Home Novel Cinta Semanis Derita, Sepahit Bahagia
21.1

Fikiran Dayana sedikit kusut. Sejak terdengar perbualan telefon antara Ammar Najjah dengan seseorang tempoh hari. Berkali-kali cuba menafikan. Apakah nama yang disebut oleh Ammar Najjah, orang dikenalinya? Adakah perbincangan itu, berkisar tentang dirinya?

“Yana.” Ammar Najjah mendekati.

Dayana berpaling, lekas-lekas mengalih semula. Masih tiada kekuatan mahu menatap muka itu, lama-lama. 

“Nanti, kita balik kampung awak.”

Mata Dayanan membulat. Degup jantung, berdebar-debar. Sedikit rasa teruja terbit. Dia sangat rindukan kampung. Tetapi, perlahan-lahan mata meredup. Menarik nafas panjang dan menghembus perlahan-lahan. Layakkah dia, menjejak kaki ke sana? Pelupuk mata terasa panas. Haba, mula terasa di dalam hidung. Cuba bertahan daripada menangis.

“Kenapa ni?” Ammar Najjah sedikit bimbang sebaik melabuhkan duduk di depan isterinya. Muka Dayana...

“Tak ada apa-apa.” Dikelip mata berkali-kali.

Senyap.

“Ammar. Ada sesuatu saya nak tanya pada awak. Harap, awak jawab dengan jujur.”Ammar Najjah tersentak sedikit. Ligat anak mata, menilik muka serius Dayana.

“Tanyalah.” 

“Apa sebenarnya terjadi?” Dayana memberanikan diri, memandang tepat ke muka Ammar Najjah

“Maksud awak?” Berlapis sudah dahi Ammar Najjah.

“Apa yang awak sembunyikan daripada saya, Ammar?”

“Saya tak faham.” Semakin berlapis dahi Ammar Najjah.

“Awak dengan Khalid...” berhenti sebaik melihat  mata Ammar Najjah sedikit membulat.

‘Dia tahu perkara sebenar? Kalau tahu, habislah. Macam mana ni? Macam mana Yana tahu?’ Ammar Najjah telah cuba sedaya upaya menyembunyikan semua daripada pengetahuan Dayana. Gelisah. Janganlah Dayana membencinya jika kebenaran terbongkar.

“Ammar”

Ammar Najjah terkejut. Terangkat sedikit kedua bahu.

“Apa awak nak tahu, Yana?”

“Perkara sebenar.”

Ammar Najjah menarik nafas dalam-dalam dan menghembus panjang. Nampaknya, tidak perlu menyembunyikan lagi perkara sebenar. Sejak kenal, dia akui Dayana bijak. Isterinya akan utarakan apa-apa persoalan secara berdepan. 

“Ammar. Jujur dengan saya.”

Senyap.

“Sebenarnya, saya buat semua ni bersebab. Saya, nak lindungi awak.”

“Apa kaitan dengan Khalid?”

“Sebenarnya, Khalid ugut saya. Nak apa-apakan awak. Dialah yang buat cerita tak elok tentang kita. Saya, tak ada pilihan lain. Terpaksa menurut permintaan pak su, nikah dengan awak. Saya juga takut, Khalid akan buat bukan-bukan nanti.”

“Ammar, apalah perkara teruk Khalid boleh buat kat saya? Negara ni, ada undang-undang. Kenapa perlu tunduk dengan ugutan dia? Kenapa perlu korbankan diri, hingga buat saya bencikan awak? Buat saya salah faham dengan awak?” 

“Yana. Saya kenal Khalid sejak kecil. Saya tahu dia macam mana? Saya juga tahu, kemampuan dia. Tambahan sekarang, kawan-kawan dia, perangai lain macam. Saya risau dengan keselamatan awak. Khalid, tak main-main dengan setiap ugutan dia. Sengaja mahu malukan awak.”

“Kenapa sembunyikan hal ni daripada saya? Kenapa biarkan salah faham ni, berlanjutan? Kenapa awak buat semua ni, Ammar?”

“Sebab, saya ayangkan awak.”

Senyap.

“Ammar. Kenapa perlu seksa diri? Berkali-kali saya cakap, saya hanya anggap awak, kawan.”

“Saya...” Ammar Najjah menunduk. 

“Kenapa? Kenapa perlu letakkan diri awak ke tahap sekarang? Buat sesuatu tanpa bincang dengan saya dulu? Awak biarkan diri awak, terus dibenci dan dimarahi oleh saya. Kenapa, Ammar?”

“Awak tengah marah masa tu, Yana. Saya tak dapat dekati awak untuk terangkan semua ni. Saya faham perasaan awak, Yana. Bila tengan marah, semua nampak tak elok.”

Dayana terdiam. Betul. Kemarahannya menguasai diri hingga membutakan mata. Menutup pintu hati daripada melihat kebenaran. Dia memandang Ammar Najjah dengan sudut pandangan agak berbeza. Dimensi baru suaminya sudah mula kelihatan. 

“Saya minta maaf, Yana.” Apalah dayanya pada waktu itu. Segala tekanan, datang dari pelbagai arah, tidak mampu ditepis. 

Mata Dayana berkaca. Merasab berdosa kerana menghukum Ammar Najjah tanpa menyiasat. Terus mengecap suaminya seorang pengkhianat. Sebaik memejam mata, air bertakung mulai turun ke pipi.

Ammar Najjah mendekati isteri. Tangan lembut digenggam tanpa ada bantahan. Bahu Dayana diraih, digosok lembut. Sedikit lega kerana baran Dayana semain reda. Dia menarik dan menghela nafas panjang. 


Previous: 21
Next: 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.