Home Novel Cinta Semanis Derita, Sepahit Bahagia
18

Telah dua kali menjenguk ke laman rumah. Dia mendecit perlahan. Mata, melirik lagi ke arah jam di tangan. Dayana melangkah masuk kembali ke dalam rumah.

“Cantiknya anak aku ni.”

“Mana ada? Mak Som ni.” Dayana malu-malu apabila dipuji. Bukanlah sifatnya, gemar dipuji.

 “Lah, dah betul cantik. Cakap buruk, baru tahu.”

Dayana ketawa kecil.

“Bertuahlah siapa dapat kau, Yana. Pandai serba-serbi. Mak Som kalau ada anak lelaki dah besar, dah lama sambar buat menantu.” Kagum dengan Dayana. Ringan tulang membantunya walau ditegah banyak kali. 

“Mak Som ni, ada-ada ajelah. Dahlah, orang nak pergi bersiap.” Dayana melangkah menuju ke bilik. Lagi lama, entah apa emak angkatnya yang merupakan salah seorang tukang masak di rumah kebajikan merepek nanti. 

Setelah siap memakai tudung, Dayana melangkah keluar.

“Tak ada apa-apa tertinggal, Yana?”

Dayana menggeleng perlahan.

“Nak Mak Som hantarkan?”

 Dayana gelak kecil.

“Kenapa gelak?” Puan Kalsom mengerut kening.

“Mak Som. Larat, nak bonceng Yana dengan basikal tu?” Panjang muncungnya menghala ke arah basikal tua di bawah pokok mangga di laman. 

Dayana menyambung, “lagipun, bukan dekat tempat tu.”

“Amboi, perli ye. Esok ni kalau Mak Som dah pandai naik motor, lalu depan Yana, Mak Som jeling aje. Jangan harap nak bagi tumpang.” 

Puan Kalsom menjuih bibir sebaik Dayana meletuskan gelak. Akhirnya menyertai Dayana, gelak secara berjemaah. 

Dayana mengambil bekas besar berisi kuih karipap lalu meletakkan bekas tersebut di atas meja di beranda. Sebaik mahu melangkah masuk ke dalam rumah, lekas-lekas berpaling ke laman luar sebaik terdengar bunyi horn kereta sedang memasuki perkarangan. 

“Dah sampai kawan Yana tu?” Puan Kalsom bergegas keluar dari bilik.

“Dah. Yana pergi dulu, Mak Som.” Tangan mak angkat diraih, dikucup lembut.

“Hmm, elok-elok.”

Dayana lantas mengangkat bekas lalu mendekati kereta tersebut. Pemandunya, mengukir senyum dan dengan spontan dia membalas.

Ammar Najjah terpana. Seingatnya, kali kedua Dayana membalas dengan senyuman semanis ini. Mata menjelajah muka ayu tapi tidak lama kerana telah dijegil. Dada, berdebar hebat. Kecantikkan Dayana kian terserlah. 

Hari ini, gadis idaman mengenakan blouse berwarna merah hati, digayakan pula dengan skirt labuh berwarna hitam. Sudah biasa melihat Dayana bertudung labuh, berwarna putih atau hitam. Hari ini, fesyen tudung yang dipakai, menaikkan lagi seri. Dayana di depan matanya, kelihatan berlainan. 

“Termenung jauh nampak? Rasa-rasa, boleh tembus tak dinding rumah Mak Som tu?”

Ammar Najjah terkejut! Kuss semangat. Nasib baiklah gadis kesayangan.

“Tak nak tahu, kenapa saya termenung?”

Kening kiri Dayana terjongket.

“Kena tahu?” Jadi lurus bendul pula Dayana.

“Kenalah.”

“Awak termenung pasal apa, Ammar?” Dayana layankan saja.

“Pasal awaklah.”

“Ada-ada ajelah awak ni, Ammar.” Bergegas setelah Ammar Najjah membuka pintu kereta dibahagian penumpang.

Sepanjang perjalanan hanya sepi menemani. Hampir sebulan tidak bertemu. Setelah selesai pepriksaan, masing-masing membawa haluan. Dayana, pulang ke kampung. Hari ini, rakan-rakan sekelas merancang satu program berkelah bersama rakan-rakan sekelas. 

Setelah mendapat izin daripada pak su, Dayana bermalam di rumah Puan Kalsom. Semua kerana, menunaikan permintaan rakan-rakan dan Cikgu Halim yang mahu merasa kuih karipap hasil air tangannya. Liyana pula, enggan turut serta. Tidak tahulah, mengapa?

Syifa punya pasal, dia kena menumpang kereta Ammar Najjah. Malas mahu mendengar leteran Syifa, diiyakan juga. Kereta saja pun. Bukan kena bonceng motorsikal. Dia memandang tingkap di sisi kiri. Permandangan di luar, lebih menarik minatnya daripada memulakan bicara. Malu, gugup pula mahu bertegur sapa. Degup jantung kencang. Berbeza sedikit Ammar Najjah hari ini. Sudah berkumis dan agak bersasa...

‘Haish. Apa aku merepek ni?’ Dayana merengus halus.

“Kenapa, Yana? Ada apa-apa tak kena?”

Senyap.

“Yana...”

“Tak ada apa-apa. Jauh lagi tempat tu, Ammar?” Resah duduk lama-lama. Berdua-duaan dalam kereta. 

“Tak jauh dah.”

Senyap.

‘Tak sampai lagi? Kata, dah tak jauh.’ Semakin gelisah Dayana. 

“Awak suka memasak, Yana?”

“Bolehlah.” Mendatar nada jawapan Dayana.

Mata Ammar Najjah tidak berhenti berkerja. Asyik mengerling Dayana yang lebih banyak berdiam diri, sedikit merisaukan. Telah berubah hatikah Dayana? 

“Awak makin cantik, Yana.”

Dengan spontan Dayana mengalih leher ke kanan.

‘Ah, sudah. Macam-macam pula Ammar ni.’ Leher dipusing ke kiri semula. Cermin kereta, masih mampu menarik minat matanya.

Ammar Najjah mengerling. Mengeluh sedikit dalam hati kerana hanya belakang kepala Dayana, berlapikkan tudung dilihat.

‘Buruk kot muka aku ni?” Dikerling pula cermin pandang belakang, menilik muka. 

‘Elok aje. Tak ada apa-apa cacat cela pun.’ Ammar Najjah terleka.

“Ammar!”

Jeritan itu, mengejutkan Ammar Najjah. Tangan, lantas memulas stereng ke kiri. 

Senyap.

Mahu luruh jantung. Ammar Najjah menarik nafas, menghembus perlahan. Cuba menenangkan diri. Mujurlah kereta dipandu terbabas ke kawasan lapang dan sempat menekan brake. Dia memandang ke kiri.

“Yana.” Tanpa sedar, tangan kiri memegang bahu Dayana.

“Yana.”

“Kita kat mana ni?” Jantung Dayana berdegup kencang. Nafas ditarik dan dihembus. 

“Awak okey tak, Yana?” Tangan lembut itu pula diraih. Sejuk.

Dayana memejamkan mata. Menarik nafas dalam-dalam. Kejadian ini, sangat mengejutkan. Hampir-hampir, mereka kemalangan.

“Yana. Okey tak?” Ammar Najjah meraih Dayana dalam dakapan.

Dayana tersentak.

“Apa awak buat ni?” Bagai tersedar dalam mimpi, dia menolak tubuh Ammar Najjah. 

“Maaf. Saya...” meraup rambut ke belakang. Kerana risaukan keadaan Dayana, Ammar Najjah bertindak di luar batasan.

Senyap.

“Apa awak fikir, Ammar? Kenapa tak fokus, masa memandu?” Dayana merengus halus.

“Maaf. Tapi kenapa awak jerit tadi, Yana?”

“Awak tak nampak? Ada lembu melintas?”

“Hah?” Kening Ammar Najjah berkerut. Lembu? Ada lembukah tadi?

“Awak tak cedera, kan Yana?”

Dayana menggeleng lemah.

“Syukurlah.” Lega Ammar Najjah. 

Ammar Najjah membuka pintu kemudian keluar untuk memeriksa kereta milik ayah. Setelah diamat-amati, tiada sebarang calar mahupun kerosakkan. Mujurlah juga dia tidak melanggar pokok. 

“Syukurlah. Tak ada apa-apa yang buruk terjadi.” Ammar Najjah menyandar tubuh ke kerusi setelah masuk kembali ke dalam kereta.

Dayana menarik nafas lega. Dengan spontan, berpaling ke tempat duduk belakang. Matanya membesar.

“Kuih saya...”

Ammar Najjah juga berpaling. Kelam kabut keluar. Pintu belakang dibuka, bergegas mengutip kuih karipap yang berterabur.

Dari arah bertentangan, Dayana juga turut membantu Ammar Najjah. Sedih, melihat kuih tersebut tidak sempurna lagi kejadian.

“Saya minta maaf, Yana. Sebab saya, habis hancur kuin karipap ni.” Rasa bersalah menggunung tinggi. 

“Tak apalah, Ammar. Nak buat macam mana? Benda dah nak jadi.” Dayana sedikit sebak. Air mata, bergenang. Dikelip mata berkali-kali, menahan supaya tidak gugur. 

Ammar Najjah resah. Melihat mata Dayana berkaca, semakin tebal rasa bersalah. Tanpa sedar, dia mendekati. Meraih Dayana ke dalam dakapan.

“Saya minta maaf, Yana.”

Dayana terkedu.

“Apa awak berdua buat ni!”

Tengkingan tersebut menyebabkan Dayana menolak tubuh Ammar Najjah.

“Apa awak berdua buat kat tempat sunyi sepi ni!”

Senyap.

“Kenapa tak jawab!”

Dayana tersentak, terangkat kedua bahu. Mata dipejam rapat. Ditunduk muka sambil mengigit bibir agak kuat.

“Kami tak buat apa-apa, pak cik. Sebenarnya, kereta saya terbabas sebab elak lembu melintas.” Ammar Najjah cuba mempertahnkan diri. 

Mula kedengaran deruman enjin motorsikal mendekati. 

“Anak-anak muda sekarang ni, suka sangat turutkan hawa nafsu.”

Dayana memandang Ammat Najjah sekilas. Air mata mula bergenang. Terkesan dengan ayat pak cik di depan. Tangan kanan, mencengkam sisi baju dengan kuat. 

“Pak imam, kami nampak apa yang jadi.”

Dayana tersentak. Suara itu...

“Betul, kamu boleh jadi saksi?”

Pak imam berpuas hati dengan anggukkan mereka.

“Tapi, kami berdua tak buat apa-apa.” Dayana terkedu tatkala dijegil oleh pak imam. Sebaik mata terhala ke arah sekumpulan lelaki, mata membesar dan dengan pantas menunduk.



Sinis pandangan manusia di sekeliling. Satu-persatu muka dikenali, dipandang tetapi tidak lama. Dayana dalam kesulitan kerana gagal membuktikan kebenaran. Buntu. Sudah berbuih mulut menerangkan perkara sebenar. Ammar Najjah, lebih selesa mendiamkan diri. Hanya membiarkan dirinya terus dipandang serong. 

Mahu menyangkal dakwaan, salahnya juga kerana membiarkan Ammar Najjah bertindak keterlaluan. Tapi semua tindakan berlaku dalam keadaan tidak diduga. Salahnya, kerana menumpang kereta Ammar Najjah tanpa ditemani oleh orang lain. Semua... salah dirinya. Mata terasa sangat pedih kerana terlalu banyak menangis.

“Pak imam, rasanya kita perlu selidik betul-betul perkara ni.” Jauh di sudut hati Cikgu Halim dia merasakan, pelajarnya tidak bersalah. 

“Cikgu, ada saksi nampak dan keterangan mereka semua sepadan.”

Senyap.

“Saya kenal sangat anak murid saya ni, pak imam. Tambah-tambah, Dayana. Dia budak baik.”

“Habis, cikgu nak kata Ammar jahat?”

“Bukan macam tu maksud saya, puan.”

“Cikgu, saya kenal sangat hati budi anak saya. Entah-ntah, perempuan ni berniat jahat.”

“Mak cik, saya tak pernah berniat macam tu. Saya tak pernah...”

“Lily Dayana!”

Terdiam sebaik nama dilaung. Mata membulat sebaik mengenali pemilik suara dan satu lagi susuk tubuh berdiri di sisi kanan. Pelupuk mata panas kembali.

 “Saya nak, mereka berdua menikah!” 

“Pak su!” Air mata Dayana mencurah. 

“Saya nak, diorang kahwin.” Encik Zakaria bertegas.

“Yana tak nak!” 

“Kau, jangan melawan. Salah kau, bukan kecil.” Muka Encik Zakaria merah menyala. Mengucap dia saat mendapat berita buruk mengenai Dayana. Mujurlah tidak diserang penyakit jantung. Jika ya, pasti sudah putus nyawa. 

“Yana tak nak kahwin, pak su. Yana tak salah.” 

“Kau masih nak nafikan!” Encik Zakaria memandang geram.

Dayana memandang Ammar Najjah. Menggigil tubuh menahan marah. Mengapa tidak serius membantunya mempertahankan diri? Mengapa membiarkan dirinya dipersalahkan? Kenapa? Air mata semakin laju merembes.

Ammar Najjah tidak mampu berbuat apa-apa. Tidak mampu membuktikan kebenaran. Apa dikatakan oleh saksi, semuanya betul. Dia memandang Khalid, salah seorang saksi merangkap rakan sekolah. Pandangan sinis Khalid, membuatkan dia tidak sedap hati. Tambahan pula, ketika Khalid berbisik padanya bahawa Dayana akan mendapat balasan sejurus selepas mereka di bawa ke mari, dia resah. 

Khalid punyai dendam yang belum dilunasi terhadap Dayana. Mengapa perlu sekarang? Mengapa perlu dendam Khalid dibalas dalam keadaan aib begini. Khalid berdendam sejak Dayana memasuki rumah kebajikan. Gara-gara, Dayana melaporkan kepada pihak pengurusan tentang kegiatan merokok Khalid dan rakan-rakan hingga menyebabkan Khalid dihukum. 

‘Maafkan saya, Yana.’ Muka Dayana, dipandang dari jauh. Ammar Najjah memejamkan mata. Tidak sanggup melihat Dayana dalam kesedihan. Dia perlu melindungi Dayana.

“Yana tetap tak nak kahwin dengan dia. Banyak cara untuk selesaikan perkara ni!” 

“Banyak mana cara pun, pak su nak kau kahwin! Kalau kau tak nak kesiankan aku, tolong kesiankan arwah mak dengan kakak kau.” Sudah tiada lagi panggilan nama Yana di bibir Encik Zakaria. Hanya berkau, aku. 

“Abah, biar Iman...” Shahiman terdiam. Pandangan abah sarat dengan amarah. Seumur hidup, tidak pernah melihat abah begini. Kecut perutnya. 

“Karia, jangan terburu-buru buat keputusan. Jangan jadi macam aku. Siasat dulu. Jangan ikut perasaan. Aku tak nak, budak ni jadi mangsa. Dia muda lagi. Kesian. Kalau setakat kena denda, aku bayarkan.” 

Dayana tersentak lantas menoleh. Langsung tidak sedar kehadiran mak long. Tersentuh hati. Sama sekali tidak menyangka, wanita yang membencinya dulu, sanggup mempertahankannya. Mengapa sekarang mak long memahami? Kenapa tidak pak su yang rapat dengannya sejak kecil?

“Saya tak nak Yana terus rosakkan hidup dia, Kak Leha. Sebab tu saya terpaksa buat keputusan ni. Esok, entah apa lagi dia buat. Kenapa kau jadi macam ni, Lily Dayana? Sanggup kau lukakan hati kami semua.”

Dayana teresak-esak. Sebak kerana ditebak dengan perkara yang tidak dia lakukan. Dia  merenung tajam ke arah Ammar Najjah. 

‘Kenapa Ammar? Kenapa?’ Kedua tangan mencengkam baju dengan kuat.

“Sabar encik. Jangan bertindak melulu. Saya rasa, ada sikit salah faham ni. Saya kenal Dayana. Sentiasa jaga tingkah laku.” Cikgu Halim menjeling Ammar Najjah.

Hairan, Ammar Najjah juga merupakan pelajarnya yang baik. Dia tahu, Ammar Najjah menyimpan perasaan terhadap Dayana tapi takkanlah sejauh ini Ammar Najjah bertindak. Apa sebenarnya telah berlaku antara pelajarnya? 

“Saya tetap dengan keputusan saya, pak imam. Saya wali Dayana yang mutlak. Diorang... kena kahwin juga!” Encik Zakaria berkeras.

“Tapi...” Cikgu Halim terdiam.

“Kalau dah diputuskan, saya turutkan. Saya juga malu dengan perbuatan anak saya.” 

“Abang, saya tak setuju!” Renungan tajam Puan Munirah, menikam muka suaminya.

“Irah...”

“Takkan nak ambil perempuan yang entah dari mana ni, jadi menantu kita? Abang, anak kita muda lagi. Saya tak setuju. Saya sanggup, kita turun naik mahkamah. Tak kuasalah nak bermenantukan budak tu. Cuba abang tengok, mana padan dia dengan anak kita!” 

Dayana menghela nafas panjang. Betapa hina dia di mata ibu Ammar Najjah. Ayat tentang ‘anak kita muda lagi’ membuatkan dia berfikir, tuakah dia daripada Ammar Najjah? Bukankah mereka sebaya? Tahu dirinya tidak cantik. Mengapa perlu dihina begini?

“Kak, anak saudara saya masih ada keluarga. Mungkin didikkan saya tak sehebat akak. Kami pun ada maruah. Saya pun kalau boleh, tak nak selesaikan macam ni.” Walaupun marah dengan perbuatan Dayana, Encik Zakaria tidak rela anak saudaranya dihina. Darah dagingnya juga.

“Betul tu, Munirah. Kita selesai dengan cara elok. Awak nak, perkara ni terpampang kat suratkhabar nanti. Dari sekampung, terus satu Malaysia tahu pasal ni. Awak sanggup hadap?” 

“Suka hati abanglah!” Puan Munirah merengus.

“Munirah, jangan macam ni.”

“Apa pun, saya takkan terima perempuan tu jadi menantu.” 

“Tak baik cakap macam ni, Irah.” Encik Shukri berusaha memujuk.

“Saya tetap dengan keputusan saya, bang.” Terus duduk di sebelah anak terunanya. Malas mahu mengiyakan kata-kata suami walaupun terselit kebenaran. 

Dayana bungkam, tidak mampu berkata apa-apa. Kehendak pak su terpaksa dituruti. Terlalu penat mahu mempertahankan diri. Demi menjaga nama keluarga, direlakan jua. Biarlah mereka mencaci, menghina dirinya tetapi jangan sesekali melibatkan keluarga. Dia rela berkorban jika habuannya berbaloi demi menjaga nama baik keluarga. Demi emak.

Dayana memendam benci mendalam terhadap Ammar Najjah. Tanpa disangka-sangka, pemuda yang selama ini dilayan sebagai kawan rapat telah mengkhianatinya. 

 ‘Jangan ingat kau boleh terlepas, Ammar!’  


Previous: 17.2
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.