Home Novel Cinta Semanis Derita, Sepahit Bahagia
Bab 2.3

Dayana dan Sara sedang berjalan menuju ke tempat dicadangkan untuk study group. Sebaik sampai, terbeliak mata. Mana tidak, turut ada bersama dua pemuda yang sering membuatnya resah beberapa bulan ini. Perangai ‘tok nenek’ sudah mula menyerang. Dia sudah bertukar menjadi gelabah tetapi bukannya macam Incredible Hulk hijau, mudah marah dan mengamuk tanpa hujung pangkal. Dek kerana terlalu asyik memandang mereka berdua, tidak sedar ada longkang kecil di hadapan. Apa lagi, terus terpelecok lalu jatuh terduduk.

Aduh!”

“Yana.” Sara pantas menerpa.

“Mata letak kat mana? Tengok, kan dah jatuh,” bebel Sara.

Senyap.

“Macam mana boleh terpelecok ni?” Sara resah. 

“Tak perasan ada longkang kat sini.” Dayana berpura-pura memicit buku lali. Dia gugup. Tidak jauh di belakang Sara, Irshad dan Ahmad Fahmi sudah berdiri.

“Okey tak?” Sara sedikit resah.

“Kau pergilah kat pondok dulu. Kejap lagi aku datang. Sikit aje ni.”

“Mana boleh? Aku tunggu. Jom, bangun,” gesa Sara. Selagi Dayana tidak berdiri, hatinya tidak senang.

Dayana hanya senyap.

Aduh, malunya. Kebas dah muka aku ni.’ Masalah lain pula timbul. Boleh pula Irshad dan Ahmad Fahmi semakin dekat. Kini, sudah berdiri di hadapan. Sudahlah tu, dengan serentak hulur tangan.

Dayana menoleh, ada sebatang tiang di sebelah kanan. Terus dia memaut tiang, cuba berdiri. Bila pula ada tiang kat sini? Masih sempat lagi sengih walaupun sakit di kaki kian menyucuk-nyucuk dan sempat juga mengerling ke arah dua anak muda.

‘Gila! Takkan nak sambut tangan diorang tu.’ Kurang selesa pula menjadi perhatian.

“Awak okey, Yana?”

Dayana menarik nafas. Pertanyaan Ahmad Fahim semakin menambah gugup. Hanya mengangguk perlahan.

“Muka tu, berkerut semacam. Jangan-jangan, kaki awak terseliuh?” Ahmad Fahim meneka. Dia resah apabila memerhatikan betapa payah Dayana mengatur langkah.

Dayana terkejut dengan tekaan Ahmad Fahim. Sangatlah tepat.Toing... dia bungkam lalu menunduk. Tidak mahu orang melihat riak mukanya yang terkejut.

“Sakit sangat ke, Yana?” Kebisuan Dayana membuatkan dia resah.

“Tak. Sikit aje.” Dayana cuba mengatur langkah semula. Malangnya,sekali lagi dia terpelecok. Auch! Bekerut muka menahan kesakitan. Pantas menoleh ke kiri apabila terasa lengan dipaut. Besar mata memandang Ahmad Fahim, semakin berani bertindak di luar batasan.

Ei, kenapalah dia pegang aku!’ Mimik muka Dayana berubah.

“Saya rasa, kaki awak terseliuh. Mari, duduk kat kerusi sana.” Ahmad Fahim buat tidak nampak pandangan marah Dayana. Tanpa disuruh, dia membantu.

“Terima kasih.” Dayana lantas duduk.

“Boleh lepaskan tangan saya?” Dayana beri isyarat mata.

Ahmad Fahim sedikit tersentak pantas meleraikan pegangan.

“Maaf.” Muka mencuka Dayana dipandang sepintas.

‘Nasib baik berlapik. Kalau tak, sah-sah tersentuh kulit aku ni!’ Dayana malu. Seumur hidup, belum pernah ada lelaki berbuat begini terhadapnya.

“Saya... cuma nak tolong. Tak ada niat lain.” Kesenyapan Dayana menjadikan Ahmad Fahim serba salah. Baru menyedari bahawa dia juga keterlaluan kerana tidak hiraukan perasaan Dayana. Daripada segi hukum, terang dan nyata salah memihaknya. Dia kemudian bangun, mengambil tempat duduk selang beberapa kerusi dari Dayana.

Ehem!”

Dayana mula rasa tidak sedap hati dengan deheman itu.

“Amboi, dalam diam kau, ya. Tak sangka, ada hero datang selamatkan kau. Nampaknya, cinta sedang berputik ya.”

Dayana menjulingkan mata ke atas. Alahai Adibah, boleh pula bersuara tiba-tiba. Mengajuk cara percakapan ala-ala tahun 60-an. Sudahlah tu, siap senyum lagi. Senyuman maniskah? Jika selesai ditafsir, senyum perlilah?

“Mengaku ajelah Yana.” Adibah semakin galak mengusik.

Dayana mendecit halus. Tidak senang duduk. Rimas dengan usikan Adibah.

“Orang tua-tua kata, kalau senyap, tandanya setuju.”

Dayana menyiku lembut.

“Kau ni, tak ada apa-apalah.” Dayana mengetap gigi. Lebih-lebih pula Adibah.

“Tak ada apa-apa konon. Macam suka aje, masa Fahim tolong?”

“Banyaklah kau punya suka. Dia tolong pun sebab kebetulan berdiri kat sebelah aku. Janganlah fikir bukan-bukan.”

“Kau tak rasa pelik ke, Yana?”

“Pelik? Kenapa pula?” Dayana rasa lain macam. Pertanyaan Adibah, mengundang gelisah.

Eh, takkan kau tak perasan langsung? Nampak sangat gaya Fahim tu, suka kat kau.”

Dayana dengan spontan menjulingkan mata ke atas. Seorang lagi, buat telahan seperti Sara.

“Kau ni, jangan merepek boleh tak? Dah, cukup. Jom kita mula study. Nanti lambat pula habis. Pukul berapa nak balik? Dahlah aku janji dengan mak aku, pukul 4 ada kat rumah.” Dayana malas mahu memanjangkan kisah ini. Bukan boleh dilayankan sangat perangai Adibah.

Setelah hampir dua jam berlalu, akhirnya perbincangan mereka selesai. Dia mula mengemas beg sekolah, memasukkan buku-buku ke dalam. Sebahagian daripada rakan-rakan, telah meninggalkan pondok tempat mereka berkumpul. Adibah dengan beberapa sahabat masih menunggunya, sedang terkial-kial mengatur langkah. Setiap kali melangkah, sakit di kaki makin rancak berdenyut. Dicuba juga untuk bertahan.

“Nampak macam cedera teruk pula kaki Yana ni?” Masih leka Sara memandang ke arah Dayana sedang berjalan terhencut-hencut.

“Boleh ke, Yana?”

“Boleh.”

“Risaulah aku.” Sara mendecit halus.

“Nak risaukan apa? Boleh aje. Kau tengok macam mana aku ja...” Dayana terpelecok lagi. Aduh! Dia sengih campur menyeringai.

“Tulah, berlagak sangat! Bila orang tanya, ‘Aku okey’, ‘Sikit aje’. Tengok, terhencut-hencut. Kalau macam ni gaya, senja belum tentu kita sampai,” panjang bebelan Sara.

Cess, sabar ajelah.’Walaupun sedikit geram, tetap Dayana sengih. Malas mahu bertikam lidah dengan Sara kerana pasti akan kalah juga.

“Boleh tak?” Sara bertanya lagi.

“Boleh kot kalau jalan pelan-pelan.”

“Betul kau okey?”

Dayana menjulingkan mata ke atas. Sara ni...

“Iya. Kalau kau nak balik dulu, pergilah. Tak payah risaukan aku. Takut nanti kena marah dengan mak kau pula sebab tunggu aku yang lambat...Adoi! Sakitlah mak ketam oi.”

“Padan muka.” Sara menjelir.

Mahunya tidak sakit. Sudahlah kuku Sara panjang. Dayana menggosok lengan yang menjadi mangsa cubitan itu. Pedih!

“Dah, jangan nak mengada-ngada. Kau ingat, aku ni jenis pentingkan diri? Tak ada maknanya mak aku nak marah. Ni kalau mak aku tahu kaki anak angkat dia tengah sakit macam gini,kapal terbang pun dia sanggup hantar, jemput kau balik tau.”

Eleh, cemburulah tu.”

“Mestilah.” Sara tarik muka masam. Bukanlah cemburu betul-betul, sengaja dibuat-buat.

Yelah, yelah, aku minta maaf.. Adibah dah ke depan tu. Jomlah, karang lambat pula sampai rumah.”

Dayana lantas memaut lengan Sara. Anak manja. Merajuk, memang salah satu tabiat Sara. Anak perempuan tunggal, sudahlah tu, anak bongsu pula. Dia kemudian berjalan perlahan menyaingi Sara. 

Previous: Bab 2.2
Next: Bab 2.4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.