Home Novel Cinta Semanis Derita, Sepahit Bahagia
Bab 8

8

 

Sedikit riuh rumah Hajah Rokiah. Tanpa disangka-sangka, Puan Zaleha datang melawat. Sedari dulu, hubungan dua beradik ini renggang. Encik Zakaria juga turut kelihatan. Sebaik Shahiman menelefon mengatakan keadaan kesihatan kakaknya semakin buruk, bergegas dia dan isteri ke kampung. 

“Aku tengok makin teruk sakit kau. Kalau jadi apa-apa nanti, siapa nak jaga anak-anak kau? Janganlah kedekut sangat. Pergilah klinik. Kalau tak mampu, cakap aje. Aku boleh dulukan duit aku tapi jangan lupa bayar balik.”

Dayana tersentak. Sungguh berbisa kata-kata mak long. Sudahlah mimik muka mak longnya... tidak tahu hendak digambarkan bagaimana?

Encik Badri, menjegil. Kelancangan mulut isterinya apabila setiap kali bertemu Puan Zakiah memang tidak dapat dipertikaikan. Bagai menelan berpuluh-puluh ekor tebuan lagak isterinya. Menyinga, membaran sahaja.

Puan Zaleha mencebik lalu bangun, melaju ke dapur. Langsung tidak menunjukkan reaksi takut dengan jegilan suaminya. Dayana yang kebetulan berada di hadapan turut dijeling dengan tajam.

“Menyampah! Dari dulu sampai sekarang tak habis-habis menyusahkan orang. Anak-beranak, sama aje. Meluat betullah!”

Dayana memandang mak long dengan dahi berlipat-lipat. Tidak tahu, mengapa dari dulu mak long membenci mereka sekeluarga? Kata-kata mak long, tidak pernah manis. Selalu sangat hati emak diguris dengan kata-kata yang sarat dengan sinis. Sungguh pun begitu, dia tidak pernah melihat emak melawan atau menjawab kata-kata mak long.

“Aku risaulah tengok kau, Yah. Pagi esok, aku bawa pergi klinik. Lusa, kau dah nak balik. Takut melarat pula. Bukan ada siapa nak jaga kau kat sana nanti. Anak-anak kau pun, dah nak masuk sekolah balik.” Encik Zakaria memegang dahi kakaknya.

‘Panas,’ katanya dalam hati pula.

“Tak apa. Karia. Aku boleh pergi sendiri.”

“Yah, biarlah aku hantarkan.”

“Biarlah aku pergi dengan anak aku. Kau tu, kan kerja. Aku tak naklah menyusahkan. Nah, kau tolong telefon apek ni, minta dia datang esok.” Puan Zakiah menghulur sekeping kad nama.   

Encik Zakaria sudah buntu memujuk. Dia memandang kakaknya. Dia tahu kalau hitam, maka hitamlah kata kakaknya. Dia akui, kakak keduanya tidak akan sesekali menyusahkan orang. Susah senang, semua kakaknya hadapi sendiri. Dalam diam, dia kagum dengan kekentalan semangat wanita di hadapan.

“Karia, telefon apek tu ya.”

Encik Zakaria tersentak. Boleh pula dia mengelamun.

Yelah. Nanti aku telefon. Kau rehatlah, aku nak ke dapur kejap.”

 

 

Hari sudah menginjak malam. Selesai menunaikan kewajipan sebagai seorang muslim, Dayana menemani emak yang terbaring lesu. Liyana dan atuk pula sedang menonton televisyen.

“Mak, kalau letih pejam aje mata mak tu. Lama-lama nanti, mak tidur.”

“Diamlah. Kalau nak tengok tv, pegi ajelah!”

Bagaikan mahu menitis air matanya apabila dijerkah oleh emak. Walaupun nada emak tidaklah sekeras mana tapi hatinya agak tersentuh. Dia cuba untuk memahami. Mungkin kerana kurang sihat menjadikan emak agak sensitif. Tanpa mengendahkan arahan emak, Dayana lantas mengambil sebiji bantal lalu merebahkan diri di sisi emak. 

Dayana terjaga apabila tangan tersentuh sesuatu yang sejuk. Sejuknya, ibarat seketul ais. Lantas, dia membuka mata. Cahaya pelita, samar-samar, menerangi kamar tidur. Kepala di kalih ke kiri, melihat tangan di atas tangan emak yang sedang mengiring menghadapnya. Bingkas dia bangun lalu duduk bersila, menghadap emak.

“Mak,” panggilnya.

Senyap.

“Mak, nak air tak?” Bergerak-gerak tubuh emak digoyang. Emak, masih kaku dan membeku. Dia menggosok-gosok mata yang agak kabur. Sebaik boleh celik, sekali lagi dia mencuba.

“Mak, bangunlah.”

Masih tiada respon.

“Mak, janganlah takutkan Yana.” Sekali lagi dia menggoyang tubuh emak. Masih lagi senyap! Dia berhenti. Dada emak, diperhati lama-lama kemudian dia tersentak!

“Kenapa dada mak, tak turun naik?” Sekali lagi dia menggosok mata. Tubuh emak dipandang lagi. Dia tergamam! Sah, dada emak memang tidak berombak langsung!

“Takkan mak dah...” tidak sanggup menghabiskan ayat itu. Bingkas dia berdiri dan dengan pantas berlari menuju ke tiang di mana terletak suis lampu. Suis lampu dipetik dan cahaya terang mula menerangi kamar yang luas.

“Atuk!” pekiknya sebaik mendekati.

Hajah Rokiah terkejut pantas mencelikkan mata.

“Atuk!”

“Iya.” Perlahan-lahan Hajah Rokiah menolak tubuh bangun dari tilam dan kini duduk dengan melunjurkan kaki. Rambut yang semakin banyak putih, sempat disanggul.

Apasal ni, Yana?” Hajah Rokiah mahu marah, lekas-lekas menyabarkan hati.

“Kenapa ni? Terpekik-pekik malam-malam buta. Buat orang terkejut aje!” Liyana pula marah kerana tidurnya terganggu. Dia bingkas bangun dan kini duduk bersila sambil tangan menggaru-garu kepala. Kelopak mata dipejam celik beberapa kali.

“Mak...”

“Kenapa dengan mak kau?” Hajah Rokiah masih belum habis terpinga-pinga.

“Mak... dari tadi Yana gerak, tak bangun. Atuk cepatlah tengok mak!” Teramatlah cemas nadanya. Dia mendekati dan laju tangannya menarik lengan atuk.

“Lepas. Atuk boleh jalan sendiri.”

Dek kerana kelam kabut cucunya hampir sahaja dia jatuh tergolek. Hajah Rokiah mendekati anaknya dan kini sudah duduk berteleku di sisi tubuh itu.Terketar-ketar tangan saat menyentuh hidung susuk sedang terbujur kaku. Dia tersentak lalu memalingkan muka ke arah Dayana.

“Yana, kau pergi panggil Tok Embun. Cepat!”

Dayana tanpa berlengah pantas ke tilam atuk, mencapai lampu suluh di tepi bantal. Langkah laju mula dihayun laju ke pintu depan. Suis lampu terletak di tiang ruang tamu, dipetik. Dia mendekati pintu depan dan sebaik terkuak daun pintu, terkedu seketika dengan hamparan suasana malam di hadapan. Gelap dan kelam suasana di laman atuk. Selalunya, dia amat takut dengan suasana malam. Tidak tahu daripada mana keberanian mengisi diri tanpa disedari terus sahaja dia melompat ke bawah tanpa memijak sebarang anak tangga. Kasut disarung dengan pantas dan berlari menuju ke rumah Hajah Embun, terletak di sebelah rumah atuk.

Bagai mahu pecah pintu belakang rumah Hajah Embun diketuk bertalu-talu olehnya.

“Tok Embun! Bukalah pintu ni. Cepatlah, tok!” Begitu mendesak nada suara Dayana. Ikutkan hati mahu sahaja dia merempuh pintu rumah itu.

“Tok Embun...” laungnya sambil menggegar pintu dapur rumah itu.

“Tok!” panggilnya lagi dan kali ini sehabis kuat. Sayup-sayup dari dalam rumah, dia mendengar satu suara.

“Tok Embun!”

“Tok datang ni. Kejap.”

Pintu dapur terkuak juga akhirnya. Seorang wanita berusia, sudah mencecah angka tujuh puluh menjengulkan kepala, melihat ke luar.

Lah, budak Yana.” Hilang terus mengantuknya sebaik dikejutkan dengan ketukkan pintu bertalu-talu.

“Kenapa ni, Yana?” Kening dikerut.

“Tok. Cepatlah! Mak...” kata Dayana lagi dan tanpa berlengah, dia menyambar terus lengan Hajah Embun.

Eh, nanti kejap. Tok tak pakai selipar lagi.” Terkial-kial Hajah Embun menyarung selipar. Dia juga turut dijangkiti panik Dayana hingga serba tidak kena ketika mencari selipar.

Dayana melihat kesukaran itu menolong dengan membongkokkan sedikit tubuh, mengambil sepasang selipar lalu diletak betul-betul di hadapan kaki Hajah Embun. Selepas Hajah Embun berjaya menyarung selipar, dia mengikut dari belakang.

Hajah Embun bergegas ke ruang tengah sebaik sampai. Tubuh Puan Zakiah didekati lalu dia duduk di sisi sebelah kanan. Dia memandang sayu muka ibu tunggal itu lalu menyentuh muka, dada, leher, hidung dan mana-mana bahagian yang boleh dia rasakan nadi. Tidak lama kemudian, menggeleng beberapa kali. Air mata mula bergenang sebaik memandang dua beradik itu. Sebak hati mengenangkan nasib mereka berdua.

Dayana kecut perut dengan gelengan Hajah Embun. Tambah menggusarkan hati apabila melihat mata Hajah Embun berair. Air mata mula terbit sedang dalam hati berdebar-debar. Sudah bersediakah dia menerima kenyataan pahit?

“Yana, Lia... mak korang dah tak ada.”

‘Kesian, muda-muda lagi dah jadi yatim piatu.’ Hajah Embun semakin sebak.

Dayana bagaikan jasad tidak punyai roh. Apa yang ditakuti kini, benar-benar menjadi kenyataan. Sebolehnya, hati mengatakan emak masih bernyawa.Semuanya bukan lagi realiti kerana hakikat sebenar, emak telah pergi buat selama-lamanya. Dia terduduk, mata pula memandang jasad emak.

‘Mak,’ panggilnya dalam hati. Dayana mahu pitam.

‘Apa aku nak buat sekarang? Macam mana aku nak teruskan hidup tanpa mak?’ rintih Dayana sendirian. Fikirannya benar-benar kosong, kosong, sekosong-kosongnya.

‘Ya Allah. Berilah kekuatan kepadaku. Amat hebat dugaan-Mu ini.’ Dayana memandang pilu tubuh kaku emak. Air mata merembes keluar dengan laju. Emak, adalah tulang belakangnya, Tiadanya emak maka lumpuhlah dia dan Liyana.

‘Mak...!’ hati kecilnya menjerit hiba.

“Mari, tolong tok urus mak korang.” Hajah Embun menyentuh lembut bahu Dayana.

Dayana sediki tersentak. Bingkas bangun apabila menyedari hakikat bahawa tidak elok terlalu menangisi pemergian orang tersayang. Liyana sedang tersedu-sedan sambil memeluk jasad emak, didekati.

“Lia, tak baik menangis macam ni. Jom, duduk tepi. Tok Embun nak urus mak.”

Liyana akur, tubuh diinjak ke tepi.

“Bismillah...” Dayana duduk di sisi jenazah emak dan mula membaca Surah Yaasin bersama Liyana, setelah selesai membantu Tok Embun. Dia mahu menemani emak, membaca Yaasin untuk kali terakhir. Apa yang pasti, muka tenang seperti sedang tidur, terbujur kaku di hadapan akan sentiasa dirindui untuk selama-lamanya.

 

 

***

 

Seawal pagi, Dayana melangkah longlai menuju ke rumah Hajah Kuntum. Salam diberi sebaik berdiri di depan pintu rumah Hajah Kuntum. Dari dalam rumah, kedengaran satu suara menyahut salamnya.

“Cucu Kiah? Anak Yah, kan?”

Dayana mengangguk lemah.

“Kenapa ni? Atuk kau, sihat?” Muka sembab gadis itu sedikit merisaukan Hajah Kuntum.

Dayana mengangguk perlahan lagi.

“Mak kau, sihat?”

Mendengarkan nama emak disebut, tangisan Dayana bersepai.

Hajah Kuntum tergamam. Kening berkerut.

“Kenapa ni?” Kini, Hajah Kuntum benar-benar tidak sabar mahu mengetahui apa sebenarnya telah terjadi?

“Mak... dah tak ada. Mak... meninggal malam tadi.”

Tersandar tubuh tuanya, membungkam di pintu sambil mengucap dalam hati.

“Lima hari lepas atuk ada sembang dengan mak kau. Macam tak percaya, mak kau dah tak ada.” Rasa sebak sudah mula hinggap, menelurusi tubuh tuanya yang mongel.

“Ada apa-apa nak atuk tolong?”

“Yana datang ni, nak tumpang guna telefon. Nak telefon kawan mak kat bandar. Boleh tak, atuk?” Nada Dayana tersekat-sekat. Air mata, tidak henti-henti mengalir sejak dari malam tadi. Tangki air mata masih belum kering, mencurah-curah tanpa perlu dipaksa-paksa. Bertambah laju apabila setiap kali mendengar nama emak disebut, secara automatik akan mengalir.

“Pergilah. Nanti, atuk minta anak atuk beritahu kat orang kampung.” Pandangannya menyoroti ke arah gadis muda sedang berlalu ke dalam rumah.

‘Kesian. Tak sangka, cepat betul Yah pergi. Anak-anak dia pun, kecil lagi.’ Hajah Kuntum mengesat air mata dengan hujung baju.

Setelah beberapa minit berlalu, Dayana mula mengaturlangkah balik ke rumah atuk sebaikselesai urusannya di rumah Hajah Kuntum. Kelihatan ramai orang kampung mula berkumpul di perkarangan laman, melaju dia ke dalam rumah.

Dayana melihat Liyana bersama mak su dan beberapa wanita lain sedang duduk di sisi jenazah emak, membaca Surah Yaasin. Mak long pula, duduk di dapur. Bersembang rancak dengan beberapa tetamu di sana. Dia berjalan mendekati, menghulur tangan kepada tetamu yang ada. Ketika sampai ke giliran mak long, cepat-cepat mak long menarik kembali tangan tanpa sempat dia mahu mencium tangan itu. Terasa hati benar dengan tindakan mak long. Malas berlama, laju langkah dihayun menuju ke arah Liyana untuk turut sama menyertai membaca Surah Yaasin. 

Dayana kemudiannya bergerak ke arah kaum wanita di dapur sedang sibuk dengan tugas masing-masing, menyediakan barang-barang untuk urusan memandikan jenazah emak. Salah seorang dikalangan mereka, mengarahkannya supaya menadah air ke dalam bekas sebanyak mungkin untuk proses memandikan jenazah. Tanpa berlengah, Dayana menuju ke bilik air.

Ish, cubalah jangan guna air paip tu banyak sangat. Jimat-jimatlah sikit. Teruklah aku nak bayar bil lepas ni!”

Dayana tergamam. Dia tidak tahu, sama ada wanita itu sedar atau tidak, dia berada di situ? Serta-merta, mengalir air matanya. Benar-benar terpukul dengan ungkapan berbisa daripada mak long. Kata-kata seperti terkandung jutaan bilah pisau hingga mampu menghiris hati. Pedih, hiba, pilu... semuanya hadir bersatu. Sampai hati mak long. Bukankah jenazah di atas adalah jenazah adik kandung sendiri? Darah daging mak long juga? Tergamak mak long. Dia sebak. Apa salah emak kepada mak long? Hatinya benar-benar luluh. Mahu saja dia melawan balik kata-kata mak long. Emak, tidak pernah mengajar dia dan Liyana, bersikap kurang ajar dengan sesiapa pun. Dia cuba menyabarkan hati.

Jenazah emak mula dimandikan. Dia dan Liyana turut mengambil peluang ini, membantu. Kolam air matanya pecah lagi. Dada, benar-benar sebak. Perut terasa mendidih minta diisi, tidak dihiraukan. Dia mengusap lembut kepala emakyang sedang disiram dengan air. Pelupuk matanya basah lencun. Muka emak, ditatap puas-puas.

“Mak, sampai hati tinggalkan, Lia,” rintih Liyana.

“Lia, jangan macam ni, sayang. Lia kena redha. Mak su janji, akan jaga Lia.” Puan Salmah cuba memujuk Liyana, anak saudara sebelah suaminya yang disayangi sejak kecil.

Liyana pantas memeluk tubuh Puan Salmah.

Dayana memandang dengan pandangan sayu. Liyana, memang beruntung kerana disayangi oleh atuk dan mak su tetapi dia... hanya emak menyayanginya lebih daripada mereka. Muka emak dipandang lagi dengan juraian air mata.

Selesai jenazah dikafan, ahli keluarga terdekat diberi peluang untuk mengucup jenazah sebelum disembahyang. Apabila sampai ke giliran Dayana, dia bertindak menyeka air mata yang sejak dari malam tadi tidak henti-henti mengalir. Dia menunduk muka lalu bibir menyentuh dahi sejuk itu. 

‘Mak,’ rintihnya.

Betapa sayang hati Dayana mahu berpisah dengan emak. Hatinya meronta-ronta,tidak merelakan mereka membawa pergi jenazah emak. Dia, harus berfikiran waras demi Liyana. Jika dia jatuh bagaimana nanti dengan Liyana?

Jenazah emak akhirnya telah selamat dikebumikan. Pusara emak terletak di tanah perkuburan tidak jauh dari rumah atuk. Dengan berat hati Dayana melangkah meninggalkan jasad emak keseorangan, terkubur di tanah perkuburan sunyi. Dia melihat mak su memaut Liyana ke dalam dakapan. Dia kemudian menoleh kembali, hatinya merintih sebaik pusara emak dipandang.

‘Mak, Yana akan balik tengok mak nanti.’ Dia meneruskan langkah. Yang pasti hari esok, seluruh hidupnya dan Liyana akan berubah sepenuhnya.

 

 

Perut, masih tidak diisi walau dengan secubit makanan. Seingatnya, sejak dari malam emak meninggal, sebutir nasi langsung tidak dijamah. Jiran-jiran sekampung, sedang sibuk menyediakan sedikit hidangan secara bergotong-royong untuk kenduri tahlil yang direncana akan bermula selepas Isyak nanti.

Dayana yang kelesuan dan keletihan sedang bersandar di almari. Sebaik menoleh ke kiri, terlihat Shahiman, berjalan menuju ke arahnya. Di tangan sepupunya, kelihatan satu cawan sedang dipegang. Dia mengalihkan pula pandangan ke kanan. Liyana, nampak sangat lemah dan sedang terbaring lesu di atas katil.

“Yana, jom makan. Abang tengok, Yana tak makan apa-apa pun dari pagi tadi.”

“Orang tak lapar.”

Jomlah, ajak Lia sekali. Kalau Yana sakit, susah nanti. Mak ngah dah tak ada, kita kena teruskan hidup.”

Mendengarkan saja nama panggilan emak disebut, laju air mata Dayana menuruni membasahi pipi. Dia kembali teresak-esak.

“Abang minta maaf. Tak ada niat nak tambah sedih.”

Dayana tahu Shahiman ikhlas memujuk tapi nak buat macam mana? Dia, benar-benar tiada selera. Bayangkan, bagaimana mahu menelan makanan di dalam keadaan dijerut kesedihan melampau? Ingatan terhadap emak semakin kuat menyesak ke benak. Emak, adalah segala-galanya buat dia dan Liyana. Dia sungguh tidak menyangka, emak akan pergi secepat ini.  

“Yana, tak baik sedih-sedih macam ni.” Shahiman gugup apabila melihat semakin banyak air jernih, keluar dari kolam mata gadis kesayangannya. Bukanlah niat di hati mahu menambah kesedihan Dayana.  

Jomlah. Abang temankan makan.”

“Orang betul-betul tak ada selera. Abang ajaklah Lia. Kalau lapar nanti, orang makanlah.” Bukanlah niatnya mahu menolak. Hidup... terasa hambar, sehambar-hambarnya. Selera makan telah pun hilang. Tidak tahu di bawa ke mana? Kepala pula, terasa berdenyut-denyut. Dia, mengurut-ngurut lembut dahi bagi mengurangkan rasa sakit. Mata juga terasa pedih, bengkak kerana terlalu banyak menangis.

“Aku, pergi makan dululah. Perut aku dah sebu sangat ni. Jomlah, bang. Tahulah Yana kalau dia lapar nanti.” Liyana lantas menarik lengan baju abang sepupunya.

Shahiman melangkah juga akhirnya. Melangkah dalam terpaksa.

Sebaik Shahiman dan Liyana berlalu, Dayana menoleh ke sebelah kanan. Tidak jauh darinya, sepinggan kek pandan terhidang di dalam dulang bersama lauk-pauk lain.

‘Untuk orang masjid datang membaca tahlil barangkali,’ duganya dalam hati.

Lantas, dia mengambil sepotong kek pandan di dalam pinggan, menyuap ke dalam mulut lalu mengunyah perlahan-lahan. Dia meneguk pula secawan air teh yang dibawa oleh Shahiman. Cukuplah. Terasa ketat tekak mahu menelan, dicuba juga. Kepala pula rasa tersangatlah berat, seperti dihempap seketul batu besar. Macam-macam hal perlu difikirkan. Bagai mahu meletup kepalanya. Dia buntu! Buntu memikirkan bagaimana nasibnya dan Liyana selepas ini. Kepada siapa mereka akan bergantung? Dayana pasrah, walau sehebat mana dugaan melanda, kedatangan hari esok perlu dinanti.

Lalu, dia naik ke atas katil. Kepala, direbahkan di atas sebiji bantal. Dia benar-benar penat. Baru sahaja mahu terlelap, terasa bahu kiri disentuh. Dengan bersusah payah cuba membuka mata yang melekat kuat seperti diletak gam cap UHU. Dalam kesamaran itu, dia memandang sesusuk tubuh sedang melutut di sisi katil. Kerana terlalu keletihan dan pandangan matanya agak kabur kerana banyak menangis, hanya membiarkan saja dahinya dikucup.

“Kesian kau, Lia. Kau kena kuat semangat. Aku ada, jaga kau,” Dayana bernada perlahan, kemudian menyambung kembali lena sebaik melihat susuk Liyana melangkah keluar.

Previous: Bab 7
Next: Bab 9.1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.