat tu!” Kan, sudah terkasar bahasa. 

“Amboi, garangnya sayang abang ni.” Buat-buat gelak mengekek. 

Muka Dayana semakin mencuka. Monyok usah dikata, semakin bertambah-tambah. Tajam pandangan menikam muka sepupu bertuah. Sudah merengkah? Ada litar pintaskah, berlaku dalam kepala?

“Janganlah tengok abang macam tu. Makin tergoda dah ni.” Dikenyit mata. Mimik gatal, gigih ditayangkan.

 “Wahai cik abang yang gagal bahasa kebangsaan, ini bukan setakat garang. Ni, buat orang naik darah, faham?” Dijegil seluas mungkin. Biar Shahiman tahu, dia sedang marah.

“Wah, ayat. Pergh macam power rangers. Sejak bila pandai marah-marah ni?” Semakin seronok menyakat kerana semakin comel muka Dayana.

 ‘Hah, power rangers dikatanya aku? Apa, ingat aku ni budak-budak? Dah tua bangka macam ni, tengok lagi ke rancangan power rangers tu?’ Kecil besar mata Dayana.

“Dah berapa lama jadi pengawal kat tiang tu?” Malas mahu melanjutkan marah. Tiada guna pun.

“Lamalah juga. Sampai ada masa orang tu menyanyi, sempat abang dengar.” 

“Hmm...” rengusnya sambil mata, sekejap-sekejap dilarikan ke arah Shahiman. 

Sebenarnya, terdetik bimbang di hati, manalah tahu perangai ulat bulu tidak cukup bulu sepupunya, datang semula. Meremang bulu roma tiba-tiba. Hesy seram!

“Yana buat apa ni?”

“Apa?” 

“Hai, tanya pun nak marah?”

“Jangan kacau orang, boleh tak?”

“Orang... orang? Cubalah gelar diri tu, Yana.”

‘Suka hatilah!’ Dia mencebik. 

“Yana...”

Bulu roma melentik tatkala mendengar suara sepupunya, bertukar nada romantik. Dia menelan air liur kelat sebaik melihat Shahiman kian mendekati. Akal, sibuk memikirkan cara bagaimana mahu melepaskan diri. 

“Ya mak su. Kejap, Yana datang ni!” 

Shahiman tersentak. Langkah terhenti sedang kening bertaut. Tidak pula mendengar suara emak memanggil Dayana. Kembali memandang pujaan hati. Sebaik Dayana mendekati, laju dia menyua tangan dengan tujuan mahu menarik lengan gadis itu tetapi gagal kerana tatktiknya dapat dibaca. Mengeluh kecil.

“Padan muka.” Dayana menjelir.

‘Kalau dia buat perangai macam ni lagi, aku suruh pak su hantar pergi sekolah agama balik.’ Puas hatinya kerana dapat meloloskan diri. 

Shahiman memerhatikan gelagat kesayangannya dengan senyuman. 

“Oh, Dayana ku sayang,” keluhnya.




Previous: 11.2
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.